Thursday, September 1, 2011

RUMAH TERBUKA BIMBANG MEMBAZIR...MENUNJUK2..STATUS....BERCAMPUR GAUL...SENANG BAWA ANAK DARA...ALASAN TUMPANG..SEDANGKAN BUKAN ISTERI...BUKAN MUHRAM..MAKSIAT NI MACAM KITA REHDA PULAK...PERKARA2 BEGINI PATUT JUGA KITA FIKIRKAN.....BELUM MASALAH AURAT...BUKAN SEMUA PATUH TUNTUTAN AGAMA....

Rumah terbuka hakis budaya ziarah?

Oleh NORAINON OTHMAN

MENGIMBAS kenangan lalu, apabila melihat ke luar jendela, kelihatan rakan sebaya berpakaian baru berjalan beriringan mengunjungi rumah jiran sekampung. Waktu itu, biarpun tidak begitu mengenali tuan rumah, mereka tidak kisah memberi salam untuk beraya selain menyimpan sedikit harapan tuan rumah memberi duit raya.
Sekalipun tidak banyak duit raya yang dikumpul si kecil, ternyata amalan berziarah di Aidilfitri suatu masa dulu merapatkan hubungan antara penduduk kampung atau sesuatu kejiranan.

Golongan tua berpeluang mengenali golongan muda yang mungkin anak rakan mahupun kenalan mereka manakala si kecil mengenali ibu bapa rakan sekolah mereka melalui kunjungan berkenaan.

Apabila pulang ke kampung halaman, acara wajib ibu bapa ialah mengunjungi setiap rumah saudara-mara dan rakan sekampung yang lama terpisah disebabkan tinggal berjauhan selepas mendirikan rumah tangga.


Membawa anak ketika berhari raya ke rumah sanak saudara dan rakan dapat memupuk nilai persaudaraan, jalinan ukhuwah dan kemesraan. Biarpun tanpa temu janji, tetamu dilayan sepenuh perhatian sehinggakan dibawa ke dapur dan dijamu ketupat dan rendang yang sebenarnya dimasak untuk santapan keluarga. Tetamu dilayan dengan baik dan penuh kemesraan serta dijamu juadah.

Perkataan paling biasa kita dengar ketika itu ialah pintu rumah sentiasa terbuka untuk sesiapa saja datang berkunjung ke rumah di Aidilfitri. Untuk berziarah, tidak perlukan syarat kenal rapat tuan rumah. Jiran yang kurang dikenali atau sekadar kenal suam-suam kuku juga disambut dengan tangan terbuka jika terpacul di muka pintu kerana itulah waktunya untuk merapatkan hubungan sesama insan.

Namun, itu kisah 30 tahun lalu sebelum budaya rumah terbuka menjadi popular dan semakin sinonim dengan sambutan perayaan di negara kita.

Selepas budaya rumah terbuka menular di kalangan masyarakat kita, amalan kunjung mengunjung semakin kurang dipraktikkan. Jika tidak mengadakan rumah terbuka, kuranglah bilangan tetamu yang hendak datang beraya.

Kadangkala, apabila tiba-tiba kenalan menghubungi kita memberitahu ingin datang berhari raya, terasa janggal jika kita hanya mempelawa mereka makan biskut raya dan tidak menyediakan juadah berat atau baru dimasak seperti mi goreng, bihun mahupun karipap atau samosa. Jika ditimbang tara, tiada salahnya jika biskut raya yang disua kepada tetamu kerana suatu masa dulu, memang itulah juadah yang kita sediakan untuk tetamu yang datang.

Berbalik kepada isu amalan rumah terbuka, soalnya, adakah trend mengadakan rumah terbuka menghakis amalan berziarah di Aidilfitri yang selama ini dilakukan umat Islam dan masyarakat Melayu?

