Thursday, December 29, 2011

CURI.SAMUN..JUDI..PELACUR..DADAH.MENIPU SERTA RASUAH JADI PERKARA BIASA..MEREKA TAK PENDULI LAGI HALAL ATAU HARAM...AHLI NERAKA ATAU SYURGA...PATUTNYA TUGAS KERAJAAN MENTAKWAKAN RAKYAT...

Dakwah dengan penuh hikmah

Oleh Muhammad Nizam Ab Ghani

DA’ I atau pendakwah adalah golongan manusia yang memikul tanggungjawab yang berat dalam menyampaikan seruan Allah SWT. Seseorang yang bergelar da’i bukan sahaja perlu memiliki ketinggian ilmu pengetahuan dan petah berbicara di hadapan umat Islam bahkan mampu mempraktikkan setiap isi pengajaran yang disampaikan hingga ma’du (orang yang didakwah) berkeyakinan tinggi terhadap pengajaran berkenaan.
Salah satu aktiviti popular yang sering dikaitkan dengan pendakwah ialah sesi kuliah atau tazkirah. Mutakhir ini, program kuliah Subuh, Zuhur dan Maghrib semakin mendapat sambutan di kalangan umat Islam di negara ini. Jika selama ini program kuliah dan tazkirah hanya tertumpu di masjid dan surau sekitar taman perumahan, namun kini program kerohanian seumpama itu melebarkan sayap ke pejabat kerajaan sebagai satu inisiatif memupuk nilai Islam di kalangan penjawat awam.

Sesungguhnya medium penyampaian kuliah oleh da’i adalah satu mekanisme bagi mentransformasikan minda umat Islam supaya lebih prihatin dengan cara hidup Islam serta mewujudkan persekitaran yang mendapat keredaan Allah SWT. Oleh demikian seorang da’i sebagai ejen perubahan umat Islam wajar menitikberatkan budaya profesionalisme yang tinggi dalam setiap program kuliah yang disampaikan oleh mereka.

Sejajar dengan seruan supaya berdakwah dengan hikmah dan lemah lembut seperti ditegaskan dalam ayat 185 Surat An-Nahl maka tutur kata yang sopan dan mampu menambat hati pendengar kuliah adalah aspek yang penting dalam pelaksanaan gerak kerja dakwah. Bagi mencapai amalan dakwah secara hikmah dan berdiplomasi seseorang pendakwah harus memiliki tahap kesabaran yang tinggi dan sentiasa berlapang dada.


Selain itu, unsur emosi dan fanatik terhadap sesuatu mazhab atau ulama tertentu wajar diketepikan dalam setiap penyampaian kuliah. Alangkah ruginya jika berduyun-duyun komuniti Muslim di sesuatu kawasan memperuntukkan sebahagian masa mereka untuk menghadiri satu program pengisian kerohanian tetapi pulang dengan kehampaan apabila mendapati penceramah jemputan menggunakan kesempatan yang diberi untuk menyelar individu tertentu dan membuat kenyataan yang boleh mengelirukan umat Islam.

Berhubung perkara ini pendakwah tanpa mengira tahap kelayakan akademik mahupun usia dianjurkan supaya meneliti prinsip yang digariskan oleh Rasulullah SAW dalam mafhum sabdanya “berbicaralah dengan manusia berdasarkan taraf kecerdasan akal mereka”.

Seorang pendakwah berkesan pasti akan menyelidiki terlebih dahulu mengenai siapakah bakal hadirin yang akan mendengar pengajarannya. Langkah sedemikian akan membolehkan pendakwah berkenaan menggunakan bahasa sesuai dengan tahap pemahaman bakal pendengar kuliah atau tazkirah tersebut. Jika pendakwah tidak mengambil kira tahap kefahaman pendengar maka dikhuatiri kandungan pengisian ilmu yang disampaikan tidak mampu meresap ke dalam hati dan minda jemaah.

Pengalaman peribadi dialami penulis sendiri ketika mengikuti program kuliah di radio mahupun di masjid mendapati segelintir pendakwah gemar menyampaikan ceramah secara berjela-jela dan menggunakan contoh tidak relevan dengan topik disampaikan hingga mengambil masa terlalu lama.

Sebagai contoh bagi kuliah Zuhur yang mungkin bermula pada jam 1 tengah hari adalah sebaik-baiknya ditamatkan pada jam 1.45 tengah hari bagi memberi peluang secukupnya kepada jemaah untuk menunaikan solat fardu Zuhur sebelum kembali bertugas di pejabat pada jam 2 petang.

Justeru kepekaan seorang pendakwah terhadap keperluan mad’u amatlah penting, terutama dalam aspek pengurusan masa. Untuk mewujudkan tautan hati yang utuh antara pendakwah dan masyarakat yang mendengar pengisian pendakwah berkenaan maka adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk merancang dengan teliti modul atau teks kuliah yang akan disampaikan agar ia dilakukan secara efektif.

