Thursday, February 21, 2013

IKRAR AJE....TAPI PERKARA TU BERLAKU JUGA...ORANG YANG TAQWA TAK KAN AMBIK RASUAH

Helah peragut tak menjadi

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
KUALA LUMPUR: Memberi alasan isterinya bakal bersalin empat bulan lagi selain perlu menanggung dua anak, seorang peragut merayu supaya dilepaskan apabila dia berjaya ditangkap orang ramai di Seksyen 5, Wangsa Maju di sini, malam tadi.
Namun, cerita sedih lelaki berusia 27 tahun itu gagal mencairkan hati orang ramai yang seterusnya bertindak menghubungi dan menyerahkan suspek kepada polis.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, suspek bersama rakannya, 20-an, menunggang motosikal Yamaha 135 LC meragut beg tangan seorang wanita yang diletakkan di dalam raga motosikalnya sebelum melarikan diri.

Bagaimanapun perbuatan suspek yang disedari seorang pemandu van bertindak mengejar dan menghimpit mereka menyebabkan motosikal suspek hilang kawalan dan terbabas.
Foto

Orang ramai yang menyedari kejadian itu berjaya menahan suspek sementara seorang lagi berjaya melarikan diri dan lelaki itu kemudian diserahkan kepada unit peronda polis (MPV) yang kebetulan melalui kawasan terbabit.

Malah, pemeriksaan lanjut mendapati suspek sebelum itu disyaki turut melakukan ragut ke atas seorang wanita berusia 27 tahun yang sedang menunggu bas di Jalan Ampang, di sini.

Menceritakan semula kejadian itu, mangsa, Noor Khadijah Md Shah, 25, berkata, dia yang sedang menunggang motosikal dari Jalan Wangsa Perdana, Seksyen 5, Wangsa Maju menuju ke Kuala Lumpur sebelum tiba-tiba didatangi dua lelaki bermotosikal sebelum mereka bertindak merampas beg tangan yang diletakkan di dalam raga.

Menurutnya, dia yang terkejut menjerit meminta pertolongan sementara peragut terbabit terus memecut laju namun sebaik mereka menghampiri lampu isyarat tiba-tiba datang sebuah van dan terus menghimpit motosikal terbabit.

“Saya lihat ketika itu mereka berdua terjatuh dan terus bertindak melarikan diri namun seorang daripada peragut itu berjaya ditahan orang awam yang menyedari kejadian itu.

“Saya kerugian dianggarkan sebanyak RM500 selepas dua telefon bimbit dan wang tunai RM100 yang berada di dalam beg itu dilarikan suspek,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, semalam.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Maliawati Asep Hidayat, 27, berkata, dia yang sedang menunggu bas berseorangan kira-kira jam 8 malam di Jalan Ampang di sini, terkejut apabila tiba-tiba beg tangan yang disandang di sebelah kanan tiba-tiba direntap dari belakang.

“Saya ketika itu sedang melihat kandungan mesej di telefon bimbit sebelum tiba-tiba dua lelaki bermotosikal terus melarikan beg tangan mengandungi wang tunai sebanyak RM100 dan dokumen pengenalan diri.

“Akibat kejadian itu saya mengalami bengkak di kepala dan luka di tangan selepas terjatuh ketika diragut mereka. Saya juga sudah membuat laporan di Balai Polis Tun Razak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan penangkapan suspek yang turut mempunyai enam rekod jenayah lampau dalam pelbagai kesalahan curi motosikal, samun, merusuh dan memilik kenderaan curi.

“Motosikal Yamaha 135 LC yang digunakan suspek untuk meragut juga pernah dilaporkan hilang di Jinjang tahun lalu dan rakannya kini sedang diburu.

“Hasil soal siasat juga mendapati suspek telah melakukan kegiatan ragut sebanyak sembilan kali pada tahun ini di sekitar Wangsa Maju,” katanya.

RM2.2j lesap sekelip mata

Oleh Zaitie Satibi
Petaling Jaya: Tiga lelaki bersenjatakan pistol melarikan wang tunai RM2.2 juta dari sebuah van syarikat keselamatan dalam kejadian di Jalan 227, Seksyen 51A, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, sebelum itu tiga pengawal keselamatan berusia dari 20 hingga 30-an itu dalam perjalanan menghantar wang berkenaan ke sebuah bank di ibu negara sebelum berhenti di medan selera di jalan berkenaan untuk membeli sarapan kira-kira jam 10 pagi.
Menurutnya, mereka mendakwa hanya dua orang yang keluar untuk membeli makanan manakala pemandu menunggu dalam van.

