Thursday, October 13, 2011

GANAS TAK GANAS ORANG MALAYSIA....BERANI SANGAT...ATAU IKUT HATI...JADI MAKSUD TERCAPAI....

'Harta ibu bernilai jutaan ringgit'


KHAIRUL ANAM menunjukkan surat tuntutan harta sepencarian ke atas bapa mereka di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Seramai 11 orang anak kepada seorang jutawan syarikat bas ekspres terkemuka di sini menuntut daripada bapa mereka harta sepencarian dipercayai bernilai jutaan ringgit milik ibu mereka yang telah meninggal dunia pada 2008.
Kesemua mereka memfailkan tuntutan ke atas Che Ibrahim Che Ismail, 56, yang merupakan pemilik syarikat bas Ekspres Mutiara di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 2 Oktober lalu.
Mereka ialah Khalilullah, 31; Tamtini, 30; Amalina, 29; Khairul Azhan, 28; Khairul Anam, 26; Khairul Adnin, 24; Salsabila, 20; Siti Nahwan, 18; Muhammad Atifuddeen, 16; Muhammad Amar, 11 dan Nurul Aufa, 13.
Ibu mereka, Paizah Mohd. Yusoff meninggal dunia pada tahun 2008 ketika berusia 49 tahun setelah koma selama empat tahun berikutan kemalangan jalan raya pada tahun 2004.
Mereka selaku plaintif menuntut harta sepencarian arwah ibu mereka bermula dari tarikh perkahwinan arwah dengan Che Ibrahim pada 22 Februari 1979 sehingga ibu mereka meninggal dunia pada 24 September 2008.
Kesemua plaintif turut mengemukakan notis permohonan untuk mendapatkan perintah interim secara ex-parte di mahkamah yang sama bagi menghalang defendan daripada melakukan sebarang transaksi terhadap harta sepencarian milik ibu mereka yang jumlahnya akan ditentukan kemudian.
Menurut penyata tuntutan harta sepencarian itu, arwah telah berkorban sepenuh jiwa dan raga mengharungi suka duka hidup berumah tangga bersama defendan sebagai teman yang membantu dan memberi dorongan sehinggalah defendan memperoleh kesenangan dalam hidup.
Sementara itu, anak sulung Che Ibrahim, Khalilullah ketika ditemui di sini semalam berkata, harta sepencarian ibu mereka itu bernilai jutaan ringgit.
Beliau berkata, harta tersebut meliputi kawasan tanah di sekitar Kota Bharu, Gua Musang dan Kuala Lumpur, beberapa rumah banglo dan bangunan serta syer di dalam Ekspres Mutiara yang didaftarkan atas nama Mutiara Pahim Sdn. Bhd.
"Tuntutan harta sepencarian ini dibuat bagi membolehkan ayah mengagihkan harta itu secara adil kepada kami semua kerana ia adalah harta arwah ibu yang menjadi hak kami adik-beradik dalam mewarisi pusaka tinggalan arwah," katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Khalilullah lagi, bapanya telah berkahwin dengan seorang wanita lain selepas empat bulan ibunya koma akibat kemalangan pada tahun 2004.
"Selepas ibu meninggal dunia kami telah bertanya perkara ini kepada ayah beberapa kali tetapi tidak diendahkan.
“Kami juga telah berusaha dengan pelbagai cara, antaranya dengan meminta bantuan bapa saudara ayah saya, tapi tidak berjaya.
"Setelah tiga tahun berusaha, kami tidak ada jalan lain dan inilah jalan yang terbaik," ujarnya.
Khalilullah juga berharap, bapanya yang juga penerima anugerah Jaksa Pendamai perlu menunaikan tanggungjawabnya terhadap anak-anak meskipun lelaki itu telah berkahwin dengan wanita lain.

