Wednesday, January 18, 2012

KECUAIAN DATANG DARI KITA SENDIRI..BILA GOPOH GAPAH@TERGESA2..TAK MAU IKUT UNDANG2....EGO SERTA MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI...PADAHNYA DIRI SENDIRI JUGA PADA ORANG LAIN....

Salahkan doktor anak kudung

MOHD. HASMADI dan Umi Kalsum menunjukkan kaki kanan Nur Amani Nasuha yang telah kudung di rumah mereka di Kepong, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Impian sepasang suami isteri untuk menimang cahaya mata yang sempurna sifatnya tidak kesampaian selepas kaki kanan bayi perempuan mereka terpaksa dipotong tiga minggu selepas dilahirkan awal bulan lalu.
Walaupun reda dengan apa yang berlaku, ibu bapa bayi itu, Mohd. Hasmadi Mohd. Nor, 30, dan Umi Kalsum Baharuddin, 24, tetap terkilan kerana mereka mendakwa kakitangan Hospital Taiping yang merawat anak sulung mereka itu, Nur Amani Nasuha lambat bertindak sehingga menyebabkan pergelangan kakinya terpaksa dipotong pada 1 Disember lalu.
Mohd. Hasmadi berkata, kakitangan hospital mendapati jari kaki kanan Nur Amani Nasuha telah dijangkiti kuman dan bertukar menjadi biru seawal 19 November lagi.
“Pihak hospital mengambil masa dua minggu untuk memantau apa yang berlaku sehingga semuanya sudah terlewat dan kaki anak kami terpaksa dipotong.
“Kalau mereka cepat bertindak mungkin jari anak saya sahaja yang dipotong dan bukan pergelangan kaki, hancur luluh hati kami dibuatnya,” kata Mohd. Hasmadi kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya di Desa Aman Puri, Kepong di sini semalam.
Dia yang bekerja di kilang pemasangan kenderaan di sini memberitahu, Nur Amani Nasuha dilahirkan tidak cukup bulan pada 7 November tahun lalu di hospital itu dan ditempatkan di wad kerana masalah pernafasan.
“Saya lihat jururawat di situ mengambil sampel darah dan memberi suntikan antibiotik setiap hari di bahagian kaki kanan.
“Tapi pada 19 November, doktor memberitahu ibu jari serta dua jari lain kaki kanan anak saya bertukar biru akibat jangkitan kuman,” ceritanya.

Anak Datuk ditahan semula


SUSPEK diiring keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah semalam selepas mendapatkan perintah tahanan reman.


SUNGAI PETANI - Pemburuan polis sejak enam tahun lalu terhadap seorang lelaki yang melarikan diri ke Perth, Australia ketika dibebaskan sementara bagi membantu siasatan berhubung kes rogol dan bunuh seorang eksekutif pemasaran berakhir apabila suspek itu dapat ditahan kelmarin.
Jurujual kereta berusia 31 tahun itu ditahan petang kelmarin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Perth. Jarak di antara dua tempat itu kira-kira 6,760 kilometer.
Anak ahli perniagaan bergelar Datuk itu kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes rogol dan bunuh melibatkan seorang wanita, Chee Gaip Yap, 25, di kawasan perumahan Kelab Cinta Sayang di sini pada 14 Januari 2006.
Difahamkan, suspek bertindak melarikan diri ke luar negara ketika dia dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan ujian DNA. Sebelum itu, suspek ditahan bersama 11 lelaki warga asing di perumahan Aman Jaya di sini pada pukul 2 pagi 3 Februari 2006.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, polis telah cuba mengesan suspek yang bertindak melarikan ke Australia sejak tahun 2006. Dia kemudian memegang taraf penduduk tetap negara itu.
"Polis tidak pernah menutup kes ini dan sentiasa mengikuti perkembangannya setiap dua bulan," katanya.

Empat jadi korban nahas melibatkan tiga buah kenderaan


Keadaan kereta Perodua Kancil yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Sultan Mizan, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Empat terbunuh dengan seorang daripada mangsa tercampak sejauh kira-kira 10 meter daripada sebuah kereta yang ‘terbang’ dalam kemalangan ngeri melibatkan tiga buah kereta di Jalan Sultan Mizan berdekatan Taman Semarak di sini semalam.
Kemalangan pada pukul 6.30 petang itu melibatkan sebuah kereta Honda, Perodua Kancil dan Proton Persona.
Empat mangsa yang maut ialah Nor Azni Mat Jusoh, 21, dari Ajil dan rakannya, Mohd. Zaini Abdul Razak, 43, berasal dari Ayer Keroh, Melaka. Kedua-dua mangsa merupakan pemandu dan penumpang kereta Perodua Kancil.
Dua lagi mangsa yang terkorban ialah Mohd. Faris Mohd. Shaimi, 26, dan Mohd. Rizal Ibrahim, 30. Mereka merupakan pemandu dan penumpang kereta Honda.
Pemandu kereta Persona, Noriani Mohammad, 35, yang juga merupakan ibu tunggal tidak cedera.


Rotan jika salah, bukan belasah


ZULKEFLImenunjukkan laporan akhbar Kosmo! mengenai kejadian cucunya dibelasah sambil diperhatikan oleh isterinya, Rokiah Arshad di Teluk Intan semalam.


TELUK INTAN – Datuk kepada seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib di sini kecewa apabila cucunya yang mendakwa dipukul seorang guru sekolah kelmarin telah menjadi mangsa perbuatan pihak yang sepatutnya mendidik dan bukan bertindak di luar batas undang-undang.
Zulkefli Lope, 61, berkata, tindakan keterlaluan guru terbabit menyebabkan cucunya, Muhammad Ziqril Hakin Mohd. Farol pengsan dan terpaksa dirawat di Hospital Teluk Intan di sini.
Tambah mengecewakan Zulkefli ialah dia selaku penjaga pelajar itu hanya mengetahui kejadian tersebut daripada rakan sekelas Muhammad Ziqril Hakin selepas waktu sekolah.
“Sudahlah saya tidak dimaklumkan langsung, cucu saya itu pula ditinggalkan bersendirian di perhentian bas untuk pulang ke rumah selepas mendapat rawatan di hospital.
“Saya akui dia nakal sebab berkelahi di sekolah dan saya tak kisah dia dirotan tapi janganlah dibelasah sampai begitu sekali,” kata Zulkefli ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Batu 8, Jalan Changkat Jong di sini semalam.
Dalam kejadian kelmarin, Muhammad Ziqril Hakin mendakwa dipukul tiga kali di muka dan leher oleh seorang guru sehingga pengsan.
Kejadian pukul 12.30 tengah hari itu berlaku selepas pelajar berkenaan berkelahi dengan seorang pelajar lain hingga menyebabkan guru terbabit masuk campur.
Dalam pada itu, Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Mohd. Rauhi Mohd. Isa memandang serius kejadian tersebut dan telah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hilir Perak membuka kertas siasatan.

Bangunan di KL Sentral terbakar


KEADAAN bangunan yang dalam pembinaan terbakar di KL Sentral, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Sebuah bangunan pejabat setinggi 31 tingkat yang dalam pembinaan di KL Sentral di sini terbakar pagi semalam.
Kejadian yang dipercayai berlaku pada pukul 3 pagi melibatkan tingkat 30 dan 31 bangunan itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk di sekitar kawasan berkenaan.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, api merebak dengan cepat menyebabkan bahan binaan seperti kepingan kayu jatuh dan membahayakan orang ramai.
"Kita terima panggilan pada pukul 3.53 pagi dan seramai 95 anggota bomba serta 17 jentera dari balai bomba sekitar Lembah Klang dikejarkan untuk memadam kebakaran," katanya di sini semalam.
Katanya, bomba menghadapi kesukaran mengawal api dan terpaksa menggunakan perancah mulai aras 26 untuk naik ke tingkat atas bangunan itu dan api dapat dikawal kira-kira pukul 8.30 pagi.
Azizan berkata, laluan masuk ke Brickfields iaitu melalui Jalan Bangsar dan Jalan Tun Sambanthan terpaksa ditutup sehingga pukul 12 tengah hari untuk kerja-kerja pemadaman dan siasatan. - Bernama

Mati akibat dipukul


SALAH seorang daripada tiga suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan Idris kelmarin.


KOTA BHARU – Tindakan seorang lelaki yang membuat laporan mengatakan dia terlanggar sebuah motosikal hingga mengakibatkan penunggangnya terbunuh Ahad lalu membongkar satu rahsia apabila dia bersama dua lagi individu didapati telah memukul mangsa sampai mati.
Tiga lelaki berusia di antara 30 dan 40 tahun itu kini direman selepas ditahan malam kelmarin bagi membantu siasatan kes pembunuhan Idris Mamat, 54, di depan Masjid Badang di sini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Idris, dari Kampung Cabang Tiga, Kedai Buluh Padang, disahkan meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia di sini pagi kelmarin akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, rahsia itu terbongkar selepas polis menjalankan siasatan sebaik menerima laporan yang dibuat isteri mangsa, Zaiponi Lah, 41, kelmarin.
Katanya, menurut laporan itu, Zaiponi mengesyaki kematian suaminya adalah disebabkan dipukul, ditendang dan dipijak di badan serta kepala selepas kemalangan itu berdasarkan kecederaan yang dialaminya.

Pesalah trafik dipantau dari udara


LORI yang menggunakan lorong tengah dan memotong di tengah lebuh raya salah satu aksi yang dikesan melalui rondaan Unit Udara PDRM di Seremban semalam.


KUALA LUMPUR – Kalangan pengguna jalan raya sempena cuti Tahun Baru Cina tidak lama lagi diminta berhati-hati.
Anda bukan sahaja diperhatikan di jalan raya malah pemanduan anda akan dipantau melalui udara.
Itu amaran Pasukan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada semua pemandu kenderaan yang memandu pulang ke kampung halaman masing-masing mulai esok.
Pegawai Pasukan Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Deputi Superintenden S. Markandan berkata, kepakaran Unit Udara PDRM akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengesan kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh pesalah trafik.
Menurutnya, unit tersebut akan mengadakan beberapa rutin penerbangan sepanjang tempoh Ops Sikap dan bertindak sebagai unit sokongan kepada polis trafik.
“Unit Udara berhelipkopter akan bertindak segera terhadap pesalah trafik dengan mengambil gambar kenderaan dan nombor pendaftarannya.
“Maklumat tersebut akan terus disalurkan kepada anggota trafik yang bertugas untuk mereka menahan kenderaan itu,” ujarnya.

Kapal terbalik beralih kedudukan

KEDUDUKAN kapal pesiaran Costa Concordia di Pulau Giglio, Itali semalam.


PULAU GIGLIO, Itali - Para penyelamat yang mencari 20 orang yang masih hilang dalam tragedi sebuah kapal pesiaran mewah terbalik di sini menggantung operasi menyelamat, kata seorang jurucakap semalam.
Menurut jurucakap operasi itu, Luca Cari, tindakan tersebut terpaksa dibuat kerana kapal berkenaan, Costa Concordia didapati beralih kedudukan.
"Peralatan-perlatan menunjukkan bahawa kapal tersebut bergerak. Kami dalam proses untuk menilai jika menemui kedudukan itu terhenti bagi membolehkan kami menyambung semula (operasi tersebut)," katanya.
Kerja-kerja menyelamat itu dihentikan pada pukul 8 pagi waktu tempatan.
Jumlah kematian adalah seramai sebelas orang namun 20 lagi dipercayai masih hilang ekoran kejadian tersebut yang berlaku pada Jumaat lalu.
Kapal itu yang membawa lebih 4,000 penumpang terbalik selepas ia terlanggar batu.
Kapten kapal itu, Francesco Schettino telah ditahan di rumah dan berdepan dengan dakwaan melakukan pembunuhan besar-besaran.
Sementara itu, Schettino juga menafikan dia telah meninggalkan kapal berkenaan ketika ramai penumpang belum keluar sepenuhnya dari Costa Concordia.
Kenyataan itu dibuat oleh peguamnya, Bruno Leoratti.
Menurutnya, tindakan kapten kapal itu mengemudikan Costa Concordia ke pulau berkenaan selepas melanggar batu telah menyebabkan ribuan penduduk selamat. - Agensi

No comments:

Post a Comment