“Sebaik dua pengawal kembali ke van dengan bungkusan makanan, tiba-tiba mereka diserbu dua lelaki yang memakai topeng.
FotoSARAPAN pengawal keselamatan berselerak dalam van.

“Seorang daripadanya mengacu pistol ke arah pengawal berkenaan dan mengarahkan mereka menyerahkan wang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini.

Dibelasah hingga koma

Oleh Mohd Fauzi Abdullah
Kuantan: Seorang pembantu rumah kini bertarung dengan maut di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas dibelasah dengan kayu sepanjang satu meter hingga koma oleh seorang penyamun yang memecah masuk rumah majikannya di Lorong Sekilau 61, Taman Perdana, Jalan Haji Ahmad di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Bahriah Amaq Limah, 30, dari Lombok Tengah, Indonesia, parah di kepala, muka dan mata kanan akibat dihentak dengan kayu sebelum penyamun berkenaan melarikan diri bersama hasil rompakan dianggar bernilai RM7,000.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa tinggal berdua dengan ibu mentua majikannya yang berusia 70 tahun dan sedang melakukan rutin harian membersihkan bahagian atas rumah dua tingkat itu manakala warga emas berkenaan berada di dapur.

Majikan mangsa yang mahu dikenali sebagai Hee, 37, berkata wanita yang baru tiga bulan bekerja dengannya itu kini terlantar di ICU HTAA dan masih tidak sedarkan diri.
FotoBAHRIAH kini terlantar di ICU.

Hee, seorang peniaga bergegas pulang selepas mendapat panggilan telefon daripada ibu mentuanya memaklumkan kejadian berkenaan.

Pengsan dihempap besi kerangka

Oleh Khairul Hamizy Ramlee dan Faizul Azlan Razak
Kuala Terengganu: “Saya nampak besi kerangka jatuh, tetapi tidak sempat melarikan diri sebelum pengsan akibat dihempap besi berkenaan,” kata Ahmad Safuan Abdul Manaf, 21, yang patah dua bahagian kaki kanannya serta cedera di mulut akibat sebahagian kerangka struktur bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak di sini, runtuh semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, dia bersama empat lagi rakan sekerja sedang memotong kerangka lama bumbung stadium itu untuk digantikan bumbung baru. Bagaimanapun, kerangka besi sepanjang 137 meter itu tiba-tiba runtuh menyebabkan lima pekerja cedera pada kaki, tangan dan badan.

Selain Ahmad Safuan, pekerja yang turut cedera ialah Mohd Nazirul Nizam Marzuki, 22, Mohd Saidi Ismail, 21, Wan Mohd Fajrulazmi Wan Ahmad, 26, dan Mohd Syukri Jusoh, 31. Ketika ditemui di Wad Pembedahan Lelaki Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam, Ahmad Safuan berkata ketika kejadian dia sedang memasang besi perancah di bawah kerangka besi bumbung.
“Saya terkejut apabila melihat kerangka berkenaan tiba-tiba runtuh dan menghempap perancah menyebabkan saya terjatuh dari ketinggian 15 meter ke atas tangga.

“Selepas terjatuh atas tangga, kaki kanan dihempap besi perancah dan kerangka besi bumbung berkenaan.

“Akibat terlampau sakit saya pengsan di bawah timbunan kerangka itu dan apabila tersedar, mendapati berada atas meja yang diangkat beberapa pekerja untuk dimasukkan ke dalam ambulans Jabatan Pertahanan Awam,” katanya.
FotoAHMAD Safuan cedera parah.
Menurutnya, semua empat rakannya hanya menerima rawatan pesakit luar di HSNZ dan dibenarkan pulang pada jam 4 petang semalam.

Saksi kejadian yang turut bekerja membaik pulih stadium berkenaan, Alfius Monjutong, 26, berkata dia terkejut apabila terdengar bunyi kuat dari arah bumbung stadium sebelum melihat kerangka runtuh.
“Ketika itu saya berada di bahagian bawah stadium dan segera memaklumkan kepada beberapa rakan lain untuk mendapatkan bantuan bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap.