Enam tumpas


MOHD. MOKHTAR (dua dari kanan) melihat senjata api yang dirampas daripada enam individu pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Kegiatan sekumpulan enam lelaki yang aktif melakukan samun menggunakan senjata api lumpuh apabila kesemuanya dapat ditahan dalam beberapa siri serbuan di sekitar bandar raya ini Selasa lalu.
Selain tangkapan ke atas suspek-suspek berusia di antara 26 dan 35 tahun itu, polis turut merampas beberapa bahan bukti yang dicuri seperi kereta, pistol, keris dan telefon bimbit.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, tangkapan itu dilakukan selepas polis menjalankan siasatan berhubung seorang lelaki berusia 55 tahun yang disamun suspek di sebuah pasar raya di Taman Universiti di sini pada pukul 9.30 malam 9 Oktober lalu.
Katanya, mangsa dan keluarganya yang sedang menuju ke kereta didatangi beberapa lelaki sebelum penyamun melarikan kereta jenis Mercedes Benz dan selaras senapang patah milik mangsa yang kesemuanya bernilai RM404,000.
"Polis yang menjalankan siasatan kemudian menemui kereta tersebut di kawasan Taman Ehsan Jaya, Ulu Tiram pada pukul 2.30 pagi keesokan harinya.
"Sehari selepas itu, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun pada pukul 5.15 pagi dan merampas sebuah kereta Honda CRV yang dicuri di Petaling Jaya, Selangor, 8 Oktober lalu," katanya.
Tambahnya, lapan jam kemudian polis menahan dua lelaki dan merampas kereta Nissan Teana, sepucuk pistol, sebilah keris, enam unit telefon bimbit, seunit iPod, sebuah komputer riba dan satu kamus elektronik di Taman Tampoi Indah.
Menurut Mohd. Mokhtar lagi, tiga lagi lelaki dapat ditahan di Taman Perling di sini pada pukul 4 petang dan pihaknya merampas senapang patah serta 10 butir peluru hidup, sebilah pisau, enam jam tangan, enam kamera, masing-masing sebuah komputer riba, televisyen, pemain cakera video digital (DVD) dan lapan telefon bimbit.
Kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih 1971), Akta Senjata 1960 dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Tersalah tilik ketika menyamun


KERAMBIT, pedang dan barang kemas antara yang dirampas daripada tiga penjenayah Indonesia yang ditahan dalam serbuan di Sungai Chua, Kajang pada 7 Oktober lalu.


KAJANG – Ketaksuban sekumpulan empat lelaki Indonesia bersenjatakan parang dan kerambit terhadap ilmu pelangkah yang dipercayai dapat melindungi penjenayah daripada ditahan tidak bertahan lama apabila tiga daripadanya dapat ditangkap di Sungai Chua di sini.
Suspek-suspek berusia lingkungan 30 dan 40-an tersebut ditahan pada pukul 9.05 malam, 7 Oktober lalu selepas polis menjalankan siasatan mengenai satu kejadian pecah rumah di Batu 14, Hulu Langat yang mengakibatkan mangsa kerugian RM8,000 sehari sebelum itu.
Difahamkan, ilmu pelangkah yang telah diwarisi sejak turun temurun oleh pengamalnya di Nusantara, merupakan ilmu gerak yang membuatkan seseorang itu percaya yang dia boleh ‘membaca’ keadaan sama ada membawa tuah atau malang jika hendak melakukan pecah rumah.
Dengan mengamalkan ilmu itu, suspek-suspek dipercayai serpihan ahli Geng Tong Gas itu dikatakan telah berjaya memecah masuk 15 buah rumah sejak enam bulan lalu.
Ilmu pelangkah memerlukan pengamalnya menyediakan sekeping kad sebesar tapak tangan dewasa yang mempunyai jadual berbentuk seakan-akan kalendar yang mempunyai tanda palang atau titik di setiap kotak-kotak tersebut.
Ia dipercayai sebagai tangkal atau azimat yang dikatakan dapat melindungi penjenayah melalui rasa gerak sama ada membawa tuah atau sebaliknya.
Bagaimanapun, kehandalan mereka tidak ke mana apabila kecekapan polis menyiasat kes itu mengatasi segala-galanya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, polis yang menjalankan siasatan di rumah mangsa kemudian dapat menemui beberapa bukti yang membawa kepada serbuan di rumah yang didiami suspek di Sungai Chua.
Katanya, selain tangkapan, polis dapat merampas beberapa barang curi seperti lima bentuk cincin, seutas gelang, sepasang subang, telefon bimbit, sembilan surat pajak, kad pelangkah, sebilah pisau kerambit dan kad Touch n’ Go.
“Modus operandi mereka ialah akan mengumpil pintu belakang untuk masuk sebelum menggunakan tong gas seberat 14 kilogram yang terdapat dalam rumah mangsa untuk memecahkan pintu bilik.
“Soal siasat mendapati, sebelum keluar menyamun, salah seorang suspek akan lihat dan baca tanda pada kad pelangkah sama ada berjaya atau tidak,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, siasatan awal mendapati suspek terlibat sekurang-kurangnya 15 kes pecah rumah dan barang-barang kemas yang dicuri kemudian akan dijual di kedai pajak gadai atau ditukar dengan barangan lain yang sama nilai sebelum dijual bagi mengelakkan daripada dikesan.
Suspek yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Wanita mati terjatuh dari tingkat 12