Pada keseluruhannya, kayu ukur sebenar kehebatan seseorang pendakwah bukanlah terletak pada ketinggian ilmu pengetahuan dimiliki atau sejauh manakah pendakwah itu dapat mencuit hati pendengar dengan lawak jenakanya, tetapi diukur melalui kebijaksanaan menyebarkan ilmu secara penuh hikmah dan tertib tanpa menyinggung hati pendengar.


Penulis seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik

3 pengarah kena dakwa

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Tiga pengarah syarikat pertanian termasuk wanita berusia 25 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan memperdayakan 12 individu melabur dalam skim ternakan ikan patin membabitkan RM1 juta, di Klang, dekat sini.
Tertuduh, Johar Arifin Baki, 45, S Suresh Kumar, 30, dan Auni Zafirah Abdul Rahim, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Slamat Yahya. Mengikut pertuduhan, ketiga-tiganya didakwa dengan niat bersama memperdayakan mangsa menyertai program ‘Farming Fish Fry in Cages’ dengan menjanjikan pulangan kepada pelaburan mereka. Ini mendorong peserta membayar wang ke dalam akaun syarikat Premier Reliance (M) Sdn Bhd untuk kegunaan syarikat Premier Agro Sdn Bhd (Premier Agro).

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di syarikat Premier Agro di No 19, Jalan Kasuarina 7, Bandar Botanic, Klang antara 15 Mei 2009 dan 3 Julai 2010.
Bagi pertuduhan ini, ketiga-tiganya didakwa mengikut Seksyen 366(3) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 366(3) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau RM30,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Shari’ah Abu menawarkan jaminan RM15,000 terhadap setiap tertuduh.

Beliau berkata, ini berikutan kes itu membabitkan 12 peserta skim pelaburan dengan pelaburan RM1.1 juta. Bagaimanapun, Suresh Kumar, Johar Arifin dan Auni Zafirah memohon jumlah itu dikurangkan berikutan mereka kini tidak mempunyai pekerjaan tetap dan perlu menyara keluarga.

Slamat membenarkan ketiga-tiga tertuduh bebas melalui jaminan RM12,000 dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah. Mahkamah juga menetapkan kes itu disebut semula pada 2 Februari depan.

Perdagang wanita

Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga India dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan memperdagangkan seorang wanita senegara dengan mengurungnya di sebuah rumah, empat minggu lalu.
S Murugan, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut pertuduhan, Murugan didakwa memperdagangkan Najimunisha Begam, 38, bagi tujuan eksploitasi dengan mengurungnya tanpa kerelaan dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa di Blok 57-7-14, Apartmen Pantai Indah, Pantai Dalam, di sini, pada jam 12.30 tengah hari, 8 Disember lalu. Dia yang tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 20 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar menawarkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin warga Malaysia berserta syarat iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan dua minggu sekali pada setiap bulan. Peguam V Rajehgopal yang mewakili tertuduh memohon jaminan itu dikurangkan kepada RM6,000 kerana anak guamnya tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar wang jaminan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin warga Malaysia berserta syarat yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 27 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Dua jaga tak mengaku samun rakan sekerja



PETALING JAYA: Dua pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menyamun rakan sekerja mereka, dua minggu lalu.
Tertuduh, V Kalimuthu, 33 dan V Parameswaran, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Raj Kumar, lelaki warga Nepal dengan melarikan telefon bimbit dan RM100 di Pusat Dagangan NZX, Jalan PJU 1A/43, di sini, pada jam 9 malam, 18 Disember lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zhafran Rahim Hamzah mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Peguam bela kedua-dua tertuduh, Siti Rohaya Mohd Tajudin merayu wang jaminan dikurangkan kerana kedua-dua mereka kehilangan kerja akibat kejadian itu. Hakim Yasmin Abdul Razak membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, gara-gara mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis, seorang penganggur didenda RM100.

Tertuduh, Rainus Juanis, 25, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Lans Koperal Daing Mohd Salleh Salim di tingkat lima, Blok D, Pangsapuri Bayu, Seri Kembangan di sini pada jam 8 malam, 23 Disember lalu.
Lelaki yang berasal dari Keningau, Sabah itu didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

2 dijel curi kabel elektrik



KUALA LUMPUR: Gara-gara menceroboh kawasan landasan rel transit aliran ringan (LRT) untuk mencuri kabel elektrik minggu lalu, dua lelaki dihukum penjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Majistret Parvin Natchiar Hameedah menjatuhkan hukuman selepas penjaga tempat meletak kereta, Ahmad Faizal Abdul Wahab, 31, dan pekerja restoran, Looi Wai Kong, 34, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Kedua-dua tertuduh itu didakwa menceroboh landasan LRT di bawah jejantas Jalan Loke Yew, Cheras di sini antara jam 9.40 pagi dan 1.40 tengah hari, 25 Disember lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, Looi turut dihukum penjara dua minggu selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan gagal menunjukkan kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri kepada polis ketika pemeriksaan.

