Thursday, October 13, 2011

BILA HUKUM ALLAH TAK BERJALAN...NAFSU TAK BOLEH KAWAL...SUKA MELAKU MAKSIAT...JAUH DARI ALLAH DAN KETAATAN...MAKA KESANNYA SENDIRI RASA DAN TANGGUNGLAH....

Pakatan 2 madu

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Saya tolak untuk berdamai dan tidak membawa wakil keluarga sebagai jawatankuasa pendamai bagi mencari penyelesaian berhubung kemelut rumah tangga kami,” kata Marziana Zakaria dalam prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, semalam.
Marziana bersepakat dengan madunya, Siti Shahina Abdul Rahim untuk meneruskan permohonan cerai terhadap suami mereka, Liaquat Ali kerana mendakwa tidak tahan dengan perangai lelaki itu sering memaki dan memukul mereka.

Terdahulu, Marziana yang juga isteri kedua dalam keterangannya di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin berkata, dia khuatir sikap kasar suaminya menarik dan mengheretnya selepas dia memfailkan permohonan cerai secara baik pada prosiding sebelum ini.
“Saya juga mahukan cadangan daripada pihak mahkamah apa patut dilakukan dengan kejadian yang menimpa saya pada prosiding lalu berikutan khuatir perkara sama berulang,” katanya.

Shaiful Azli menasihatkan Marziana membuat laporan polis untuk mendapat perintah perlindungan.

Dalam prosiding sama, Siti Shahina juga mahu meneruskan permohonan cerai terhadap Liaquat dan tidak membawa wakil keluarga sebagai jawatankuasa pendamai.

Marziana dan Siti Shahina masing-masing selaku plaintif menamakan suami mereka sebagai defendan. Ketiga-tiga pihak masing-masing tidak diwakili peguam syarie.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Shaiful Azli, Liaquat mendakwa dia tidak mahu menceraikan kedua-dua isterinya, namun gagal untuk berdamai dengan mereka.
“Marziana membawa anak kami bersama dan tidak tahu di mana dia tinggal sekarang. Dia juga tidak dapat dihubungi melalui telefon menyebabkan sukar untuk kami berbaik semula,” katanya.

Dalam prosiding itu, Liaquat menafikan dakwaan Marziana dia bertindak kasar selepas prosiding sebelum ini.

Namun, Shaiful Azli menegur defendan dengan memaklumkan semua butiran itu boleh dikemukakan ketika perbicaraan nanti.

Shaiful Azli dalam keputusannya memerintahkan kedua-dua pihak melantik peguam selain memerintahkan kedua-dua plaintif membatalkan permohonan cerai secara baik yang difailkan dalam prosiding sebelum ini dan memfailkan tuntutan fasakh.

Mahkamah menetapkan 14 November ini untuk sebutan semula kes.

Anak hilang tinggal basikal



KANGAR: Hanya penemuan basikal menjadi petunjuk buat seorang bapa apabila anak perempuan kesayangannya didapati hilang ketika berbasikal ke sekolahnya di Bintong, dekat sini, kelmarin.
Lebih mengejutkan apabila basikal milik anak sulung daripada lima beradik, Nurul Nursyawaltie Mohd Sabri, 14, ditemui di sebuah taman perumahan berhampiran kira-kira jam 3 petang.

Mohd Sabri Samat, 35, dari Taman Bukit Kayangan, dekat sini, berkata sebaik menerima maklumat itu, dia menunggu anaknya di kawasan berkenaan kerana bimbang tetapi gadis berkenaan tetap tidak muncul sehingga lewat petang.
Menurutnya, dia kemudian berasa tidak sedap hati dan percaya anak perempuannya mungkin berada di luar Perlis berdasarkan wang tunai RM30 dalam dompetnya juga disedari hilang pada pagi sebelum kehilangan Nurul Nursyawaltie. Katanya, anaknya itu memang gemar melayari laman sosial seperti facebook dan mempunyai ramai kawan.