“Kira-kira 15 minit kemudian, anggota bomba datang dan mengeluarkan mangsa yang cedera,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Md Jamil berkata runtuhan berlaku ketika pekerja terbabit menjalankan proses merobohkan kerangka lama di bahagian tengah bumbung berkenaan.

‘Dia hilang ingatan’

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Kuala Lumpur: “Jangan salahkan Fizz dalam hal ini kerana dia mangsa penganiayaan dan penipuan.
“Saya cukup mengenali wanita itu kerana dia isteri yang ‘sakit’ selepas lapan bulan hilang ingatan,” kata suami kepada bekas tunangan pelakon, Fizz Fairuz, 34, yang hanya mahu dikenali sebagai Ramli (bukan nama sebenar), 40-an.

Itu permintaan Ramli kepada masyarakat agar tidak terus menyalahkan Fizz selepas kecewa tindakan ‘malu’ isteri keduanya yang menipu aktor terbabit sehingga mengadakan majlis pertunangan secara diam dengan pelakon itu, 10 Februari lalu.
Muka depan Harian Metro semalam melaporkan Fizz berasa tertipu dengan tindakan seorang wanita berusia 26 tahun yang mengakui dirinya belum berkahwin sebelum mereka bertunang di Kuantan, Pahang.

Namun, empat hari selepas bertunang, barulah Fizz mengetahui tunangnya itu isteri orang sejurus dimaklumkan kawan kepada adik wanita itu dan memutuskan hubungannya, Ahad lalu.

Ramli berkata, punca isterinya bertindak demikian kerana kesunyian berikutan kurang diberi perhatian selepas mereka bernikah di selatan Thailand beberapa tahun lalu.
FotoFizz Fairuz
“Wanita itu isteri kedua dan diakui ia kesilapan saya bernikah dengannya tanpa memaklumkan kepada isteri pertama serta keluarganya (keluarga isteri kedua).

“Namun tidak disangka, perkahwinan di Thailand memberi kesan negatif kepada Fizz, sekali gus memburukkan namanya,” katanya memaklumkan sudah berjumpa pelakon itu di Subang Jaya, Sabtu lalu dan menceritakan segala-galanya.
Sumber memaklumkan, selepas berkahwin, pasangan itu tidak mendaftarkan perkahwinan mereka di mana-mana pejabat agama dalam negara.

Menurut Ramli, walaupun bergelar suami isteri, dia jarang berjumpa wanita itu selepas bimbang perkahwinan mereka diketahui isteri pertama.

“Biarpun sibuk, saya tetap membayar nafkah, menyediakan pakaian, tempat tinggal serta kenderaan,” katanya memaklumkan hanya berjumpa wanita itu beberapa kali dalam sebulan.

Menceritakan percintaan bersama Fizz, Ramli berkata, isterinya menggunakan telefon bimbit miliknya untuk berkomunikasi termasuk mengadakan temujanji untuk keluar bersama.

“Saya tidak meletakkan kesalahan itu ke atas Fizz kerana sepanjang perkenalan mereka, dia ditipu kononnya isteri saya belum berkahwin sehinggalah majlis pertunangan diatur,” katanya.

Kata Ramli, keluarga wanita itu turut tidak mengetahui kedudukan sebenar kerana isterinya tidak pernah memaklumkan mengenai perkahwinan mereka.

Menurutnya, wanita itu kini masih isterinya yang sah biarpun perkahwinan di Thailand tidak didaftarkan.

75 murid keracunan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Norul Awatif Romli
Klang: Sesi pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Bukit Kapar, Meru, di sini, gempar apabila 75 murid sekolah berkenaan mengalami sakit perut, muntah dan cirit-birit dipercayai keracunan makanan selepas sesi rehat, pagi semalam.
Dalam kejadian itu, murid berkenaan masing-masing dari tahun empat hingga enam mengadu sakit perut selepas waktu rehat sebelum pihak sekolah menghubungi pasukan perubatan daripada klinik kesihatan berhampiran untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, kejadian sama berlaku kelmarin apabila terdapat murid yang sakit perut.
Pasukan perubatan yang melakukan rawatan membawa dua murid perempuan ke Klinik Kesihatan Meru untuk diberikan rawatan lanjut sebelum dibenarkan pulang.

Bapa murid, Zamri Saadan, 36, ketika ditemui berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh anaknya, Nur Nadiah Farhana, 12, selepas pulang ke rumah jam 2 petang, semalam.