ANAK panah menunjukkan arah seorang wanita terjatuh lalu mati dari tingkat 12 flat Tun Dr. Ismail di Lobak, Seremban semalam.


SEREMBAN – Seorang wanita yang baru sehari keluar dari wad sakit jiwa Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 12 flat Tun Dr. Ismail, Lobak di sini kelmarin.
Mayat mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an itu dijumpai pukul 4.10 petang dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di tempat pembuangan sampah flat berkenaan.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Lim, 50, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah sebelum terdengar bunyi benda terjatuh berhampiran tempat pembuangan sampah.
“Saya terkejut apabila ternampak tubuh seorang wanita terbaring di situ sebaik menjenguk melalui tingkap. Saya kemudian memberitahu jiran sebelum menghubungi polis,” ceritanya ketika ditemui.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Md. Yusoff Awang ketika dihubungi memberitahu, mangsa yang berasal dari Senawang itu dipercayai datang ke flat berkenaan dengan sebuah kereta.
“Siasatan awal mendapati mangsa baru keluar dari wad sakit jiwa HTJ sehari sebelum dia ditemui mati akibat terjatuh,” katanya yang masih menyiasat kejadian yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut itu.

Gadis hilang ikut rakan Facebook


MOHD. SABRI bersama isterinya, Nur Hafizah Nordin (dua dari kiri) menunjukkan gambar Nurul Nur Syawaltie yang hilang dari rumah di Kangar semalam.


KANGAR – Seorang bapa runsing apabila anak perempuannya lari dari rumah dipercayai mengikut rakan lelaki yang dikenali melalui laman sosial, Facebook sejak tiga hari lalu.
Menurut Mohd. Sabri Samat, 35, kehilangan anaknya, Nurul Nur Syawaltie, 14, disedari apabila dia tidak pulang ke rumah selepas tamat waktu persekolahan di Sekolah Menengah Putra di sini Rabu lalu.
Ujarnya, dia kemudian menghubungi pihak sekolah, namun terkejut apabila dimaklumkan anak sulung daripada lima beradik itu rupa-rupanya tidak hadir ke sekolah pada hari berkenaan.
“Saya hanya menjumpai basikal anak saya yang ditinggalkan di taman perumahan di sebelah sekolahnya.
“Selepas menunggu hingga lewat malam, dia masih tidak pulang ke rumah dan berikutan itu saya membuat laporan di Balai Polis Kangar kira-kira pukul 1.30 pagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Dato Jaafar di sini semalam.
Mohd. Sabri berkata, dia mengesyaki kehilangan Nurul Nur Syawaltie ada kaitan dengan seorang lelaki berusia 20-an yang dikenali oleh anak gadisnya itu melalui Facebook.
“Sejak kebelakangan ini, dia kerap bermain Facebook dan sehari sebelum kejadian, saya terdengar dia berbual di telefon bimbit dengan rakan yang mengajaknya berjalan-jalan di Pulau Pinang,” ujarnya.
Malah, katanya, beberapa orang rakan sekolah Nurul Nur Syawaltie juga memberitahunya bahawa anaknya itu ada meluahkan rasa tidak gembira tinggal di Kangar melalui Facebook.
“Sebelum ini, kami sekeluarga menetap di Pulau Pinang lebih lima tahun ketika saya bekerja di sana dan kami baru setahun tinggal di Kangar,” ujarnya.
Ujarnya, dia percaya anaknya itu menghilangkan diri bersama seorang lagi rakan sekolahnya yang dikenali sebagai Amira.
Katanya, orang ramai yang berjumpa atau mempunyai maklumat mengenai Nurul Nur Syawaltie diminta menghubunginya di talian 016-4871042 atau balai polis berhampiran.

Sengat ikan pari dikeluarkan dari punggung selepas lapan tahun


CHE MOHD. NURUL menunjukkan sengat ikan pari yang dikeluarkan dari punggungnya. Bahagian sengat ikan pari (dalam bulatan).


DUNGUN - Derita seorang pemuda yang terpaksa menahan sakit ekoran disengat ikan pari di punggungnya sejak lapan tahun lalu, berakhir apabila sengat itu berjaya dikeluarkan melalui pembedahan di Hospital Daerah Dungun petang kelmarin.
Che Mohd. Nurul Che Anuar, 23, yang ditemui di Kampung Sura Gate di sini tidak menyangka sengat pari itu dapat dikeluarkan setelah pelbagai ikhtiar untuk mengeluarkannya sebelum ini gagal.
Katanya, dia disengat pari kira-kira lapan tahun lalu ketika duduk di Pantai Teluk Lipat di sini semasa melihat bapa saudaranya pulang daripada menangkap ikan.
Sejak itu, dia yang bekerja kampung terpaksa hidup dengan sengat pari di dalam badannya dan sakit pada saraf setiap kali melakukan kerja.

Sewa kereta seludup minyak


NOOR JANIHAN (kiri) memeriksa tangki minyak yang diubah suai pada salah sebuah kereta yang ditahan di Kampung Baru, Bukit Chabang, Padang Besar semalam.


PADANG BESAR - Penyeludup minyak dikesan sanggup menyewa kereta buruk pada kadar RM100 sehari bagi memastikan kegiatannya berjalan lancar.
Pemangku Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Perlis, Asisten Supritendan Noor Janihan Nanyan berkata, perbuatan itu dikesan dalam serbuan di Kampung Baru, Bukit Chabang dekat sini kira-kira pukul 10.45 pagi semalam.
"Penyeludup mengaut keuntungan besar dalam kegiatan menyeludup minyak bersubsidi sehingga sanggup menyewa kereta pada kadar itu," katanya di sini semalam.
Beliau berkata, dalam serbuan itu sebanyak 1,115 liter petrol diisi dalam lima tong dram dan satu tong plastik besar dan 347 liter diesel diisi dalam empat tong plastik hitam dan satu tong dram.
Menurutnya, kesemua bahan bakar bernilai RM20,568 dirampas dalam dua buah kereta yang disewa itu.
"Kami turut merampas dua pam mesin penyedut minyak yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyeludupan minyak," katanya.
Menurutnya, bahan api itu dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
Tambahnya, dua lelaki rakyat tempatan berumur antara 20 dan 30 tahun turut ditahan dalam serbuan itu.

Penyokong bola sepak laku provokasi didenda RM100




KUALA TERENGGANU – Gara-gara bertindak di luar kawalan, seorang penyokong bola sepak didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana menimbulkan provokasi pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Kelantan Isnin lalu.
Majistret Nor Azizah Yusof menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Fakri Makhtar, 21, (gambar) mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang berasal dari Seberang Takir di sini didapati telah membaling ketulan-ketulan ais batu ke arah penyokong pasukan Kelantan dan telah mengenai anggota polis yang sedang bertugas ketika itu.
Kesalahan tersebut dilakukan di tempat duduk Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini kira-kira pukul 11.30 malam pada 10 Oktober lalu.
Kes tersebut dikendalikan Pengawai Pendakwa, Inspektor V. Ravi.
Nor Azizah ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, tertuduh sebenarnya bernasib baik kerana hanya didakwa di bawah Akta Kesalahan Kecil yang hanya membawa hukuman denda RM100.
“Janganlah menjadi penyokong yang fanatik kerana ia hanya akan mencetuskan masalah kepada orang ramai. Saya sendiri tidak faham mengapa tertuduh boleh membaling objek kepada penyokong lawan,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Fakri ketika ditanya Majistret mengenai tindakannya itu hanya mampu tersenyum sebelum menjawab ‘saya tidak tahu’.
Dalam kejadian Isnin lalu, polis telah menahan seorang pemuda yang didapati telah mencetuskan provokasi sehingga hampir menimbulkan pergaduhan di antara kedua-dua pasukan.

No comments:

Post a Comment