“Sebelum ini, saya tinggal di Pulau Pinang dan mengesyaki dia pergi ke sana ataupun dijemput salah seorang rakan facebooknya untuk ke sana.

“Tetapi saya berasakan wang RM30 itu memang tidak mencukupi pergi dan tinggal di sana sehingga hari ini (semalam),” katanya.

Menurutnya, dia juga sudah mengedarkan gambar anaknya di sekitar kawasan sekolah termasuk kepada rakan-rakannya melalui telefon bimbit sebagai langkah untuk mengesan anaknya.

Katanya, dia turut membuat laporan mengenai kehilangan anaknya di Balai Polis Kangar, kira-kira jam 1 pagi semalam.
Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian berkenaan, berkata siasatan sedang dijalankan.

‘Ayat pelangkah’ tidak menjadi

Oleh Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my

BUKTI...Ab Rashid menunjukkan ‘ayat pelangkah’ yang digunakan suspek untuk menyamun.
BUKTI...Ab Rashid menunjukkan ‘ayat pelangkah’ yang digunakan suspek untuk menyamun.
KAJANG: Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Itu nasib menimpa tiga lelaki warga Indonesia yang menggunakan ayat azimat yang dikenali ‘ayat pelangkah’ yang dipercayai menjadi pelindung mereka untuk melakukan jenayah pecah rumah dan samun di sekitar Kajang.
Bagaimanapun, hasil risikan dan intipan polis, ‘kekebalan’ semua suspek yang dikenali ‘Geng Tong Gas’ berakhir sejurus dicekup sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, jam 9.15 malam, 7 Oktober lalu di Sungai Chua, di sini.

Selain dijadikan azimat, suspek turut menggunakan ayat berkenaan sebagai rujukan dan panduan untuk mengetahui tarikh dan masa sesuai untuk menyamun.
Difahamkan, suspek akan menyelit ayat berkenaan pada seluar ketika menyamun dipercayai untuk mendapatkan kekuatan selain membolehkan aktiviti jenayah mereka tidak dapat dihidu polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata semua suspek berusia 30-an itu dilaporkan terbabit kes pecah rumah dan samun seorang jurutera yang mengakibatkan mangsa kerugian kira-kira RM8,000 dalam kejadian di Batu 14, Hulu Langat, 6 Oktober lalu.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, empat lelaki bersenjatakan parang memecah masuk dengan mengumpil pintu belakang rumah mangsa.

“Dengan tertangkapnya suspek, polis percaya dapat menyelesaikan 15 kes pecah rumah dan samun yang dilaporkan di Kajang.

“Semua suspek kini direman sehingga 14 Oktober dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK) kerana samun berkumpulan menggunakan senjata,” katanya dalam sidang media di IPD Kajang, semalam.

5 kilometer tambang RM50

Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com

KUALA LUMPUR: Jarak perjalanan tidak sampai lima kilometer, tetapi kadar tambang dikenakan hingga RM50, begitulah sifat tamak sesetengah pemandu teksi mengambil kesempatan terhadap pengguna yang baru tiba di KL Sentral dan ingin ke destinasi seterusnya.
Kadar tambang melampau itu dikenakan kepada penumpang yang ingin ke Mid Valley dari stesen berkenaan oleh pemandu teksi yang turut bertindak sebagai ‘ulat’ bagi menarik pelanggan.

Namun, sikap tidak bertanggungjawab itu mengundang padah apabila mereka ditahan anggota penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) dalam operasi khas di KL Sentral, kelmarin.

Dalam operasi tiga jam bermula jam 7 malam itu, lima pemandu teksi termasuk seorang anggota Rela terjerat apabila pelanggan yang cuba ditipu sebenarnya pegawai yang menyamar.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Spad, Mejar Jeneral (B) Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, operasi itu dijalankan selepas mendapat banyak aduan orang ramai terutama yang baru tiba di stesen berkenaan dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) menaiki bas dan ingin mengambil teksi.

