Tuesday, January 17, 2012

SEMUA INGIN KELIHATAN MUDA..INGIN SIHAT...JAGA KECANTIKAN..JAGA PENAMPILAN...JAGA GAYA HIDUP@JAGA STATUS DLL...TAPI TAK JAGA AKIDAH DAN TAK JAGA AGAMA ALLAH...BERJAYA JUGA SYAITAN MEMPERKUDAKAN KITA

Pelajar dakwa dipukul guru hingga pengsan


MUHAMAD ZIQRIL HAKIN telantar di atas pengusung di Hospital Teluk Intan semalam.



TELUK INTAN - "Kami berkelahi tetapi mengapa cikgu masuk campur dan pukul kami berdua sehingga saya cedera teruk."
Demikian luah seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Jalan Changkat Jong di sini yang mendakwa dia dipukul sehingga pengsan oleh seorang guru sekolah tersebut semalam.
Pelajar berkenaan, Muhamad Ziqril Hakin Mohd. Farol, 14, mendakwa, kejadian berlaku pada pukul 12.30 tengah hari ketika dia sedang bergaduh dengan seorang pelajar di sekolah tersebut.
"Saya terkejut kerana guru itu menerpa datang dan memukul kami berdua dengan tangannya. Saya dipukul sebanyak tiga kali di muka dan sekali di leher sehingga menyebabkan saya terjatuh.
"Saya tidak ingat apa-apa lagi selepas itu dan sedar-sedar saya sudah terbaring di atas katil di hospital. Saya cuma rasa sakit di tengkuk dan kepala saya," ceritanya ketika ditemui di Hospital Teluk Intan di sini semalam.

Guru lega dapat tukar sekolah



SITI MUNIROH menerima kunjungan Tengku Zainol (dua dari kiri) di kediamannya di Kampung Alor Buluh, Alor Setar, Kedah semalam.



ALOR SETAR – Seorang guru wanita yang mendakwa menjadi mangsa pukul suaminya yang panas baran kini boleh menarik nafas lega apabila dia dihubungi dua pegawai daripada Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sabah semalam yang memaklumkan permohonannya sedang diproses.
Siti Muniroh Mohd. Shukri, 31, berkata, panggilan pertama diterima daripada seorang pegawai daripada kementerian pada pagi semalam sebelum disusuli JPN Sabah pada sebelah petang.
“Kedua-dua pegawai memaklumkan permohonan pertukaran sekolah yang saya buat sedang diproses dan pihak JPN Sabah akan turun ke Putrajaya untuk berbincang tentang perkara ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Buluh, Jalan Datuk Kumbar di sini semalam.
Dia ditemui selepas menerima kunjungan daripada Yang Dipertua Persatuan Kerabat Diraja Kedah (PKDK), Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahya dan Pengerusi Yayasan Prihatin Kemiskinan dan Pendidikan Kedah, Zuraidi Rahim.
Kata Siti Muniroh, perkembangan mengenai permohonannya itu memberikan sedikit harapan untuknya menyambung semula tugas sebagai seorang guru Bahasa Melayu yang terhenti sejak Julai tahun lalu.
“Saya berasa lega sedikit dan nampak ada harapan berbanding sebelum ini yang kerap menemui jalan buntu setelah permohonan dibuat gagal,” katanya lagi.


Tersungkur dalam kebun durian



ANGGOTA polis menjalankan siasatan di tempat King Ying (gambar kecil) mati ditembak di dalam kebun durian di Jalan Paya Terubong, Pulau Pinang semalam.



GEORGE TOWN - Penglibatan seorang kepala gengster bergelar Geng 08 yang sangat dikehendaki atas jenayah pemerasan yang dilakukannya sejak beberapa tahun lalu berakhir dengan dia mati tersungkur di sebuah kebun durian selepas terkena tembakan polis semalam.
Mayat penjenayah yang digeruni di bandar ini, Chor King Ying @ Ah Jin, 52, ditemui dengan badannya terdapat kesan tembakan di kebun buah berkenaan yang terletak kira-kira 100 meter dari jalan utama di Jalan Paya Terubong di sini selepas kejadian berbalas tembak pada pukul 3 pagi itu berlaku.
Difahamkan, selain digeruni orang awam dan penjenayah lain, suspek amat dikehendaki kerana terlibat dalam tujuh kes peras ugut di kawasan kelahirannya di Air Itam di sini sejak beberapa tahun lalu.
Kejadian awal pagi itu berlaku apabila polis yang menjalankan rondaan terserempak dengan suspek yang memandu kereta jenis Kia Rio berwarna biru bersendirian dari Kampung Melayu, Air Itam dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, suspek kemudian memecut keretanya sebaik menyedari dia diekori oleh dua buah kereta peronda hingga ke lampu isyarat dekat Flat Green Garden. Jarak antara dua tempat itu kira-kira lima kilometer.

