Sunday, August 15, 2010

SUMPAH NAMA ALLAH TAK BOLEH MAIN2...KENA PUASA 3 HARI KERANA MELANGGAR SUMPAH...DISAMPING BERTAUBAT NASUHA...TIDAK BUAT LAGI...KALAU TIDAK..DIDUNIA TIDAK AMAN..AKHIRAT NERAKA BALASANNYA

Junjung al-Quran

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan FIRDAUS SAHAT
metahad@hmetro.com.my
2010/08/15

KUALA LUMPUR: Mereka menjunjung al-Quran sambil bersumpah taat setia dengan nama Allah SWT, tetapi pada masa sama tergamak meneguk arak, berzina selain bertindak sebagai kaki pukul.
Perkara itu didedahkan individu yang menduduki hierarki tertinggi dalam sebuah pertubuhan selepas bimbang dengan trend ‘langgar sumpah’ yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

“Walaupun pahit untuk menyatakan kebenaran ini tetapi saya perlu lakukannya kerana ramai yang seperti sudah termakan sumpah. Bukan saja orang biasa, beberapa artis yang sudah berbai’ah (sumpah taat setia) juga tidak terkecuali.

“Ada beberapa artis sudah bersumpah dengan nama Allah, tetapi berbuat perkara mungkar sehingga hidup menjadi tidak tentu hala. Mereka bersumpah mengikut suruhan serta meninggalkan laranganNya, namun sumpah hanya di bibir saja,” katanya.

Individu dikenali sebagai Ayah Haji itu berkata, artis yang menjadi ahli kepada beberapa pertubuhan yang mensyaratkan ahlinya melafazkan sumpah taat setia sudah melanggar sumpah sehingga ditimpa musibah.
“Cukup saya katakan beberapa artis yang dimaksudkan sudah hilang populariti akibat beberapa ‘hal mungkar’ yang dilakukan. Semoga mereka sedar dan bermuhasabah diri.

“Mereka masih ada peluang untuk berubah,” katanya yang sudah berpuluh tahun menyertai sebuah pertubuhan.

Ayah Haji berkata, sumpah taat setia dilafaz bukan perkara ‘suka-suka’ dan boleh dipandang ringan.

“Sumpah dibuat dengan nama Allah sambil menjunjung al-Quran. Ahli menyebut Wallahi, Wabillahi, Watallahi.... bersumpah bahawa akan taat setia kepada agama dan mengikut segala suruhan serta meninggalkan laranganNya. Bukan itu saja, sumpah dibuat diakhiri dengan sumpah mengatakan jika mungkir janji dibuat akan ditimpa bala, malah tidak selamat di dunia dan akhirat, tetapi apa yang berlaku, kebanyakan daripada mereka membuat sumpah itu seperti mainan.

“Ada yang terus dengan tabiat minum arak, ambil dadah, ‘kaki betina’ dan ‘kaki pukul’. Jelas, sumpah dibuat dilanggar dan tidak hairan pelbagai masalah menimpa mereka,” katanya.

Ayah Haji mengakui sudah melihat ramai ahli pertubuhannya menderita gara-gara bersumpah sesuka hati.

“Macam-macam yang sudah saya lihat. Ada yang keluarga porak peranda, perniagaan jatuh merudum, dipenjara, cacat, malah mati pun ada. Semua berlaku kerana berbuat kemungkaran.
“Sudah bersumpah menyeru ke arah kebaikan, mencegah kemungkaran, tetapi menjadi ‘kaki betina’ sehingga keluarga porak peranda, jadi ‘kaki pukul’ sehingga cacat, malah mati dalam pergaduhan dan jadi penagih serta pengedar dadah sehingga dipenjarakan,” katanya.

Menurut Ayah Haji, sehingga hari ini dia masih mengingati kisah salah seorang ahli pertubuhan yang kini lumpuh separuh badan.

“Ahli itu bersungguh-sungguh berbai’ah, namun hanya dalam tempoh beberapa jam selepas itu, dia ke disko, berfoya-foya dengan wanita sambil mabuk kononnya mahu meraikan penyertaannya dalam pertubuhan.

“Beberapa bulan selepas itu, dia jatuh di bilik air dan lumpuh separuh badan,” katanya.

Ayah Haji berkata, ada juga yang berbai’ah dalam keadaan khayal, mabuk dan tidak suci.

“Ada yang pandai ‘berlakon’. Ketika bersumpah taat setia menggunakan nama Allah, muka nampak tak buat apa-apa kesalahan, tetapi sebenarnya dalam keadaan khayal kerana dadah, mabuk kerana arak dan tidak suci, tidak kiralah belum mandi wajib atau baru lepas berzina.

“Bayangkan betapa mudahnya individu yang tidak memahami perjuangan melafazkan sumpah. Sama ada mereka sedar atau saja buat tidak tahu, sumpah dengan nama Allah bukan perkara yang boleh dibuat main-main,” katanya.

Begitupun, Ayah Haji berkata, bukan semua ahli melanggar sumpah, kerana masih ada yang benar-benar memahami dan mengamalkan sumpah yang dilafazkan.

“Yang menyertai perjuangan dengan ikhlas, tahu sumpah dilafazkan bukan mainan. Ada yang dulu jahat sehingga digelar ‘setan’, kini berubah.

“Apabila kita faham sumpah yang dibuat dan tahu tanggungjawab terhadap sumpah dibuat, usaha menyeru ke arah kebaikan, mencegah kemungkaran, mengikut suruhan serta meninggalkan laranganNya dapat dilaksanakan,” katanya.

Seorang lagi individu berpangkat tinggi dalam sebuah pertubuhan yang enggan dikenali berkata, kebanyakan individu yang mahu menyertai pertubuhan yang meletakkan syarat mengangkat sumpah taat setia sebelum diterima sebagai ahli berasa selamat dan kuat jika menyertai pertubuhan itu.

“Yang nyata, ramai yang mahu masuk pertubuhan kerana kononnya mendapat perlindungan ahli lain. Jika ada orang lain cari pasal, boleh panggil ahli lain bantu dan apabila sudah ramai, rasa diri selamat dan kuat.

“Jangan terkejut, ada yang bayaran kereta tertunggak mahu jadi ahli kononnya selepas jadi ahli, kereta boleh terus digunakan tanpa gangguan daripada penarik kereta kerana ahli lain boleh beri perlindungan. Golongan seperti ini tidak faham perjuangan dan sumpah dibuat, malah menggunakan pertubuhan untuk kepentingan diri sendiri.

“Ini semua salah. Perjuangan yang kita maksudkan bukan begini. Tetapi bila bilangan anggota menjadi ramai, ada yang lupa daratan dan gilakan kuasa. Akhirnya persatuan jadi huru hara,” katanya.

No comments:

Post a Comment