Menurutnya, semua pemandu teksi ditahan tidak menggunakan meter serta mengenakan kadar tambang tidak munasabah ke lokasi seperti KLCC, Taman Tun Dr Ismail dan tempat lain sekitar ibu kota.


“Kami mengesan salah laku pemandu yang meletakkan teksi di parkir berbayar berhampiran pintu ketibaan di KL Sentral, sebelum mencari serta memujuk orang ramai yang baru sampai dari LCCT menaiki bas.

“Mereka memberi pelbagai alasan kepada penumpang yang ingin menaiki teksi mereka seperti destinasi terlalu jauh hingga pemandu tidak mendapat untung jika menggunakan meter dan keadaan jalan sesak menyebabkan perjalanan mengambil masa lama.

“Pengguna mungkin terpedaya dengan pujukan itu dan bersetuju dengan kadar tambang ditetapkan. Mereka kemudian dibawa ke tempat letak kereta berhampiran untuk menaiki teksi. Sebaik menaikinya, pegawai yang menyamar sebagai penumpang terus menahan pemandu berkenaan,” katanya yang turut menyertai operasi itu.

Sebanyak 75 teksi diperiksa dalam operasi bersepadu membabitkan Spad, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pengurusan KL Sentral.

Suami isteri cedera ringan

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my

SIBU: Sepasang suami isteri terselamat meskipun dua batang balak sepanjang kira-kira 10 meter menembusi bahagian depan pacuan empat roda dinaiki mereka selepas kenderaan itu merempuh sebuah lori membawa balak yang tersadai akibat kerosakan di Jalan Bawang Assan-Sibu di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian itu, pasangan suami isteri yang identiti mereka belum dikenal pasti dan masing-masing berusia 26 serta 34 tahun, menaiki Toyota Hilux dipercayai dalam perjalanan ke bandar ini, kira-kira jam 7 malam.

Bagaimanapun, pasangan terbabit tidak menyedari sebuah lori sarat dengan muatan balak tersadai di tepi jalan akibat rosak lalu merempuhnya.

Difahamkan, ketika kemalangan itu, pasangan terbabit sempat mengelak daripada dirodok balak yang menembusi bahagian cermin depan kenderaan dan hanya cedera ringan.

Menurut sumber, kemalangan itu berlaku apabila lori yang sarat dengan balak itu berhenti di tepi jalan akibat kerosakan.

“Secara kebetulan, keadaan jalan gelap, sekali gus menyukarkan pasangan berkenaan melihat kenderaan berat terbabit tersadai di tepi jalan,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shafiee Ismail ketika dihubungi berkata, kemalangan itu menyebabkan pasangan terbabit cedera ringan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan mengalami kerosakan sebelum berhenti di lokasi kejadian.

“Polis masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu, termasuk mendapatkan keterangan daripada pasangan dan pemandu lori berkenaan,” katanya.

Meraung pangku mayat

Oleh Kasdi Ali
am@hmetro.com.my

IPOH: Seorang wanita meraung sambil memangku mayat suami berlumuran darah selepas mangsa dikelar dengan pisau oleh lelaki gila yang datang ke rumah mangsa menaiki basikal.
Dalam kejadian jam 2 petang semalam, suspek berusia 60-an yang membunuh mangsa sempat berdiri beberapa minit di lokasi kejadian sambil melihat mangsa menggelupur sambil darah terpancut dari leher.

Suspek yang berseluar pendek kelam-kabut melarikan diri selepas seorang jiran mangsa baru pulang dari masjid melihat kejadian itu di hadapan rumahnya di Jalan Menglembu Timur 2, di sini.
Saksi kejadian yang enggan namanya didedahkan berkata, dia yang baru pulang menunaikan solat Zohor terkejut apabila melihat jiran wanitanya meraung sambil memangku tubuh suaminya.

Menurutnya, wanita berusia 40-an itu menjerit meminta tolong, namun tiada jiran berani keluar menghulur bantuan.

“Saya segera menghampirinya dan bertanya apa yang berlaku sebelum wanita itu memberitahu suaminya dibunuh sambil menunjukkan jari ke arah seorang lelaki tua tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Lelaki tua berseluar pendek paras lutut itu terkejut dengan kehadiran saya sebelum kelam-kabut melarikan diri dengan basikal,” katanya.

Menurutnya, lelaki tua terbabit yang menghadapi masalah mental kerap dilihat berkeliaran di sekitar kawasan itu pada waktu pagi dan petang tanpa tujuan.
“Saya tidak sangka dia tergamak melakukan pembunuhan kejam itu berikutan umurnya yang sudah tua selain dilihat tidak begitu agresif,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata siasatan awal polis mendapati mangsa mengenali suspek dan sering kelihatan berhampiran kawasan kejadian.

“Mangsa, Chen Woon Min, 47, difahamkan seorang penagih dadah dan menyewa di rumah berkenaan sebelum didatangi suspek dipercayai pemilik rumah itu.

“Dipercayai berlaku perselisihan faham dan suspek mengambil sebilah pisau lalu mengelar leher mangsa sebelum melarikan diri selepas melihat mangsa rebah berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek dikenali Fan San, 60, yang melarikan diri dengan menunggang basikal giat dilakukan dan pihaknya yakin dapat memberkas suspek dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.

‘Kekasih bukan alasan’

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

MELAKA: Seorang pembantu tukang masak dihukum penjara 24 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan merogol pelajar tingkatan dua, September lalu.
Hakim Ahmad Sazali Omar menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Jul Abdul Jalil, 27, yang beralamat di Taman Mutiara Sri Gading, Batu Pahat, Johor selepas meneliti semua fakta, rayuan dan hujah pendakwaan.

Bagi tuduhan pertama, Jul yang tidak diwakili peguam didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun enam bulan itu pada 20 September lalu, kira-kira jam 4.30 petang di dalam stor kedai di Kilometer 1256, Jalan Besar, Kampung Baru, Alor Gajah.
Bagi tuduhan kedua dia didakwa merogol mangsa sama, keesokannya, 21 September lalu, kira-kira jam 2 petang, di tempat sama.

Seterusnya Jul dituduh merogol pelajar terbabit sekali lagi pada 24 September lalu, kira-kira jam 3 petang di tempat sama.

Ketiga-tiga kesalahan dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan sehingga 20 tahun serta sebatan.

Ahmad Sazali menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan ia berjalan serentak bermula dari tarikh ditangkap.

Ia bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan saja.
Katanya, beliau hairan dan kecewa kes ‘rogol suka sama suka’ seperti itu kerap berlaku khususnya di Melaka meskipun sering dilaporkan, sekali gus menunjukkan seolah-olah orang ramai tidak takut.

“Satu perkara saya ingin nyatakan, mangsa pelajar sekolah dan masih di bawah umur, namun kamu yang berusia 27 tahun serta masih bujang mengambil kesempatan terhadapnya.

“Apapun alasan kamu sama ada mangsa teman wanita dan sebagainya, ia bukan alasan untuk melakukan perbuatan itu,” katanya.

Ahmad Sazali menegaskan bahawa sama ada mangsa suka atau tidak suka, mahupun setuju atau tidak dari segi undang-undang negara, melakukan seks dengan gadis bawah umur 16 tahun adalah satu kesalahan.

“Saya bukan bercakap dari sudut agama atau moral yang sememangnya satu kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya dilihat daripada fakta memang mangsa rela dan dia sepatutnya dipersalahkan.

“Namun, ini kes serius, tiga perbuatan rogol berlaku dalam masa empat hari,” katanya.

Mengikut fakta kes, mangsa (pengadu) berkenalan dengan tertuduh yang berasal dari Sabah menerusi laman web sosial pada 29 April lalu.

Kedua-dua mereka saling berhubungan sebelum tertuduh datang berjumpa mangsa pada 20 September lalu, kira-kira jam 4 petang.

No comments:

Post a Comment