Wednesday, February 10, 2010

JADIKAN TELADAN...JIKA CINTA KONGSI ELOK2 DAN TOLONG MENOLONG



'Dia kedekut sejak mula kami kahwin'



Oleh Nor Azura Abdul Jalil

2010/02/11


KUALA LUMPUR: "Dari awal perkahwinan kami, dia tidak pernah beri sebiji beras pun. Begitu juga dalam poligami, dia tidak pernah adil," kata seorang pekerja swasta ketika prosiding di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam.
Plaintif, Anida Mohd Shah, 43, berkata demikian ketika menjawab soalan peguam syarie dari Biro Bantuan Guaman, Halimahtun Saadiah Mustah dalam kes pengesahan lafaz cerai dibuat suaminya, seorang bekas juruaudit di sebuah syarikat kewangan melalui SMS, awal bulan lalu.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie Khairul Azwadi Mohamed Noor, Anida memberitahu mahkamah dia menerima SMS itu selepas mendakwa ada membuat permintaan cerai daripada suaminya, Shamsudin Mohd Nor, 55, (defendan) berikutan tidak menjalankan tanggung jawab sepanjang berkahwin.

Anida yang juga isteri kedua, berkata suaminya tidak pernah berlaku adil dalam poligami malah mendakwa suaminya itu terlalu berkira jika ingin membeli keperluan harian mereka.



"Saya hantar SMS pada suami mengatakan kalau dia tidak adil dan jalankan tanggungjawab sebagai suami, lepaskan saya," katanya.

Bagaimanapun, pada 4 Januari lalu defendan mengirimkan SMS yang berbunyi 'Kalau itu yang you (awak) mahu, I (saya) kabulkan permintaan you. I lepaskan dengan talak satu'.

Anida berkata, dia yakin SMS itu dihantar sendiri suaminya kerana sebelum itu dia pernah menyuarakan hasrat meminta dilepaskan kerana tidak tahan dengan perangai defendan.

Mereka bernikah pada 6 Ogos 2007, namun tidak kurniakan anak dan difahamkan plaintif mempunyai tiga anak hasil perkahwinan terdahulu manakala defendan mempunyai lima anak dengan isteri pertama.

Anida berkata, selepas menerima SMS itu, dia ada menelefon defendan dan lelaki itu mengaku menjatuhkan talak kepada plaintif melalui SMS.


Sementara itu, Shamsudin yang diwakili peguam syarie, Nahar Alias ketika memberi keterangan mengakui melafazkan cerai melalui telefon bimbitnya itu tanpa dipaksa sesiapa.

Menurutnya, secara keseluruhannya dia mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menaip, membaca sebelum menghantar SMS berkenaan.

"Ketika menghantar SMS saya dalam keadaan waras dan tiada sesiapa yang paksa saya untuk menceraikan isteri saya," katanya.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan sehingga Jumaat ini untuk keputusan permohonan pengesahan lafaz cerai berkenaan.

No comments:

Post a Comment