Thursday, February 21, 2013

WANG SEGALA2NYA...MARUAH TIADA NILAI LAGI

Habuan 9 janda

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
Kuala Lumpur: “Saya anggap ini sebagai satu kerosakan akhir zaman. Saya kesal kerana kamu semua jadikan pusat (karaoke) sebagai tempat kerja bagi ibu tunggal sedangkan banyak lagi tempat lain kamu boleh cari rezeki halal.”
Demikian teguran Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Abdul Walid Abu Hassan sebelum menjatuhkan didenda RM2,800 setiap seorang atau penjara 40 hari ke atas sembilan ibu tunggal, semalam.
Mereka dikenakan hukuman itu selepas semuanya mengaku bersalah atas tuduhan mengingkari fatwa mufti dengan bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat karaoke, Jun tahun lalu.

“Saya harap kamu semua bertaubat dan menjadi seorang yang lebih baik satu hari nanti,” kata Abd Walid lagi.
FotoANTARA wanita yang didenda oleh Mahkamah Tinggi Syariah kerana bekerja sebagai GRO.

Mereka terbabit ialah Erni Juita Ismail, 47; Siti Farahdilla Azua Kasim, 26; Rita Yakir, 29; Rabihah Ahmad, 37; Nor Azilah Isa, 38; Eparizan Abdullah, 30; Noriza Mohd Nor, 35; Zaiton Zainal, 42, dan Rosnita Mawardi, 35.

Geram habis

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
Kuala Lumpur: Seorang suspek kes rogol menerima perintah tahanan reman ke atasnya dalam keadaan koma dan terlantar di katil hospital selepas dia parah akibat dibelasah keluarga mangsa.
Lelaki berusia 28 tahun itu disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang meminta perlindungan di rumahnya di Bukit Puchong, di sini, kelmarin.
Difahamkan, lelaki terbabit (suspek) dikejarkan ke HKL jam 9 malam, selepas dibelasah sekumpulan antara tiga hingga lima lelaki dipercayai keluarga remaja perempuan yang dirogolnya itu ketika suspek berada di Setapak.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata akibat kejadian itu suspek cedera parah di kepala, selain empat tulang rusuk kanannya patah dan kini dilaporkan koma di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini.
FotoSUSPEK kes rogol terlantar di hospital.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pelihara 700 anjing

Oleh Mohamad Hussin dan Nordiana Shafiee
“Semua haiwan ini umpama anak- dan saya tidak akan menjual mereka, sebaliknya akan terus membela semuanya sehingga saya mati,” kata Md Azmi Ismail, 55, yang memelihara kira-kira 700 anjing dan lebih 100 kucing yang dikutip bersama isterinya, Halija Idris, 65, dari jalanan.
Bekas kontraktor itu berkata, dia sudah lali dicemuh masyarakat dan dianggap pelik kerana sanggup tinggal bersama ratusan haiwan itu di pusat perlindungan diuruskannya di tanah rizab kerajaan kira-kira 500 meter di belakang Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, di sini.
“Saya sudah lali dicemuh, tetapi sifat menyayangi haiwan membuatkan saya dan isteri sentiasa tabah berdepan cabaran,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Pak Mi.

Menurutnya, sebelum ini dia pernah ditawarkan harga lebih RM1,000 oleh pihak yang ingin membeli anjing peliharaannya, tetapi dia menolak kerana perasaan sayang pada haiwan peliharaanya itu.
FotoMD Azmi bermain bersama anjing peliharaannya di Alor Setar.

Pak Mi berkata, biarpun apa jua tanggpan negatif masyarakat terhadapnya dia akan terus memelihara haiwan berkenaan kerana kasihan melihat nasib anjing dan kucing yang terbiar di tepi jalan.

Kelapa hempap kepala

Oleh Jauhariatul Akmal Johar
Rantau Panjang: Malang buat seorang penoreh getah berusia 50 tahun apabila sebiji kelapa muda jatuh tepat ke kepalanya mengakibatkannya pengsan ketika berbual dengan rakan dan isterinya di pekarangan rumah di Kampung Tasek Bakong, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, warga Thailand, Mat Jidin Teh, 50, berbual dengan rakannya, Ibrahim Ismail, 56, serta isterinya, Rosidah Daud, 52, apabila buah kelapa muda seberat tiga kilogram jatuh dari pokok setinggi enam meter.
Mangsa turut cedera di kepala dan sedar semula daripada pengsan lalu mengerang kesakitan di pangkuan isterinya sebelum dibawa ke Hospital Pasir Mas menggunakan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rantau Panjang.

Bagaimanapun, mangsa dibawa pula ke Hospital Sungai Golok, Thailand oleh ahli keluarganya untuk rawatan lanjut.
FotoMAT JIDIN dibawa ke ambulans JPAM untuk menerima rawatan.

Keadaannya kini dilaporkan stabil, namun tidak boleh mengerakkan badan dan tidak boleh membuang air kecil serta besar.

Tunggu ‘drama’ selanjutnya

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Kuala Lumpur: “Sekarang ini, saya mahu menyaksikan permainan dia,” kata lelaki yang mendakwa suami kepada tunang Fizz Fairuz yang ingin dikenali sebagai Ramli, 40-an.
Dia yang dihubungi Harian Metro semalam, bertegas bahawa Azlyn Massiela Mohd Nazar, 26, adalah isteri keduanya yang dinikahi di Selatan Thailand.
Malah, dia mengakui memiliki bukti kukuh mengatakan wanita itu isteri keduanya namun enggan menunjukkan bukti itu kerana tidak mahu memanjangkan kontroversi.

“Bukti surat nikah di Thailand ada, tapi saya enggan mendedahkan kerana keadaan semakin rumit. Saya juga sudah memberikan salinan kepada Fizz, tanya dia,” katanya.
FotoFizz Fairuz

Kata Ramli, untuk mendapatkan kepastian perkahwinan terbabit, dia meminta berjumpa ibu bapa Azlyn kerana pada awal pernikahan, mereka mengetahui status sebenar

‘Kenapa babit saya?’

Kuala Lumpur: “Kenapa nama saya dibabitkan sedangkan semuanya bukan urusan saya? Mereka yang punya masalah, tiba-tiba saya pula diheret,” kata pelakon, Almy Nadia Aminuddin Shah berhubung isu Fizz Fairuz yang didakwa mangsa penipuan bekas tunangnya, Azlyn Massiela, 26 dan lelaki yang mendakwa dirinya suami kepada Azlyn, Ramli, 40-an.
Menurut Almy, dia terkejut apabila Azlyn mula mengaitkan nama Almy dalam kenyataannya semalam dalam Berita Harian mendakwa yang Fizz masih bertemu Almy beberapa kali ketika mereka serius bercinta dan pernah memberikan baju sejuk yang dibeli Azlyn, tetapi dipakai Almy ketika sama-sama menjayakan sebuah program di Korea. “Saya tidak tahu motif Azlyn dengan memetik nama saya pula dalam permasalahan mereka sedangkan sejak awal lagi, saya terkejut apabila mengetahui yang Fizz sudah bertunang walaupun hubungan kami masih tergantung tanpa jawapan. Tapi, saya optimis dan sentiasa positif menganggap semuanya dugaan Allah.

“Kini apabila mereka (Fizz dan Azlyn) berdepan kontroversi, saya pula dibabitkan sama. Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai dakwaannya (Azlyn) mengenai saya dan Fizz masih bertemu ketika mereka sudah pun serius. Semua itu terlalu peribadi dan langsung tidak sepatutnya membabitkan saya.
“Saya yakin ada pihak cuba membunuh kerjaya dan reputasi saya. Hari ini (semalam) terbukti segala-galanya dan saya perlu lebih berhati-hati. Memang tidak masuk akal dan saya tidak mahu komen panjang,” katanya yang dihubungi, semalam.

Pengawal MyKad palsu

Oleh Muhammad Apendy Issahak
Kuala Lumpur: Sebuah syarikat kawalan keselamatan dikesan mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan hasil daripada kegiatan menipu beberapa pengusaha pusat beli-belah di sekitar Lembah Klang dengan membekalkan pengawal keselamatan warga asing menggunakan dokumen palsu.
Kegiatan itu terbongkar selepas polis menerima laporan daripada pengurusan sebuah pusat beli-belah di Wangsa Maju, di sini, Isnin lalu yang mendapati beberapa pengawal keselamatan dibekalkan syarikat terbabit adalah warga Indonesia, namun memiliki MyKad dipercayai palsu.

Hasil maklumat berkenaan, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Wangsa Maju membuat serbuan dan menahan lapan pengawal keselamatan dan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun dipercayai pengurus syarikat keselamatan yang membekalkan pengawal di pusat beli-belah terbabit.
Menurut sumber, hasil serbuan jam 10.30 malam itu mendapati tiga daripada pengawal yang ditahan memiliki pengenalan diri disyaki palsu, dua lagi memiliki pasport tamat tempoh dan dua lagi tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah manakala seorang lagi dibebaskan tanpa syarat kerana warga tempatan yang memiliki dokumen lengkap.

“Syarikat berkenaan didapati memperdaya pengurusan pusat beli-belah yang hanya mahukan pengawal warga tempatan dan dokumen palsu itu digunakan sebagai pengesahan kononnya pekerja dibekalkan adalah warga Malaysia berasal dari Sabah atau Sarawak.

“Pengawal keselamatan yang ditahan juga mendakwa hanya diminta menyediakan dua keping gambar berukuran pasport dan menandatangani beberapa dokumen sebelum diberikan salinan kad pengenalan berkenaan ketika mula bertugas,” katanya.
FotoPENGAWAL keselamatan yang ditahan dalam serbuan.
Sumber itu berkata, maklumat awal mendapati dokumen palsu itu dibekalkan syarikat keselamatan kepada pekerja mereka dan syarikat terbabit mendapat keuntungan lumayan berikutan pengurusan pusat beli-belah membayar gaji tinggi untuk pekerja tempatan.

“Syarikat terbabit mengaut keuntungan berlipat ganda kerana membayar gaji yang rendah selain mengenakan bayaran bagi pakaian seragam dan kelengkapan lain digunakan pengawal warga asing itu.
“Polis percaya ramai lagi warga asing diberikan kad pengenalan palsu kerana syarikat terbabit membekalkan pengawal keselamatan di kebanyakan pusat beli-belah di Lembah Klang dan polis kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dari mana syarikat berkenaan mendapatkan MyKad palsu itu,” katanya.

Sewa paha untuk iklan

Tokyo: Ia negara yang terkenal kerana cara unik untuk mengiklankan produk.
Tetapi, Jepun kini melangkah satu tapak ke depan dengan wanitanya menyewakan paha mereka untuk syarikat memasarkan produk masing-masing dengan kadar bayaran tertentu.
Dengan tanggapan bahawa iklan yang baik perlu diletakkan di tempat orang akan memberikan tumpuan, paha wanita sudah pasti menjadi pilihan paling sesuai.

Dan strategi pemasaran pintar itu sudah terbukti menjana kejayaan.
Foto

Setakat November lalu, kira-kira 1,300 wanita muda mendaftarkan paha mereka untuk dijadikan ruang iklan dengan syarikat perhubungan awam, Absolute Territory dan jumlah itu semakin meningkat.

Paha mereka ditampal iklan dan mereka menjalani kehidupan seperti biasa, memakai skirt pendek dan mempamerkan anggota itu sebaik mungkin.

Selagi iklan itu berada di paha mereka selama lapan jam sehari atau lebih, tugas mereka selesai dan mereka akan dibayar.

Sebagai bukti mereka melakukan tugas berkenaan, peserta perlu memuatnaikkan gambar mereka ‘memakai’ iklan itu pada laman Facebook, Twitter atau laman sosial lain milik mereka.

Dan bukan setakat syarikat pengeluar produk saja mendapatkan khidmat mereka.

Sebuah kumpulan rock, Green Day juga menggunakan khidmat sama untuk mempromosi album baru mereka, !Uno!

Menurut jurucakap Absolute Territory, Eichi Atsumi, garis panduan perlu dipatuhi ialah mereka mendaftar menjadi iklan bergerak itu perlu mempunyai rangkaian 20 atau lebih orang dalam laman sosial dan mereka mesti berusia 18 tahun ke atas. - Daily Mail

No comments:

Post a Comment