102 pelarian Rohingya ditahan dalam kelesuan
TELUK BAHANG - Hasrat kira-kira 120 pelarian Rohingya ke negara ini untuk mendapatkan perlindungan dan pekerjaan terbantut apabila 102 orang daripada mereka ditahan pihak berkuasa ketika cuba menyembunyikan diri di dalam hutan Taman Negara Teluk Bahang di sini semalam.
Mereka yang terdiri daripada 64 lelaki, 20 wanita serta 18 kanak-kanak berusia dalam lingkungan setahun hingga 70-an ditemui berkeliaran di tiga lokasi berasingan iaitu di Pantai Teluk Kampi, Hutan Taman Negara Teluk Bahang dan Hutan Simpan Pantai Acheh, Balik Pulau di sini kira-kira pukul 3 petang dan 7 malam.
Pelarian terbabit dikatakan mendarat di Pantai Teluk Kampi pada pukul 11 malam kelmarin setelah belayar dari Myanmar selama 13 hari dengan menaiki sebuah bot pukat tunda yang dipandu seorang rakyat tempatan.
Bot yang mereka naiki dengan caj mencecah ratusan ringgit seorang itu dikatakan telah mengalami kebocoran sebelum tersadai di pantai berkenaan.
Semasa ditahan, kesemua pelarian terbabit dilihat berada dalam keadaan keletihan memandangkan mereka dikatakan sudah tiga hari tidak menjamah makanan.
Polis sahkan Psy terima ancaman bunuh
|
TASEK GELUGOR - Polis Pulau Pinang mengesahkan wujud ancaman bunuh ke atas penyanyi rap terkenal Korea Selatan, Psy ketika penyanyi tersebut datang membuat persembahan sempena Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baru Cina Barisan Nasional di padang Kolej Han Chiang, George Town pada 11 Februari lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, ancaman itu diterimanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh seseorang yang tidak dikenali.
"Pada 10 Februari lalu, lebih kurang pukul 8 malam iaitu sehari sebelum penyanyi itu membuat persembahan, kita terima satu SMS daripada pengurusnya yang memberitahu ada ancaman bunuh ke atas penyanyi itu.
"Dalam SMS itu juga, pengurus Psy meminta kawalan keselamatan ketat diberikan kepada penyanyi tersebut semasa beliau tiba di lapangan terbang sehinggalah pulang," katanya di sini semalam.
Rafflesia terancam di Lojing
JELI - Bunga terbesar di dunia, Rafflesia (Rafflesia kerrii) yang juga dikenali sebagai bunga pakma dan menjadi ikon kepada Tanah Tinggi Lojing dikhuatiri terancam berikutan penggondolan rakus khazanah alam di tanah tinggi itu.
Walaupun kerajaan Pas Kelantan mewartakan seluas 550 hektar kawasan tanah tinggi itu sebagai kawasan pemuliharaan Rafflesia pada 2009, namun disebabkan tiada pasukan pemantau diwujudkan, perkembangan yang berlaku di kawasan tanah itu semakin membimbangkan para pencinta alam.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Zulhazman Hamzah berkata, melalui Ekspedisi Saintifik Tanah Tinggi Lojing pada April 2008, pihaknya mendapati tanah tinggi itu kaya dengan tumbuhan tersebut.
"Bunganya lebih besar daripada yang dilihat di Sabah dan Sarawak malah disebabkan jumlahnya yang banyak, bunganya boleh dilihat setiap hari.
"Ada di satu kawasan terdapat 120 kudup bunga berkenaan dan khazanah berharga ini kita khuatir bakal menerima nasib buruk jika kawasan ini turut diteroka," katanya kepada pemberita di UMK Kampus Jeli di sini semalam.
