Monday, August 16, 2010

YANG KAYA BERBUKA DI HOTEL2 MEWAH....JUTAWAN LAGI LAH...PUSAT ZAKAT ASYIK TERLEPAS PANDANG...AMIL DAPAT BAHAGIAN SALAHSATU TUGAS MENCARI DAN MENGHANTAR AGIHAN PADA PENERIMA....

Ibu tunggal rayu tempat tinggal







Norehan Kamaruddin bersama anak-anaknya berbuka puasa ala kadar ketika ditemui di sebuah bangsal di Kampung Kurung Tengar, Kuala Perlis, semalam.





KANGAR 15 Ogos – Dengan tekad mencari rezeki bagi membesarkan anak-anak, ibu tunggal ini memberanikan diri merantau ke sini dari Kuala Kurau, Perak sebaik sahaja diceraikan suami setahun lalu.
Membawa bersama tujuh daripada sembilan anaknya, Norehan Kamaruddin, 37, mengharapkan penghijrahan itu membawa tuah kepada mereka lapan beranak.
Namun kehidupan tidak semudah yang diimpikan. Setelah hampir setahun berada di sini, dia masih gagal mendapatkan kerja.
Malah tempat keluarganya berteduh daripada panas dan hujan terpaksa didirikan ala kadar. Itupun atas belas ihsan seorang penduduk di Kampung Kurung Tengar di Kuala Perlis.
Rumah yang boleh diibaratkan seperti bangsal bertiangkan kayu bakau itu didirikan berhampiran kuala sungai.
Setiap kali air pasang, dia dan anak-anaknya terpaksa mengumpulkan pakaian dan meletakkan di pintu sebagai penahan bagi menghalang rumah mereka dimasuki air.
Dinding rumah hanyalah tikar-tikar usang yang disangkut di celah-celah atap zink dan setiap kali hujan, mereka anak-beranak terpaksa mencari ruang yang kering untuk berteduh sementara menunggu hujan reda.
Rumah itu hanya sebesar lebih kurang ruang tamu sebuah rumah kos rendah. Ia dibahagi kepada dua ruang iaitu dapur dan sebuah ruang lain yang dijadikan tempat untuk Norehan dan anak-anaknya tidur, belajar dan bermain.
Tiada bekalan api di rumah tersebut. Hanya cahaya lilin menerangi waktu malam apabila anak-anaknya hendak menyudahkan kerja-kerja sekolah manakala bekalan air diambil dari jiran sebelah atas ihsan mereka.
Kini Ramadan tiba, Norehan dan anak-anak tetap menjalani ibadah berpuasa seperti biasa walaupun dengan penuh kepayahan. Cuma Syawal yang bakal menjelang agak merunsingkan ibu tunggal ini.
Walaupun anak-anaknya yang berusia 14 tahun hingga 10 bulan reda dengan kehidupan yang dilalui, dia masih menaruh harapan dapat menyediakan baju raya dan sedikit juadah untuk mereka pada lebaran nanti.
Ketika diminta untuk ditemu bual, Norehan agak keberatan kerana bimbang dan malu ada pihak yang mencemuh. Malah lebih merisaukan wanita ini jika anak-anaknya berasa malu cerita mengenai keluarga mereka terpampang di akhbar.
Katanya, banyak pihak yang menghulurkan bantuan namun dia tidak mahu bergantung kepada bantuan semata-mata kerana memerlukan kerja tetap dan rumah yang sempurna untuk membesarkan anak- anaknya.
Antara yang tampil membantu termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri cawangan Perlis; Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pernah dilawati oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Mat Hassan.
“Saya bukan sombong tidak mahu menerima bantuan tetapi saya mahu bekerja dan kalau boleh mendapatkan bantuan tempat kediaman yang selamat untuk anak-anak apabila saya keluar bekerja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya, semalam.
Malah katanya, dia tidak berniat untuk menetap di bangsal itu, seolah-olah meraih simpati namun telah berusaha mencari rumah sewa tetapi gagal.
Katanya, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, JPM pernah menjanjikan untuk mendapatkan sebuah rumah kos rendah untuk keluarganya dan kini dia sedang menunggu keputusan daripada pihak berkenaan.
Norehan bukannya tidak mahu pulang ke kampung halaman dan meminta bantuan keluarga namun memandangkan mereka juga bukan orang senang, dia melupakan hasrat tersebut.
Ketika ini Norehan bergantung kepada wang bantuan JKM sebanyak RM450 sebulan namun dia tahu selagi tidak mendapat kerja, dia tidak akan mampu keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Bila berada dalam keadaan sekarang, macam-macam tuduhan dilemparkan kepada saya dan anak- anak. Sehingga saya tidak berani keluar rumah namun saya perlu lakukan sesuatu kerana niat saya apabila berhijrah ke sini, ia akan membawa sinar baru kepada kami,” katanya.
Anak-anak Norehan boleh digolongkan dalam kalangan kanak-kanak yang bijak apabila Hani Daniel Affandi, 14, mendapat tempat ke-11 pada peperiksaan pertengahan tahun; Hani Syamimi, 12, pula mendapat tempat kelapan; Hani Ellya Izzatie, 10, mendapat nombor 10; Aina Hidayah, 9, mendapat tempat pertama manakala Hidayat Aiman, 8, mendapat tempat ke-10 dalam peperiksaan baru-baru ini.
Namun begitu, proses pembelajaran mereka sering terganggu kerana tidak dapat hadir ke sekolah setiap hari ekoran masalah pengangkutan.
Minggu lepas mereka tidak hadir sekolah selama tiga hari kerana basikal sering rosak dan hujan menyebabkan baju mereka basah sebelum tiba ke sekolah.
“Guru dan pihak sekolah memahami masalah yang kami hadapi namun kalau boleh kami tidak mahu terlepas pembelajaran di sekolah terutama Hani Syamimi yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi,” kata Hani Daniel.
Seperti kanak-kanak lain, mereka mempunyai cita-cita yang murni untuk berjasa kepada keluarga. Namun ketika ini apa yang mereka perlukan hanya tempat berlindung yang lebih selesa agar dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran.


KESIAN...YANG KAYA BERMEWAH BERBUKA DI HOTEL2....MANA PERANAN PUSAT ZAKAT...WARTAWAN YANG TERHIDU CERITA...



'Air kosong jadi santapan'

Oleh Norasikin Daineh

2010/08/16

BEAUFORT: “Enam adik saya tidak pernah merungut apa lauk untuk berbuka atau bersahur kerana mereka faham keadaan keluarga hidup susah,” kata Siti Norzianah Abdul Pani, 25, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batandok Lubak, semalam.
Anak sulung itu mengaku dia dan adik-beradiknya sudah biasa dengan keadaan itu lantaran kehidupan mereka serba kekurangan kerana pendapatan bapanya, Abdul Pani Ramin, 46, yang bekerja sebagai penoreh getah tidak mampu memberi kemewahan seperti dinikmati orang lain.
“Ayah bekerja sebagai penoreh getah, manakala kami tujuh beradik bergilir menjaga ibu yang mengalami pendarahan otak sejak beberapa tahun lalu.

“Saya bekerja di kantin sekolah bagi membantu ayah termasuk menanggung beberapa adik yang masih bersekolah,” katanya.

Siti Norzianah berkata, gaji sebagai tukang masak di kantin sekolah yang tidak seberapa menyebabkannya kadangkala terpaksa mengikat perut dan menikmati sisa makanan yang ada.

“Kami sekeluarga tidak pernah menikmati ayam atau daging ketika berbuka puasa dan bersahur, malah ada masanya hanya air kosong menjadi santapan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Pani berkata, pendapatannya sebagai penoreh getah kurang RM500 sebulan menyebabkannya tidak mampu menyediakan rumah selesa untuk isteri dan anak-anaknya.

“Keadaan rumah saya ini sangat uzur tetapi ia menjadi tempat kami sembilan beranak berlindung dari hujan dan panas walaupun sudah terlalu banyak kerosakan berlaku pada dinding dan bumbung.

“Malah, pendapatan hasil menoreh getah juga tidak cukup menampung perbelanjaan perubatan isteri yang mengalami pendarahan otak serta menampung keperluan enam anak yang masih bersekolah,” katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati rumah didiami Abdul Pani sekeluarga sangat sempit dan hanya langsir usang memisahkan bilik tidur, dapur dan ruang tamu.

Malah, dinding yang berlubang, selain bumbung zink yang bocor menyebabkan keluarga berkenaan hidup dalam kesejukan terutama ketika hujan lebat.

Keadaan kesihatan isteri tidak mengizinkan dan memerlukan kos setiap kali pergi ke hospital menyebabkan saya berjimat dan menghadkan perbelanjaan.
“Kami boleh diibaratkan seperti kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang kerana pendapatan tidak menentu.

Abdul Pani berkata, isterinya pernah menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) beberapa bulan lalu di mana separuh perbelanjaan dan kos rawatan ditanggung kerajaan.

“Selebihnya saya terpaksa mendapat ihsan ahli keluarga lain serta menggunakan duit simpanan sendiri yang dikumpul bersama anak sulung, Siti Norzianah,” katanya

Katanya, sambutan Aidilfitri kali ini sama seperti tahun sebelumnya iaitu tiada pakaian atau juadah istimewa untuk isteri dan anak-anaknya.

“Sebelum ini saya ada memohon mendapatkan rumah melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada tahun 2001 tetapi tiada jawapan,” katanya.


KOMEN..NANTI BERBONDONG2 DATANG HULUR BANTUAN...HAIRAN BIN AJAIB



Lelaki lumpuh, isteri rayu bantuan

PULAU PINANG 15 Ogos - Pasangan suami isteri, Md. Abu Bakar Abbas, 58, dan Majimin Mohamed Yusoff, 50, merayu bantuan orang ramai untuk membaiki rumah mereka yang sedang rosak teruk.
Keadaan rumah yang terlalu uzur, bocor dan berlubang itu memaksa mereka yang tinggal di kawasan setinggan Kota Giam, Jelutong di sini hidup serba kekurangan serta sering kesejukan pada waktu malam, sejak empat tahun lalu.
Menurut Majimin, keadaan bertambah buruk jika hujan dan pernah kedua-dua mereka bermalam di luar kerana rumah yang didiami itu dinaiki air.
Katanya, kisah malang keluarga mereka bermula apabila suaminya diserang strok secara tiba-tiba selepas pulang dari tempat kerjanya mengakibatkan Md. Abu Bakar lumpuh separuh badan.
"Saya terpaksa berhenti kerja sebagai pencuci di Hospital Pulau Pinang (HPP) sebaik sahaja dia (suami) terlantar sakit. Mujurlah saudara mara dan jiran di sekeliling bermurah hati membantu kami.
"Ketika ini, apa yang saya harapkan hanyalah bantuan orang ramai untuk membaiki rumah ini memandangkan Syawal sudah dekat," katanya sambil menunjukkan atap rumahnya yang bocor ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Majimin, suaminya yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan sudah tidak mampu bergerak dan mengharapkan pertolongannya untuk menguruskan diri.
Katanya, kini hanya saudara mara dan jiran tetangga tempat mereka mengadu nasib.
"Alhamdulillah, berkat pertolongan pelbagai pihak, kami berdua kini menerima wang bantuan berjumlah RM600 sebulan iaitu RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM300 daripada Pusat Urus Zakat (PUZ).
"Wang itu, saya gunakan untuk perbelanjaan harian dan kos untuk membawa suami membuat pemeriksaan sekali dalam sebulan di HPP. Wang itu juga digunakan untuk membeli ubat kerana kami berdua sering tidak sihat," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Kebajikan dan Pengaduan Awam Khairiah Masjid Jamek Jelutong, Khairul Anuar Kamarudin berkata, kos untuk membaiki rumah yang berusia lebih 40 tahun itu dianggarkan RM15,000.
Beliau berkata, pihaknya amat prihatin dengan nasib pasangan tersebut dan berusaha membantu mereka tetapi pada masa sama mengharapkan kesudian mana-mana pihak untuk menghulurkan sumbangan.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan di akaun Bank Islam 07025021176169 milik Majimin atau menghubungi talian 012-468 5540 (Khairul Anuar).

No comments:

Post a Comment