Sunday, August 28, 2011

ADA BAIK KITA MENDIRIKAN SOLAT SUNAT MUSAFIR...DALAM SUJUD KITA BERDOA DALAM HATI...MOHON PERLINDUNGAN DARI ALLAH...BAIK KESUKARAN PERJALANAN...KEMALANGAN DAN LAIN2....KERANA ALLAH LAH SEBAIK2 PERLINDUNG....

Tolak baju baru

Oleh ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
zatuliffah@hmetro.com.my

DIRAWAT... Mohd Amni yang cedera di muka dirawat hospital selepas terbabit dalam kemalangan.
DIRAWAT... Mohd Amni yang cedera di muka dirawat hospital selepas terbabit dalam kemalangan. 
 
KUALA TERENGGANU: “Arwah berpesan kepada isterinya supaya tidak membelikannya baju raya tahun ini walaupun mereka sekeluarga sentiasa berpakaian sedondon setiap kali menyambut hari lebaran.
“Namun, isterinya tetap menyediakan baju raya itu tanpa memaklumkan arwah dan siapa sangka pesanan itu adalah petanda arwah akan meninggalkan keluarganya beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri,” kata Maznah Bakar, 43, kakak ipar kepada Sukri Awang, 38, anggota tentera yang maut dalam kemalangan di Kilometer 33 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi di Kampung Bukit Kolam, Hulu Terengganu, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi, Sukri yang duduk di sebelah kiri penumpang bahagian depan cedera parah di dada dan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Hulu Terengganu manakala isterinya yang juga adik kepada Maznah, Norwani Bakar, 36, cedera di rusuk namun dirawat sebagai pesakit luar.
Selain itu, tiga anak pasangan berkenaan iaitu Mohd Amin, 6, yang cedera di rusuk dan Mohd Naim, lima bulan, yang mengalami pendarahan di kepala dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, manakala Mohd Amni, 3, yang cedera di muka ditempatkan di wad biasa HSNZ.

Ketika kemalangan, mereka yang menetap di Kem Tentera Iskandar, Johor Bahru dalam perjalanan pulang ke kampung Norwani di Bachok, Kelantan bagi menyambut Aidilfitri.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Honda Civic dipandu Norwani dari arah Bukit Besi menghala ke Ajil terbabas ke sebelah kanan jalan lalu dilanggar sebuah kenderaan Honda Accord yang datang dari arah bertentangan.

Menurut Maznah, Norwani juga bersikap pelik apabila tidak memberitahu kepulangan mereka sekeluarga, sedangkan sebelum ini mereka biasanya memaklumkan perkara itu setiap kali pulang beraya di rumahnya di Kampung Alur Pilai, Jelawat, Bachok.

“Sebelum ini, saya tanya sama ada mereka akan pulang beraya tetapi Norwani memaklumkan tidak tahu kerana suaminya bekerja. Mungkin dia dan arwah suaminya merahsiakan kepulangan mereka kerana ingin membuat kejutan.
“Difahamkan, mereka bertolak daripada Kem Tentera Iskandar jam 12 tengah malam Khamis lalu. Jika saya tahu hal itu, pasti saya tidak membenarkan mereka pulang kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku,” katanya yang ditemui di HSNZ di sini, semalam.

Maznah yang juga anak ketiga daripada lima beradik berkata, dia turut berasa tidak sedap hati pada hari kejadian dan segala perasaannya terjawab apabila menerima panggilan daripada Norwani memaklumkan dia dan keluarga terbabit kemalangan.

“Norwani menghubungi saya selepas kejadian itu sebelum panggilan terputus disebabkan telefonnya rosak. Namun ketika cuba menghubunginya semula, saya terdengar bunyi ambulans dan menyangka mereka sekeluarga hanya terbabit dalam kemalangan biasa.

“Walaupun masih terkejut dengan apa yang berlaku, saya reda, apatah lagi mengenangkan tragedi berlaku beberapa hari sebelum Aidilfitri,” katanya.

Seorang rakan Sukri yang enggan dikenali memaklumkan, arwah sememangnya teruja untuk pulang beraya pada malam sebelum kejadian walaupun isterinya mencadangkan mereka pulang pada keesokan harinya.