Buruh maut dihempap dinding konkrit, rakan parah



SEBAHAGIAN buruh melihat pasukan bomba mengeluarkan mayat Maksum yang mati dihempap dinding konkrit di Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam.



GEORGE TOWN - Seorang buruh binaan Indonesia menemui ajal dalam keadaan mengerikan apabila mayatnya ditemui dalam keadaan terlipat dua dengan darah memercik keluar manakala rakannya patah tulang pinggul selepas mereka dihempap dinding konkrit semalam.
Kejadian pukul 11.45 pagi di sebuah tapak pembinaan di Jalan Dato Ismail Hashim, Bayan Lepas di sini menyebabkan lelaki yang dikenali sebagai Maksum, 37, mati di tempat kejadian selepas dihempap selama 30 minit sebelum mayatnya dikeluarkan.
Rakan Maksum, Dany Setiawan, 24, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang apabila tulang pinggulnya patah manakala tulang kakinya retak. Seorang lagi rakan sekerja mereka, Imam Sundari, 20-an, terselamat.
Mereka sedang membuat kerja-kerja menampal simen pada tiang pondok pengawal sebelum kejadian itu berlaku.
Difahamkan, mangsa yang baru seminggu bekerja di situ cuba melindungi dirinya daripada dihempap dengan mengangkat kedua-dua kakinya ke atas tetapi gagal.

Teman lelaki dituduh bunuh kekasih



Manoharan diiring keluar dari Mahkamah Majistret Ipoh semalam selepas didakwa membunuh kekasihnya pada 31 Disember lalu.



IPOH – Misteri pembunuhan seorang wanita yang mayatnya ditemui dibalut dengan tilam di dalam belukar dekat perkampungan Orang Asli, Juang, Simpang Pulai, 31 Disember lalu bakal terjawab apabila teman lelakinya dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini semalam.
Penganggur, S. Manoharan, 50, dituduh membunuh Indeer Kaur a/p Jeswant Singh, 23, di sebuah rumah bernombor 22, Lapangan Perdana 26, Panorama Lapangan Perdana di sini di antara pukul 7 dan 10 pagi sebelum membuang mayat mangsa di dalam belukar.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tertuduh mencuri tumpuan mahkamah apabila secara tiba-tiba mengangkat tangan semasa pertuduhan ke atasnya dibacakan.
“Saya mahu mengaku bersalah sekarang juga jika (pertuduhan) ditukar kepada Seksyen 304 (Kanun Keseksaan). Kalau (tidak dipinda) saya tak mahu cakap (mengaku),” katanya.
Seksyen 304 ialah pertuduhan membunuh tanpa niat dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara, denda atau kedua-duanya sekali.

Sorok dadah di sekolah memandu



TUN HISAN (dua dari kiri) menunjukkan ganja yang dirampas daripada tiga lelaki pada sidang akhbar di Shah Alam, Selangor semalam.



SHAH ALAM – Rahsia besar seorang tenaga pengajar sebuah sekolah memandu yang bersekongkol dengan dua rakannya untuk menyembunyikan 79 ketulan mampat ganja bernilai RM526,600 di dalam premis tersebut terbongkar apabila diserbu Ahad lalu.
Tembelang itu terbongkar selepas polis menyoal siasat tenaga pengajar sekolah memandu tersebut yang ditahan ketika dia sedang berjalan kaki di Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE) Kuala Lumpur pada pukul 2 pagi hari yang sama.
Pemeriksaan kemudian menemui 1.9 kilogram ganja pada lelaki berusia 30 tahun itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, dua jam kemudian, polis menyerbu sekolah memandu yang terletak dekat Lebuh Raya Karak, Kuala Lumpur dan menemui 79 ketulan mampat ganja dengan setiap satunya dianggarkan seberat dua kilogram di dalam stor premis itu.
Difahamkan, ganja itu disembunyikan di dalam beg dan bungkusan kain.
Kata Tun Hisan, selain dadah bernilai lebih setengah juta ringgit itu, polis turut menahan dua lelaki berusia 33 dan 38 tahun yang juga rakan tenaga pengajar tersebut.
“Salah seorang mereka merupakan pengawal keselamatan warga Indonesia yang bekerja di premis itu manakala seorang lagi penganggur.
“Kita turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard milik penganggur tersebut dan kita sedang menyiasat dari mana dia mendapat sumber pendapatan sehingga mampu memiliki kenderaan mewah tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.