Ketua pencuri kenderaan tewas
IPOH – Ketua penjenayah curi kenderaan mewah bergelar Geng Farid yang bermaharajalela di Manjung sejak dua tahun lalu mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Ayer Tawar, Sitiawan dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 4 pagi, Farid Abdul Hamid, 25, yang menjadi buruan polis kerana dipercayai terlibat dalam sembilan kes curi kereta mewah dan satu kes bunuh mati di tempat kejadian akibat terkena tiga das tembakan di beberapa anggota badan.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam berkata, sebelum kejadian, sepasukan polis yang membuat rondaan di pekan Sitiawan dekat sini terserempak dengan suspek yang memandu kenderaan Naza Citra menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Polis cuba memeriksa kenderaan itu namun suspek memecut laju menyebabkan polis mengejar sejauh lima kilometer sehingga tiba di satu selekoh di Taman Sungai Wangi, Ayer Tawar sebelum kenderaan itu terbabas,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini semalam.
Menurut beliau, suspek keluar daripada kenderaannya yang terbabas sambil melepaskan satu tembakan yang mengenai cermin kereta peronda polis sehingga pecah.
Bagi mempertahankan diri, polis membalas dengan melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan suspek terkorban.
Kedai depan pondok polis dirompak
GOMBAK – Dua penjenayah bagaikan mencabar kewibawaan polis apabila mereka bertindak berani merompak dan melarikan tiga dulang berisi sejumlah rantai leher dianggarkan bernilai RM200,000 daripada sebuah kedai emas yang terletak hanya kira-kira 20 meter dari Pondok Polis Selayang Baru di Jalan 11 B, Selayang Baru di sini semalam.
Semasa kejadian pada pukul 10.15 pagi, seorang pemuda, Mohd. Zaki Alias, 23, nekad mengejar kedua-dua perompak itu sejauh 100 meter sebelum bergelut dengan suspek yang bersenjatakan parang selepas kejadian rompakan itu tidak disedari anggota polis yang bertugas di pondok polis itu.
Mohd. Zaki, seorang saksi yang melihat rompakan itu berkata, sebelum kejadian dia yang berada di kedai emas milik abangnya yang terletak sebelah kedai emas yang dirompak terkejut apabila mendengar bunyi kaca pecah tiga kali sebelum diikuti jeritan meminta tolong.
Curiga dengan bunyi tersebut, Mohd. Zaki menjenguk kedai emas sebelah sebelum ternampak dua lelaki bertopi keledar dengan seorang memegang parang cuba melarikan diri sambil membawa sebuah beg kecil dipercayai berisi rantai leher yang dirompak.
Dua peragut pramugari diberkas
|
|
PETALING JAYA - Hasrat dua pemuda berjoli selepas berjaya meragut beg tangan seorang pramugari AirAsia X warga Jepun tidak kesampaian apabila mereka bukan saja dicekup tetapi turut cedera terlibat dalam kemalangan tidak jauh dari lokasi mereka melakukan jenayah di Jalan Persiaran Kewajipan dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, sebelum kejadian pukul 12 tengah hari, dua lelaki yang menaiki motosikal menghampiri mangsa yang berjalan kaki dari arah belakang sebelum menarik beg tangan wanita itu.
"Selepas mendapat beg itu, dua penjenayah terbabit terus melarikan diri tetapi nasib mereka malang apabila motosikal yang dinaiki berlanggar dengan dua buah kereta iaitu Perodua Myvi dan Renault Kangoo hanya kira-kira 50 meter dari tempat mereka melakukan jenayah," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut beliau, orang ramai yang mendengar jeritan mangsa yang kehilangan beg tangannya terus menangkap kedua-dua lelaki yang cedera selepas terlibat dalam kemalangan.
Peluang kedua buat si muflis
KUALA LUMPUR - Individu yang muflis atau bankrap perlu diberi peluang kedua untuk memulakan kehidupan baharu dengan mendapat pelepasan insolvensi secara automatik dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun.
Itu adalah antara cadangan yang digariskan dalam draf resolusi bagi meminda Akta Bankrap 1967 hasil perbincangan dalam Forum Muflis Atau Bankrap..Anda Masih Ada Peluang Kedua! yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini semalam.