“Arwah baru saja bertugas di kem ini selama tiga hari selepas dipindahkan dari Melaka. Dalam tempoh itu, arwah tidak pernah tinggal menunaikan solat sunat tarawih, cuma dia kelihatan tidak sabar-sabar untuk pulang berhari raya pada malam sebelum kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Alias Hashim berkata, 153 kes kemalangan dilaporkan di negeri ini dalam tempoh empat hari Ops Sikap 24 dilancarkan sejak 23 Ogos lalu membabitkan lapan kemalangan maut dengan lapan kematian.

Lelaki disyaki dera anak tiri ditahan



HULU SELANGOR: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mendera anak tirinya berusia tiga tahun, menyebabkan mangsa kini terlantar di hospital akibat patah gigi dan lebam seluruh badan.
Sehingga kini, mangsa dilaporkan belum sedarkan diri selepas dihantar ke Hospital Sungai Buloh oleh ibunya, kelmarin.

Menurut sumber, doktor yang merawat mangsa mengesyaki dia didera berdasarkan kesan lebam baru dan lama di leher, telinga dan badannya, menyebabkan pengamal perubatan itu membuat laporan polis.
“Susulan laporan diterima, sepasukan anggota polis menyerbu rumah mangsa sebelum menahan seorang lelaki yang juga bapa tirinya di sebuah rumah di Bukit Sentosa bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai didera berulang kali sejak sebulan lalu selepas ibunya berkahwin dengan lelaki itu lebih setahun lalu.

Sumber itu berkata, ibu mangsa adalah warga Indonesia dan pernah berkahwin dengan seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh sebelum pasangan itu bercerai.

“Polis akan mendapatkan keterangan lanjut daripada ibu mangsa bagi membantu siasatan kes itu, namun sehingga kini dia belum berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, suspek kini direman empat hari mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 200.

Anak hilang sebelum raya

POKOK SENA: “Aidilfitri yang akan disambut Selasa nanti tidak akan bermakna bagi kami sekeluarga selagi anak perempuan saya tidak pulang ke rumah semula,” kata Haironi Abdul Rahman, 43, ibu kepada Siti Noor Atikah, 16, yang hilang sejak 22 Julai lalu.
Katanya, sambutan Aidilfitri tahun ini tidak bermakna kepada mereka seisi keluarga kerana sentiasa memikirkan nasib anak perempuannya.

Haironi berkata pada hari kejadian, Atikah keluar bersama kakaknya, Siti Noor Hasfinas, 17, ke Alor Setar jam 5 petang.
Namun apabila tiba di sebuah pusat beli-belah, Atikah bertemu seorang rakan perempuannya bernama Sheila dan mereka menaiki motosikal ke satu lokasi lain.

Hasfinas kemudian menunggu adiknya di pusat beli-belah berkenaan, tetapi sehingga lewat malam Atikah masih tidak muncul.

Bapanya, Abu Bakar Mat Desa, 44, berkata sehingga hari ini mereka tidak menerima khabar mengenai Atikah, malah terus dirundung kebimbangan dengan nasib anak ketiga daripada lapan beradik itu.

“Anak gadis saya bercita-cita menjadi model selepas tamat persekolahannya dan dia anak yang patuh dan jarang melawan cakap ibu bapa.

“Saya sudah puas menghubungi telefon bimbitnya, tetapi gagal. Saya bimbang dengan keselamatannya memandangkan dia berseorangan tanpa keluarga.
“Jika Atikah ada berkecil hati dengan keluarga ini, saya minta maaf dan merayu dia pulang ke pangkuan kami semula sebelum Syawal tiba tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Panchur, di sini.

Selepas Atikah masih tidak pulang ke rumah, keluarganya membuat laporan di Balai Polis Pokok Sena dan sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai gadis terbabit diminta menghubungi keluarga itu di talian 012-4594148.

Tangan dikelar

Oleh SITI NOR HIDAYATIDAYU RAZALI
idayu@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang wanita cedera di tangan kanan selepas dikelar dalam kejadian samun berkumpulan oleh tiga lelaki bersenjatakan pisau di sebuah kedai cermin mata di Wangsa Maju, di sini, kelmarin.
Kejadian jam 9.30 malam itu menyebabkan Naizatul Siha Hassan, 35, yang berlumuran darah, berlari mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

Saksi yang mahu dikenali sebagai Sing, 28, berkata ketika kejadian dia bersama seorang rakannya yang turut bekerja di premis berkenaan melakukan kerja di bahagian belakang manakala mangsa yang menjadi juru wang, berada di kaunter.
Katanya, dia mendengar mangsa menjerit selepas premis itu dimasuki tiga lelaki bersenjata yang mengugut akan mencederakannya jika enggan menyerahkan wang.

