Monday, January 16, 2012

BILA ZAMAN BERTAMBAH MODEN..WANITA SETARAF LELAKI KESAN PENDIDIKAN BARAT...MEMBERI KEBEBASAN BERGAUL...WANITA JUGA TURUT MELAKUKAN PENIPUAN DAN JENAYAH2 YANG LAIN..PELACURAN...PEREMPUAN SIMPANAN ITU BIASA...

Gadis Melayu paling ramai hilang



KUALA LUMPUR: Biarpun menunjukkan trend penurunan sejak dua tahun lalu, kes membabitkan orang hilang di negara ini termasuk gadis dilarikan ke Lombok tetap diberi perhatian Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membendung penularan masalah berkenaan.
Statistik Bukit Aman menunjukkan 3,283 kes dilaporkan sejak 2009 dengan 1,438 daripadanya dijumpai semula dengan 2,282 yang lain masih hilang dan tidak dapat dikesan sehingga kini.

Daripada pecahan itu, kaum Melayu mencatatkan jumlah tertinggi dengan 2,356 kes manakala Cina (143), India (351) dan bangsa lain 433 orang.
Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam), Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah berkenaan merangkumi kes orang hilang di dalam dan luar negara yang dilaporkan kepada polis untuk tindakan susulan.

Katanya, setakat ini bagi kes yang belum dijumpai, PDRM tetap meneruskan usaha menjejaki mereka dengan siasatan dilakukan sehingga selesai dan pihaknya memerlukan maklumat orang ramai untuk membantu mengesan individu berkenaan.

“Setakat ini, kami masih menyiasat semua kes yang dilaporkan dan mengemas kini maklumat sedia ada. Walau bagaimanapun, kerjasama orang awam diperlukan untuk membantu pasukan keselamatan mencari mereka.

“Polis menerima laporan kes di dalam dan luar negara termasuk kejadian wanita dilarikan ke Lombok, Indonesia. Bagaimanapun, segala siasatan dan tindakan bergantung kepada lunas peraturan sedia ada dan jika membabitkan negara luar, aspek perundangan juga perlu diambil kira,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika berurusan dengan mana-mana individu terutama warga asing kerana berdepan risiko dilarikan dan terbabit dengan kegiatan menyalahi undang-undang.
Katanya, PDRM juga menasihati masyarakat terutama remaja dan wanita supaya jangan mudah terpedaya dengan pujuk rayu atau tawaran lumayan kerana ia berkemungkinan perangkap untuk menggunakan mereka dengan alasan perkahwinan.


Dapur hangus angkara along

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Kalidevi Mogan Kumarappa
am@hmetro.com.my

HANGUS...mangsa mengalihkan tong gas yang rosak akibat dapur rumahnya dibakar along, semalam.
HANGUS...mangsa mengalihkan tong gas yang rosak akibat dapur rumahnya dibakar along, semalam.
KUALA LUMPUR: Gagal melunaskan hutang, seorang wanita yang juga peniaga berusia 39 tahun bukan saja diburu dan diugut along, tetapi rumahnya di Jalan Budiman, Bandar Tun Razak, di sini, turut dibakar kumpulan terbabit, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa yang tidur tiba-tiba tersedar selepas mengalami sesak nafas. Bagaimanapun, mangsa terselamat dan tidak cedera.

Menurut mangsa yang mahu dikenali sebagai Syarifah, semuanya bermula apabila dia yang tidur di biliknya terjaga selepas terhidu asap.
“Saya bergegas keluar dari bilik selepas mendapati rumah dipenuhi asap. Saya membuat pemeriksaan di dapur sebelum mendapati api marak.

“Apabila saya berlari ke ruang tamu, ia turut dijilat api,” katanya, semalam.

Beliau berkata, akibat panik dengan keadaan itu dia menjerit meminta pertolongan.

“Beberapa jiran yang mendengar jeritan saya memecah masuk rumah sebelum berusaha memadamkan api. Lima minit kemudian, sebuah jentera bomba dan penyelamat tiba untuk memadamkan kebakaran berkenaan,” katanya.

Katanya, selepas memeriksa keseluruhan kerosakan dialaminya, dia membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, di sini, dengan mengesyaki perbuatan khianat itu dilakukan kumpulan along.
Katanya, dia yang membuat pinjaman RM10,000 daripada dua along percaya kejadian itu berkaitan dengan mereka berikutan kegagalannya untuk membayar ansuran pinjaman RM700 seminggu sejak dua bulan lalu.

Beliau berkata, sebelum kejadian itu, dia menerima beberapa SMS berbaur ugutan selepas kegagalannya membayar pinjaman.

Sumber polis berkata, polis sudah merakam percakapan mangsa dan kini memburu kumpulan along terbabit bagi membantu siasatan.

Sebelum ini pada 27 Ogos tahun lalu, Harian Metro melaporkan kejadian malang yang menimpa wanita itu yang terpaksa melayan along di kelab malam semata-mata untuk memperoleh pinjaman daripada mereka.

Guru maut MPV nahas



KLUANG: Seorang guru wanita maut, seorang parah manakala empat yang lain cedera ringan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish yang dipandu seorang daripada mangsa dilanggar dari belakang dalam kejadian di Kilometer 58, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) menghala Johor Bahru, pada jam 4.15 petang kelmarin.
Mangsa, Zainun Maas, 44, antara enam peserta Program Usrah Perdana yang diadakan di Parit Raja, dekat sini, dan dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru.

Adik Allahyarham Zainun, Marina, 40, ketika ditemui di Hospital Kluang malam kelmarin berkata, arwah anak sulung daripada lapan beradik dan mengajar di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Taman Universiti, Skudai, serta masih bujang.
“Kali terakhir kami berjumpa pada Disember lalu selepas dia pulang dari China dan membelikan ole-ole untuk kami sekeluarga,” katanya.

Menurutnya, jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Raja, Kulai, malam kelmarin.

Bapa terbunuh kereta anak berlanggar



JERTIH: Seorang lelaki maut manakala tiga yang lain termasuk pemandu kedua-dua kereta parah apabila kenderaan dinaiki mereka bertembung dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Jertih-Kuala Terengganu, dekat Kampung Gong Penaga, Jabi, semalam.
Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Saarani Mat Yunus, 50, penumpang hadapan kereta Perodua Kancil yang dipandu anaknya, Norhadi Saarani, 30, dalam kemalangan jam 9 pagi. Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Zakaria berkata, kenderaan dipandu Norhadi dari Kuala Terengganu terbabas sebelum berlanggar sebuah kereta lain dipandu Wafiuddin Mohd Noor, 23.

“Norhadi yang berasal dari Jalan Maran, Temerloh, memasuki laluan kiri bagi mengelak lubang besar di jalan itu sebelum hilang kawalan lalu bertembung kereta dipandu Wafiuddin yang datang dari arah bertentangan pada sisi sebelah kiri,” katanya.
Menurutnya, pelanggaran itu menyebabkan Saarani yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kamaruddin berkata, Norhadi dan rakannya, Mohamad Shahrul Azlizan Burhan yang duduk di tempat duduk belakang cedera di kepala serta badan dan dikejarkan ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.

Difahamkan ketika kejadian itu, Mohamad Shahrul dalam perjalanan ke Jertih dari Temerloh bersama bapa tirinya dan rakannya manakala Wafiuddin bersama dua rakannya menuju tempat kerja mereka di Renek, dekat sini.

Sorok wang taruhan bawah meja



KUALA SELANGOR: Rahsia kemewahan empat beradik yang hidup ala ‘jutawan’ terbongkar apabila sindiket loteri haram yang dijalankan mereka ditumpaskan sepasukan pegawai dan anggota bahagian Risikan dan Operasi Bidang Keutamaan Keberhasilan Negara (NKRA) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sebuah rumah di Tanjung Karang, petang kelmarin.
Difahamkan, sindiket yang bergiat aktif sejak dua tahun lalu mengaut keuntungan sehingga RM1.5 juta sebulan dan aktif di Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Menurut sumber, dalam serbuan jam 6 petang hasil intipan selama dua minggu itu berjaya menahan empat individu terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia 30 hingga 50 tahun selain merampas wang RM19,000, mesin faksimili dan beberapa dokumen yang dipercayai digunakan untuk tempahan nombor taruhan.
Katanya, ketika serbuan, suspek yang menunggu keputusan loteri menyedari kehadiran polis cuba untuk meloloskan diri namun tidak kesampaian kerana rumah terbabit dikepung polis.

