Pameran alam mistik haram
KUALA LUMPUR – Penganjur satu pameran di Kuala Terengganu yang bakal mengetengahkan artifak mistik seperti anak kerak, jenglot dan jin diminta membatalkan sahaja program itu memandangkan ia ditegah dalam Islam.
Setiausaha Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, jawatankuasa itu sudah membuat ketetapan bahawa pameran seperti itu adalah haram sejak tahun 2007 lagi.
“Jawatankuasa Fatwa membuat ketetapan itu atas kepentingan tidak mahu lagi melihat umat Islam di negara ini terus disogok dengan perkara-perkara tahyul serta khurafat yang tidak mendatangkan faedah,’’ katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengulas mengenai laporan akhbar semalam terhadap pameran bertemakan Masyarakat Berakidah yang dijadual berlangsung tiga bulan di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu mulai April ini.
Pameran dikendalikan Dynasty Event Sdn. Bhd. itu turut mendapat kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Jabatan Kebudayaan Terengganu, Majlis Penggalakan Pelancongan dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
Dua beranak mati dalam kebakaran
KUALA LUMPUR - Seorang ibu dan anak perempuannya ditemui mati disyaki lemas akibat terhidu asap tebal selepas terperangkap di dalam rumah mereka yang terbakar di Jalan Helang Putih, Taman Sri Sinar, Kepong dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, kedua-dua mangsa ditemui oleh pasukan bomba dan penyelamat di dalam sebuah bilik tidur rumah teres terbabit.
Mayat mangsa, Ong Ean Lee, 33, ditemui di atas katil manakala kanak-kanak perempuan, Artina Lake Xin Yu, 2, pula ditemui di atas tilam di lantai tidak jauh dari lokasi mangsa pertama dijumpai.
Kedua-dua mereka yang berpakaian lengkap itu ditemui dalam keadaan baik dan tidak mengalami apa-apa kecederaan kerana disyaki mati akibat terhidu asap tebal.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Othman Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.11 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama 27 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang dan Sri Hartamas.
Pihak bomba bagaimanapun mengalami sedikit kesukaran kerana pintu pagar untuk masuk ke kawasan rumah mangsa berkunci.
"Hampir 80 peratus rumah teres satu tingkat itu musnah dijilat api," katanya di sini semalam.
Menurut Othman lagi, pemeriksaan lanjut pihaknya di dalam rumah itu membawa kepada penemuan dua mayat perempuan yang ditemui di dalam bilik tidur rumah tersebut.
Terperangkap dalam bilik
Oleh MUHAMMAD APENDY ISSAHAK
apendy@hmetro.com.my
apendy@hmetro.com.my
HANGUS... anggota bomba menyiasat punca kebakaran.
WAI... sempat hubungi isteri sebelum pergi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi semalam, Ong Ean Lee, 33, ditemui terlentang di atas katil, manakala anak perempuannya, Artina Loke Xin Yu, 2, terbaring atas lantai bersebelahan katil dalam bilik sama.
Mangsa dikatakan sempat menjerit meminta bantuan jiran, namun gagal diselamatkan kerana api marak dengan cepat, selain pihak bomba sukar memasuki kawasan perumahan itu kerana palang keselamatan di pondok pengawal berkunci dan pengawal tiada di situ.
Ibu malang itu tinggal bersama anak tunggalnya ketika kejadian manakala suami, Calven Loke Wai, 36, mempunyai urusan di Melaka.
Calven yang juga Setiausaha Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) Kuala Lumpur berkata, kali terakhir dia bertemu isteri dan anak ketika keluar dari rumah kira-kira jam 8 pagi kelmarin.
Dia juga sempat menghubungi isteri sebelum bertolak kira-kira jam 6 petang bagi menghadiri mesyuarat di Melaka.
“Semalam (kelmarin), saya berada di Melaka atas urusan kerja dan sempat telefon isteri sebelum bertolak. Dalam telefon isteri ada memberitahu dia dan anak akan makan malam di rumah emak mentua saya.
“Itulah kali terakhir saya bercakap dengan mereka. Saya tidur kira-kira jam 1 pagi dan dikejutkan pada jam 6.30 pagi dengan panggilan telefon daripada seorang anggota bomba sukarela memberitahu mengenai kebakaran di kawasan kediaman saya.
“Tidak berapa lama selepas itu, jiran pula telefon beritahu rumah saya terbakar dan maklumat itu disahkan bomba. Setibanya di rumah kira-kira jam 8 pagi, saya lihat rumah musnah terbakar dan isteri serta anak terkorban dalam kebakaran,” katanya.
Difahamkan juga, mangsa mendirikan rumah tangga lima tahun lalu dan menetap di situ bersama suami sejak berkahwin.
Jiran mangsa, A Arenthan, 34, yang ditemui di lokasi kejadian berkata, dia tidur ketika kejadian berlaku sebelum mendengar satu letupan kuat, namun tidak mengendahkannya.
“Bagaimanapun, tidak lama kemudian, saya terhidu bau asap dan terdengar jeritan sebelum bergegas keluar dari rumah untuk memeriksa.
“Saya dapati rumah jiran terbakar lalu menghubungi bomba untuk bantuan serta cuba memadam api namun api marak terlalu cepat, menyebabkan saya dan beberapa penduduk lain gagal menyelamatkan dua beranak itu,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.05 minit pagi sebelum tiga jentera dari Jinjang dan Kepong bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, sebaik tiba ke kawasan itu, pihaknya mengalami kesukaran memasuki kawasan perumahan itu kerana palang keselamatan di pondok pengawal berkunci dan pengawal tiada di situ.
“Kita ambil masa kira-kira dua minit untuk memotong kunci palang itu dan sebaik sampai ke rumah yang terbakar, kerja memadam api dijalankan.
“Mayat kedua-dua mangsa ditemui di dalam bilik dan dipercayai mati akibat sesak nafas selepas terhidu asap tebal.
“Operasi memadam kebakaran mengambil masa 30 minit dan hampir 80 peratus kediaman dua tingkat itu musnah dijilat api. Bagaimanapun, punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
Dua beranak malang itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat sebelum dituntut suaminya.
Rita mimpi ibu
Oleh NORAINON OTHMAN, IBRAHIM ISA dan FIRDAUS SAHAT
metahad@hmetro.com.my
metahad@hmetro.com.my
Berkongsi rasa hati meniti hari mendatang tanpa insan tersayang di sisi, Erni atau lebih mesra dipanggil Rita berkata, dia tidak menganggap musibah menimpa keluarganya sebagai bebanan, malah menjadikan dirinya lebih kuat. Kematian sadis ibunya bersama tiga individu lain di Banting memang mengejutkan, tetapi dia reda dengan takdir Allah.
“Selepas ketiadaannya, Rita dan adik-beradik pernah bermimpi emak. Dalam mimpi itu, emak datang ke pejabat, melihat Rita bekerja. Emak tidak pernah bercakap tetapi sering mengajak Rita berjalan-jalan dengan memberi isyarat tangan. Sebagai hamba-Nya, kita tidak tahu ketentuan Allah.
“Walaupun emak tiada, Rita berasa seolah-olah dia masih hidup kerana sentiasa teringatkannya. Emak memang sentiasa hidup dalam hati Rita. Mungkin Rita bermimpi sebab rindukan emak. Biasanya apabila bangun daripada tidur, Rita menceritakan mimpi berkenaan kepada adik lain, begitu juga mereka. Bermimpi ibu satu kepuasan bagi Rita.
“Rita juga sering teringat sikap emak yang suka memasak makanan kegemaran kami. Sayangnya, kini kami tidak dapat rasa air tangan emak lagi. Kalau rindu emak, Rita pergi ke tempat yang emak suka pergi.
“Terlalu banyak kenangan bersama emak yang sering bermain di ingatan. Bilik (pejabat) yang Rita duduk ini pun bilik emak. Rita tidak pernah ubah apa-apa susun atur di bilik emak kerana ini akan mengingatkan Rita pada emak,” katanya ketika ditemui Metro Ahad, di sini.