“Mangsa cuba mempertahankan diri dan bergelut dengan penyamun sebelum tangannya dikelar, menyebabkannya cedera.

“Mangsa yang kesakitan berlari keluar premis dan menjerit minta tolong, namun tiada siapa membantu kerana ketakutan melihat tiga suspek itu membawa senjata tajam, menyebabkan mangsa berlari sejauh 50 meter ke klinik untuk mendapatkan rawatan,” katanya, di sini.

Menurutnya, dia lihat tiga penjenayah berkenaan berlari menaiki motosikal dan membawa bersama beg serta wang tunai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata selepas 20 minit kejadian pihaknya menangkap seorang daripada suspek berusia 28 tahun apabila anggotanya yang melakukan rondaan terserempak dengannya.
Katanya, anggotanya yang baru keluar dari balai polis Wangsa Maju terdengar suara wanita menjerit minta tolong sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Mangsa yang kesakitan menunjukkan arah tiga motosikal suspek sebelum anggota polis mengejar ketiga-tiga lelaki itu.

“Seorang daripada mereka ditahan di Seksyen 10, satu kilometer daripada tempat kejadian dan polis merampas pisau potong daging serta wang tunai yang disamun,” katanya.

Pilu sambut hari raya

Oleh SHAMRAN SARAHAN
shamss@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Beraya atau tidak, sama saja. Asalkan suami masih ada di sisi, ia sudah memadai,” kata Satona Pinyin, 46, yang diselubungi pilu mengenangkan nasib suami tersayang, Khalid Che Rus, 51, yang terlantar sakit dan hilang ingatan sejak lebih dua tahun lalu.
Khalid yang juga polis berpangkat koperal, terbabit dalam kemalangan pada 29 April 2009 apabila motosikal ditunggangnya dirempuh dari belakang oleh sebuah kenderaan yang kemudian melarikan diri.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu di Jalan Enggang, Keramat, Khalid yang bertugas di Balai Polis Ampang baru menamatkan tugas pada hari berkenaan. Akibat kemalangan itu, Khalid mengalami kecederaan dan pendarahan teruk di kepala, menyebabkan dia koma hampir 10 bulan.
Walaupun kini sudah sedar, dia masih tidak boleh berjalan dan sukar menggerakkan anggota badannya.

“Apapun saya bersyukur, suami bertambah pulih berbanding sebelumnya. Berat badannya juga bertambah, sejak kebelakangan ini seleranya bertambah,” kata Satona.

Menjelang Syawal nanti, Satona berkata, dia dan anak, Mohamad Khahril Haizad, 21, Mohamad Nazrin, 20, dan Mohamad Hafiz, 17, hanya meraikan Aidilfitri secara ala kadar di rumah kediaman mereka di AU1 Taman Keramat, Keramat Permai.

“Sebagaimana tahun sudah, kami tidak ke mana-mana. Dalam keadaan suami begini, baik saya dan anak bersederhana di rumah ini menyambut lebaran.

“Bagi saya, menjaga suami lagi penting daripada beriya-iya menyambut raya. Anak juga sama, tidak mahu berlebih-lebih,” katanya.
Dalam pada itu, Satona mengakui sering terkenang suasana Ramadan sebelum suaminya ditimpa kemalangan apabila mereka sekeluarga meraikan ibadat puasa bersama.

Nikmat terakhir berbuka puasa disuap isteri

Oleh SUZAINI SULAIMAN
metahad@hmetro.com.my

TANJUNG KARANG: “Ayah sangat berselera ketika berbuka puasa disuap emak. Beberapa minit kemudian ayah tiba-tiba senyap.
“Apabila cuba digerakkan, dia langsung tak bangun-bangun. Rupa-rupanya dia sudah meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya,” kata Zaidi Salleh, 25.

Ayahnya, Mohd Salleh Harun, 60, meninggal dunia jam 7.40 kelmarin ketika berbuka puasa bersama keluarganya.
Zaidi berkata, ayahnya sudah dua tahun terlantar menanggung kesakitan akibat kuman dalam paru-paru.

“Kami mendoakan ayah yang meninggal dunia pada hari dan bulan baik, iaitu ketika umat Islam masih menunaikan ibadah puasa pada Ramadan yang mulia ini, dicucuri rahmat,” katanya.

