Sunday, December 9, 2012

JIKA BERTEGAS DALAM BAB AGAMA KAN BAGUS...BUKAN BUKAN BAB KESALAHAN JALAN RAYA SAJA.

Denda RM20,000 jika ubah nombor plat elak AES

PENGGUNA jalan raya yang didapati mengubah suai nombor plat kenderaan bagi mengelak daripada disaman kamera AES boleh didenda sehingga RM20,000. - Gambar hiasan


KUALA TERENGGANU – Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan mengingatkan pengguna jalan raya supaya jangan cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan mengubah suai nombor plat atau berdepan hukuman berat.
Beliau menegaskan, pengguna jalan raya yang cuba mengelak daripada dikesan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) kerana memandu melebihi had laju atau melanggar lampu isyarat merah dengan mengubah suai nombor plat kenderaan boleh didakwa di bawah Seksyen 108 (3A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000,” katanya ketika ditemui di pejabat JPJ negeri selepas taklimat AES di sini semalam.

Gelisah selagi belum ditangkap


MARINA (kiri) dan Saad menunjukkan gambar Rozali ketika ditemui di rumahnya di Kuching semalam.


KUCHING - Pasangan suami isteri yang parah selepas dikelar oleh seorang bekas pekerjanya di restoran makanan Arab di Jalan Rubber di sini Jumaat lalu mengakui masih trauma dan takut untuk keluar rumah selagi suspek masih belum ditangkap.
Marina Julai, 42, memberitahu, setiap saat dia masih terbayang kejadian ngeri yang hampir meragut nyawanya dan suami, seorang lelaki Sudan, Saad El-Sir El-Sadiq terutama ketika hendak melelapkan mata.
Katanya, oleh sebab itu, dia terpaksa mengambil ubat tidur setiap kali hendak tidur.
"Saya risau jika perkara itu berulang ketika kami sedang tidur. Selagi suspek belum diberkas, selagi itulah hidup saya tidak tenteram.
"Sejak dibenarkan keluar hospital, saya terlalu takut untuk keluar rumah," cerita bekas jururawat di Hospital Pakar Mata King Khaled, Riyadh, Arab Saudi itu.

Mati terbaring atas katil bilik

SEPANG - Naluri seorang ibu yang berasa tidak sedap hati selepas anak lelakinya gagal dihubungi sejak kelmarin terjawab apabila pemuda itu ditemui mati dibunuh dalam kejadian samun di rumahnya di Jalan PP 2/22, Taman Putra Perdana di sini.
Mayat jurutera komputer di Cyberjaya, Selangor, Loh Min Lee, 36, ditemui pada pukul 6 petang oleh ibunya yang bergegas ke rumah mangsa selepas merasakan sesuatu telah menimpa anaknya. Mangsa tinggal bersendirian di rumah teres dua tingkat itu.
Difahamkan, ibu bapa mangsa yang tinggal di kawasan berhampiran biasanya pergi ke rumah mangsa setiap hujung minggu bersama pembantu rumah untuk membersihkan kediaman berkenaan.
Ketika ditemui, mayat Min Lee terbaring di atas katil di bilik tidur utama di tingkat atas.

Jumpa Dayah tapi bapa musykil


RAJA ROSLAN (kanan) dan Zarina gembira selepas Dayah (tengah) ditemui dalam keadaan selamat kelmarin.


KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri lega apabila anak dara mereka yang dikatakan hilang dilarikan pelesit rempit sejak 1 Disember lalu ditemui di sebuah bilik hotel di Jalan Tun Razak di sini namun pada masa sama terdapat persoalan yang belum dijawab berhubung penemuan tersebut.
Ketika Raja Nor Hidayah Raja Roslan, 16, atau Dayah diam seribu bahasa ekoran masih trauma dengan kejadian tersebut, bapanya, Raja Roslan Raja Ahmad Hadzrawi, 39, pula tertanya-tanya mengenai penemuan anaknya itu.
Selain Raja Nor Hidayah, turut ditemui di situ ialah dua lagi remaja perempuan berusia 15 dan 16 tahun serta tiga remaja lelaki berumur antara 16 hingga 19 tahun.
Polis menahan tiga remaja lelaki itu bagi membantu siasatan kes berkaitan gangguan seksual manakala dua remaja perempuan itu dihantar pulang.
Mengimbau semula hari yang paling mengembirakan buat dia dan isterinya, Zarina Zubir, 37, Raja Roslan memberitahu, dia mengetahui mengenai penemuan itu selepas dimaklumkan oleh polis supaya hadir ke Balai Polis Dang Wangi di sini untuk mengambil anaknya pada pukul 6.30 pagi semalam.

Terjun sungai lihat polis


ANGGOTA polis mengangkat mayat Khairul Azmi yang ditemui lemas di Bachok semalam.


BACHOK - Tindakan seorang lelaki terjun ke dalam sungai untuk melarikan diri daripada ditahan pihak polis mengundang padah apabila dia ditemui lemas di Sungai Tawang di sini semalam.
Kejadian pukul 10.30 pagi itu berlaku apabila Khairul Azmi Zulkifli, 26, berlari dan terjun ke dalam sungai yang terletak kira-kira 10 meter di belakang rumahnya sebaik sahaja melihat kehadiran polis di rumahnya.
Ketua Balai Bomba Daerah Bachok, Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, mayat Khairul Azmi ditemui pada pukul 12.10 tengah hari kira-kira 200 meter dari lokasi dia terjun.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Ab. Rahim Che Ghani memberitahu, pihaknya pergi ke rumah mangsa untuk menahannya bagi membantu siasatan kes tertentu.

Bekas Sarjan rugi RM1.46 juta


ANGGOTA polis menjalankan siasatan di rumah seorang ahli perniagaan yang dipecah masuk di Kuching pada 1 Disember lalu.


KUCHING – Kegembiraan seorang lelaki bercuti di Jakarta, Indonesia terbantut apabila dia mendapati wang sebanyak RM1.46 juta yang disimpan di dalam almari rumah teresnya di Taman Malihah, Matang di sini lesap semalam.
Ahli perniagaan merangkap kontraktor berusia 55 tahun tersebut menyedari kejadian itu sebaik tiba di rumahnya pada pukul 12.45 tengah malam.
Difahamkan, mangsa merupakan bekas anggota polis bantuan berpangkat Sarjan di Malaysia Airports Berhad (MAB) di sini.
Mangsa mendakwa wang itu disimpan di dalam beg dan ia merupakan wang yang dikumpul daripada keluarga besarnya sebelum berangkat ke Jakarta.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, mangsa terus membuat laporan polis selepas mendapati pintu bilik utamanya terdapat kesan pecah masuk dan wang yang disimpan di dalam almari lesap.

Morsi batalkan dekri cetus kemarahan penduduk

BEBERAPA penunjuk perasaan anti-Morsi berhimpun di luar Istana Presiden di Kaherah semalam.


KAHERAH - Sebuah blok pembangkang, Barisan Penyelamat Kebangsaan menyatakan tindakan Presiden Mesir, Mohamed Morsi untuk membatalkan dekri yang dibuatnya pada bulan lalu tidak memenuhi jangkaan untuk mengurangkan ketegangan di negara ini.
Morsi menarik semula dekri yang mengumumkan sebarang keputusan yang dibuatnya tidak boleh dicabar di mahkamah.
Bagaimanapun, Morsi menyatakan bahawa satu pungutan suara yang akan diadakan pada 15 Disember ini berhubung draf perlembagaan baharu akan tetap diteruskan.
"Salah satu tuntutan kami adalah untuk menangguhkan undian pungutan suara itu.
"Gagal untuk memenuhi tuntutan bagi menangguhkan undian tersebut akan menyebabkan lebih banyak konfrontasi berlaku," kata seorang pegawai blok pembangkang itu, Selim Al-Awa.
Menurut pihak pembangkang, draf perlembagaan itu mengabaikan kebebasan rakyat dan hak-hak wanita.
Beberapa kumpulan pembangkang memulaukan perbincangan berhubung isu tersebut.
Menurut Selim, jika undian pungutan suara tersebut menyebelahi Morsi, presiden berkenaan akan mengumumkan satu pilihan raya diadakan dalam tempoh tiga bulan untuk memilih anggota-anggota dewan perwakilan yang baharu.
Tindakan Morsi untuk melaksanakan dekri tersebut sebelum ini mencetuskan bantahan ganas sehingga menyebabkan tujuh orang terbunuh sejak dua minggu lalu.
Krisis itu adalah yang terburuk sejak Morsi menjadi presiden menerusi pilihan raya pada Jun lalu. - Agensi

Deejay radio diberi kaunseling


Mel Greig (kiri) dan Michael Christian.


SYDNEY - Dua orang penyampai radio stesen 2Day FM di sini menyembunyikan diri selepas tersiarnya berita bahawa mereka akan disoal siasat polis kerana menyamar sebagai pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II dan anakanda baginda, Putera Charles, menurut beberapa buah akhbar semalam.
Penyampai radio itu, Mel Greig dan Michael Christian melakukan penyamaran itu semasa menghubungi jururawat Hospital King Edward VII di London, England pada minggu lalu untuk mengetahui tentang keadaan kesihatan menantu ratu tersebut, Kate Middleton.
Kate dimasukkan ke hospital selepas dia mengadu berasa loya kerana mengandung anak kepada cucunda ratu tersebut, Putera William.
William yang merupakan pewaris kedua takhta Britain dan Kate berkahwin pada April tahun lalu.
Ekoran penyamaran itu, maklumat tentang kesihatan Kate dapat diketahui dan didedahkan oleh media.
Bagaimanapun, penyamaran itu telah menyebabkan jururawat tersebut, Jacintha Saldanha, 46, yang berketurunan India ditemui mati di kediaman yang disediakan pihak hospital dan dia dipercayai membunuh diri di sini pada Jumaat lalu selepas Kate dibenarkan keluar hospital selepas empat hari dirawat.
Beberapa orang rakan penyampai radio itu berkata, Greig dan Christian telah mengalami tekanan jiwa akibat perbuatan mereka.
Menurut mereka, kedua-dua penyampai radio itu turut mendapat khidmat kaunseling.
Seorang jurucakap syarikat Southern Cross Austereo yang memiliki radio itu menyatakan, Greig dan Christian disediakan perkhidmatan kaunseling bagi membolehkan mereka berdepan dengan situasi tragis tersebut.
Pihak syarikat itu turut menyuarakan kebimbangan tentang tahap kesihatan mental kedua-dua penyampai radio berkenaan selepas kejadian tragis itu berlaku, lapor akhbar The Australian.
Ekoran penyamaran itu dan kematian jururawat tersebut, kedua-dua penyampai radio berkenaan menerima kritikan daripada pelbagai pihak di peringkat antarabangsa.
Menurut akhbar dalam talian MailOnline, bapa Greig menyatakan, dia tidak tahu lokasi anaknya kini.
"Saya telah bercakap dengannya tetapi saya diberitahu supaya tidak memberitahu sebarang maklumat lagi," kata bapa Greig.
Punca kematian sebenar Saldanha yang merupakan ibu kepada dua orang anak masih belum diumumkan polis.
Bagaimanapun, ramai penduduk dari London sehingga Sydney membuat spekulasi bahawa dia mati kerana tekanan akibat memberitahu tentang keadaan kesihatan Kate kepada kedua-dua penyampai radio tersebut.
Polis Britain telah menghubungi pihak berkuasa Australia tentang kemungkinan untuk menyiasat tentang penyamaran tersebut.
Pengerusi Hospital King Edward VII, Lord Simon Glenartur menulis sepucuk surat kepada pengerusi kumpulan Southern Cross Austereo yang memiliki radio tersebut kelmarin bagi membantah tindakan kedua-dua penyampai radio tersebut.
"Ia merupakan sesuatu yang amat bodoh kerana para penyampai radio cuba untuk menipu," katanya.
Dalam perkembangan sama, pihak syarikat yang memiliki radio itu juga akan mengkaji semula dasar-dasar penyiarannya selepas kematian jururawat itu.
Pengerusi syarikat itu, Max Moore-Wilton berkata, pihaknya mengambil beberapa langkah terkini dan sedang mengkaji proses penyiaran radio berkenaan.
Menurutnya, kejadian tersebut amat dikesali dan tidak dapat dijangkakan.
Suami jururawat itu, Ben Barboza, 49, yang merupakan seorang akauntan menyatakan hatinya berkecai ekoran kematian isterinya itu dalam keadaan tragis.
Dalam laman Facebook, anak perempuan jururawat itu, Lisha yang berusia 14 tahun menyatakan dia amat merindui ibunya.
Sebelum ini, kedua-dua penyampai radio itu telah meminta maaf ekoran kejadian tersebut. - Agensi

Gajah terperangkap di kawasan berlumpur


DUA pegawai perhutanan menunggang dua ekor gajah mendekati seekor haiwan itu yang terperangkap di kawasan berlumpur di daerah Goalpara kelmarin.


NEW DELHI - Seekor gajah terperangkap di kawasan berlumpur di daerah Goalpara, timur India sejak Rabu lalu.
Beberapa pegawai perhutanan yang tiba kelmarin melakukan kerja-kerja untuk menyelamatkan haiwan itu sehingga semalam.
Haiwan tersebut diberikan vitamin bagi mengelak ia menjadi lemah selepas gajah berkenaan terperangkap.
Beberapa ekor gajah jinak digunakan untuk menyelamatkan haiwan tersebut.
Salah seekor gajah jinak menarik gajah yang terperangkap tersebut dari kawasan berlumpur itu dengan menggunakan tali.
Bagaimanapun, usaha itu masih belum mampu untuk menarik gajah tersebut keluar dari kawasan berlumpur. - Agensi

Van dijadikan 'restoran' minuman teh


HOLMES berdiri di depan vannya yang dijadikan 'restoran' minuman teh di London pada 5 Disember lalu.


LONDON - Seorang wanita sanggup berhenti kerja dalam bidang pengiklanan semata-mata untuk menjual minuman teh dengan menggunakan sebuah van di sini.
Wanita itu, Emilie Holmes membelanjakan sebanyak £10,000 (RM16,035) untuk mengubah suai van Citroen H keluaran 1974 untuk dijadikan 'restoran' teh bergerak.
Holmes tidak membuat pinjaman bank untuk tujuan melakukan pengubahsuaian van itu.
Dia menyiarkan rancangannya untuk membuka perniagaan teh itu di laman Kickstarter di internet.
Laman itu menyediakan kemudahan untuk orang ramai membantu membiayai perniagaan seperti Holmes.
Wanita tersebut berjaya memperoleh £14,000 (RM22,449) dalam tempoh 25 hari.
Holmes memperoleh sumbangan daripada 372 orang di laman tersebut.
Bagaimanapun, dia tidak perlu membayar balik wang tersebut. - AFP

No comments:

Post a Comment