Kereta termurah mahal di Bangladesh
DHAKA – Kereta buatan India, Tata Nano yang dilabel sebagai kereta termurah di dunia mula dijual di Bangladesh hari ini.
Namun, kereta kompak itu dijual pada harga hampir tiga gali ganda lebih mahal berbanding harga jualan di India.
Pengarah syarikat Nitol Motors yang merupakan pengedar tunggal Tata Nano di Bangladesh, Abdul Matlub Ahmad berkata, harga model asas Tata Nano di negara itu ialah AS$7,900 (RM24,707) kerana cukai import yang dikenakan oleh pemerintah.
Sedangkan di India, model sama cuma berharga sekitar AS$2,870 (RM8,975).
Tata Nano dianggap kereta yang amat ekonomi kerana menggunakan hanya satu liter minyak untuk perjalanan sejauh 25 kilometer. – AFP
Rakyat Singapura hutang saman
|
JOHOR BAHRU – Pihak berkuasa akan mengadakan lebih banyak sekatan jalan raya bagi mengutip lebih 417,500 saman trafik tertunggak atau purata 104 saman yang tidak dibayar setiap hari sejak tahun 2000 melibatkan kenderaan berdaftar di Singapura.
Saman yang dianggarkan bernilai puluhan juta ringgit itu adalah daripada 624,716 saman trafik yang telah dikeluarkan terhadap pemandu dari republik itu sejak tahun 2000.
Kebanyakan daripada saman itu melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju khususnya di Lebuh Raya Utara-Selatan, meletak kenderaan di tempat larangan dan memotong di garisan berkembar.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, sebahagian besar daripada saman itu atau 420,561 saman dikeluarkan oleh polis negeri itu.
“Jumlah saman yang belum dijelaskan di Johor adalah sebanyak 272,271 manakala bakinya melibatkan saman yang dikeluarkan di negeri-negeri lain,’’ katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat keselamatan dengan media Singapura di sini semalam.
Harga surat nikah ratusan ringgit
GEORGE TOWN – Tidak perlu ‘kahwin lari’, hanya perlu mendapatkan surat nikah mengikut negeri pilihan masing-masing daripada broker yang menyamar sebagai jurunikah.
Demikian taktik yang dijalankan sindiket pernikahan palsu yang didakwa semakin aktif di kawasan Seberang Perai, dekat sini sekali gus menjadikan pasangan pengantin tempatan termasuk Indonesia dan Myanmar sebagai mangsa.
Modus operandi sindiket yang dianggotai lelaki tempatan dan asing itu adalah dengan menawarkan khidmat urusan pengeluaran surat nikah kepada pasangan yang ingin berkahwin sama ada dengan rakyat senegara mahupun berlainan negara.
Malah difahamkan, seorang broker merangkap kadi dalam kumpulan terbabit akan meletakkan harga ratusan ringgit bagi setiap surat nikah yang dicetaknya sendiri.
5 RUKUN ISLAM
1. Mengucap dua kalimah syahadah.
2. Mendirikan solat.
3. Menunaikan zakat.
4. Berpuasa di bulan Ramadhan.
5. Menunaikan haji di Mekah bagi yang mampu.
6 RUKUN IMAN
1. Beriman dengan Allah subhanahu wa taala.
2. Beriman dengan para malaikat.
3. Beriman dengan kitab-kitab suci.
4. Beriman dengan para Rasul.
5. Beriman dengan Hari Akhirat.
6. Beriman dengan Qada' dan Qadar.
Tragedi balik kampung
KUALA KRAI – Kegembiraan tiga lelaki termasuk dua beradik untuk balik kampung bagi meraikan majlis perkahwinan ibu saudara mereka tidak bertahan lama apabila salah seorang daripadanya maut manakala dua lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan semalam.
Kejadian pukul 5.45 pagi di Kilometer 108, Jalan Kota Bharu-Gua Musang itu menyebabkan pemandu kereta jenis Perodua Myvi, Wan Mohd. Asyraf Wan Muhamed, 24, meninggal dunia di tempat kejadian manakala abangnya, Wan Mohd. Hafiz, 29, dan seorang sepupu mereka cedera ringan.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila kereta yang dinaiki tiga bersaudara itu bertembung dengan sebuah treler membawa muatan kelapa sawit dari arah bertentangan.