Forum tersebut dianjurkan Pemuda UMNO dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia.
Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pindaan tersebut perlu setelah mempertimbangkan akta sedia ada yang dianggap sudah tidak relevan selepas mengambil kira pandangan serta cadangan daripada golongan muflis atau bankrap.
"Kita sering mendengar aduan golongan ini yang memaklumkan, mereka tidak mendapat pembelaan sewajarnya dan sering ditindas institusi perbankan, selain menjadi mangsa penipuan.
"Justeru, Pemuda UMNO mengambil inisiatif membantu golongan berkenaan dengan memberi peluang kepada mereka untuk menyuarakan cadangan berdasarkan pengalaman sendiri," ujarnya pada sidang akhbar selepas menggulung sesi forum tersebut.
Beruang, kuda mati di Zoo Melaka
MELAKA – Zoo Melaka dan Safari Malam Ayer Keroh yang selama ini menjadi tumpuan ramai digemparkan dengan kematian seekor beruang matahari betina dan seekor kuda jantan dipercayai akibat diracun.
Ia dipercayai berpunca daripada perbuatan pihak luar yang memberi makanan yang dicampur racun kepada haiwan terbabit.
Dalam kejadian pertama pukul 5 petang kelmarin, kematian beruang matahari betina berusia 14 tahun itu disedari seorang pelawat yang melihat haiwan itu duduk dalam keadaan telangkup dengan seekor beruang lain menindih badannya.
Pegawai Veterinar Zoo Melaka, Dr. Zubaidah Kamarudin memberitahu, selepas pelik dengan kedudukan beruang tersebut, pelawat terbabit memberitahu seorang kakitangan zoo.
“Selepas dimaklumkan kejadian tersebut, kakitangan zoo yang memeriksa beruang matahari berkenaan mendapati ia sudah mati,” katanya ketika ditemui di Zoo Melaka dan Safari Malam Ayer Keroh di sini semalam.
Banjir kilat terburuk landa Puchong
PUCHONG - Beberapa buah kenderaan terperangkap selepas ditenggelami banjir kilat sedalam 1.5 meter berhampiran pusat beli-belah IOI Mall di Bandar Puchong Jaya di sini semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul berkata, hujan lebat tanpa henti sejak pukul 4.30 petang menyebabkan kawasan itu ditenggelami air.
Bagaimanapun, menurutnya, kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa.
"Bomba menerima panggilan pada pukul 5.30 petang dan setibanya anggota ke lokasi mendapati beberapa buah kenderaan telah ditenggelami air.
"Punca air naik begitu cepat adalah disebabkan banjir kilat dan hujan lebat tanpa henti sejak pukul 4.30 petang," katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, banjir di kawasan itu surut kira-kira pukul 6 petang.
"Banjir kilat sedalam 1.5 meter itu merupakan pertama kali melanda kawasan Bandar Puchong Jaya sejak beberapa tahun lalu dan ia boleh dikatakan agak teruk kerana melibatkan kerosakan beberapa buah kenderaan," katanya lagi.
Saintis dakwa temui serpihan tahi bintang
|
MOSCOW - Sepasukan saintis semalam mendakwa yang mereka telah menemui serpihan tahi bintang yang jatuh di Pergunungan Ural, Rusia selepas mencetuskan gelombang yang menyebabkan 1,200 orang cedera dan beribu-ribu buah rumah rosak.
Batu angkasa lepas gergasi itu meluncur di langit bandar Chelyabinsk, tengah Rusia pada Jumaat lalu dengan tenaga bersamaan 30 butir bom atom yang digugurkan ke bandar Hiroshima, Jepun pada Perang Dunia Kedua.
Tahi bintang tersebut meletup beberapa kilometer dari Bumi tetapi serpihan-serpihannya dipercayai bertaburan di serata rantau tersebut.
