Wednesday, August 31, 2011

BULAN PUASA MENCURI...BULAN PUASA TETAP JADI PELACUR....MUNGKIN JUGA...YANG TAK SOLAT...RASUAH...BERJUDI...BUAT MAKSIAT LAIN...NI KESAN PUASA DAH MACAM ADAT BUKANNYA IBADAH

Ibu curi untuk anak

Oleh Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my
KAJANG: Hanya kerana mahukan anaknya memakai baju baru, seorang wanita mencuri beberapa pakaian dan barangan permainan bernilai RM597 di sebuah pusat beli-belah terkenal di Cheras.
Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang Ahad lalu, seorang pengawal keselamatan ternampak kelibat seorang pelanggan dalam keadaan mencurigakan di bahagian pakaian kanak-kanak.

Menurutnya, pengawal terbabit mengekori suspek yang masuk ke bilik persalinan bersama beberapa pakaian, tetapi suspek tidak mengetahui perlakuannya diperhatikan.
Katanya, tidak lama kemudian, suspek keluar, tetapi pakaian yang dibawa ke dalam bilik berkenaan tiada bersamanya.

“Mengesyaki suspek mencuri pakaian, pengawal berkenaan mengekori suspek hingga ke tempat letak kereta sebelum menahannya.

“Pengawal berkenaan mendapati beberapa baju dan seluar kanak-kanak serta mainan disembunyikan dalam beg suspek,” katanya.

Katanya, suspek dibawa ke pejabat pengurusan pusat beli-belah berkenaan untuk diambil keterangan sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata polis sudah mengambil keterangan suspek yang mengaku mencuri pakaian berkenaan.
“Bagaimanapun, suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.

Modal RM20,000 punah eksekutif diburu along



KUALA LUMPUR: Malang berganda menimpa seorang eksekutif jualan apabila bukan saja ditipu sebuah syarikat pengeluar cecair pelincir untuk menjalankan perniagaan eksport hingga kerugian RM20,000, malah turut diburu along kerana membuat pinjaman semata-mata untuk perniagaan berkenaan.
Mangsa, Izudin, 25, berkata dia mengetahui mengenai syarikat berkenaan melalui iklan dalam akhbar sebelum menelefon seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Aida.

Menurutnya, selepas berbincang, wanita terbabit bersetuju membekalkan cecair pelincir serta surat pengesahan mengenai status barangan itu yang konon sesuai untuk dieksport ke luar negara.
“Selepas bersetuju dengan perjanjian bermodalkan RM20,000, saya membuat bayaran ansuran RM5,000 pada 16 Ogos lalu sebelum membuat bayaran kedua RM2,000 pada keesokan hari.

“Wanita itu berjanji menghantar barangan berkenaan selepas saya selesai membayar wang modal itu dan turut membuat pinjaman along semata-mata untuk tujuan itu,” katanya, di sini.

Menurutnya, selepas membuat bayaran ansuran kedua, dia menerima e-mel surat perjanjian daripada wanita terbabit yang meyakinkannya untuk membuat pembayaran seterusnya.

Katanya, selepas menerima wang along, dia membuat bayaran terakhir pada 25 Ogos lalu sebanyak RM13,000 dan selepas menghubungi wanita terbabit, dia dimaklumkan majikannya sudah berada di Sabah untuk membawa pulang bekalan barangan itu sebelum dihantar kepadanya dalam dua hari.

Bagaimanapun, menurutnya, pada hari dijanjikan, dia tidak menerima barangan itu dan selepas mengesyaki tertipu, dia meminta wangnya dikembalikan dan membatalkan urus niaga itu.
“Apabila saya menghubungi majikan wanita itu, dia memaklumkan berada di Sabah dan urusan pemulangan semula wang akan diuruskan Aida, tetapi apabila menghubungi wanita terbabit, dia memberi jawapan sebaliknya.

“Selepas yakin tertipu, saya membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15, Shah Alam,” katanya.

Suspek lari ke Dungun

KUALA LUMPUR: Dua suspek utama pembunuhan seorang pesara tentera yang ditikam hingga mati di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu Dua, di sini, Ahad lalu, diberkas polis di sebuah rumah di Dungun, Terengganu, kira-kira jam 7 pagi kelmarin.
Difahamkan, kedua-dua lelaki tempatan berusia 24 dan 32 tahun berasal dari Terengganu dikatakan melarikan diri ke kampung halaman mereka selepas kejadian itu, namun berjaya dikesan polis berdasarkan maklumat diberikan seorang rakan suspek.

Mereka kemudian dibawa ke ibu negara dan selepas disoal siasat, suspek berusia 24 tahun mengaku menikam mangsa dengan sebilah pisau sebelum membuang senjata berkenaan di sekitar kawasan perumahan itu ketika melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, dengan berdasarkan pengakuan suspek, kes itu dianggap selesai, namun kesemua enam individu yang diberkas masih direman untuk siasatan lanjut.

“Berdasarkan siasatan, polis mendapati suspek terbabit mempunyai tiga rekod kesalahan lampau termasuk dua kes dadah dan satu kes curi motosikal.

“Selain itu, pemeriksaan turut mendapati kedua-dua suspek utama positif ganja dan polis tidak menolak kemungkinan mereka di bawah pengaruh dadah ketika melakukan jenayah itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang pesara tentera maut akibat ditikam di rusuk kiri, dada dan belakang badan selepas bergelut.

Siang berpuasa, malam jual tubuh

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Sewaktu menjejakkan kaki ke sini, setahun lalu saya bersama-sama 20 rakan yang juga dari Indonesia ditempatkan di sebuah rumah di Brickfields beramai-ramai.
“Majikan memberitahu siang kami perlu berehat dan malam perlu ‘bekerja’ , hanya segelintir saja diminta ‘bekerja’ di siang hari,” kata Nadirah, 19, seorang pelacur warga Indonesia yang ditemui di sebuah rumah tumpangan di Brickfields.

Menceritakan saat-saat mula menjejakkan kaki ke negara ini, dia memberitahu pada awalnya ejen di Indonesia menawarkan pekerjaan kepadanya sebagai pelacur di Malaysia dan mereka dikehendaki memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.
“Kerana keluarga kesempitan wang, akhirnya saya bertekad datang ke Kuala Lumpur dan kini sudah setahun bekerja sebagai pelacur. Sekarang ini pun pas lawatan sosial sudah tamat tempoh dan majikan tidak memperbaharuinya lagi.

“Siang kami berpuasa, tetapi malam kami melacur kerana kami dibayar gaji tetap RM800 sebulan. “Dan dengan duit itulah kami akan menghantar sebahagiannya kepada ibu bapa kami di Indonesia sebagai persediaan sambutan Aidilfitri,” katanya ketika menunggu pelanggan.

Nadirah mengakui terpaksa bekerja sebagai pelacur berikutan tiada pekerjaan di kampung asalnya di Bandung, Indonesia selain gaji yang diperoleh bertujuan membantu ibu bapanya yang kesempitan.

Menurutnya, walaupun dia tahu perbuatannya itu berdosa tambahan pula di bulan Ramadan, tetapi dia tiada pilihan kerana memerlukan wang untuk membantu ibu bapanya.

Katanya, walaupun bergelar pelacur dia memberitahu masih ada segelintir antara mereka masih berkesempatan berpuasa sebelum berbuka bersama.
“Selalunya waktu operasi bermula kira-kira jam 9 malam sehinggalah jam 4 pagi. Sesudah habis bekerja saya akan mandi wajib sebelum berpuasa keesokan harinya,” katanya.

Nadirah memberitahu majikannya mengaut keuntungan puluhan ribu semalaman dengan mengenakan bayaran antara RM30 dan RM60 bergantung kepada kualiti pelacur, tetapi hanya membayar gaji tetap RM800 sebulan kepadanya.

“Kami tidak diberikan komisen ataupun bonus sedangkan majikan untung ribuan ringgit satu malam,” katanya.

Wartawan Harian Metro yang menyamar pada malam itu ‘celik mata’ sejurus mendapati seorang pelacur warga Indonesia berumur 15 tahun sudah pun terjebak dengan pekerjaan itu.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Ani memberitahu terpaksa meninggalkan alam persekolahannya di Sumatera Barat kerana mahu membantu ibu bapanya mendapatkan wang tambahan “Sebulan saya dapat RM800, kadang-kadang RM850. Untuk ibu bapa, saya beri RM400 sebulan setakat berkemampuan membantu. Majikan kami ada bagi tahu kalau pelanggan tanya kami dari mana, jangan cakap kami orang Indon tapi bagi tau kami orang Filipina atau Vietnam,” katanya.

Ketika asyik menemubual, wartawan mendapati ramai rakyat tempatan yang sepatutnya memanfaatkan bulan Ramadan dengan amal ibadat tidak menghiraukannya, sebaliknya terbabit sama melanggan pelacur.

Dua-dua kaki kena potong

Oleh Suzaini Sulaiman
am@hmetro.com.my

KLANG: Dia mengalami kecacatan apabila kedua-dua kakinya dipotong akibat penyakit kencing manis dan penglihatannya juga terjejas menyebabkannya tidak boleh lagi bekerja.
Lelaki berusia setengah abad itu juga mengalami penyakit jantung serta buah pinggang dan hanya mampu terlantar di bilik tidur manakala isterinya mengalami gangguan mental sejak setahun lalu.

Itulah nasib dialami Muhammad Suhaimin Sairi, 58, dari Pengkalan Rantau Panjang, di sini. Namun, agak menyedihkan apabila Suhaimin mendakwa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak meluluskan permohonan bantuan untuknya atas alasan dia tidak lagi mempunyai tanggungan. “Saya masih ada isteri untuk ditanggung walaupun isteri mengalami gangguan mental sejak setahun lalu. Saya juga memiliki dua anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia 16 hingga 19 tahun.
“Walaupun mereka sudah bekerja akibat kekangan kemiskinan hingga tak habis sekolah, namun anak-anak masih tinggal dengan saya.

“Saya kecewa apabila JKM tidak meluluskan permohonan bantuan atas alasan saya tidak lagi mempunyai tanggungan,” katanya.

Bagaimanapun, Suhaimin bersyukur sudah memiliki kad pengesahan orang kelainan upaya (OKU) yang membolehkan dia tidak perlu membayar kos perubatan yang tinggi bagi rawatan penyakitnya.

Cuma harapannya, pihak Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang membenarkannya diwakili orang lain untuk mengambil ubat disebabkan kesukaran terpaksa berulang alik ke hospital setiap bulan untuk mengambil ubat dan menjalani pemeriksaan.

Mengimbas kembali, Suhaimin berkata, kakinya dipotong pada 2005 dan 2008 selepas terpijak paku.
“Saya mencari nafkah sebagai nelayan. Bagaimanapun, saya tidak mampu lagi ke laut selepas kaki dipotong selain dibebani masalah kesihatan yang semakin serius sejak empat tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, semalam, penderitaannya sedikit terubat apabila menerima sumbangan daripada Biro Kebajikan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (Dewanita) yang mengadakan program Kunjungan Kasih.

“Saya bersyukur atas kunjungan Dewanita yang sudi pula memberikan sumbangan supaya kemeriahan Syawal tahun ini lebih terasa,” kata Suhaimin.

Pengerusi Dewanita, Wan Haslinda Wan Yusoff berkata, tujuan utama program Kunjungan Kasih adalah membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk sama-sama merasai kemeriahan Aidilfitri.


Terpikat Islam sejak tadika

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
am@hmetro.com.my

KUANTAN: “Islam itu sangat indah dan di saat saya melafazkan kalimah syahadah, saya rasa bagaikan seorang anak kecil yang menerima limpahan kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapa yang sangat mengambil berat terhadap diri saya,” kata anak Orang Asli, Arif Mohd Rizal, 19.
Berasal dari Kampung Pantos, Kuala Lipis, Arif mula tertarik dengan Islam sejak di peringkat sekolah rendah lagi, malah ia berputik ketika memasuki tadika di kampungnya.

“Saya sering bersama rakan beragama Islam membaca al-Quran, mengikut mereka belajar bersolat dan selepas memeluk Islam, baru saya tahu betapa indahnya Islam itu.
“Ketika di sekolah rendah pula, saya mengambil mata pelajaran Pendidikan Islam dan saya gembira dapat melakukannya kerana tiada halangan daripada keluarga mahupun guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Lanai, Kuala Lipis,” katanya.

Arif ditemui ketika bertadarus al-Quran sempena Ramadan bersama rakan dan guru di Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Orang Asli (Petama) di Bukit Sekilau, di sini.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu bersyukur kerana keputusannya untuk memeluk Islam pada pada usia 13 tahun mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapanya.

Malah, seorang kakak dan adik perempuannya juga sudah memeluk Islam tanpa sebarang halangan daripada keluarga.

“Saya menawarkan diri untuk menyertai program di Petama sejak lapan bulan lalu semata-mata untuk mendalami Islam. Saya ingin sekali memahami apa yang tersirat dan tersurat di sebalik perkataan Islam itu sendiri.
“Setiap ruang di minda saya di penuhi dengan semangat ingin tahu mengenai Islam dan apa yang mendorong orang bulan Islam untuk memeluk Islam, di mana cahaya kebenaran yang sebenarnya,” katanya yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangaan (SMK) Sungai Koyan, Kuala Lipis.

Bagi memenuhi sifat ingin tahu itulah, Arif tidak menoleh ke belakang lagi dan terus berdaftar sebagai pelajar di PETAMA dan mendapati pusat itu mampu memberikan jawapan kepada setiap persoalannya.

“Alhamdulillah, saya kini sudah mempunyai ‘pusat rujukan’ sendiri dan tidak terlalu mengharap simpati orang lain untuk memantapkan akidah dan mendalami Islam,” katanya.

“Sempena kedatangan bulan puasa dan Hari Raya yang bakal disambut tidak lama lagi, saya bersama pelajar lain bertadarus setiap pagi dan mempelajari pelbagai perkara berkaitan Fardu Kifayah untuk memantapkan lagi hati nurani kami dalam usaha mencari kebahagian dan ketenangan dalam Islam,” katanya.

Arif berterima kasih kepada Petama yang memberi peluang kepada remaja Orang Asli mengikuti pengajian mengenai Islam dan tidak menyisihkan mereka daripada dunia luar dengan mengadakan pelbagai program ilmiah bersama penduduk setempat.

No comments:

Post a Comment