Pejabat Daerah Gombak diceroboh
GOMBAK – Pejabat Daerah, Tanah dan Galian Gombak yang terletak di Bandar Sultan Sulaiman di sini semalam dipecah masuk menyebabkan duit tabung kakitangan yang dianggarkan berjumlah lebih RM9,900 dilarikan penyamun.
Dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, sekumpulan tiga lelaki masuk ke dalam bangunan tersebut melalui tingkap tandas wanita aras bawah yang terletak di belakang bangunan lima tingkat itu.
Selepas berjaya memasuki premis itu, ketiga-tiga suspek menutup kamera litar tertutup (CCTV) yang terletak di aras bawah bangunan itu.
Budak lemas
LANGKAWI - Hasrat seorang kanak-kanak untuk memakai kasut baharu bagi menyertai persatuan kompang di sekolahnya berkecai apabila dia ditemui lemas ketika sedang mandi bersama lima rakannya di sebuah lombong pasir di Kampung Gelam, Kedawang di sini kelmarin.
Mayat Mohd. Aiman Ali, 12, ditemui pada pukul 6 petang di dasar lombong tersebut yang mempunyai kedalaman kira-kira tiga meter.
Bapa mangsa, Ali Akob, 49, memberitahu, dia berhasrat untuk membelikan kasut tersebut hari ini seperti yang diminta anak kelima daripada enam beradik itu.
"Bagaimanapun ia tidak dapat ditunaikan kerana arwah pergi terlebih dahulu. Saya reda dengan ketentuan takdir," ceritanya.
Mengimbau semula kejadian itu, Ali memberitahu, dia bergegas ke lombong berkenaan sebaik dimaklumkan oleh penduduk kampung pada pukul 5 petang. Jarak rumahnya dengan lombong berkenaan kira-kira satu kilometer.
"Sebaik tiba, saya lihat tiada sesiapa di situ lalu terus terjun ke dalam lombong tetapi gagal menemuinya kerana air keruh.
"Saya kemudian meminta bantuan sebelum mayat anak saya ditemui oleh pekerja tapak lombong dan penduduk kampung yang menyelam di dalam lombong itu," katanya lagi.
Tambahnya, dia tidak tahu anaknya mandi di lombong tersebut bersama rakan-rakannya kerana kebiasaannya arwah akan duduk di rumah sahaja selepas pulang sekolah.
Jel 10 tahun lacur gadis Vietnam
IPOH – Sepasang kekasih termasuk wanita warga Vietnam dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam setelah didapati bersalah terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia pada 2008.
Kong Kok Kyt, 32, dan Lee Vo Tu, 25, warga Vietnam yang hamil lima bulan didakwa memperdaya dua wanita Vietnam untuk melakukan aktiviti pelacuran di sebuah pusat karaoke di Kampung Koh, Sitiawan dari 19 Julai 2008 hingga 23 September 2008.
Sayang isteri selamatkan suami lumpuh
RANTAU PANJANG – Demi menyelamatkan suaminya yang menghidap strok daripada rentung, seorang isteri terpaksa mengheret lelaki itu kira-kira 30 meter keluar dari rumah mereka dalam satu kejadian kebakaran melibatkan enam rumah di pekan ini malam kelmarin.
Dalam kejadian pukul 8.50 malam itu, Rubiah Loman, 49, tidak ada jalan lain untuk menyelamatkan suaminya, Mohd. Rosdi Rashid, 49, setelah asap tebal memenuhi seluruh ruang rumahnya.
“Bagaimana cara saya mengheretnya pun saya tidak ingat. Keadaan sangat pantas dan saya hanya mencapai mana tubuhnya yang boleh. Setelah mengheretnya keluar, saya perasan kaki kanannya berdarah, mungkin akibat terlanggar atau terkena sesuatu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
No comments:
Post a Comment