Remaja bisu, pekak didakwa curi motosikal



MOHAMAD Kamaru Shahrudin dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam atas tuduhan mencuri motosikal di sebuah masjid minggu lalu.



KOTA BHARU - Seorang remaja bisu dan pekak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas dakwaan mencuri sebuah motosikal.
Mohamad Kamaru Shahrudin Mohd. Sukeri, 21, dituduh mencuri motosikal jenis Honda C70 bernombor PBV 3944 bernilai RM500 milik Che Wil Che Mat, 51, di antara pukul 7.45 malam dan 8.30 malam 11 Januari lalu di Masjid Kubang Siput, Pasir Tumboh di sini.
Dia dituduh di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta denda.
Tertuduh yang tidak bekerja turut menghadapi pertuduhan pilihan iaitu menyimpan motosikal curi di lorong tepi Kedai Lantera Timur Enterprise, Lot 28, Simpang Empat, Pasir Tumboh.
Jika sabit kesalahan, dia yang berasal dari Kampung Paya Selor, Pasir Tumboh boleh dihukum di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Hati-hati semasa berbekam



SEORANG peserta kajian menjalani rawatan bekam yang dilakukan oleh Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM Kubang Kerian di Kota Bharu semalam.



KOTA BHARU - Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati menggunakan khidmat bekam pengamal perubatan alternatif bagi mengelak risiko penyakit berjangkit termasuk HIV dan AIDS.
Pensyarah Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Prof. Dr. Ab. Aziz Al-Safi Ismail (gambar kecil) berkata, peralatan seperti jarum yang digunakan dalam rawatan tersebut boleh mengundang jangkitan pelbagai penyakit berbahaya.
Menurut beliau, ia berikutan peralatan yang digunakan oleh pembekam tidak diketahui tahap kebersihannya malah ada yang menggunakan jarum sama berulang kali.
"Di mana-mana sahaja ada perkhidmatan berbekam pada masa sekarang tetapi kita harus bijak memilih, kerana jarum, pisau atau cawan yang digunakan apabila terkena darah pembawa pelbagai penyakit dan jika ia digunakan semula, penyakit itu boleh tersebar kepada orang lain.
"Saya harap pengamal perubatan alternatif ini supaya lebih bertanggungjawab dan memastikan peralatan yang digunakan benar-benar bersih supaya penyakit tidak disebarkan kepada orang lain," katanya ketika ditemui semalam.
Ab. Aziz berkata, beliau kini mengetuai lima pakar daripada universiti tersebut yang sedang menjalankan kajian secara saintifik mengenai kebaikan berbekam mengikut kaedah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.

Misteri pokok 3,500 tahun terbakar


API membakar bahagian dalam pokok berusia 3,500 tahun di Longwood, Florida kelmarin.


LONGWOOD, Florida - Beberapa anggota bomba menyatakan sebatang pokok yang berusia 3,500 tahun terbakar dan tumbang di tengah Florida pada Isnin lalu.
Punca pokok sipres itu terbakar yang setinggi 36 meter dan diberi nama jolokan Senator itu masih tidak diketahui.
Namun, seorang pegawai bahagian perhutanan memberitahu akhbar Orlando Sentinel bahawa ia mungkin sengaja dibakar.
Menurut seorang jurucakap Jabatan Bomba Seminole, Steve Wright, pokok tersebut terbakar selama beberapa jam.
Dia berkata, api itu terbakar dari dalam pokok berkenaan.
Anggota-anggota bomba tiba pada pukul 5.50 pagi dan menggunakan hos sepanjang lebih 240 meter untuk memadamkan kebakaran tersebut.
Wright berkata, satu bahagian pokok yang sepanjang enam meter tumbang pada pukul 7.45 pagi.
Beberapa pegawai taman hutan simpanan menyatakan pokok itu pernah mencecah ketinggian 50 meter sebelum bahagian atasnya 'dipotong' akibat puting beliung pada tahun 1925. - Agensi

No comments:

Post a Comment