Lelaki tersebut didakwa melakukan perbuatan tersebut di Balai Polis Pudu, Jalan Pudu, Cheras di sini pada jam 4.25 petang dan dituduh mengikut Peraturan 25(1)(n) Pendaftaran Negara 1990.

Peraturan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Parvin Natchiar memerintahkan kedua-dua hukuman yang dihadapi Looi berjalan serentak selain menetapkan tempoh penjara dua minggu yang turut dikenakan terhadap Ahmad Faizal berjalan dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada hari kejadian.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Sew Ping manakala kedua-dua lelaki terbabit tidak diwakili peguam bela.

Angkara tahi judi

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Gara-gara hobi gila suami ketagih judi, seorang wanita bimbang bakal hidup merempat selepas hampir separuh barang kemas tergadai manakala gaji bulanan suaminya habis berjudi.
Wanita berkenaan yang mahu dikenali sebagai Jasmine, 29, berkata, suaminya yang penyayang dan mengutamakan keluarga sepanjang 11 tahun berkahwin, mula mengabaikan keluarga selepas ketagih bermain mesin judi sejak setahun lalu.

“Dalam masa sebulan, suami yang juga kontraktor sambilan boleh menghabiskan sehingga RM20,000 di meja judi kerana hilang pertimbangan dan gagal mengawal ketagihan bertaruh.

“Saya yang risau dengan hobi gila suami pernah mengikutnya ke beberapa pusat judi haram di sekitar bandar raya ini dengan harapan dia berhenti, namun ketagihannya kian menjadi-jadi,” katanya, semalam.


Menurut Jasmine, jika tiada kontrak, suaminya yang dikenali sebagai Eddie, 31, bekerja di bengkel di bandar raya ini dengan pendapatan kasar RM2,000 sebulan.

Bekas pegawai rasuah didenda RM2j



SHAH ALAM: Seorang bekas pegawai kanan di syarikat telekomunikasi utama dihukum penjara empat tahun dan denda RM2.075 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah atas 14 tuduhan memperoleh rasuah RM415,000.
Hakim Asmadi Hussin membuat keputusan itu terhadap S Stanley, 40, selepas berpuas hati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Asmadi menetapkan hukuman penjara terhadap tertuduh yang berasal dari Kinrara, Puchong itu berjalan mulai semalam.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara 14 tahun jika gagal membayar denda.
Sepanjang perbicaraan, 16 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan tampil memberi keterangan.

Mengikut pertuduhan, Stanley didakwa memperoleh sogokan tunai itu daripada Nakhoda Sistem Sdn Bhd sebagai dorongan untuk memilih syarikat berkenaan sebagai pembekal kabel dan peralatan telekomunikasi kepada syarikat telekomunikasi berkenaan.

Dia yang ketika kejadian bertugas sebagai pegawai kanan pemerolehan syarikat telekomunikasi itu didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Taman Kinrara, Puchong, dekat sini, antara 13 Ogos 2007 dan 22 Oktober 2008.

Stanley didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam M Athimulan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya memandangkan anak guamnya bukan penjawat awam. Selain itu, katanya, tertuduh sudah tidak lagi bekerja dengan syarikat berkenaan dan menyara keluarga. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Sinti memohon hukuman setimpal kerana perbicaraan penuh sudah dijalankan.

Beliau berkata, mahkamah harus mengambil kira usaha kerajaan menubuhkan mahkamah khas rasuah. Asmadi membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman dengan menaikkan jaminan kepada RM250,000 daripada RM50,000.

Menurutnya, tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa untuk simpanan mahkamah dan dikehendaki melapor diri di balai polis berhampiran kediaman pada Ahad pertama setiap bulan. Selain itu, katanya, pihak pembelaan perlu memfailkan notis rayuan selewat-lewatnya hari ini

Janda keldai dadah

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

GEORGETOWN: Seorang janda beranak dua dari negeri ini menjadi keldai dadah terbaru apabila dijadikan umpan untuk membawa syabu sebelum dia ditahan sepasukan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), kelmarin.
Wanita berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 3 petang oleh sepasukan anggota polis cawangan narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya sejurus menjejakkan kaki di LTAPP.

Hasil pemeriksaan dalam beg pakaian yang dibawanya, polis menemui dadah jenis syabu seberat 3.7 kilogram (kg) dianggarkan bernilai hampir RM1 juta yang cuba diseludup wanita berkenaan.

Difahamkan, serbuan itu dilakukan susulan penahanan dua lelaki warga Nigeria berusia lingkungan 30-an di Kuala Lumpur dan seorang daripadanya dikatakan teman lelaki janda berkenaan yang cuba mengambil kesempatan menggunakannya untuk menyeludup dadah.


Siasatan juga mendapati, wanita terbabit berasal dari Pulau Pinang dan bekerja di Kuala Lumpur serta mengenali teman lelakinya itu melalui laman sosial di Internet.

No comments:

Post a Comment