Menjelaskan senario yang berlaku masa kini, Ahli Lembaga Perbadanan Adat Melayu Selangor (Padat), Dr Noriah Mohamed berkata, rumah terbuka sebenarnya bukan tradisi kita kerana hari lebaran atau Aidilfitri adalah hari kemenangan kita melawan nafsu di bulan Ramadan.

Katanya, di hari lebaran, kebiasaan orang Melayu ialah menjadikan Aidilfitri sebagai hari berkumpul sanak saudara, saling bermaafan serta menikmati juadah disediakan. Amalan bermaafan di pagi raya biasanya dilakukan di kalangan Melayu Islam.

Menurutnya, tidak pasti saat bermulanya amalan mengadakan rumah terbuka sempena perayaan. Bagaimanapun, apa yang ketara, ia kini sudah menjadi satu fenomena di Malaysia. Rumah terbuka bukan saja diadakan untuk perayaan Aidilfitri tetapi juga rumah terbuka Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas.

“Tradisi orang Melayu pada hari raya ialah pintu akan dibuka dan tuan rumah akan menerima siapa saja yang berkunjung tanpa diundang dan tanpa ada temu janji.

“Bagaimanapun, rumah terbuka hanya dibuka kepada kenalan, teman atau saudara yang diundang khusus melalui sistem pesanan ringkas, e-mel, laman sosial facebook, telefon mahupun kad. Mereka yang tidak diundang tidak akan menghadirkan diri. Jadi, seolah-olah rumah terbuka ini seperti satu jamuan khusus.

“Pada masa ini, rumah terbuka sudah menjadi suatu trend yang dibuat bukan saja di kota tetapi juga di desa. Mereka mengadakan rumah terbuka ketika pulang berhari raya di kampung dan pastinya rumah di bandar tidak dikunjungi teman sepejabat atau tetangga satu taman atau satu daerah.

“Melihat di sudut positif, mengadakan rumah terbuka memudahkan mereka menjamu teman pada suatu waktu yang ditetapkan dan waktu lain dapat diisi dengan kegiatan lain kerana seperti sedia maklum, kita kini sering diburu waktu,” katanya.

Dr Noriah berkata, apabila mengadakan rumah terbuka, pastinya mereka sudah menganggarkan berapa ramai tetamu yang akan diundang dan jenis makanan yang akan dihidangkan.

“Menyediakan juadah untuk tetamu biarlah mengikut kemampuan diri dan elakkan berlebihan, tetapi jangan pula sampai makanan disediakan tidak mencukupi kerana ini akan memalukan tuan rumah sendiri.

“Selalunya yang menjadikan makanan disediakan tidak mencukupi ialah tetamu yang diundang kadangkala membawa semua ahli keluarga. Sebaiknya ada persefahaman di antara yang mengundang dengan yang diundang. Secara tidak langsung juga, tuan rumah yang mengadakan rumah terbuka dapat membantu kelompok yang menyediakan makanan atau pihak katering menambah rezeki,” katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan, rumah terbuka bukan tradisi orang Melayu tetapi masih mempunyai nilai baik dan berfaedah.

“Islam tidak menolak apa saja yang dianggap baik asalkan tidak bertentangan dengan syarak. Untuk menganjur rumah terbuka, terpulang kepada kemampuan tuan rumah asalkan tidak dengan niat untuk menunjuk-nunjuk atau bersaing dengan orang lain.

“Bagaimanapun, rumah terbuka tidak seharusnya dijadikan satu alternatif mengambil alih tradisi ziarah yang sudah menjadi amalan yang dituntut Islam,” katanya.

Jika kita lihat, setiap hujung minggu sepanjang Syawal terdapat banyak undangan rumah terbuka. Ada kalanya, ada empat hingga lima undangan sehari hinggakan tidak mampu memenuhi semuanya.

Pelbagai menu dihidang tuan rumah tidak mampu ditolak, tetapi seharusnya keinginan untuk memenuhi keinginan mata dan nafsu makan dikekang supaya pihak yang menerima undangan tidak hanya merehatkan enjin tubuh pada bulan puasa, sebaliknya bekerja keras memproses makanan di bulan Syawal.