Sebelum ini, sekumpulan petugas yang memeriksa sebuah tasik kecil di mana serpihan-serpihan tahi bintang itu dipercayai jatuh gagal membuat sebarang penemuan.
Namun, sepasukan saintis Akademi Sains Rusia yang melakukan beberapa ujian kimia ke atas beberapa batu aneh kelmarin berkata, serpihan itu datang dari angkasa lepas.
"Kami mengesahkan bahawa beberapa partikel yang ditemui oleh pasukan ekspedisi kami berhampiran Tasik Chebarkul benar-benar memiliki komposisi meteorit," kata saintis berkenaan, Viktor Grokhovsky menurut agensi berita RIA Novsosti.
Universiti Persekutuan Ural tempat Grokhovsky bertugas turut menyiarkan gambar seorang lelaki memegang sebutir batu hitam kecil semalam.
"Meteorit ini berasal daripada kondrit kelas biasa (angkasa lepas)," kata pihak universiti berkenaan dalam satu kenyataannya.
Menurut Grokhovsky, batu itu mengandungi komposisi besi metalik selain krisalit dan sulfit.
Kandungan besi dalam batu tersebut dianggarkan sebanyak 10 peratus.
"Besar kemungkinan, batu ini akan dinamakan sebagai Meteorit Most Chebarkul," kata kenyataan.
Gelombang kuat tahi bintang itu memecahkan tingkap-tingkap hampir 5,000 bangunan dan menyebabkan 40 orang termasuk tiga kanak-kanak dirawat di hospital kelmarin kerana mengalami luka dan kecederaan lebih serius.
Sekitar 24,000 petugas kecemasan dan sukarelawan sibuk menggantikan tingkap-tingkap yang pecah pada hujung minggu lalu sebelum orang ramai mula bekerja.
Serpihan-serpihan tahi bintang tersebut yang jatuh ke Bumi turut mencetuskan minat banyak pihak.
Beberapa pengumpul serpihan angkasa lepas di Rusia telah menyiarkan iklan di internet yang menawarkan bayaran AS$10,000 (RM30,900) untuk serpihan batu tersebut. - AFP
LG perkenal telefon pintar lebih 2 juta piksel
SEOUL - Firma Korea Selatan, LG Electronics semalam memperkenalkan versi terbaharu telefon pintarnya yang menawarkan skrin beresolusi lebih tinggi bagi mengatasi saingannya termasuk Samsung.
Dinamakan Optimus G Pro, gajet tersebut merupakan telefon pintar LG pertama yang menawarkan skrin resolusi tinggi (HD) penuh.
Dalam satu kenyataannya, LG memberitahu, telefon pintar itu akan mula dijual di Korea Selatan esok dan berada di pasaran Jepun serta Amerika Utara pada suku kedua tahun ini.
Telefon baharu itu dijana perisian Android dan berukuran 15.2 sentimeter (sm) panjang dengan lebar 7.6sm.
Optimus G Pro menampilkan paparan 13.9sm (5.5 inci) dengan lebih dua juta piksel atau dua kali ganda melebihi piksel skrin HD telefon pintar biasa untuk imej lebih terang serta jelas.
"Dengan saiz telefon pintar kini semakin besar, fungsi visualnya menjadi bertambah penting," kata LG dalam satu kenyataan.
LG yang merupakan pengeluar televisyen skrin rata kedua terbesar di dunia dan pembuat telefon kelima terbesar telah bergelut selama beberapa tahun dalam pasaran telefon pintar untuk menyaingi iPhone dan Galaxy S.
Namun, promosi beberapa model baharu menyaksikan jualan telefon pintar LG pada suku keempat 2012 melonjak 56 peratus berbanding tahun lalu untuk mencatat jualan mencecah 8.6 juta unit. - AFP
Lampu isyarat paling mengelirukan di dunia
CHONGQING, China - lebih 10,000 pelancong yang berkunjung ke Taman Tema Yangrenjie di sini keliru dengan sebuah lampu isyarat di simpang empat lokasi tersebut.