Menurutnya, Nur Nadiah juga pulang dalam keadaan kurang bermaya kerana dia dimaklumkan mengalami sakit perut selepas memakan nasi goreng pada waktu rehat. “Ini kejadian pertama sejak anak saya belajar di sekolah berkenaan. Mujur keadaannya tidak serius dan dia boleh meneruskan persekolahan pada sesi petang seperti biasa,” katanya, semalam.
FotoDUA murid di kawasan kantin sekolah terbabit.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor Mahmud Karim ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurut Mahmud, kakitangan Pejabat Kesihatan Klang turut hadir ke sekolah berkenaan untuk melakukan siasatan lanjut kejadian itu.
“Selepas saringan kesihatan dijalankan, dua murid dihantar ke Klinik Kesihatan Meru untuk mendapatkan rawatan susulan namun semua mereka dilaporkan stabil,” katanya.

Katanya, kantin sekolah berkenaan juga diarahkan untuk ditutup sementara sehingga 5 Mac ini bagi membolehkan siasatan mengenai tahap kebersihan dijalankan.

Amuk suruh solat

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
Ampang: Lebih setahun dia menahan sabar dan memendam derita berikutan sikap panas baran isterinya, namun semua itu langsung tidak memberi kesan apabila wanita disayanginya bukan saja tidak insaf, malah semakin besar kepala.
Kemuncaknya, si suami menerima lebih 20 jahitan di kepala dan badan apabila isteri kesayangannya itu menetaknya dengan pisau pemotong daging di rumah mereka di Hulu Klang, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 2 petang selepas lelaki berusia 49 tahun itu menyuruh wanita berkenaan menunaikan solat dan mengawal sikap panas barannya.

Sumber polis berkata, sebelum kejadian mangsa yang menjalankan perniagaan sendiri baru pulang ke rumah dan meminta isterinya yang berusia lewat 30-an menunaikan solat Zuhur.

“Tindakan mangsa menyebabkan isterinya berang sebelum memarahi lelaki terbabit dan pertengkaran berlaku di antara mereka.

Budak maut kurang air

Dungun: “Dia muntah hijau selepas minum sebotol susu,” kata Ramlah Othman, 58, menceritakan saat sebelum cucunya, Nur Azmaniena Azman, 3, meninggal dunia dipercayai akibat kekurangan air dalam badan di rumahnya di Jalan Lapangan Terbang, di sini, kelmarin.
Ramlah berkata, sebelum kejadian, dia dan cucunya itu tidur di ruang tamu jam 2 petang sebelum Nur Azmaniena yang tinggal dengannya sejak setahun lalu, terjaga dan meminta susu.

“Nur Azmaniena gemar minum susu pekat manis dan dia minum sambil bermain-main di sisi saya.
“Bagaimanapun, sebaik habis sebotol susu tiba-tiba dia muntah dan rebah,” katanya.

Ramlah berkata, cucunya itu kelihatan tidak bermaya lalu dia menjerit memanggil suaminya, Awang Latif, 69, yang ketika itu mandi.

“Saya bergegas dan meminta bantuan jiran yang kemudian melakukan pemeriksaan dan memberitahu cucu saya sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di bilik forensik Hospital Dungun di sini, sementara menunggu jenazah cucunya dibedah siasat, semalam.
Menurutnya, dia dimaklumkan doktor bahawa cucunya itu meninggal dunia kerana kekurangan air dalam badan.

Ramlah berkata, dia sedih apabila terkenangkan Nur Azmaniena ingin bertemu ibunya, Che Wan Nasharinawati Che Wan Abdullah, 26, yang bekerja di Kelantan sejak dua bulan lalu.
“Isnin lalu, dia beritahu rindu ibunya. Saya memintanya bersabar dan berjanji membawa berjumpa ibunya.

“Terkilan kerana gagal menunaikan permintaannya,” katanya.

Kesedihan keluarga Ramlah mendapat perhatian Ahli Parlimen Dungun Datuk Matulidi Jusoh yang melawat dan membiayai kos pengurusan jenazah yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, di sini, semalam.

Heroin dalam anu

Oleh Hadzlihady Hassan
Georgetown: Polis mengambil tempoh hampir tiga hari bagi mengeluarkan 80 kapsul berisi kokain sebesar ibu jari yang dikesan ditelan seorang wanita yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Rabu minggu lalu.
Difahamkan, wanita lingkungan 20-an dan dari Thailand yang berbadan agak besar sanggup membahayakan nyawanya dengan turut menyembunyikan sebungkus kokain sebesar buah timun dalam kemaluannya.

Menurut sumber, polis menahan wanita berkenaan kira-kira jam 5 petang selepas mendapat maklumat dan suspek dikatakan mengambil penerbangan dari Brazil dan turun ke LTAPP.

“Selepas ditahan, wanita itu dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan polis terpaksa menunggu hampir tiga hari untuk mengeluarkan 80 kapsul yang ditelannya.

“Kita percaya wanita ini mungkin menerima upah lumayan daripada sindiket pengedaran dadah hingga sanggup membahayakan nyawanya dengan menelan semua kapsul terbabit,” katanya.

Isteri cabut bawa RM20,000

Oleh Abdul Rahman Adam
Miri: Impian seorang warga emas membina hidup baru di negara asal isterinya yang juga warga Indonesia berkecai apabila wanita dinikahi setahun lalu lesap bersama wang simpanan RM20,000 dan beberapa barangan berharga ketika mereka menginap di hotel bajet di pusat bandar di sini, kelmarin.
Mangsa berusia 60 tahun dari Baram itu hanya menyedari isterinya menghilangkan diri apabila telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi.

Difahamkan, bekas pemandu lori itu dan isterinya yang berusia 40-an itu menginap di hotel bajet di bandar raya ini selama tiga hari sejak Ahad lalu selain merancang mengikuti isteri ke Indonesia, semalam.

Menurut sumber, mangsa hanya menyedari isterinya melarikan diri selepas mendapati wanita itu tiada di bilik hotel serta telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi sebaik kembali dari Lapangan Terbang Miri, jam 7 malam.

Katanya, sejam sebelum itu, mangsa diminta menjemput abang iparnya di Lapangan Terbang Miri kononnya ke negara ini bagi membantu urusan penerbangan ke Indonesia.

Perogol wanita Scotland ditahan

Bangkok: Polis semalam menahan seorang lelaki kerana disyaki merogol wanita Scotland yang mahu mengajar di negara itu.
Suspek berusia 25 tahun ditahan di rumahnya di bandar Nakhon Si Thammarat.

Ketua Polis Daerah, Sompong Thiparpakul berkata, lelaki terbabit ditahan berdasarkan bukti dirakam kamera litar tertutup serta keterangan saksi. Mangsa yang berusia 20 tahun memberitahu polis, dia dirogol dua daripada empat lelaki yang menyerangnya selepas meninggalkan sebuah bar pada 15 Februari lalu.
Dalam temubual dengan media Scotland, mangsa turut mengkritik layanan polis serta media Thailand kerana menyiarkan nama serta gambarnya. - AFP

Tanah perkuburan untuk ketua mafia

Moscow: Walaupun selepas mati, kumpulan penjenayah Russia tetap mahu mempamerkan diri mereka dengan menonjol dan memilih tanah perkuburan untuk melakukannya.
Di kawasan Tanah Perkuburan Shirokorechenskoye di bandar Yekaterinburg, waris si mati memilih batu marmar besar dan mahal untuk memberitahu siapa yang ditanam di situ.

Yekaterinburg dikenali sebagai bandar raya utama jenayah di Russia.
Menurut media, sesetengah batu peringatan di situ dibina setinggi dua meter dan berharga sehingga RM100,000.

Setiap satu batu itu mempamerkan gambar si mati segak bergaya dengan pakaian mahal, atau sesetengahnya menggenggam penumbuk. Batu itu mengingatkan orang ramai kepada pelbagai aktiviti jenayah di Yekaterinburg dan ia pernah menjadi pangkalan kumpulan samseng Uralmash yang diuruskan dengan teratur. Pada era 1990-an, berlaku perang besar-besaran antara anggota kumpulan penjenayah itu, menyebabkan pelbagai kejadian ganas termasuk serangan bom dan mesingan.

Bloger Russia, Vladimir Markov, berkata apa yang ada di Yekaterinburg menunjukkan betapa uniknya Russia. “Kubur ini adalah simbol sisi gelap Russia moden yang dipenuhi amalan rasuah dan keganasan,” katanya. Melihat kepada gambar pada batu itu, katanya, ia jelas menunjukkan betapa besar ego penjenayah terbabit.
FotoTANAH perkuburan Shirokorechenskoye menjadi tempat bersemadinya ramai penjenayah Russia.
“Walaupun mati, mereka mahu diberi penghormatan sama seperti ketika hidup,” katanya. - TS

Ikrar banteras rasuah

Oleh Hayati Ibrahim
Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya sebagai pengisyitiharan terbuka dan menunjukkan komitmen beliau untuk membanteras rasuah khususnya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Majlis tandatangan disaksikan Presiden Transperancy International Malaysia (TI-M) Datuk Paul Low dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mohd Shukri Abdull.

Ikrar kemudian diserahkan kepada Low yang turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agong UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) iaitu Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merangkap Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud, Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk Seri Dr M Kayveas dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Najib dalam kenyataannya berkata, beliau akan pastikan semua calon BN yang bertanding pada PRU-13 menandatangani ikrar itu.

“Calon dari BN dan parti komponen sudah melalui proses saringan dengan SPRM, sekarang mereka memberi komitmen mengadakan pilihan raya yang bersih dan adil dengan menandatangani ikrar integriti ini. “Tanggungjawab memenuhi ikrar terletak sepenuhnya kepada mereka yang menandatanganinya dan rakyat boleh memegang tanggungjawab itu,” katanya.

Ikrar dibuat secara sukarela oleh setiap individu dicalonkan itu mempunyai empat prinsip iaitu calon mematuhi prinsip kebenaran, integriti, beretika serta akauntibiliti termasuk tidak menerima atau memberi rasuah atau terbabit dalam apa-apa bentuk amalan rasuah.
Selain itu, calon mendukung dan mengutamakan kepentingan rakyat secara keseluruhannya, memastikan tadbir urus baik, telus, mematuhi semua undang-undang dan peraturan berkaitan.

Calon yang menandatangani ikrar itu juga bersetuju mematuhi Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan memastikan tindakan mereka berfaedah untuk orang ramai dan bukan untuk kepentingan sendiri.
Najib dalam dokumen ikrar itu berkata, sebagai seorang pemimpin BN, beliau perlu menunjukkan contoh teladan yang baik.

“Hanya calon yang dianggap memperjuangkan pilihan raya bersih dan adil saja mewujudkan sebuah kerajaan yang dipercayai dan dihormati rakyat,” katanya. Menurutnya, maklumat lanjut mengenai pengikrar boleh diperoleh di laman web TI-M dan orang ramai boleh menjadi mata serta telinga untuk memantau wakil dipilih mengikut piawaian ditetapkan.

Malah, orang ramai juga boleh memberi maklum balas menerusi akaun Facebook dan Twitter calon.

Sementara itu, Low berkata, isu integriti amat penting dan TI-M ingin melihat calon bertanding pada pilihan raya nanti memegang prinsip itu tanpa mengira parti politik.

“Sekiranya Perdana Menteri berjaya memastikan semua calon menandatangani ikrar ini, Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang melakukannya.

“Sebelum ini Perdana Menteri memastikan semua calon BN disaring SPRM dan kini beliau mengambil satu lagi langkah untuk memastikan pilihan raya berlangsung dalam keadaan bersih dan adil,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, 20 individu dari pelbagai parti politik sama ada mewakili kerajaan atau pembangkang menandatangi ikrar itu.

Lari ditegur main cinta

Kuala Lumpur: “Saya rindukan dia dan kami semua bimbangkan keselamatannya,” kata Hassan Sani Abdullah yang mahu anaknya berusia 16 tahun pulang ke pangkuan keluarga.
Hassan, 47, berkata anaknya, Franisa, 16, melarikan diri dari rumah sejak 12 hari lalu dan ini kejadian ketiga.

“Semasa berada di rumah pada malam itu, saya melihat dia tidur, tetapi apabila mahu mengejutnya bangun ke sekolah esoknya, dia tiada,” katanya yang datang ke Balai Berita di sini, semalam.
Hassan berkata, dia sudah puas mencari anaknya itu, tetapi langsung tidak menemui apa-apa petunjuk.

Dia mengakui ada memarahi anaknya beberapa hari sebelum menghilangkan diri kerana menjalin cinta dengan rakan sekolah.

“Saya ingin dia tumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran. Mungkin kerana memarahinya menyebabkan dia lari dari rumah,” katanya.
Hassan merayu kepada sesiapa mengenali atau pernah bertemu Franisa menghubunginya di talian 019-2587337.

No comments:

Post a Comment