Arwah meninggalkan balu, Yatin Sidek, 49, dan dua anak lelaki yang kini bekerja kampung iaitu Zaidi dan Mohd Kamal, 23, serta seorang anak perempuan, Zarinah, 17, yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Jenazah arwah disembahyangkan di rumahnya sebelum dikebumikan pada jam 10 pagi semalam di Tanah Perkuburan Parit 4, Kampung Seri Gambut, Sungai Burong.

Setiausaha Jawatan Kuasa Kampung Persekutuan (JKKP) Kampung Seri Gambut, Karim Abdullah berkata lebih 100 penduduk menghadiri majlis pengebumian arwah semalam.
Rabu lalu, arwah antara 15 penerima sumbangan kategori keluarga susah dalam program Titipan Kasih-Infaq Ramadan Harian Metro di destinasi terakhir bagi tahun ini di Masjid Nurul Islam Blok Y1, Parit 2 Sungai Burung, di sini.

Sementara itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar mewakili seluruh warga kerja Harian Metro/Metro Ahad mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga arwah.

Tidak halang hanya beri pandangan



SUNGAI SIPUT: “Pak cik tidak pernah menghalang Kartika untuk berkahwin kerana dia berhak menentukan masa depannya, namun pada masa sama tidak melepaskan sepenuhnya proses membuat keputusan kepada Kartika.
“Bukan mahu mengongkongnya tetapi sebagai ayah, saya juga bertanggungjawab memberi pandangan supaya dia memilih calon sesuai demi masa depannya,” kata bapa Kartika, Shukarnor Abdul Muttalib, 62.

Menurutnya, setiap lamaran diterima Kartika menerusi surat ditunjukkan terlebih dulu kepadanya dan seperti biasa dia memberi pendapat dan pandangannya.
Katanya, dia tidak mahu anaknya membina kebahagiaan di atas kesedihan insan lain dan sebab itu dia seboleh-bolehnya mahu mengelak Kartika menjalin hubungan dengan suami orang.

“Saya faham urusan jodoh, pertemuan, ajal dan maut semuanya terletak di tangan Allah, namun seboleh-bolehnya saya mahu mengelak perkara ini (bermadu) terjadi.

“Setiap perkembangannya saya pantau sepanjang masa kerana jika apa-apa terjadi padanya, saya turut merasainya,” katanya ketika ditemui di Kampung Jawang, di sini.

Melihat satu persatu kejadian menyedihkan membabitkan Kartika, Shukarnor berkata, ibarat pepatah ‘cubit paha kanan, paha kiri terasa juga’ dia turut merasakan kesedihan dihadapi anaknya.

“Bermacam dugaan diterimanya, bermula daripada kisah minum arak, kemudian perceraian hinggalah kematian Azfar cukup membuat Kartika hampir terduduk.
“Namun, dia tabah mengharungi semuanya dan kami sebagai keluarganya tetap berdiri di belakangnya untuk memberi kekuatan dan sokongan,” katanya.


Terjatuh dari tingkat dua

Oleh RAJA NORAINA RAJA RAHIM
rnoraina@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Hasrat sekeluarga untuk pulang ke kampung di Arau, Perlis, dekat sini, tidak kesampaian apabila anak keempat keluarga itu terjatuh dari tingkat dua Blok C perumahan kakitangan Kastam Wilayah Persekutuan, Kelana Jaya, di sini, semalam.
Difahamkan, Mohammad Saufi Nor Anuar, 14, terjatuh dari rumah rakannya jam 1.30 petang ketika cuba mengambil layang-layang yang tersangkut di bumbung pangsapuri.

Ibunya, Hawa Harun, 43, mengetahui insiden malang menimpa anak keempat daripada lima beradik itu selepas dihubungi ketua blok berkenaan.
“Saya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar membeli kelengkapan raya di Pasar Borong Selayang. Tiba-tiba saya dihubungi ketua blok itu memberitahu Saufi terjatuh dan dipercayai patah tangan kiri.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan melihat keadaannya dipenuhi darah, menyebabkan saya terkedu dan tidak boleh berbuat apa-apa sementara menunggu ambulans datang,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini.

Menurutnya, sejak kecil Kartika ditanam elemen positif dalam diri supaya mampu menempuh apa juga cabaran mendatang.