Fasiliti tersebut yang memiliki 14 buah lampu dipasang di taman tema berkenaan sejak Mei tahun lalu.
Lebih mengelirukan, lampu isyarat itu berkelipan dengan memaparkan nyalaan lampu berbeza pada sesuatu masa.
Namun, seorang pegawai trafik di sini berkata, lampu isyarat tersebut hanya berfungsi sebagai hiasan seni ekoran jalan ke simpang empat taman tema itu kelihatan kosong.
Menurutnya, lampu isyarat tersebut juga kelihatan sangat cantik apabila berkelipan pada waktu malam,
Katanya lagi, para pemandu sepatutnya tidak mempedulikan lampu isyarat itu.
Hiasan seni itu dikenali dalam kalangan penduduk tempatan sebagai lampu isyarat paling mengelirukan di dunia
Namun, ia akhirnya dibuang oleh pihak berkuasa kerana mengelirukan pemandu ke taman tema tersebut.
- Agensi
4 hari duduk atas kren demi anak
NANTES - Seorang bapa di Perancis, Serge Charnay mengadakan protes di puncak sebuah kren untuk hari keempat semalam kerana menuntut hak melawat anak lelakinya.
Lelaki itu berkata, dia akan turun dari kren setinggi 43 meter itu selepas Menteri Kehakiman Perancis, Christiane Taubira bersetuju bertemu dengan sebuah kumpulan aktivis pembela hak bapa.
Taubira dijadualkan menemui pemimpin-pemimpin kumpulan tersebut SOS Papa tengah hari kelmarin.
Lelaki tersebut yang mengadakan protes di atas sebuah kren di sini, timur Perancis, mahu pemerintah mengukuhkan undang-undang perkongsian penjagaan anak.
Dia pernah didapati bersalah kerana membawa anak lelakinya bercuti tanpa kebenaran selama dua bulan pada 2011. Namun, lelaki itu memberitahu, dia tidak kesal melanggar undang-undang hak penjagaan tersebut.
"Jika saya tidak berbuat demikian saya tidak akan dapat bertemu dengan anak saya," katanya.
Seorang lagi bapa yang berdepan masalah serupa turut menaiki kren di bandar Strasbourg pada hujung minggu lalu tetapi turun selepas dipujuk pihak polis.
- AGENSI
Bayi mati selepas 'dipulau' 10 hospital
|
|
JAKARTA, Indonesia - Seorang bayi berusia seminggu meninggal dunia akibat masalah pernafasan selepas 10 buah hospital di sini enggan merawatnya, kata bapa bayi tersebut semalam.
Elias Setya Nugroho yang bekerja sebagai penjaja berkata, dia tidak mampu membayar caj yang dikenakan oleh sebahagian hospital berkenaan untuk merawat bayinya.
Bayi tersebut, Dera Nur Anggraini dilahirkan tidak cukup bulan bersama saudara kembarnya, Dara pada 10 Februari lalu.
Dera turut mengalami kecacatan tekak yang menghalang pernafasannya.
Menurut lelaki tersebut, keluarganya cuba mendapatkan rawatan tetapi ditolak oleh pihak pengurusan 10 buah hospital.
Sebahagian mereka memberikan alasan tidak memiliki peralatan yang diperlukan manakala sebahagian lagi mendakwa hospital mereka penuh.
"Dera dikebumikan kelmarin tidak jauh dari rumah kami," kata Elias.
Menurutnya, bayi itu meninggal dunia selepas dibawa kembali ke Hospital Zahira tempat dia dilahirkan di sini.
Menurut Elias, hospital-hospital swasta di sini meminta bayaran pendahuluan berjumlah 15 juta rupiah (RM4,795) walaupun keluarganya memiliki kad kesihatan yang membolehkan rakyat berpendapatan rendah sepertinya mendapat perkhidmatan kesihatan percuma. - AFP
No comments:
Post a Comment