Tuesday, March 1, 2011

JIKA TAMAK...NAK MURAH...NAK CEPAT KAYA...SERTA BODOH SENANG DITIPU...ATAU ORANG YANG NAK MENIPU MENGGUNA SIHIR PENUNDUK UNTUK MENCAPAI TUJUAN MEREKA....ELOK MUHASABAH DIRI...

20 gigit jari ditipu nyah

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
am@hmetro.com.my

KESAL...mangsa dan ahli keluarga masing-masing menunjukkan laporan polis yang dibuat dan dokumen yang digunakan suspek.
KESAL...mangsa dan ahli keluarga masing-masing menunjukkan laporan polis yang dibuat dan dokumen yang digunakan suspek.
GOMBAK: “Kami hanya berikan minuman dan makanan ringan kepada tetamu,” kata seorang mangsa penganjur perkahwinan yang gagal menyediakan pakej dijanjikan menyebabkan pelanggannya bukan saja kerugian puluhan ribu ringgit, tetapi turut menanggung malu.
Mangsa yang meminta identitinya tidak didedahkan berkata, dia sudah membayar RM37,000 kepada penganjur perkahwinan terbabit untuk pakej perkahwinannya merangkumi khidmat katering, kad jemputan, baju pengantin, gubahan hantaran, pelamin dan katil.

“Malangnya, sehari sebelum perkahwinan saya pada September tahun lalu, dia menghubungi saya dan memaklumkan gagal menyediakan semua yang dijanjikan.

Tiada apa yang dapat dilakukan saya dan keluarga ketika itu kerana masa terlalu suntuk. Akibatnya, pada hari perkahwinan saya, kami sekeluarga hanya memberi minuman dan makanan ringan kepada tetamu,” kata lelaki berusia lewat 20-an itu.
Tidak puas hati dengan apa yang berlaku, dia berjumpa ibu penganjur perkahwinan terbabit, namun wanita itu mendakwa tiada kaitan dalam aktiviti anaknya. “Malah, ibunya mendakwa sudah tiada hubungan dengan anaknya sedangkan sebelum itu semua wang dimasukkan ke dalam akaun ibunya,” katanya.

Penganjur perkahwinan terbabit yang juga seorang lelaki berpakaian wanita atau mak nyah berusia 37 tahun didakwa sudah mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit selepas memperdaya lebih 20 pelanggan sepanjang hampir enam tahun lalu. Selain bijak berkata-kata, dia hanya menggunakan sepasang pakaian pengantin dan satu sampel cenderamata bagi memperdaya puluhan bakal pengantin dan keluarga mereka.

Antara modus operandi mak nyah itu ialah meminta pelanggan memasukkan wang pendahuluan ke dalam akaun yang didaftarkan atas nama ibunya yang berusia lewat 50-an.

Mangsa terbaru mak nyah terbabit ialah Ab Wahab SH Salim, 57, yang merancang mengadakan majlis perkahwinan anak ketiganya, Mohd Fitri, 27, pada Sabtu ini dan sudah membuat bayaran pendahuluan RM21,000.

“Saya mengenalinya lima tahun lalu di pameran perunding perkahwinan. Apabila anak saya nak berkahwin, saya menghubunginya dan berbincang mengenai pakej perkahwinan yang dia tawarkan.

“Dalam kunjungan ke rumah saya Oktober lalu, dia menawarkan pakej perkahwinan lengkap katering, pakaian pengantin, hantaran, katil dan pelamin, selain kad undangan perkahwinan dengan harga murah,” katanya. Menurut Ab Wahab, selepas dia membuat bayaran RM21,000, mak nyah terbabit lesap sebelum menghantar SMS mengatakan gagal menguruskan majlis perkahwinan itu.

“Dia mengaku sudah menggunakan wang yang saya bayar dan berjanji akan melunaskan secara ansuran,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Gombak, di sini, semalam.

Ab Wahab berkata, dia tidak membayar wang yang diminta mak nyah terbabit secara terus, sebaliknya secara ansuran setiap kali diminta, namun transaksi itu dilakukan ke atas akaun ibunya.

“Selepas membuat laporan di Balai Polis Gombak, saya sekeluarga dimaklumkan terdapat beberapa mangsa lain yang turut berbuat demikian selepas ditipu lelaki terbabit,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Syed Danial Syed Shaffri, 26, mengalami nasib sama apabila dia dan tunangnya kerugian RM11,000 selepas diperdaya lelaki terbabit untuk urusan sama.

“Saya yakin dia mengamalkan ilmu salah seperti penunduk kerana setiap kali dia meminta wang, saya dan pasangan akan memberikannya dengan mudah.

“Cara dia menipu sama dengan mangsa lain. Biarpun mustahil untuk mendapatkan semula wang yang dilarikan itu, kami mendedahkan perkara ini bertujuan menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya tawaran pakej perkahwinan terbabit,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.


‘Goyang lalok’ rai hari lahir

Oleh Sarah Zulkifli dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Gara-gara mahu meraikan hari lahir rakan secara luar biasa, 25 lelaki dan lima wanita ditahan ketika ‘goyang lalok’ dalam satu parti liar dadah dan arak yang dianjurkan mereka di sebuah hotel di Jalan Pudu, Pudu Ulu di sini, Sabtu lalu.
Difahamkan, semua suspek berusia antara 18 hingga 30 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras ketika asyik menari dipercayai di bawah pengaruh dadah dan alkohol.

Malah, ada dakwaan mengatakan kumpulan terbabit turut melakukan hubungan seks ketika meraikan majlis hari lahir seorang daripada mereka. Semua mereka dipercayai saling mengenali antara satu sama lain.
Dalam serbuan kira-kira jam 4 pagi itu, pihak berkuasa turut merampas pelbagai jenis dadah, antaranya Eramin 5, methapetamin dan Ecstasy.

Menurut sumber, sepasukan polis bergegas menyerbu bilik hotel bertaraf tiga bintang itu selepas menerima aduan daripada penghuni lain kerana kumpulan terbabit dikatakan membuat bising sehingga mengganggu ketenteraman mereka.

“Ketika serbuan dilakukan, ada segelintir daripada kumpulan terbabit masih menari kerana dipercayai di bawah pengaruh dadah.


“Semua yang ditahan kemudian dibawa ke balai polis untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh ketika dihubungi, mengesahkan penahanan kumpulan terbabit.

“Hasil ujian air kencing yang dilakukan, 19 daripada mereka termasuk dua wanita didapati positif dadah. Malah, pihak berkuasa turut merampas pelbagai jenis dadah yang digunakan dalam parti berkenaan.

“Mereka semua akan direman sehingga hari ini (semalam) dan akan dihadapkan ke mahkamah esok (hari ini),” katanya.

Mohan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Saya menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa supaya sentiasa memantau perkembangan anak masing-masing bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.


Derma ‘dapat’ tanah

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

LAPOR...Sarah menunjukkan laporan polis yang dibuatnya selepas  ditipu pertubuhan terbabit.
LAPOR...Sarah menunjukkan laporan polis yang dibuatnya selepas ditipu pertubuhan terbabit.
RAWANG: Satu pertubuhan usahawan dari negeri jiran dikesan bergiat aktif menawarkan khidmat mendapatkan tanah dengan syarat menderma RM2,500 kepada mereka sebagai derma kononnya untuk majlis makan malam amal pertubuhan itu.
Taktik mereka yang terdiri daripada empat lelaki itu cukup licik kerana ‘berlakon’ seolah-olah mengenali mangsa sebelum meminta menderma wang berkenaan dan sebagai alasan jika syarikat mangsa ingin mendapat tanah, mereka bersedia membantu. Terbaru, seorang lelaki berusia 50-an yang menjalankan perniagaan berasaskan kayu menjadi mangsa apabila didatangi empat lelaki terbabit Khamis lalu yang mendakwa mereka daripada sebuah pertubuhan usahawan.

Pekerja syarikat terbabit yang dikenali sebagai Sarah, 24, berkata, pada hari kejadian kira-kira jam 10 pagi, empat lelaki terbabit datang ke pejabatnya di sini dengan memperkenalkan diri sebagai ahli sebuah pertubuhan usahawan dan kedatangan untuk menerangkan kempen yang dijalankan.
Menurutnya, dia kemudian membawa mereka berjumpa dengan ketuanya dan ketika bertemu, seorang daripada lelaki terbabit terus menyapa nama ketuanya itu seolah-olah sudah lama mengenalinya namun panggilan nama digunakan mereka salah.

“Saya ketika itu sudah berasa ada sesuatu yang tidak kena, namun membiarkan sahaja. Mereka juga mendakwa mempunyai pengaruh yang kuat dan mempunyai kenalan rapat dengan ahli politik yang dapat membantu mendapatkan tanah di sebuah negeri dengan mudah.

“Pada mulanya mereka meminta ketua saya mengeluarkan cek pada hari itu juga sebanyak RM2,500, namun tidak boleh kerana cek syarikat di ibu pejabat di Damansara,” katanya.

Menurutnya, cara mereka meminta sumbangan dengan mendesak menimbulkan curiga niat sebenar pertubuhan itu tambahan tidak memberi kad perniagaan bagi memudahkan urusan.

Beliau berkata, keesokannya kira-kira jam 3 petang, seorang daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai presiden datang mengambil cek itu.

“Selepas lelaki terbabit beredar saya menghubungi talian pertubuhan lain untuk memastikan kewujudan pertubuhan itu namun gagal. Malah saya menghubungi agensi berkaitan dan terkejut apabila diberitahu pertubuhan itu sudah banyak kali membuat kes penipuan yang sama,” katanya.

Sehubungan itu, dia membuat laporan di Balai Polis Rawang untuk mengetahui situasi sebenar berkaitan pertubuhan terbabit sama ada benar mereka menjalankan kutipan derma atau lebih kepada keuntungan sendiri.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

No comments:

Post a Comment