Kerana rasa bertanggungjawab untuk meneruskan legasi Allahyarham, Rita yang bertindak sebagai Pengarah Urusan Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd membuat keputusan membahagikan tugas perjalanan syarikat itu di kalangan adik-beradiknya, Erwan Suwari Rizuwan, 25, Md Erwan Nasri, 24, Erni Erinawati Sofia, 22, dan Erni Rineelawati, 21.
“Kami bahagikan tugas sama rata dan tahu kerja masing-masing. Rita mengaku tidak mampu buat kerja seorang kerana Rita pun manusia biasa. Bantuan adik diperlukan. Rizuwan menggalas tugas sebagai eksekutif pemasaran, Erwan (eksekutif operasi), Rina (eksekutif pentadbiran) dan Rinee (duta Nouvelle Visages). Tugas ini berkuat kuasa sejak kes yang menimpa emak kerana sebelum itu Rita dan emak menguruskan perniagaan,” katanya.
Matang dalam membuat keputusan, gadis itu tidak menghalang adiknya, Rina dan Rinee menyambung pengajian jurusan perniagaan menerusi Program Jarak Jauh (PJJ) Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Mereka ada cita-cita yang ingin dicapai. Rita tidak mahu disebabkan kes itu (pembunuhan ibunya bersama tiga individu lain), cita-cita mereka terkandas di tengah jalan.
“Bagaimanapun, pada hari biasa, mereka bekerja dan mengikuti pengajian PJJ hanya pada Ahad,” katanya yang mengakui masih tidak dapat mengikis rasa kesal tidak sempat memohon maaf kepada ibu buat kali terakhir.
Dia yang kini bertanggungjawab menjaga kebajikan lima adiknya serta perniagaan berkenaan berkata, kenangan suka duka bersama arwah membakar semangatnya untuk berjaya.
“Perasaan Rita, sebagai anak, kadangkala kita tidak sedar ada sikap atau perlakuan kita mengguris hati emak. Rita terkilan kerana tidak sempat meminta maaf dengan mencium tangan dan dahi emak buat kali terakhir,” katanya.
Menurutnya, dia kini memberi lebih tumpuan terhadap promosi jenama kerana masih ramai tidak tahu mengenai Nouvelle Visages.
“Ketika turun padang di satu pameran di Mid Valley baru-baru ini, Rita dapati ramai belum mengenali Nouvelle Visages. Rita akui bukan semua orang membaca akhbar, jadi usaha lebih giat perlu dilakukan untuk memperkenalkan jenama ini,” katanya.
Mencontohi sikap dermawan ibu, Rita meneruskan amalan pengasas Nouvelle Visages menyalurkan sumbangan kepada badan kebajikan dan tiga sekolah anak angkat di Johor.
“Rita akan teruskan apa yang emak lakukan sebelum ini. Malah, keperluan orang kampung emak, Kampung Seri Menanti, Batu Pahat, tidak kami abaikan sebab di situ tempat emak dibesarkan.
“Baru-baru ini kami memberi sumbangan wang ringgit dan makanan kepada mangsa banjir di kampung itu dan berpesan kepada ketua kampung, jika inginkan bantuan, jangan segan beritahu kerana ibu lahir di situ,” katanya.
Diusik mengenai soal hati, Rita enggan mengulas lanjut tetapi mengakui dia kini dalam tempoh berkawan dan mengenali hati budi seseorang. Ditanya perancangan hidup berkeluarga, Rita berkata, dia tidak menetapkan sasaran bila akan berkahwin kerana baginya, jodoh pertemuan di tangan Tuhan.
Mengenai kes tuntutan wang dan modal pelaburan saham amanah bernilai RM1.38 juta yang diberikan jutawan kosmetik itu kepada bekas suaminya, Nash, Rita berkata, dia tidak berani membuat keputusan sendiri kerana membabitkan ramai pihak.
“Kami adik-beradik akan mengadakan perjumpaan dengan peguam emak, Datuk Zaidi Zain dalam masa terdekat ini untuk membuat keputusan sama ada meneruskan kes berkenaan atau sebaliknya,” katanya.
Disebabkan kesibukan menguruskan perniagaan selepas ketiadaan ibu, Rita mengakui tidak sempat bertemu rakannya seperti dulu, tetapi masih berhubung melalui facebook dan twitter.
“Rita berharap kawan faham, Rita bukan berniat memutuskan silaturahim yang terjalin tetapi cuma mahu memberi lebih fokus terhadap tugas dan amanah sekarang. Apapun, Rita ingat setiap kawan Rita daripada sekolah rendah hingga zaman universiti,” katanya.
Dalam menghadapi situasi sedih dan mencabar, bapanya, Bukhari Mohamad, selalu ada di sisi.
“Sejak dulu, emak tidak pernah menghalang kami berjumpa ayah. Sampai sekarang, apabila berlaku kes seperti ini, yang paling dekat ialah ayah kami yang berperanan sebagai penasihat dalam semua hal ehwal, berkaitan rumah dan pejabat,” katanya yang masih menetap bersama adik-beradiknya di rumah agam Allahyarham Sosilawati di Gombak.
Rita yang akan mengerjakan umrah bersama tiga adiknya Mac ini berhasrat memanjatkan doa untuk ibunya di depan Kaabah.
Gitaris Sera meninggal
Oleh SHAMRAN SARAHAN dan RIDZUAN ABDUL RAHMAN
shamss@hmetro.com.my
shamss@hmetro.com.my
Uban menghembuskan nafas terakhir di kediamannya yang terletak berhampiran masjid di Taman Bukit Cheras, dekat sini. Allahyarham dikebumikan selepas waktu Asar semalam.
Bekas penyanyi Sera, Mohammed Zamree Abidin, 44, atau dikenali juga sebagai Oyee menyatakan rasa sedih berikutan kehilangan rakannya.
“Semua ini ketentuan Allah, apapun saya bersyukur kerana sempat juga bertemu arwah pada Khamis lalu selepas terbaca laporan akhbar ini (Harian Metro) mengenai keadaan Uban yang menderita kerana kanser.
“Saya sedih, lebih-lebih kami tidak berjumpa sejak 1996. Tiada siapa dapat melawan takdir, mungkin Allah lebih menyayangi arwah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan bekas gitaris kedua kumpulan Sera menderita barah usus peringkat akhir dan berharap rakan lama, terutama di kalangan anggota kumpulan Sera, melawatnya ketika masih berpeluang.
Kumpulan Sera yang pernah muncul ketika era rock kapak dulu popular dengan Di Badai Asmara. Album pertama Sera, Sentuhan Rasa diterbitkan pada 1991.
Kumpulan ini berkubur selepas anggota kumpulan terbabit berpecah dan membawa haluan masing-masing sekitar 1996 dan 1997.
Sudah lama berminat
Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my
firdaussahat@hmetro.com.my
DAPHNE... memeluk Islam kerana keindahannya.
Sebelum ini, gosip mengenai bintang filem Belukar berusia 32 tahun itu memeluk Islam menjadi tajuk hangat di laman web hiburan tempatan. Bagaimanapun, tidak lama kemudian Daphne menjelaskan kepada media, dia memeluk Islam awal bulan lalu selepas mempelajari selok- belok agama itu, Disember lalu.
“Selepas memeluk agama Islam, saya membuat keputusan berkahwin dengan lelaki pilihan hati, iaitu Azmi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Joe. Majlis resepsi dilakukan di kampung halaman saya di Keningau, Sabah 8 Januari lalu.
“Majlis perkahwinan itu hanya dilakukan kecil-kecilan. Bagi saya, tidak perlu mengadakan majlis besar- besaran kerana yang penting adalah keutuhan rumah tangga berkenaan dan bukan majlis perkahwinan,” katanya, semalam.
Menurut Daphne, dia dan Joe adalah rakan kongsi dalam perniagaan.
Katanya, sejak mengenali hati budi masing-masing, mereka tertarik antara satu sama lain dan membuat keputusan menamatkan hubungan yang terjalin ke jenjang pelamin.
“Suami saya bersikap rendah diri dan tidak mahu terlalu menonjol di khalayak ramai mahupun media. Malah, saya mencintainya kerana sifatnya yang lemah lembut dan penyayang,” katanya.
No comments:
Post a Comment