“Ada di antara suspek menyorokkan wang taruhan di bawah meja bulat dengan harapan wang berkenaan tidak dapat dikesan polis.

“Namun, hasil kecekapan kami, taktik suspek sia-sia dan wang berkenaan dirampas,” katanya.


Isteri patah rahang kerana alih telefon



KANGAR: Seorang lelaki bagaikan dirasuk syaitan apabila menumbuk dan menghempas muka isterinya dengan piano mainan anak mereka sehingga mangsa patah rahang kanannya selain cedera di muka dan badan dalam kejadian di rumah mereka di Taman Hijrah di sini, pagi kelmarin.
Kejadian menimpa mangsa, Yusliza Yusof, 25, itu berlaku pada kira-kira jam 9.45 pagi kelmarin apabila suaminya yang berusia 26 tahun berang kerana isterinya itu mengalihkan telefon bimbit miliknya yang dicaj di atas katil dalam bilik tidur mereka ke atas meja.

Lelaki itu menumbuk isterinya beberapa kali selain membaling muka mangsa yang juga seorang suri rumah dengan piano mainan anak mereka menyebabkan rahang kanan mangsa patah.
Tidak cukup dengan itu, suaminya yang bekerja sebagai atendan lori turut memukul kepala mangsa dengan botol tanpa belas kasihan.

Ibu suspek, Rohhana Sidek, 46, berkata, anak kedua daripada enam beradik itu memang seorang yang panas baran, malah dia sendiri pernah cedera dipukul anaknya itu.

Katanya, dia tidak menyangka apa yang berlaku ke atasnya sebelum ini menimpa pula menantunya yang berasal dari Kelantan itu. “Saya sedih dengan apa yang berlaku ke atas menantu saya dan membuat laporan polis sebagai pengajaran kepada anak saya itu kerana perbuatannya sudah melampaui batas,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, sebelum kejadian itu, suspek memarahi isterinya itu lalu berlaku pertengkaran sehingga menyebabkan dia bertindak ganas.

“Apa yang dilakukan terhadap isterinya yang baru dinikahi setahun lebih itu adalah sesuatu yang melampau dan tidak boleh diterima oleh semua pihak termasuk saya sendiri yang juga ibunya.
“Pada mulanya mereka bergaduh mulut dengan memaki hamun sebelum menantu saya meminta suaminya menceraikannya akibat kejadian berkenaan,” katanya.

Rohhana berkata, akibat berang dengan permintaan isterinya, anaknya kemudian menumbuk muka mangsa sebelum mencapai piano mainan anaknya yang kebetulan berada di situ sebelum membalingnya ke muka mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, berikutan kejadian itu polis menahan suspek tidak lama selepas menerima laporan.

Katanya, berdasarkan laporan, mangsa yang tidak tahan dipukul bertubi-tubi merayu dan menangis meminta dilepaskan tetapi suspek terus membelasah mangsa tanpa rasa belas kasihan.

“Siasatan mendapati badan mangsa lebam-lebam akibat dipukul, manakala rahang kanannya patah.

“Mangsa yang tidak tahan dengan serangan itu kemudian berjaya melarikan diri dari rumah dan mendapatkan bantuan orang ramai sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF),” katanya.

Suspek ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata.


6 jam pengsan sendirian



KUCHING: “Lebih enam jam saya pengsan akibat dipukul perompak dan terbaring di sudut sebuah pusat beli-belah di bandar ini, tanpa ada sesiapa menghulurkan pertolongan,” kata seorang mangsa jenayah samun yang kini trauma.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi Sabtu lalu itu, mangsa yang dikenali sebagai Omar, 25, mendakwa hanya sedar pada jam 7 pagi keesokannya dalam keadaan mata yang bengkak dan pandangan kabur sebelum menggagahkan diri menunggang motosikal pulang ke rumah.

Mengimbas kembali kejadian itu, Omar berkata, sebaik menutup gerai menjual minumannya di Jalan Astana, di sini, pada jam 11 malam (Jumaat), dia pergi menikmati hidangan lewat malam di restoran makanan segera berhampiran Jalan Tunku Abdul Rahman.
“Kira-kira jam 1 pagi, saya keluar dari restoran untuk mengambil motosikal yang diletakkan di tepi sebuah pusat beli-belah sebelum dipukul dengan objek tumpul dan diarahkan melutut.

“Dalam ketakutan, saya mengikut arahan perompak itu sebelum ditendang dan dipukul berkali-kali sehingga tidak sedarkan diri,” katanya.

Omar berkata, sebaik tersedar dari pengsan kira-kira enam jam kemudian, dia mengambil motosikalnya dan mendapati dompet mengandungi RM100 yang disimpan di poket hilang.

“Saya menunggang motosikal ke rumah dan sebaik tiba di rumah, saya dibawa ke klinik oleh seorang rakan yang bimbang melihat saya mengadu sakit dada selain lebam di muka dan luka di belakang telinga,” katanya.

Menurut Omar, dia hanya membuat laporan di Balai Polis Simpang Tiga, pagi kelmarin sebelum mendapatkan pemeriksaan kesihatan susulan di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti penjenayah terbabit.


Maut dilenyek rakan sendiri

Oleh Junaidi Ladjana
djuns@hmetro.com.my

MENGGATAL: Disebabkan terlalu mengantuk dan tertidur di laman rumah, seorang lelaki menemui ajal apabila dilenyek lori lima tan milik rakannya yang kebetulan mengundurkan kenderaan berat itu dalam kejadian di Kampung Lobou berdekatan Taman Flamingo, di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, Daniel Asau, 28, tidak menyedari rakan baiknya, Yuslee Kulah, 26, yang tertidur di belakang lori dan terus menggilis tubuh lelaki itu ketika mengundurkan kenderaan untuk ke tempat kerja pada jam 4.40 pagi.

Difahamkan, pemandu itu terkejut apabila mendapati dia seolah-olah melanggar sesuatu, sebelum mendapati rakannya menggelupur kerana parah di kepala dan badan.
Mangsa meninggal dunia beberapa minit kemudian.

Daniel berkata, dia tidak menyedari Yuslee tertidur di bawah bahagian belakang lori yang diletakkan di laman rumah kerana sebelum mengundurkan kenderaan, bapa saudaranya turut mengalihkan vannya di lokasi sama.

Katanya, ketika mengundurkan lori untuk ke tempat kerja bagi menghantar barang, dia berasa seolah-oleh melanggar sesuatu sebelum berhenti untuk memeriksa.

“Saya terkejut mendapati Yuslee terbaring berlumuran darah di bawah lori sebelum mengalihkan tubuhnya itu,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di rumahnya.

Mengimbas beberapa jam sebelum kejadian, Daniel berkata, dia melihat Yuslee berbual dengan adiknya di laman rumah jam 12 tengah malam.
Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan Yuslee tertidur di laman selepas adiknya masuk ke rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu

Dua janda ditahan

Oleh Adnan Mohamad
am@hmetro.com.my

KOTA BHARU: Dua bekas isteri seorang ejen insurans, Wan Hussin Wan Yusof, 52, yang melecur teruk di muka dan badan akibat disiram cecair dipercayai asid, Sabtu lalu, ditahan untuk membantu siasatan kes berkenaan, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng, berkata dua wanita berusia 31 dan 42 tahun itu ditahan berasingan di rumah masing-masing di Tumpat dan Kota Bharu jam 6 petang.

Katanya, dua lagi lelaki dipercayai terbabit serangan itu masih diburu, namun setakat ini motif serangan masih dalam siasatan.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Polis tidak mahu membuat sebarang spekulasi dan memberi peluang kepada pasukan penyiasat menjalankan tugas.

“Keadaan mangsa kini kritikal tetapi stabil dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis serah terima tugas kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Superintendan Amran Ramli di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, semalam.

Sebelum ini, jawatan berkenaan dipangku Deputi Superintendan Mit a/l Emong.

Semalam, Harian Metro melaporkan, Wan Hussin baru keluar dari kereta untuk membeli rokok disiram sejenis cecair dipercayai asid sehingga melecur teruk di muka dan badan.
Dalam kejadian jam 11.30 malam di Kampung Tendong, Pasir Mas, mangsa sempat menghubungi adiknya, Wan Sulaiman, 48, memaklumkan kejadian menimpanya sebelum dibawa ke HRPZ II oleh orang ramai.

Wanita khalwat nangis sepanjang bicara



KUALA LUMPUR: “Saya menyesali perbuatan pada pagi itu, sepatutnya saya berfikir lebih panjang sebelum ke rumah mereka walaupun hanya bertujuan untuk merancang percutian,” kata seorang setiausaha pejabat sebelum didenda RM2,500 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.
Wanita berusia 26 tahun itu berkata demikian dalam rayuannya di hadapan Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkhalwat dengan dua lelaki bukan Islam iaitu lelaki warga Nigeria, tahun lalu.

Dia yang hadir bersama bapanya didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Damai Jasa 2, Cheras, di sini pada jam 9.45 pagi, 22 Mei lalu.
Tuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 27(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ketika sebutan kes semalam, tertuduh yang tidak diwakili peguam dilihat menangis sepanjang prosiding dijalankan.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Amir Yahaya.

Terdahulu, Mohd Amir memohon mahkamah mengenakan hukuman wajar dan setimpal berikutan kesalahan dilakukannya adalah serius.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Mohd Amran turut menasihatkan tertuduh supaya bertaubat kepada Allah atas perbuatannya.
Menurutnya, kes berkhalwat perlu dibendung kerana permulaan perlakuan itu boleh membuka ruang kepada perbuatan maksiat lebih besar.

Ibu hamil tidur di lokap

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Seorang ibu mengandung tujuh bulan terpaksa bermalam di lokap malam tadi apabila tidak dapat mengemukakan jaminan selepas dituduh atas 52 pertuduhan membabitkan penggunaan cek palsu bernilai lebih RM1 juta di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Terdahulu, eksekutif akaun, Aliah Fadzilah Wan Abdullah, 38, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan terhadapnya yang dibacakan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin. Timbalan Pendakwa Raya Asma Nadiah Abd Rahman menawarkan wang jaminan RM500,000.

Bagaimanapun, Aliah Fadzilah yang dijangka bersalin pada April depan memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan sudah membayar ikat jamin RM200,000 kerana pernah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan lain.
Wanita itu juga mendakwa tidak memiliki pekerjaan tetap dan hanya bergantung kepada kerja separuh masa. “Tolong saya tuan,” katanya sambil mengalirkan air mata.

Aslam kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM150,000 dengan dua penjamin. Beliau berkata, Aliah Fadzilah dikenakan syarat tambahan perlu melapor diri ke balai polis berdekatan pada Sabtu pertama setiap bulan.

Bagaimanapun, katanya, wanita itu diberi kelonggaran tidak berbuat demikian dalam tempoh berpantang selama dua bulan selepas bersalin.

“Untuk hari ini (semalam), kamu terpaksa ditahan sementara di Balai Polis Seksyen 6 (Shah Alam) sebab tidak sempat untuk dibawa ke penjara,” katanya.

Ini kali ketiga dia didakwa di mahkamah.
Pada 21 September tahun lalu, Aliah Fadzilah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas 57 pertuduhan menggunakan cek palsu membabitkan kerugian bernilai RM4.5 juta. Ketika itu, tertuduh sudah mengandung empat bulan. Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Malaysia Plastics Sdn Bhd di Jalan Haji Abd Manan, off Persiaran Hamzah di Klang dan di Malayan Banking Bhd, No 101 Persiaran Perbandaran, di Seksyen 14, antara 1 Ogos 2009 dan 2 Februari 2010. Sebelum itu, pada 22 September tahun sama, wanita itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan memalsukan cek berjumlah RM1.35 juta, tiga tahun lalu.

Bagi 64 pertuduhan itu, Aliah Fadzilah dikenakan jaminan RM200,000. Pada prosiding semalam, wanita itu dilihat mengalirkan air mata sambil berkata, “Ini hanya nak memalukan saya,” ketika gambarnya dirakamkan jurugambar media.

No comments:

Post a Comment