Thursday, August 9, 2012

DIMANA2 LETRIK ITU PENTING...BEGITU JUGA AIR...NI ANUGERAH ALLAH TERMASUK OKSIGEN...MATAHARI DLL...SEMUA ANUGERAH ALLAH

Guna pelajar kutip derma sampai pukul 3 pagi


KAKITANGAN JAIS menahan seorang remaja (dua dari kiri) dalam Operasi Pemungut Khairat Tanpa Kebenaran di sebuah stesen minyak di Batu Tiga, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (jais) mengesan terdapat sindiket yang berselindung di sebalik nama pusat Tahfiz, madrasah dan rumah anak yatim serta menggunakan pelajar sekolah untuk mengutip derma sehingga ke pukul 3 pagi setiap hari.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan Jais, Hardi Mohamad Sadali berkata, aktiviti sindiket mengutip derma itu terbongkar selepas lapan individu termasuk tiga rakyat asing ditahan dalam operasi kutipan derma tanpa kebenaran di Seksyen 9, 11, 17, 18 dan 19 di sini semalam.
Beliau berkata, mereka yang ditahan berumur antara 16 dan 50 tahun kerana didapati menjalankan aktiviti mengutip derma tanpa kebenaran jais dan di kawasan yang tidak dibenarkan.

Bakal pengantin maut rempuh tembok jalan


KEADAAN kereta Soon Hup yang remuk teruk selepas melanggar tembok batu dan tiang lampu di Parit Pulai, Jalan Abdul Rahman, Muar kelmarin. Gambar kecil, Chia Soon Hup.


MUAR - Seorang pemborong otak-otak terpaksa menahan kesakitan selama 20 minit akibat tersepit sebelum maut selepas kereta yang dipandunya merempuh tembok jalan dan tiang lampu di Parit Pulai, Jalan Abdul Rahman di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, Chia Soon Hup, 31, yang berasal dari Jalan Jabbar, Parit Jawa dekat sini disahkan mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Ketika kejadian, mangsa yang dalam perjalanan ke Muar dikatakan hilang kawalan menyebabkan kereta Toyota yang dipandunya masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh tembok jalan dan tiang lampu.
Ekoran rempuhan itu, kenderaan mangsa remuk teruk dan Soon Hup tersepit di tempat duduk pemandu.
Pegawai Operasi Kanan I, Jabatan Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmud berkata, pihaknya mengambil masa selama 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang cedera parah di kepala akibat terhantuk pada stereng.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Ang, 50-an, memberitahu, sebelum kejadian, penduduk setempat mendengar bunyi dua dentuman kuat yang pada mulanya disangka bunyi guruh.

Polis mahu guna uniform berkamera


GAMBAR fail menunjukkan beberapa anggota polis San Jose, Amerika Syarikat memakai peralatan kamera video di telinga.


HONG KONG - Dalam inisiatif pertama seumpamanya di Asia, polis Hong Kong menyatakan pihaknya akan menguji pengunaan kamera video yang diletakkan pada pakaian seragam anggota-anggota polis untuk merakam interaksi mereka bersama orang awam.
Bagaimanapun, skim tersebut mendapat bantahan daripada beberapa pertubuhan hak asasi manusia.
Pihak berkuasa pulau ini memberitahu semalam bahawa anggota polis akan mula memakai kamera kecil tersebut pada hujung tahun ini.
Peralatan serupa telah digunakan di Amerika Syarikat dan United Kingdom manakala polis Australia akan turut menguji kamera berkenaan.
"Kami akan menguji kamera badan ini menjelang hujung tahun ini," kata seorang jurucakap polis di sini.
Jurucakap berkenaan turut menolak kritikan aktivis-aktivis pertubuhan hak asasi manusia bahawa pengunaan kamera badan merupakan langkah untuk menjadikan pulau ini sebuah negara polis.
Pulau ini yang merupakan bekas koloni British telah dikembalikan kepada China pada 1997.
"Kami bukan menyasarkan sesiapa (musuh politik) tetapi kamera ini berguna kepada polis dalam menangani mereka yang mengganggu ketenteraman awam dan ketika tunjuk perasaan berlaku," katanya.
Beberapa pegawai berkata, peralatan itu akan digunakan oleh anggota polis yang terlatih dan berpakaian seragam.

Empat ahli Black Water dipenjara


EMPAT ahli sindiket Black Water dijatuhi hukuman penjara empat tahun semalam kerana kesalahan menyembunyikan kenderaan curi.


KLANG - Empat anggota sindiket curi kereta Black Water masing-masing dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mereka mengaku bersalah terhadap 196 pertuduhan menerima dan menolong menyembunyikan 98 kereta curi pada Jun tahun lepas.
Hakim Siti Noraida Sulaiman memerintahkan keempat-empat lelaki itu, Sim Cee Wei, 29, Lau Kuan Zui, 40, Wong Ooi Kay, 35, dan Tan Ching Swee, 41, menjalani hukuman berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 30 Jun tahun lepas.
Cee Wei, Kuan Zui, Ooi Kay dan Ching Swee didakwa atas 95 pertuduhan menerima kereta curi di No. 1, Lot 8638, Kampung Black Water off Jalan Banting-Klang di sini pada pukul 5 petang 29 Jun tahun lepas.
Mereka juga didakwa melakukan tiga kesalahan sama di Lorong Batu Nilam 21B, Bandar Bukit Tinggi di sini pada pukul 6 petang tarikh yang sama.
Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 413 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.
Mereka juga didakwa atas 95 pertuduhan menolong menyembunyikan kereta curi itu di Kampung Black Water, dan tiga lagi pertuduhan sama di Lorong Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi pada waktu dan tarikh yang sama.

Jambatan mendap, trafik sesak


KEADAAN mendapan yang berlaku di Jambatan Permas, Johor Bahru kelihatan telah dibaiki semalam.


JOHOR BAHRU - Jambatan Permas yang menghala ke Permas Jaya dan Pasir Gudang di sini yang mengalami mendapan kira-kira lapan sentimeter menyebabkan kesesakan teruk lalu lintas yang berlarutan selama lebih lima jam petang kelmarin.
Rentetan kesesakan yang berlaku hampir sejauh tujuh kilometer (km) itu, ramai yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja terkandas dan terpaksa berbuka puasa di dalam kereta.
Memburukkan lagi keadaan, apabila beberapa kenderaan dilaporkan mengalami kerosakan enjin lantaran menunggu terlalu lama.
Tinjauan Kosmo! mendapati mendapan jalan tersebut berlaku di penghujung jambatan dan kesesakan berlaku apabila sebahagian jalan ditutup menjadi satu lorong.

Bekas imam didakwa abai kanak-kanak

SEORANG lelaki berdiri di pintu sebuah rumah pengikut ajaran Faizrakhman di pinggir Kazan kelmarin.


MOSCOW - Seorang lelaki Muslim yang berusia 83 tahun, Faizrakhman Satarov didakwa melakukan pengabaian ke atas kanak-kanak, kata seorang timbalan pendakwa raya di Kazan, Tusia, Irina Petrova kelmarin.
Faizrakhman yang merupakan bekas imam di wilayah Bashkortostan mengarahkan 70 pengikutnya tinggal di dalam bilik bawah tanah hampir sedekad di pinggir Kazan.
Polis menyerbu bilik bawah tanah itu pada minggu lalu ketika melakukan siasatan tentang pembunuhan seorang timbalan mufti Tatarstan, Valiulla Yakupov.
Bilik bawah tanah itu terdapat di bawah bangunan setinggi tiga tingkat.
Faizrakhman dituduh mengabaikan kebajikan kanak-kanak kerana terdapat beberapa kanak-kanak ditemui turut hidup di bilik bawah tanah itu.
Bekas imam itu mendakwa dirinya sebagai nabi.
Kanak-kanak itu hidup tanpa menikmati cahaya matahari sehingga mereka dibebaskan oleh polis. - Agensi

Jet-jet Syria serang kampung


SEBUAH jet tentera Syria melancarkan serangan roket di Kampung Tel Rafat semalam.


DAMSYIK - Seorang wartawan agensi berita Reuters menceritakan detik-detik sebuah jet tentera Syria membedil Kampung Tel Rifaat di sini.
Jet tersebut melancarkan serangan roket dan terbang pada ketinggian yang rendah.
Wartawan agensi berita itu melihat jet tersebut membuat banyak pusingan di ruang udara kampung tersebut yang didiami beberapa ribu penduduk.
Kampung tersebut terletak 35 kilometer ke utara bandar Aleppo.
Jet tersebut melepaskan tembakan dan melancarkan serangan peluru berpandu.
Penduduk kampung itu panik dan sebahagian mereka cuba untuk melarikan diri dengan menunggang motosikal.
Beberapa penduduk lagi berlindung di dalam kenderaan roda tiga.
Letupan kemudian kedengaran manakala sebuah trak yang mempunyai 12 tayar terbakar.
Seramai enam orang kanak-kanak dan seorang wanita yang menangis berlari meninggalkan rumah mereka.
Seorang wanita kelihatan memegang kitab al-Quran di kepala, menciumnya dan beberapa wanita lain mengetuk kepala mereka dengan tangan.
Seorang pejuang yang menentang kepimpinan Presiden Bashar Al-Assad, Abu Hassan menyatakan jet-jet tersebut menjadikan pangkalan pemberontak sebagai sasaran serangan.
"Setakat ini empat daripada pangkalan kami terkena bedilan," katanya.
Tentera-tentera yang setia kepada Bashar berdepan dengan para pemberontak yang bersembunyi di dalam rumah ladang,
Walaupun, para juruterbang tentera Syria dilihat mengetahui lokasi pangkalan pemberontak, mereka kerap kali melakukan serangan secara sembarangan.
Lembu-lembu berlari dan melompat semasa letupan kedengaran di padang manakala beberapa anggota sebuah keluarga berselindung di bawah pokok zaitun.
Sementara itu, Bashar menamakan seorang Perdana Menteri baharu semalam bagi menggantikan Riad Hijab yang berpaling tadah.
Perkembangan tersebut berlaku ketika tentera Bashar membedil kedudukan pemberontak di sebuah daerah strategik di sini.
Bashar melantik Wael Al-Halki yang merupakan pengikut fahaman Sunah dari wilayah Deraa, selatan Syria untuk menjadi perdana menteri selepas Riad melarikan diri pada Isnin lalu.
Dalam perkembangan berkaitan sekurang-kurangnya 78 orang terbunuh dalam keganasan di seluruh Syria semalam, kata Kumpulan Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia.
Menurut pertubuhan itu angka kematian itu melibatkan 35 orang awam, 25 askar dan 18 anggota pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria.
Kebangkitan rakyat menentang Bashar bermula pada Mac tahun lalu.
Lebih 19,000 orang dilaporkan telah terbunuh ekoran pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera Syria. - Agensi

India lumpuh selama lima jam



SETIAP petang sebelum pulang ke rumah, Sushmita Rao, seorang eksekutif di sebuah syarikat di New Delhi akan menelefon pembantu rumahnya bagi menghidupkan penghawa dingin.
Tujuan Rao hanya satu, apabila sampai di apartmen tersebut, dia mahu suasana rumah yang sejuk seperti di pejabatnya.
"Saya bekerja dalam pejabat yang berhawa dingin dan saya berasa tidak selesa jika apartmen juga tidak sejuk," kata Roa.
Roa merupakan sebahagian daripada golongan eksekutif India yang bekerja dalam pejabat berhawa dingin, membeli-belah di pasar raya berhawa dingin dan juga makan di restoran berhawa dingin.
Tinggal seorang diri di apartmen tersebut, Rao memiliki mesin basuh, dua televisyen, penghawa dingin di setiap bilik, komputer peribadi dan pelbagai barangan elektronik.
"Kegunaan elektrik saya tinggi tetapi begitulah rutin kehidupan saya. Saya suka tinggal dalam suasana yang selesa," katanya.
Bagaimanapun, pada penghujung bulan Julai lalu, India lumpuh apabila bekalan elektrik terputus di negara itu.
Kesannya, kilang-kilang di India turut mengalami kerugian. Kilang Jayaraj Kumar yang menghasilkan rak kentang goreng terpaksa berhenti seketika operasinya sebelum jana kuasa sokongan menggunakan diesel berfungsi.
Bekalan elektrik yang tidak menentu menyebabkan pengusaha kilang bergantung kepada jana kuasa diesel sokongan yang bunyinya bising dan kotor.
Lebih merunsingkan, penggunaan janakuasa diesel tersebut meningkatkan kos operasi, menjejaskan produktiviti dan merencatkan perkembangan ekonomi di negara itu.
Taraf ekonomi meningkat
"Menjalankan industri perkilangan di sini sangat mencabar ketika ini," kata Kumar.
Krisis bekalan elektrik di India selama lima jam pada penghujung bulan lalu dikatakan berpunca daripada penggunaannya yang meningkat.
Negeri-negeri terbabit dikatakan menggunakan tenaga melebihi kuota yang ditetapkan kerajaan.
Selain itu, taraf ekonomi masyarakat dan gaya hidup di India kini berubah apabila penggunaan barangan elektrik turut meningkat.
"Kumpulan berpendapatan sederhana di India semakin meningkat menyebabkan mereka mampu membeli barangan elektrik sekali gus penggunaan tenaga turut tinggi," kata Will Pearson, penganalisis tenaga global di Eurasia Group yang berpangkalan di London.

SEORANG lelaki menyediakan makanan manakala seorang pelanggan menikmati hidangan dalam suasana gelap di sebuah gerai berhampiran stesen kereta api di Allahabad, India.


Pengerusi Technopak, Arvind Singhal berkata, negara tersebut dalam proses transformasi sosial sekali gus memerlukan lebih banyak tenaga untuk keperluan industri, pusat beli-belah dan pejabat-pejabat.
Penggunaan alat elektrik
Berdasarkan maklumat dari Badan Kebangsaan India, golongan pertengahan di negara tersebut ialah sebanyak 160 juta iaitu lebih besar berbanding populasi di Rusia atau Jepun. Jumlah itu dijangka meningkat sehingga 267 juta menjelang tahun 2016.
Justeru, penggunaan penghawa dingin, ketuhar gelombang mikro, pembakar roti, mesin basuh dan barangan elektrik lain semakin meningkat dan mampu milik sejak tahun 1990-an di India.
Kegagalan India memenuhi permintaan bekalan tenaga elektrik yang meningkat di negara itu menerima padahnya apabila ia terputus hujung bulan lalu sekali gus menjejaskan lebih 700 juta penduduk negara berkenaan.
Kejadian yang merupakan terburuk di dunia itu turut mengundang kebimbangan berlakunya tunjuk perasaan, huru-hara dan protes dalam kalangan penduduk.
Sebanyak 20 daripada 28 negeri di India termasuk New Delhi terjejas apabila tiga daripada lima pembekal elektrik gagal membekalkan tenaga apabila ia terputus pada waktu tengah hari hujung bulan lalu.
Ekoran itu, beratus-ratus perkhidmatan kereta api tergendala sekali gus menyebabkan pengguna terkandas di sepanjang landasan dari Kashmir hingga ke Nagaland di bahagian timur India yang bersempadan dengan Myanmar.

KANAK-KANAK sedang menonton televisyen yang menggunakan tenaga solar.


Bukan itu sahaja, lampu isyarat turut tidak berfungsi menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk seperti di New Delhi dan Kolkata.
Lebih parah, beberapa kes pembedahan di hospital turut dibatalkan dan pembedahan yang sedang dijalankan terpaksa menggunakan peralatan secara manual setelah janakuasa diesel di hospital berkenaan gagal berfungsi.
Urusan pembakaran mayat di pusat pembakaran turut terganggu sehinggalah kayu digunakan sebagai bahan pembakar.
Di Bengal Barat pula, lif yang tidak berfungsi mengakibatkan beratus-ratus pelombong terperangkap di bawah tanah dan hanya berjaya diselamatkan selepas bekalan pulih kira-kira lima jam kemudian.
Kakitangan kerajaan pula terpaksa dibenarkan pulang awal dari tempat kerja masing-masing apabila ketua menteri membuat pengumuman bahawa bekalan dijangka pulih dalam tempoh 10 hingga 12 jam.
Kejadian elektrik terputus itu mengundang persoalan tentang kemudahan infrastruktur di India dan kemampuan kerajaan memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat.
Menteri Tenaga, Sushilkumar Shinde menyalahkan pihak pemerintah negeri kerana menggunakan bekalan elektrik melebihi kuota yang ditetapkan.
"Setiap orang menggunakan elektrik melebihi kuota yang ditetapkan. Saya telah memberi arahan, negeri yang terbabit akan dikenakan tindakan pemotongan elektrik," katanya.
Pihak parti pembangkang menjadikan krisis itu sebagai bahan politik mereka.
"Kejadian ini manifestasi kelemahan pengurusan... rakyat memerlukan penjelasan daripada perdana menteri," kata jurucakap Parti Bharatiya Janata, Manmohan Singh.
Pengarah Urusan, Pertubuhan Pembekal Tenaga Bebas India, Harry Dhaul menyatakan bahawa orang ramai bakal membuat huru-hara jika krisis tersebut berterusan.

PENDUDUK India kini berkemampuan memiliki barangan elektrik seperti penghawa dingin menyebabkan penggunaan tenaga meningkat.


"Keadaan lebih merunsingkan di kawasan bandar kerana penduduk sangat bergantung kepada elektrik. Ia mungkin berlaku rusuhan atau tunjuk perasaan," katanya.
Pakar-pakar bersetuju India perlu melabur bagi meningkatkan infrastruktur untuk memenuhi keperluan 1.2 bilion penduduknya.
Berdasarkan laporan Wall Street Journal, sejak tahun 2006, China telah menghabiskan tenaga enam kali ganda tenaga setiap tahun berbanding India. Secara purata, China menggunakan tenaga sebanyak 84 giga watt manakala India cuma 14 giga watt setahun.
Dhaul berkata, punca India gagal mengikuti China bukanlah disebabkan faktor politik tetapi India ialah negara demokrasi.
"Di China, jika mereka hendak membina empangan hidroelektrik tetapi ada bantahan, ia tidak menjadi masalah...dalam masa 24 jam mereka yang terlibat di kawasan berkenaan akan dipindahkan dan kerja-kerja pembinaan bermula. Kita tidak boleh lakukan perkara itu di India," dakwanya.

No comments:

Post a Comment