Bagi tuan rumah, penyediaan makanan wajar dibuat mengikut anggaran tetamu yang diundang bagi mengelakkan pembaziran dengan menyediakan juadah terlalu banyak.

Kita juga perlu mensyukuri nikmat yang Allah limpahkan seperti firman Allah bermaksud: Wahai anak-anak Adam! Pakai pakaian kamu yang indah berhias pada setiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan solat, terutama pada hari Jumaat dan hari raya dan juga memakai wangian yang semerbak harumnya), dan makanlah dan minumlah serta jangan pula kamu melampau-lampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang melampaui batas. (Surah al-A’raf, ayat 31)

Bersederhana menyambut Aidilfitri dan dalam kita bergembira, usah lupa insan yang kurang bernasib baik yang menderita sakit mahupun dihimpit kesusahan.


Rumah terbuka

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Rumah terbuka di Malaysia bermaksud sesuatu perayaan agama disambut oleh penganut pelbagai agama dengan tujuan memupuk persefahaman di kalangan rakyat Malaysia. Rumah terbuka tidaklah bertujuan mengembangkan agama kepada penganut agama lain. Biasanya rumah terbuka diadakan di padang atau di dalam dewan.

Sebelum ini, konsep rumah terbuka dijalankan secara kecil-kecilan di mana tuan rumah menjemput rakan taulan datang ke rumah bagi menikmati juadah yang disediakan. Rakan dari kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain turut dijemput.
Amalan rumah terbuka memberi kefahaman kepada rakyat bukan Islam tentang nilai hidup ajaran Islam yang menganjurkan sifat berbaik-baik sesama manusia.

RUMAH TERBUKA MALAYSIA

Salam sejahtera.

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar wa lillahilham.

Hari ini adalah hari ke-11 umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri bagi tahun ini. Meskipun sudah 11 hari 1 Syawal berlalu, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada pembaca blog Fikir! Fikir! Dan Fikir! khususnya, dan seluruh umat Islam amnya.

Alhamdulillah, di Malaysia kita masih dapat meraikan hari lebaran ini dengan penuh damai dan harmoni meskipun kita dicubai dengan pelbagai cubaan seperti kenaikan harga barang-barang dan suasana politik yang kurang menggalakkan. Demikianlah, jika Allah menghendaki, Dia akan mewujudkan rasa ketenangan dan ketenteraman dalam diri seseorang sehingga seseorang itu dapat menikmati rahmat Allah kepadanya.

Akan tetapi satu persoalan timbul dalam benak saya; kenapa tiada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Sempena Perayaan Aidilfitri 2008 ini? Adakah Majlis Rumah Terbuka Malaysia itu khusus untuk meraikan sambutan-sambutan seperti Hari Natal, Tahun Baru Cina, Hari Gawai, Pesta Menuai dan lain-lain yang bukan Islamik?

Pada pendapat saya, agak malanglah umat Islam di Malaysia kerana pada masa sambutan ritual anutan selain Islam dibesar-besarkan, bahkan diberi status sambutan negara, perayaan yang diraikan oleh umat Islam seperti Hari Raya Aidilfitri disisikan sehingga diberi status Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet Beragama Islam sahaja.

Pada mulanya iaitu sebelum 1 Syawal, saya menjangkakan bahawa satu Rumah Terbuka Malaysia Sambutan Aidilfitri 2008 diadakan secara besar-besaran oleh kerajaan dengan kerjasama PAS dan KeAdilan serta sokongan NGOs Islam dan Melayu. Ini adalah kerana 1 Syawal adalah hari yang dimuliakan dan hari yang sangat sesuai untuk merapatkan silaturrahim, saling bermaaf-maafan, dan pada hari tersebut sepatutnya tidak timbul syak wasangka yang telah menjejaskan perpaduan kaum pada masa ini.

Ketiadaan Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2008 mengundang beberapa kemusykilan. Adakah kerana orang-orang tertentu telah menggunakan kedudukannya untuk menasihatkan, atau kumpulan tertentu telah mendesak, untuk mempengaruhi Perdana Menteri supaya tidak perlu diadakan Rumah Terbuka Malaysia Aididilfitri 2008? Atau adakah kerana Perdana Menteri dan Kabinet terlupa sebab menumpukan sepenuh perhatian mereka kepada isu-isu lain khususnya isu politik dan kenaikan harga? Atau adakah sebab-sebab lain yang disembunyikan?

Yang nyata, ketiadaan Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2008 adalah satu kerugian bukan sahaja kepada umat Islam, dakwah Islam, dan pengukuhan ukwah Islamiah, malah kepada negara Malaysia. Pemerintah dan dan para pemimpin tanpa mengira ideologi politik dan anutan mereka seharunya mengambil kesempatan pada kemuliaan 1 Syawal itu untuk memperkukuh negara Malaysia yang kita cintai ini.

Kerajaan juga tidak sepatutnya membesar-besarkan sambutan yang bukan Islamik berbanding sambutan yang Islamik kerana dunia tahu bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam dan Islam adalah agama rasmi Malaysia.



Budaya Rumah Terbuka




Rumah terbuka sudah menjadi lumrah pada sambutan perayaan di negara ini. Pada perayaan seperti ini, tidak lengkap jika tiada rumah terbuka sehingga seluruh lapisan dan pelbagai generasi masyarakat mengetahui istilah rumah terbuka yang menjadi amat sinonim kepada seluruh lapisan masyarakat. Bukan itu sahaja, malahan dalam majlis sebegini kita dapat memperkenalkan dan mengetengahkan pelbagai jenis makanan dan juadah, sekaligus masyarakat dapat berkongsi budaya dan adat masing-masing.

Topik U-wartawan kali ini akan membincangkan mengenai budaya rumah terbuka yang signifikan dalam perayaan masyarakat Malaysia pada hari ini. Budaya rumah terbuka sering dijadikan landasan terbaik untuk mengeratkan hubungan berlainan kaum, agama dan budaya. Budaya rumah terbuka juga dilihat dapat menjangkau perbezaaan dan perpaduan di antara kaum dan memenuhi tuntutan agama islam untuk mengeratkan silaturahim. Apakah objektif terbaik dan cara yang sesuai bagi mewarnai tradisi rumah terbuka sempena syawal ini?

Selain itu, apakah isu perpaduan yang timbul pada hari ini dapat diminimumkan melalui tradisi ini? Apabila kita lihat perpaduan yang semakin goyah, adakah dengan wujudnya tradisi rumah terbuka akan menjadi sebuah mekanisme mengukuhkan perpaduan di kalangan umat islam dan kaum di Malaysia? Mungkinkah tradisi ini boleh digunakan untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan seIslam merentasi perbezaan ideologi politik, sosial, ekonomi dan kaum? Kongsikan pendapat anda di U-Wartawan. Anda juga wartawan.

Karangan Contoh SPM - Rumah Terbuka

Rumah Terbuka Rakyat Malaysia (Buku Teks Tingkatan 5 m/s 1)

Soalan Contoh
Sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu, anda telah mengunjungi rumah terbuka yang dianjurkan oleh kerajaan Malaysia.
Huraikan kebaikan dan keburukan rumah terbuka itu.

Pendahuluan
- Jelaskan konsep rumah terbuka secara umum.

Isi-isi Penting
i. mengeratkan perpaduan kaum
ii. memahami budaya kaum lain
iii. masalah kebersihan
iv. ada yang mementingkan diri

Penutup
- konsep rumah terbuka perlu dihayati.

Karangan Contoh

Kebelakangan ini, amalan mengadakan rumah terbuka menjadi perkara biasa dalam kalangan rakyat Malaysia apabila tiba hari-hari perayaan utama. Konsep rumah terbuka ini memang perlu diteruskan dan dijadikan amalan kerana banyak kebaikannya. Dengan adanya rumah terbuka, mudahlah seseorang itu untuk mengunjungi rumah saudara mara, jiran-jiran dan rakan-rakan kerana tarikh dan masanya sudah ditetapkan. Seterusnya amalan ini sudah tentu akan mengeratkan hubungan dan perpaduan sesama anggota masyarakat. Hal ini pasti akan mewujudkan masyarakat yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni seperti kata pepatah, "Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat".

Amalan rumah terbuka akan mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di negara kita. Semasa menghadiri rumah terbuka tersebut para tetamu yang hadir akan beramah mesra dengan tetamu yang lain. Jadi, sudah tentu perkara ini akan membolehkan mereka berbual mesra dan saling memahami antara satu sama lain. Oleh itu, di samping menjamu selera, secara tidak langsung perpaduan dan persefahaman antara tetamu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang ini akan dapat dimantapkan. Hal ini bersesuaian dengan pepatah Melayu, iaitu "Tak kenal maka tak cinta".

Semasa menghadiri rumah terbuka juga, para tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum akan memahami budaya dan adat resam kaum lain. Mereka akan merayakan perayaan itu bersama-sama, walaupun mereka berbeza latar belakang budaya dan agama. Sebagai contohnya, orang-orang Cina, India, Iban, Kadazan akan merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. Jadi, mereka akan dapat mempelajari budaya dan adat resam kaum lain dan berusaha untuk memahaminya. Perkara ini sudah tentu akan mewujudkan budaya yang sihat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita.

Selain kebaikan, terdapat juga keburukannya kerana rumah terbuka akan menimbulkan masalah untuk menjaga kebersihan di tempat rumah terbuka itu diadakan. Hal ini disebabkan oleh sikap tetamu yang hadir, iaitu tidak mementingkan aspek kebersihan. Mereka tidak menghiraukan aspek kebersihan dan membuang sisa makanan atau bungkusan makanan di merata-rata tempat. Perkara ini akan menimbulkan masalah apabila rumah terbuka itu berakhir dan menyusahkan pihak penganjur untuk membersihkannya. Oleh itu, perkara ini perlulah diberikan perhatian agar tetamu yang hadir akan menjaga aspek kebersihan dan tidak mengotorkan tempat itu.

Keburukan lain akibat penganjuran rumah terbuka adalah terdapat pihak yang mementingkan diri dan tidak menghiraukan orang lain. Perkara ini akan menimbulkan masalah dan kesulitan kepada orang lain yang turut hadir dalam majlis itu. Ada tetamu yang berebut-rebut semasa mengambil makanan atau bersikap tamak dengan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak. Sekiranya mereka menghabiskan makanan tersebut sudah tentu tidak menimbulkan masalah, tetapi perkara yang berlaku ialah mereka tidak menghabiskan makanan tersebut. Hal ini sudah tentu menyebabkan pembaziran berlaku, sedangkan ada orang lain yang mungkin tidak mendapat makanan langsung.

Oleh hal yang demikian, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua pihak. Konsep rumah terbuka sudah tentu banyak mendatangkan kebaikan jika difahami dan dihayati oleh anggota masyarakat. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati, ditakuti amalan rumah terbuka akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk menganjurkannya. Kita tidak mahu seperti kata pepatah, "Rumah siap pahat berbunyi" apabila menganjurkan rumah terbuka. Jadi, semua anggota masyarakat haruslah memahami dan menghayati konsep rumah terbuka yang sebenarnya agar hasrat yang dicita-citakan akan dapat dicapai.
Oleh; Cikgu Mohd Khir Kassim

No comments:

Post a Comment