‘Raya terakhir’

Laporan dan foto AZLAN HAFEEDZ
metahad@hmetro.com.my

PASIR PUTEH: “Ma (mak)... ore tok se (saya tidak mahu) dah baju baru dan mungkin raya tahun ni yang terakhir buat diri ore,” kata Syafiq Samsudin, 12, pelajar Sekolah Kebangsaan Tasek Pauh kepada ibunya, Zaleha Mustapha, 36, beberapa hari lalu sebelum terbabit kemalangan di Kampung Tasek Pauh, dekat sini, petang kelmarin.
Lebih menyayat hati, murid tahun enam yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) itu terbunuh bersama rakan karibnya, Mohamad Asyraf Che Mat Nuzim, 14, selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta, jam 5.30 petang.

Difahamkan, sebelum kejadian itu dua rakan terbabit dikatakan dalam perjalanan dari arah Pasir Puteh menuju ke Wakaf Bunut.
Sebaik tiba di Kampung Tasek Pauh, motosikal ditunggangi Mohamad Asyraf yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa membelok ke kanan jalan tanpa menyedari sebuah kereta datang dari arah bertentangan.

Terkejut melihat motosikal dinaiki dua rakan itu masuk ke laluan kanan, pemandu kereta, Nurzulaidy Muhamad, 33, cuba mengelak daripada berlanggar namun gagal.

Kedua-dua rakan terbabit juga cuba mengelak namun gagal, menyebabkan berlaku perlanggaran dengan kereta Kancil dipandu Nurzulaidy.

Akibat perlanggaran itu, Syafiq dan Mohamad Asyraf meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala sebelum mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis (HTA) untuk bedah siasat.

Zaleha berkata, beberapa hari sebelum kejadian, anak sulung daripada tujuh beradik itu berubah menjadi pendiam, padahal sebelum ini dia periang dan suka mengacau adiknya, terutama ketika berbuka puasa.
Namun, katanya, perubahan paling ketara dilihat ke atas Syafiq ialah ketika hendak membeli sepasang lagi baju baru untuk anaknya, beberapa hari sebelum nahas berlaku.

“Ketika itu kami sekeluarga baru selesai berbuka puasa. Sebaik diajukan pertanyaan itu, Syafiq secara spontan memaklumkan kepada saya, dia tidak mahu lagi baju baru memandangkan Aidilfitri tahun ini yang terakhir buatnya.

“Namun saya tidak mengesyaki apa-apa hinggalah kemalangan berlaku dan apa diperkatakan Syafiq rupa-rupanya petanda awal dia hendak pergi menghadap Ilahi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tasek Pauh, dekat sini, semalam.

Menurutnya, Syafiq anak harapan dalam keluarga, selain murid yang diramal guru sekolah berpotensi mendapat 5A dalam UPSR.

“Dia dan Mohamad Asyraf memang rapat seperti belangkas walaupun usia mereka berbeza dua tahun.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergian Syafiq dan menganggapnya sebagai ketentuan Ilahi,” katanya hiba.

Jenazah Syafiq dan Mohamad Asyraf dikebumikan di Tanah Perkuburan Tasek Pauh, jam 10.30 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, siasatan kemalangan itu dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Warga Bangladesh maut

Oleh SURAYA ROSLAN
surayaroslan@hmetro.com.my

SEREMBAN: Seorang pekerja ladang warga Bangladesh maut selepas traktor membawa muatan kelapa sawit dinaikinya dirempuh sebuah lori di Jalan Labu-Gadong, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi, lori membawa muatan batu itu dikatakan dalam perjalanan menghala ke Kampung LBJ, Labu, dekat sini, sebelum terbabit dalam kemalangan.

Jurucakap polis berkata, Rashidul Islam, 26, yang duduk di bahagian belakang traktor, maut di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan badan.
“Pemandu lori berusia 54 tahun itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya ketika menuruni bukit lalu merempuh bahagian belakang traktor.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa dipercayai tercampak beberapa meter dari tempat duduk di bahagian belakang traktor dan maut di tempat kejadian,” katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, seorang rakan sekerja mangsa yang duduk di tempat sama sempat menyelamatkan diri ketika kemalangan berlaku.

Katanya, rempuhan kuat itu menyebabkan bahagian depan lori dan bahagian belakang traktor remuk teruk.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), di sini, untuk bedah siasat sebelum dituntut pihak kedutaan.
“Bagaimanapun, pemandu traktor dan pemandu lori tidak cedera,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah ketika mengesahkan kejadian itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment