Tuesday, July 19, 2011

SEMUA DALAM ILMU DAN PENGETAHUAN ALLAH...SAPE TAK BOLEH LEPAS DIAKHIRAT KELAK..AKAN DIHUKUM SESUAI DENGAN DOSA YANG DILAKUKAN....

Mangsa kebakaran tuntut janji


SEBAHAGIAN daripada mangsa kebakaran Kampung Chubadak Jaya kini masih tinggal di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Kuala Lumpur berikutan rumah PPR yang dijanjikan belum ada kemudahan asas.


KUALA LUMPUR - Sebanyak 57 mangsa kebakaran Kampung Chubadak Jaya, Sentul di sini kecewa apabila penempatan baharu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu yang ditawarkan dalam keadaan tidak sempurna untuk diduduki.
Menurut mereka, janji untuk mendiami perumahan baharu dalam tempoh 24 jam itu hanya tinggal janji apabila pegawai di Bahagian Perumahan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memaklumkan bahawa mereka boleh masuk ke rumah berkenaan dua minggu lagi.
Pengerusi persatuan penduduk kampung tersebut, Samsudin Shah Saad, 49, berkata, penempatan baharu tersebut tidak boleh diduduki kerana tidak mempunyai kelengkapan asas seperti pendawaian elektrik, tingkap dan pintu rumah.
"Sememangnya amat mengecewakan kerana tiada satu rumah pun yang diberikan boleh diduduki sejak ditawarkan kepada kami pada Jumaat lepas.
"Ini mengakibatkan kami kini seperti mangsa keadaan selepas menjadi mangsa kebakaran tersebut," katanya ketika ditemui di penempatan sementara di Pusat Komuniti Sentul Perdana di sini.
Pada 12 Julai lalu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan yang melawat mangsa kebakaran di Kampung Chubadak Jaya, Sentul menyatakan kesediaan membantu kira-kira 10 keluarga terlibat untuk mendapatkan penempatan baharu di PPR Batu dalam tempoh 24 jam.


Denda RM250 sorok mayat suami


Seorang penduduk, Osman Hussin menunjukkan tempat mayat Abd. Halim dibuang oleh isterinya di Batu 4 1/2 Jalan Kampung, Batu Berendam, Melaka. Gambar kecil, Zaini.


MELAKA – Demi menunaikan permintaan arwah suami supaya kematiannya disembunyikan, seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman denda RM250 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Muhammad Hazri Hanafi menjatuhkan hukuman itu terhadap Zaini Malek, 48, selepas wanita itu mengaku salah terhadap pertuduhan tidak memaklumkan mengenai kematian suaminya Abd. Halim Manan, 70.
Mengikut pertuduhan, Zaini didakwa sebagai seorang isteri kepada Abd. Halim telah tidak memaklumkan kematian suaminya walaupun dia merupakan orang yang layak untuk memberikan maklumat kepada pendaftar kelahiran dan kematian berkenaan dengan kematian tersebut.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada 3 Oktober hingga 6 Oktober 2010 di Lot 282, Batu 4 1/2 Jalan Kampung, Batu Berendam di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 35(e) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250.
Terdahulu, tertuduh dalam rayuan meminta hukuman dikurangkan dengan alasan dia hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan tiada anak.

Senapang ekzos besi


JAAFAR menunjukkan senapang angin yang dirampas daripada enam lelaki pada sidang akhbar di Kuala Pilah, Negeri Sembilan semalam.


KUALA PILAH – Kepakaran seorang lelaki yang hanya mengambil masa seminggu untuk membuat senapang angin berasaskan ekzos dan besi untuk pergi berburu tidak ke mana apabila dia ditahan bersama lima lagi rakannya di sebuah rumah di Kampung Sungkak, dekat sini Khamis lalu.
Serbuan pukul 12.30 tengah hari itu dilakukan ketika kesemua suspek berusia di antara 20 dan 40 tahun terbabit khayal dadah. Polis turut merampas dua paket heroin serta syabu di situ.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Jaafar Baba berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya membuat intipan di situ sebaik menerima maklumat awam.
Katanya, polis turut menemui beberapa butir bebola besi yang dijadikan peluru senapang buatan sendiri itu.

Buaya julung-julung dalam kebun buah


TIGA anggota Pasukan Gerakan Marin mengangkat buaya jenis julung-julung selepas ditangkap dalam kebun buah di Muar malam kelmarin.


MUAR - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Muar merampas seekor buaya jenis julung-julung sepanjang 2.2 meter yang dipercayai diternak secara haram di sebuah kebun buah-buahan di Kampung Sawah Laku, Bukit Kepong di sini kelmarin.
Pegawai Pemerintah PGM wilayah berkenaan, Asisten Supritendan Nordin Osman berkata, reptilia seberat 60 kilogram itu ditangkap pada pukul 5 petang selepas pemeriksaan dibuat di kebun berkenaan.
"Seramai tujuh anggota PGM yang diketuai Inspektor Mohd. Naser Marzuke telah menangkap buaya itu di sebuah kolam dalam ladang tersebut.
"Pemilik ladang itu tidak berada di lokasi semasa tangkapan dibuat, namun kami akan melakukan siasatan lanjut,'' katanya kepada pemberita di sini semalam.

Anak Datuk antara ditahan cuba seludup manusia


ANGGOTA APMM menyelamatkan 46 PATI apabila bot mereka hampir karam di perairan Kota Tinggi malam kelmarin.


KOTA TINGGI - Tiga lelaki termasuk seorang anak Datuk ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan manusia menerusi perairan Kota Tinggi baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Supritendan Muhammad Shamsuddin berkata, ketiga-tiga suspek ditahan ketika berkonvoi dengan empat buah kereta membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Sungai Rengit kira-kira pukul 8 malam Ahad lalu.
Katanya, suspek anak Datuk berusia 21 tahun itu menggunakan kereta Perodua Myvi miliknya yang mempunyai pelekat orang kenamaan untuk membawa PATI ke lokasi berkenaan.
Menurutnya, suspek itu adalah seorang pelajar universiti tempatan dan menggunakan kesempatan masa cuti semester untuk menyeludup PATI.
"Kami menerima maklumat mengenai aktiviti kumpulan ini sejak beberapa bulan lalu dengan membabitkan lima suspek.
"Bagaimanapun, ketika serbuan, dua daripada mereka berjaya meloloskan diri. Kami berjaya menahan tiga suspek bersama 15 PATI warga Indonesia termasuk dua wanita," katanya kepada pemberita semalam.

Rais menang saman fitnah


Rais dan isteri, Masnah keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini semalam memerintahkan seorang blogger membayar sebanyak RM400,000 kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim selepas didapati bersalah memfitnah menteri itu dalam satu artikel.
Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof memberitahu, daripada jumlah itu Amizudin Ahmat perlu membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 dan kos RM100,000 kepada Rais.
Pada 1 Januari lalu, Rais, 69, memfailkan saman terhadap Amizudin, 42, yang juga anggota jawatankuasa Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), berhubung artikel disiarkan dalam blog, sharpshooterblogger.blogspot.com. pada atau sekitar 28 Disember tahun lepas.
Dalam penghakimannya, Hakim Zabariah berkata, setelah mengambil kira fakta dan bentuk fitnah yang dilakukan oleh Amizudin dalam blognya dan juga nilai wang semasa, jumlah yang diberikan kepada Rais adalah munasabah.
Kata beliau, fitnah dibuat itu sangat serius dan jika seseorang mempercayainya bukan sahaja reputasi Rais terjejas di peringkat nasional dan antarabangsa tetapi yang lebih penting adalah kesannya terhadap kehidupan Rais dan keluarga.

Lesen ikut tarikh lahir pemandu


CADANGAN menyelaraskan tarikh luput lesen memandu dengan tarikh lahir dijangka memudahkan ingatan pemandu bagi memperbaharui lesen apabila sampai pada waktunya. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menimbang cadangan menggunakan tarikh lahir dalam penetapan tempoh akhir bagi memperbaharui lesen memandu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, cadangan itu sedang diperhalusi memandangkan ia dapat membantu pemandu mengingati tarikh luput lesen mereka.
"Kita dapati banyak kes pesalah trafik memberi alasan mereka lupa tarikh untuk memperbaharui lesen ketika ditahan dalam sekatan jalan raya,'' katanya pada pemberita di Wisma MCA di sini semalam.
Menurut beliau, asas kepada pelaksanaan skim itu ialah dengan membuat pelarasan tarikh tamat lesen memandu dengan tarikh lahir seseorang.
"Jika tarikh lahir individu tersebut yang akan datang tidak sampai enam bulan selepas tempoh akhir lesen memandunya, tiada bayaran akan dikenakan untuk pembaharuan,'' katanya.
Bagaimanapun jika tempoh antara kedua-dua tarikh itu melebihi enam bulan, bayaran pembaharuan yang akan dikenakan ialah separuh atau sebanyak 50 peratus.

No comments:

Post a Comment