Saturday, April 16, 2011

MALAYSIA OH MALAYSIA...ADA YANG BAIK....ADA YANG BERPERAGAI KURANG BAIK....JIKA AGAMA TIDAK DIAMALKAN SECARA SYUMUL@SEMPURNA

Wajah baru Hentian Puduraya


SEORANG pekerja kontraktor menyiapkan kerja-kerja terakhir pemasangan papan tanda baru di Hentian Puduraya di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Hentian Puduraya yang operasinya bermula secara rasmi hari ini selepas hampir 14 bulan ditutup untuk kerja-kerja naik taraf menampilkan pelbagai kemudahan kepada orang ramai.
Kini tiada lagi asap bas yang menyesakkan nafas dan bahang yang memerah peluh.
Hentian itu kini dilengkapi sistem pendingin hawa di setiap lokasi, surau yang lebih besar serta menampilkan persekitaran yang lebih ceria.
Kemudahan lain ialah ialah bilangan kerusi dan tandas yang lebih banyak, kemudahan lif, eskalator serta skrin paparan maklumat di kesemua bangunan empat tingkat itu bagaikan balai berlepas di lapangan terbang.
Selain itu, pelbagai kemudahan bagi orang kurang upaya (OKU) juga disediakan.

Berdasarkan Laporan Kerja-Kerja Naik Taraf Dan Penambahbaikan Hentian Puduraya oleh Uda Holdings Berhad, Hentian Puduraya menyediakan sebanyak 1,914 buah kerusi dan 20 buah platform bas.
Ia turut dilengkapi sebanyak 87 unit tandas termasuk yang dibina khusus untuk OKU selain kemudahan lif dan eskalator bagi memudahkan pergerakan orang ramai.
Dua pusat kaunter maklumat dan sebanyak 22 skrin paparan maklumat di beberapa lokasi strategik juga disediakan.
Bagi memastikannya mesra pengguna, bangunan itu turut menyediakan kemudahan untuk menukar lampin bayi, surau yang boleh menunaikan solat Jumaat serta ruangan khas untuk perokok.


Berat Balagi turun 81 kilogram


MALINDA RAZAK BALAGI masih dirawat di wad HPP, George Town semalam meskipun telah berjaya menurunkan berat badan sebanyat 81 kilogram.


GEORGE TOWN – Selepas kira-kira enam bulan dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP), keadaan lelaki obes, M. Balagi, 44, kini semakin baik apabila berat badannya yang dahulu mencecah 300 kilogram (kg) kini turun kepada 219 kg.
Perubahan itu hasil diet Balagi yang mengamalkan minuman susu rendah lemak sahaja selain menjalani latihan fisioterapi setiap hari di bawah bimbingan pakar-pakar di HPP.
Sebelum ini berat Balagi berjaya diturunkan kepada 280 kg selepas 20 hari di tempatkan di HPP dan turun lagi tiga bulan kemudian kepada 240kg sebelum mencecah 230 kg bulan lalu.
Balagi yang kelihatan semakin sihat bagaimanapun masih dirawat di wad HPP kerana masih tidak mampu berdiri akibat kesan kecederaan di bahagian pinggang semasa jatuh di dalam bilik air di rumahnya pada 26 Oktober tahun lalu.
“Menurut doktor, saya masih perlu tinggal di sini untuk satu tempoh yang belum dapat dipastikan bagi memastikan saya betul-betul pulih dan boleh mengimbangkan badan supaya dapat berjalan seperti dahulu.
“Memang bosan sangat kerana sudah lama terlantar di sini, namun saya gembira dengan perubahan berat badan serta cukup berterima kasih kepada doktor, jururawat serta jurulatih fisioterapi di sini,” ujarnya ketika ditemui.


Wajibkan bayar nafkah bekas isteri melalui potongan gaji


KHAIRUL ANWAR (duduk kiri) bertemu orang ramai yang mahu mendapatkan khidmat SukaGuam di Setapak, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Sukarelawan Peguam (SukaGuam) mencadangkan supaya satu undang-undang khusus yang mewajibkan pembayaran nafkah melalui potongan gaji digubal bagi menjaga kebajikan bekas isteri dan anak daripada terus teraniaya.
Pengerusinya, Datuk Khairul Anwar Rahmat (gambar kecil) berkata, cadangan itu akan dibawa kepada jabatan agama Islam negeri dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia untuk perbincangan lanjut.
“Kami akan menulis surat kepada setiap jabatan agama Islam negeri dalam masa dua minggu dari sekarang mengenai perkara ini kerana segala yang berkaitan dengan hal ehwal Islam ditadbir mereka.
“Cadangan ini akan menetapkan potongan gaji secara terus masuk ke akaun anak-anak,” katanya pada program khidmat SukaGuam di Setapak di sini semalam.


Lebam dibelasah suami sendiri

KUALA LUMPUR – Malang menimpa seorang wanita apabila dia yang sepatutnya disayangi telah dijadikan tempat melepaskan geram apabila disepak, ditumbuk dan dipukul oleh suami sendiri sejak lima tahun lalu.
Lebih malang apabila wanita berusia 24 tahun tersebut ‘dikerjakan’ secukup-cukupnya hingga gagal bercakap dengan normal oleh kaki pukul yang didalangi suaminya sendiri bersama dua lagi rakan lelaki itu kelmarin.
Difahamkan, salah seorang rakan suami mangsa itu mendakwa dia merupakan anggota polis dari salah sebuah balai polis di ibu negara. Dia turut menunjukkan sepasang gari dan memberi sepucuk pistol kepada suami mangsa bertujuan untuk mengugut wanita itu.
Kejadian pukul 4 pagi di Jalan Ipoh di sini itu berlaku apabila suspek naik berang selepas mengetahui isterinya berlindung di rumah keluarganya di sebuah apartmen di Bandar Tun Razak selepas tidak tahan didera.
Pasangan itu menetap di kawasan Sentul sebelum mangsa berpindah ke rumah keluarganya sejak awal bulan lalu.
Sumber memberitahu, mangsa kemudian telah menemui suaminya selepas dimaklumkan yang lelaki itu hendak memulangkan kenderaan Toyota Wish miliknya.


Kera ganas gigit kepala bayi


ABDUL RAZAK mendukung Siti Hajar yang cedera diserang kera di Kampung Kilang Berapi, Merlimau kelmarin.


MELAKA – Seorang pengasuh, Rokiah Abd. Rahman, 59, tidak menyangka dia terpaksa mengerah kudrat berlawan dengan seekor kera yang menceroboh masuk rumahnya bagi menyelamatkan seorang kanak-kanak yang diasuhnya dalam kejadian di Kampung Kilang Berapi, Merlimau di sini kelmarin.
Sebelum kejadian mencemaskan pada pukul 10 pagi itu, ibu tunggal itu berkata, dia dan dua kanak-kanak yang dijaganya berada di dalam rumah dengan semua pintu dan tingkap tertutup.
“Saya dan bayi Siti Hajar Abd. Razak yang berumur setahun sedang tidur di ruang tamu manakala seorang lagi budak lelaki berumur dua tahun bermain di dalam sebuah bilik,” ceritanya.
Ketika dia terlelap, lengan kanannya yang memeluk Siti Hajar tiba-tiba terasa sakit dan apabila membuka mata dia terkejut melihat seekor kera yang bermuka bengis enggan melepaskan lengannya.
Rokiah memberitahu, takut dengan tindakan kera itu dia menarik sekuat hati lengannya menyebabkan kera itu yang semakin ganas menggigit pula kepala Siti Hajar yang masih berbaring.
“Melihat keadaan Siti Hajar dalam bahaya, saya memukul kepala kera itu beberapa kali namun kera itu enggan melepaskan gigitannya.
“Saya kemudian mencekak tengkuk kera itu sekuat hati menyebabkan haiwan itu melepaskan gigitan pada kepala Siti Hajar,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka di sini semalam.
Rokiah memberitahu, seorang jiran yang terdengar jeritan Siti Hajar bergegas datang membantunya dan mereka sama-sama memukul kera itu menyebabkan haiwan berkenaan melarikan diri.


Polis cari suami isteri kaki belit


KOK LIANG menunjukkan gambar Siew Weng (kanan) dan Heoy Choo yang dicari bagi membantu siasatan berhubung kes tipu melibatkan RM6.3 juta pada sidang akhbar di Hilir Perak semalam.


TELUK INTAN – Sepasang suami isteri ibarat cacing kepanasan selepas menyedari mereka dicari polis bagi membantu siasatan berhubung penipuan mengenai penawaran projek dan tender yang tidak wujud di sekitar Perak dengan nilai keseluruhan RM6.3 juta sejak sebulan lalu.
Song Siew Weng, 49, yang mempunyai ketinggian 1.73 meter dan berbadan gempal manakala isterinya, Chong Heoy Choo, 50, pula berbadan gemuk serta memiliki ketinggian 1.60 meter dicari selepas menghilangkan diri beberapa hari lalu.
Kebanyakan mangsa terpedaya dengan pasangan tersebut ekoran lakonan mantap kaki tipu itu yang sering membuat temu janji di restoran mewah dan menaiki kereta mahal.
Selain itu, pasangan tersebut turut memberi derma mencecah ribuan ringgit di rumah-rumah ibadat dan pusat pendidikan untuk mengaburi mata orang ramai.
Difahamkan, pasangan dari Taman Perkasa di sini itu telah memperdaya lima pelabur dengan nilai kerugian terbesar bernilai RM767,464.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, wang itu diperoleh daripada seorang lelaki berusia 73 tahun selepas terpedaya dengan tawaran suspek mengatakan mereka mempunyai projek di atas tanah rizab kerajaan seluas 121.5 hektar untuk tanaman kelapa sawit di Hutan Melintang.
Katanya, mangsa kedua iaitu seorang lelaki berusia 67 tahun pula kerugian RM150,000 selepas membayar deposit bagi tender palsu membekalkan buah-buahan kepada pelatih Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut.


NEGARA


Waran tangkap Norman, Memey

KUALA LUMPUR – Pelakon Norman Hakim dan tunang, Memey Suhaiza dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur semalam untuk sebutan kes khalwat tanpa sebarang notis kepada mahkamah.
Arahan waran tangkap dikeluarkan oleh Hakim Syarie Salehan Yatim dan menetapkan untuk keputusan kes pada 29 Julai depan selepas kedua-dua belah pihak selesai mengemukakan hujah penggulungan masing-masing.
Terdahulu, Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Hasrul Hafiszi Ahmad Kamal memohon waran tangkap dikeluarkan walaupun peguam syarie, Munirah A. Bakar lebih dahulu memaklumkan Norman sakit manakala Memey mempunyai urusan.
“Kami tidak boleh menerima alasan yang dikemukakan oleh peguam sebentar tadi, oleh yang demikian, pendakwaan memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap kedua-dua tertuduh terbabit,” tegas beliau.


Penduduk kesal hutan diteroka


MAT LAZIM menunjukkan kawasan tandak yang menakung air dipenuhi pasir dan lumpur akibat pembalakan di kawasan hutan di Pasir Puteh semalam.


PASIR PUTEH – Lebih 2,000 penduduk berhampiran tanah Rancangan Felcra Teratak Batu dekat sini kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang meluluskan kawasan tadahan air hujan di Bukit Kabung untuk diteroka sebuah syarikat pembalakan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Mukim Gong Kelih, Mat Lazim Zakaria mendakwa, kelulusan penerokaan kawasan hutan dara seluas 50 hektar itu memberi kesan buruk kepada penduduk berdekatan.
“Sejak kawasan hutan itu diteroka, penduduk berdepan dengan masalah bekalan air bersih untuk kegunaan harian dan menjalankan projek pertanian melalui sistem tandak atau takungan.
“Tandak yang dibina untuk menyimpan air bersih dengan perbelanjaan RM100,000 itu kini dipenuhi tanah dan lumpur menyebabkan batang paip yang menyalurkan bekalan air ke rumah dan kawasan pertanian tersumbat,” katanya ketika melawat kawasan tersebut di sini semalam.



Kedi asing ditahan, dipercayai tawar khidmat seks

16/04/2011 4:52pm

JOHOR BAHRU — Jabatan Imigresen menahan 26 pendatang tanpa izin semasa mereka melaporkan diri bagi memulakan kerja sebagai kedi wanita di sebuah kelab golf terkemuka di Kulaijaya, hari ini.
Kesemua wanita warga Indonesia yang berumur antara 21 hingga 46 tahun itu ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Ketua Bahagian Penguatkuasa Johor, Mohd. Nakhafi Hasan dalam satu kenyataan berkata, wanita terbabit mendakwa ditipu ejen pekerja asing bagi mendapatkan permit pekerjaan.
Akibat gaji RM500 mereka akan dipotong sebanyak RM400 oleh ejen terbabit setiap bulan bagi urusan permit, mereka dipercayai menawarkan khidmat seks pada sebelah malam bagi menampung kos hidup,” katanya.
"Ops Kutip” hasil maklumat awam itu berakhir dalam masa sejam dan wanita terbabit dibawa ke ibu pejabat Imigresen Johor di Taman Setia Tropika di sini untuk siasatan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan. — Bernama


Tidak serik walaupun telah diserbu 22 kali diserbu

16/04/2011 5:58pm

GEORGE TOWN — Walaupun diserbu pihak berkuasa 22 kali tahun lepas kerana menjalankan aktiviti tidak bermoral, sebuah pusat hiburan di Persiaran Gurney di sini diserbu sekali lagi malam tadi kerana kesalahan yang sama.
Hasil serbuan itu, sepasukan polis dari Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman dan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut berjaya menahan 12 wanita warga asing yang didapati bekerja tanpa dokumen yang sah.
Ketua Operasi dari Cawangan D7 Bukit Aman ASP, Shahrul Nizam Jaafar berkata, 11 wanita warga China dan seorang rakyat Vietnam itu ditahan ketika leka melayan pelanggan.
"Serbuan itu dibuat hasil intipan selama sebulan berikutan maklumat orang ramai mengenai pusat hiburan yang menawarkan perkhidmatan GRO (pelayan pelanggan) rakyat asing,” katanya kepada pemberita, disini hari ini.
Kesemua wanita terbabit yang berusia antara 17 dan 30 tahun juga didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral, katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment