Friday, September 2, 2011

YANG JUTAWAN BANTULAH..JANGAN BUAT BODOH JE...YANG KITA BERI TU HAK KITA DIAKHIRAT...KALAU TAK BAGI ...SIMPAN SAJA...ITU BUKAN HAK KITA...KALAU BODOH JANGAN TIUNJUK KITA BODOH...MALU...NAMPAK TAK MENADAH KITAB...INGAT2LAH MATI...DUIT JUTA2 BUKAN BOLEH BAWA MATI...TAK KAN TAK TAHU....NAFSU TAK KENAL SAPE...TU SEBAB LAKSANAKAN HUKUM ALLAH...JANGAN BUAT BODOH GAK...NAMPAK SANGAT TAKUT PADA MANUSIA...GAN ALLAH TAK TAKUT...NI PUN SATU BODOH LAGI...MENGAJI KAT SURAU MASJID...MALAS...

Tiga anggota polis ditahan

Oleh Na’imah Mohamed
na’imah@hmetro.com.my

SENTUL: Tiga anggota polis antara enam yang ditahan berhubung kejadian melepaskan tembakan yang mencederakan seorang pelajar kolej swasta dalam pergaduhan di luar sebuah pub di Taman Sri Rampai, di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan penahanan tiga anggota polis terbabit dan berkata, ketiga-tiga anggota berkenaan berpangkat koperal dan lans koperal.

“Dua daripada mereka bertugas di Bukit Aman manakala seorang lagi di Selangor,” katanya. Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, empat lelaki keluar dari sebuah pub sebelum tiba-tiba datang seorang lelaki memecahkan cermin di pintu belakang pemandu menggunakan sebatang besi.
Tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki terbabit, empat lelaki yang berada di dalam kereta berkenaan keluar dan menyerang lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, selepas beberapa minit bergaduh, lelaki yang memecahkan cermin kereta itu cuba melarikan diri dan pada ketika itulah kedengaran bunyi tembakan dilepaskan.

“Mangsa, pelajar kolej swasta berusia 23 tahun, cedera di kaki dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.

“Kami masih menyiasat motif serta punca kejadian dan tidak menolak kemungkinan mereka mengenali satu sama lain” katanya.

Menurutnya lagi, polis forensik menemui lima kelongsong peluru di tempat kejadian.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata maut dalam rusuhan.

Majikan kurung amah seminggu

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Penderitaan seorang pembantu rumah warga asing yang mendakwa dikurung sejak seminggu lalu dan hanya diberikan makan mi segera berakhir selepas diselamatkan sepasukan polis di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Pandan Indah, di sini, semalam.
Difahamkan, mangsa warga Kemboja berusia 18 tahun itu mula bekerja di rumah terbabit sejak tiga bulan lalu dan tidak dibenarkan keluar, malah dia tidak dibekalkan kunci rumah atau nombor telefon majikannya untuk tujuan kecemasan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, kira-kira jam 12 tengah hari, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kes dera pembantu rumah.
Katanya, selepas tiba di rumah itu, pihaknya mendapati rumah berkenaan dikunci dan hanya dapat berinteraksi dengan mangsa melalui tingkap belakang. “Anggota polis meminta nombor telefon majikan daripada mangsa, tetapi dia tidak mempunyainya dan kami terpaksa memecahkan pintu depan untuk menyelamatkan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, selepas disoal siasat, mangsa mendakwa dikurung di rumah sejak seminggu lalu dan majikannya keluar untuk tempoh berkenaan.

“Dia hanya diberikan makan mi segera dan kadang-kala jiran akan memberikannya makanan.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, namun dia dibawa ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Amiruddin berkata, pihaknya sedang menjejaki majikan mangsa untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana pengurungan salah.
Menurutnya, siasatan lanjut juga sedang dijalankan mengenai rumah yang dijadikan tempat untuk menyembunyikan mangsa.

Katanya, mangsa dihantar ke pejabat Kedutaan Kemboja untuk perlindungan sementara.

Bergasak atas pusara

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my

GEORGETOWN: Ketibaan 1 Syawal sepatutnya menjadi saat untuk bermaaf-maafan dan mengeratkan silaturahim, namun lain pula yang terjadi kepada seorang wanita apabila menjadi mangsa belasahan abang kandung.
Lebih memilukan, kejadian itu berlaku di tanah perkuburan di Bayan Lepas, dekat sini, ketika wanita itu menziarah pusara ibu bapa mereka pada pagi Aidilfitri lalu.

Insiden mengaibkan itu dikatakan berlaku apabila abang kandung wanita berkenaan naik angin selepas ditegur mengenai tunggakan pinjaman pengajian anak lelakinya dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dijamin suami wanita terbabit yang tertunggak sebanyak RM26,000.

Tidak puas hati dengan teguran wanita berkenaan dan suaminya itu menyebabkan lelaki terbabit yang juga bekas pegawai kanan pasukan keselamatan bertindak di luar batasan.


Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Maimunah, 47, berkata, kejadian berlaku jam 11.45 pagi ketika dia bersama keluarganya mahu meninggalkan tanah perkuburan berkenaan selepas menziarahi pusara ibu bapa mereka.

‘Kenangan terindah ditinggalkan arwah’



SENTUL: “Surat penghargaan ini kenangan terindah ditinggalkan arwah untuk kami,” begitu kata Fauziah Ahmad Alwi, balu kepada Allahyarham Shariff Din yang mati ditikam ketika cuba memberkas penjenayah yang cuba mencuri kereta di perumahan mereka di PPR Taman Wahyu Dua, di sini, 28 Ogos lalu.
Fauziah menerima surat penghargaan itu daripada Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan dalam satu majlis ringkas di kediaman mereka, di sini, semalam.

Fauziah, 50, berkata dia dan empat anaknya, Shasha Zafira, 23, Natasha Nadiah, 21, Ahmad Fariz, 20, dan Amirudin Fasha Shariff, 19, kini lebih tenang selepas penangkapan individu bertanggungjawab membunuh suaminya.
“Kami sekeluarga bukan saja reda pemergiannya, malah berbangga dengan tindakannya pada hari kejadian.

“Bagaimanapun, saya akui, kami agak trauma dengan kejadian itu dan berhajat berpindah ke tempat lain kerana khuatir ia berulang,” katanya.

Menceritakan saat terakhir bersama arwah suaminya, Fauziah berkata, suaminya begitu beriya-iya mahu pulang ke kampungnya di Parit Buntar, Perak, sempena Aidilfitri dan mereka merancang untuk pulang keesokan harinya.

“Namun, Tuhan lebih sayangkannya dan kami tidak sempat menyambut hari lebaran bersama,” katanya lagi.

Menurut Fauziah, arwah sentiasa mengimpikan ada antara anak mereka menyertai mana-mana pasukan beruniform supaya dapat berkhidmat untuk negara.
Sementara itu, Zakaria yang turut diiringi Timbalannya, Superintendan Othman Abu Bakar serta beberapa pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menyampaikan surat penghargaan atas keberanian serta sedikit sumbangan sempena Aidilfitri kepada keluarga mangsa.

Zakaria berkata, tindakan pantas dan berani Allahyarham berjaya mematahkan cubaan suspek untuk melarikan kenderaan berkenaan. “Kegigihan serta keberanian Allahyarham patut dicontohi masyarakat dan diharap sikap seperti ini dapat dipupuk di kalangan orang awam agar keselamatan kita lebih terjamin,” katanya.

Zakaria turut menggalakkan anak mangsa menyertai pasukan polis atau mana-mana pasukan keselamatan dan berpesan jangan sesekali patah semangat bagi merealisasikan impian Allahyarham.

300 temui ajal setiap hari



MOGADISHU: Kematian penghuni kem penempatan rakyat Somalia yang sengsara akibat kebuluran meningkat setiap hari dan jumlah kematian di kem berkenaan dianggarkan mencecah 300 orang sehari.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Somalia, Duale Adam Mohamed Zen berkata, kekurangan ubat dan vaksin serta pakar perubatan menjadi penyebab utama kematian kebanyakan penghuni kem penempatan dalaman (IDPs).

Katanya, di Somalia ada tidak sampai 300 doktor dan di Mogadishu pula tidak lebih 100 orang, malah keadaan diburukkan dengan kemudahan serta ubatan tidak mencukupi.
“Masalah utama kami membantu rakyat Somalia terutama kanak-kanak dan wanita yang sakit disebabkan kurang zat serta vitamin adalah tidak cukup kepakaran serta kemudahan dalam bidang perubatan.

“Bantuan bekalan ubatan memang diterima daripada pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan mereka sentiasa memantau kami, namun itu tidak mencukupi kerana kami masih kekurangan pakar perubatan untuk merawat jutaan rakyat kami yang menderita,” katanya ketika menerima kunjungan hormat kumpulan Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau cukup gembira dengan kehadiran kumpulan misi bagi membantu rakyat Somalia yang turut menderita akibat perang saudara berpanjangan sejak lebih 20 tahun lalu.

Tidak mampu beli kain kafan



MOGADISHU: Selepas menderita lebih tujuh bulan akibat tiada makanan, seorang wanita penghuni kem penempatan rakyat Somalia yang kebuluran, Safiyya Hummu Izaq, 40, meninggal dunia dalam khemahnya di sini petang, semalam.
Lebih menyayat hati, wanita malang yang mempunyai tiga anak kecil itu menghembus nafas terakhir hanya selepas dua anaknya yang berusia satu dan tiga tahun meninggal dunia Selasa lalu juga disebabkan kebuluran dan kurang nutrisi.

Menurut adik perempuannya, Farlamu Izaq, 30, mereka terlalu miskin hingga tidak mampu menguruskan jenazah dengan sempurna termasuk untuk membeli kain kafan.
Katanya, mereka berasal dari Wilayah Baidawo yang terletak 300 kilometer tenggara Mogadishu selepas kampung halaman mereka kering kontang akibat kemarau panjang.

Farlamu berkata, arwah kakaknya terlantar sakit sejak beberapa bulan lalu disebabkan tiada makanan dan dijangkiti penyakit menyebabkan dia sering cirit-birit sehingga menghembuskan nafas terakhir, semalam.

“Seorang demi seorang ahli keluarga kami meninggal dunia akibat kebuluran dan tidak tahu apa nasib kami pula selepas ini kerana keadaan masih tidak berubah. “Kampung kami terjejas teruk akibat kemarau panjang hingga tidak boleh bercucuk tanam atau menternak kambing dan lebih sukar, bantuan daripada mana-mana pihak tidak sampai ke tempat kami.

“Semua penduduk kemudian berpindah ke ibu negara bagi mendapatkan bantuan dan kami sudah lebih tiga bulan menghuni kem penempatan kem penempatan dalaman (IDPs), Maalin ini,” katanya yang ditemui ketika menjaga jenazah kakaknya.

Difahamkan, di Kem Maalin yang mempunyai 1,400 penghuni, setiap hari dua hingga lima penghuninya mati akibat pelbagai penyakit.
Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia, yang tiba 10 minit selepas wanita malang itu meninggal dunia, turut bersimpati serta menziarahi jenazah mangsa di khemahnya. Selain itu, Presiden Kelab, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim juga mendermakan wang tunai kepada keluarga mangsa untuk menguruskan jenazah Safiyya.

Patah tulang rahang dibelasah penyamun

TAMPIN: Taktik licik seorang penyamun kononnya datang untuk beraya membawa malang berganda kepada seorang wanita warga emas apabila dia bukan saja disamun, malah patah tulang rahang akibat dibelasah di Kampung Sungai Dua, Gemencheh, di sini, petang kelmarin.
Malah, kemeriahan menyambut Syawal bertukar mimpi ngeri buat mangsa apabila mengalami kerugian RM10,000 kerana disamun lelaki tidak dikenalinya itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, wanita warga emas berusia 73 tahun yang tinggal seorang diri di rumahnya, didatangi seorang lelaki tidak dikenali mengetuk pintu rumahnya sambil memberi salam dan memberitahu datang untuk beraya.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, mangsa yang juga ibu tunggal itu kemudian membuka pintu untuk melihat tetamu yang datang ke rumahnya.

“Bagaimanapun, sebaik membuka pintu, lelaki itu terus membelasah mangsa menggunakan topi keledar menyebabkan wanita warga emas itu cedera.

“Suspek kemudian meragut rantai leher dipakai warga emas itu sebelum menyelongkar bilik tidur bagi mencari barang kemas dan wang yang tersimpan di bawah katil,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, sebaik mengambil semua barang kemas dan wang mangsa dianggarkan bernilai lebih RM10,000, suspek berbadan kecil itu terus keluar dipercayai menggunakan motosikal meninggalkan mangsa dalam keadaan kesakitan.

Katanya, mangsa yang cedera di kepala, bengkak di dahi dan patah tulang rahang itu meminta pertolongan jiran mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Air Kuning Selatan sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
“Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan siasatan berhubung kejadian ini masih dijalankan,” katanya.

Mayat tersepit celah batu



KUANTAN: Sekumpulan remaja yang berkelah di Sungai Mas, Perkampungan Orang Asli, Sungai Lembing, di sini, kira-kira jam 2 petang kelmarin, terkejut apabila menemui mayat seorang gadis tersepit di celah batu.
Sebelum kejadian, remaja terbabit sedang berkelah sambil menikmati hidangan tengah hari dan secara tidak sengaja terpandang objek di celah batu lalu memberanikan diri membuat pemeriksaan.

Bagaimanapun, belum sempat menghampiri objek itu, seorang daripada remaja terbabit mengecam objek itu adalah mayat sebelum menghubungi Balai Polis Panching untuk meminta bantuan.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, sepasukan anggota polis bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota bergegas ke tempat kejadian dan mengangkat mayat itu naik ke tebing.

Menurutnya, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri dalam poket seluar mayat gadis terbabit yang berusia 20-an sebelum mayat itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan mendapati, mayat gadis terbabit berambut keperangan paras bahu lengkap memakai baju T berwarna putih jenama Polo serta berseluar jeans berwarna biru gelap.

“Mayat gadis itu yang berkulit sawo matang ditemui masih sempurna selepas 12 jam berada dalam air namun polis tidak dapat memastikan bangsa sebenar gadis terbabit kerana bedah siasat masih belum dijalankan lagi.

“Hasil pemeriksaan awal, tiada sebarang kecederaan atau luka ditemui pada tubuh mangsa namun bedah siasat akan dijalankan pada petang ini (Sabtu) bagi mengenal pasti punca kematian sebenar,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, sehingga kini, polis masih belum menerima laporan terbaru kehilangan orang awam namun akan membuka serta menyemak semula laporan orang hilang sebelum ini bagi memudahkan siasatan dijalankan.

Katanya, sehingga kini, polis mengklasifikasikan kes terbabit sebagai mati mengejut namun akan menukarkan semula seksyen jika penemuan mayat gadis berkenaan terdapat perbuatan berunsur jenayah.

Kamaruzzaman berkata, polis meminta orang ramai kehilangan ahli keluarga tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kuantan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan T Murugesu di talian 012-9003661.

40 lelaki mengamuk



KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah bukan saja trauma selepas rumahnya diceroboh dan dipecahkan lebih 40 lelaki yang menggelar diri mereka sebagai anggota ‘sukarelawan’ malah dia terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM10,000 akibat kejadian itu.
Difahamkan, ketika kejadian jam 12.15 pagi kelmarin, mangsa V Revathy, 25, tidur bersama anak lelakinya berumur lapan tahun manakala abang iparnya, P Munumasamy, 27, pula tidur di bilik berasingan di rumah mereka di Taman Sempadan, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Katanya, dia terkejut selepas mendengar bunyi pintu rumah mereka dipecahkan dan nampak lebih 40 lelaki memakai ves di ruang tamu rumah dengan memegang rod besi dan kayu.
“Mereka memecahkan dinding, siling dan perabot di rumah sebelum menyerang abang ipar yang tidur.

“Apabila saya cuba menghalang, mereka mendakwa ‘sukarelawan’ tanpa pakaian seragam yang mempunyai kuasa mutlak untuk menahan sesiapa saja mahupun dengan memecah masuk ke rumah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam.

Beliau hadir bersama Presiden Pasukan Bertindak Alternatif, Kalai Vanar untuk menyerahkan memorandum agar polis mengambil tindakan segera untuk menahan suspek yang memecah masuk ke rumah mangsa.

Menurut Revathy, kumpulan itu juga membelasah abang iparnya sehingga cedera parah dan mendakwa dia memecah masuk kereta di kawasan berdekatan pusat judi haram yang ‘dijaga’ kumpulan berkenaan.

“Setahu saya, abang ipar hanya di rumah sejak pagi pada hari kejadian dan meskipun dia ada membuat sesuatu di luar, mereka tidak mempunyai kuasa untuk bertindak ganas sehingga memecahkan barangan di rumah.
Susulan itu, dia membuat laporan di Balai Polis Nibong Tebal kerana risau dengan tindakan ganas kumpulan sukarelawan itu. Sementara itu, Kalai berkata, selepas mendapat tahu polis belum mengambil sebarang rakaman gambar mengenai lokasi kejadian sehingga tempoh 36 jam, dia membuat rakaman video kerosakan di rumah mangsa sebelum melampirkan bersama-sama dengan memorandum, semalam.

Memorandum itu diserahkan kepada pegawai Bahagian Perhubungan Awam Bukit Aman, Asisten Superintendan Foo Chek Seng.

Nafsu tidak kenal siapa

Oleh Azmizan Mohd Samiran

TANGGAL 22 Ramadan lalu menyaksikan seorang lagi bayi luar nikah dilahirkan. Seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun di sebuah sekolah agama di Tumpat, Kelantan, dipercayai melahirkan bayi itu di dalam tandas sebelum membawanya ke bilik asrama sekolah.
Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu disedari seorang pekerja sekolah berkenaan yang terdengar tangisan bayi sebelum memanggil rakan memeriksa bilik asrama sebelum menemui bayi lelaki yang masih bertali pusat di atas katil bersama ibunya.

Pelajar terbabit dikatakan pernah mengadu sakit perut pada malam sebelum kejadian, tetapi dia mendakwa hanya senggugut.

Barangkali, ada yang terkejut dengan berita itu. Hakikatnya ramai tidak terkejut kerana sudah berlambak kes melahirkan anak luar nikah sehingga tidak lagi menyentuh hati nurani.


Bagaimanapun, di sebalik kejadian berkenaan, kita mampu menarik nafas lega apabila bayi dilahirkan selamat tanpa dibuang, ditinggalkan di depan pintu rumah, masjid atau surau. Jika tidak, semakin bertambah jumlah kes pembuangan bayi.

Sukar untuk dibuat kesimpulan bagaimana pelajar itu menyembunyikan kehamilannya daripada pengetahuan sesiapa, termasuk ibu bapanya.

Bukan pelajar itu saja, banyak lagi kes membabitkan kelahiran anak luar nikah bermula dan berakhir dengan ‘jayanya’ apabila kehamilan berjaya disembunyikan.

Penulis ada pengalaman menemu bual seorang remaja berusia 16 tahun yang berjaya menyembunyikan kehamilannya. Hanya tinggal beberapa minggu hendak melahirkan bayi luar nikah dikandung, barulah ibu bapanya sedar anak kesayangan mereka mengandung.

Ditanya bagaimana dia menyembunyikan kehamilannya, jawapan diberi mudah - buat selamba seperti tidak ada apa-apa yang berlaku dan memakai pakaian bersaiz besar bagi menyembunyikan perut yang semakin membesar. Pada masa sama dia memberitahu, badannya yang kecil dan kurus memudahkannya menyembunyikan kehamilan.

Mujur, ibu bapanya ‘bangkit daripada lena’ selepas mengesyaki ada yang tidak kena dengan anak mereka yang semakin lama kelihatan letih dan tidak bermaya sebelum mendesak supaya diceritakan apa sebenarnya berlaku.

Memanglah nasi sudah menjadi bubur, tetapi sekurang-kurangnya apabila mengetahui anak mengandung luar nikah, perhatian perlu diberikan bagi mengelak tindakan di luar kawalan seperti membuang bayi yang dilahirkan.

Justeru, ibu bapa seharusnya jangan alpa. Menjaga anak zaman sekarang perlukan ketelitian dan manfaatkan sepenuhnya kuasa ‘veto’ yang ada bagi mengesan sebarang perubahan pada anak.

Bukan sesuatu yang mustahil, anak yang dididik dengan ajaran agama, dihantar ke sekolah agama dan diberikan kasih sayang secukupnya boleh terjebak dalam kancah hamil luar nikah.

Lambakan kes hamil luar nikah seharusnya memberi kesedaran kepada ibu bapa betapa nafsu itu tidak mengenal sesiapa.

Betapa tidak, berdasarkan statistik, sejumlah 235,000 bayi atau sembilan peratus daripada keseluruhan 2.48 juta kelahiran yang didaftarkan antara 2006 hingga 2010 adalah bayi luar nikah dan daripada jumlah itu, 34.5 peratus atau 81,000 adalah Islam.

Malah, kelahiran bayi luar nikah itu terus meningkat apabila pada 2006, jumlahnya 38,300 orang manakala pada 2010 pula 53,000 orang, meningkat 38 peratus dengan 17,000 orang adalah Islam.

Memetik kata-kata Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof, jangan terlalu percayakan dan sayang anak membuta tuli kerana apabila berlaku perkara tidak diingini nanti menyesal tak sudah.

Seperkara lagi Yahya turut menegaskan kesilapan ibu bapa yang menerima konsep berdua-duaan dan bercinta sebagai satu budaya yang membuka jalan kepada perlakuan seks.

“Mereka (ibu bapa) seolah-olah membuka jalan kepada anak untuk berbuat demikian. Bukan saja membenarkan mereka bercinta, malah tidak kisah jika anak itu mahu berdua-duaan.

“Jika ibu bapa tidak mengendahkan perbuatan anak mereka, ia secara tidak langsung mendedahkan anak terbabit kepada gejala negatif,” katanya.

Selain peranan ibu bapa, Yahya turut mencadangkan satu peraturan yang membuatkan sesiapa saja takut untuk terbabit dengan seks bebas sehingga mengandung anak luar nikah diwujudkan.

“Sebagai contoh, mana-mana pasangan yang dikesan melakukan hubungan seks selain suami isteri, tidak kira sama ada yang beragama Islam atau dengan pasangan berbeza agama, mereka perlu dihukum.

“Operasi seperti mencegah lumba haram atau dadah juga perlu diselitkan dengan siasatan sama ada mereka terbabit dengan gejala negatif itu. Tangkap dan hukum mereka, baru timbul perasaan takut,” katanya.

Sememangnya hukuman satu pendekatan berkesan yang boleh dipraktikkan. Pelaku seks bebas sehingga mengandung anak luar nikah sudah lama diberi ‘muka’ sehingga tiada perasaan takut untuk orang lain melakukan perbuatan sama.

Dalam fikiran mereka, tiada masalah jika terbabit seks bebas kerana tiada apa-apa tindakan dikenakan. Apa yang perlu dilalui hanyalah menanggung malu sehingga bukan lagi satu keanehan apabila media melaporkan ada wanita berulang kali hamil anak luar nikah.

Kebiasaannya yang menanggung beban adalah wanita, manakala si ‘jantan jongos’ yang bertanggungjawab membuntingkan mangsanya, kebanyakannya ‘lepas tangan’ dan hilang begitu saja.

Sebab itu, kita setuju dengan saranan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mahu lelaki atau pasangan yang menjadi punca kepada wanita hamil luar nikah turut bertanggungjawab.

“Apabila timbul masalah ini (anak luar nikah), yang dipersalahkan hanya wanita. Saya nak tanya, siapa bapanya (anak luar nikah itu), di mana mereka...jangan hanya salahkan wanita.

“Jangan lepas tangan sehingga wanita saja yang menanggung derita. Sebab itu apabila berlaku masalah seperti ini, lelaki yang menjadi punca perlu turut dicari dan bertanggungjawab terhadap apa dilakukan,” katanya.

Kita sudah melihat wanita yang terbabit dalam kes pembuangan bayi menerima hukuman, tetapi lelaki yang terbabit dalam kes kehamilan luar nikah tersenyum lebar kerana mereka ada beberapa pilihan seperti melarikan diri atau mengahwini mangsa.

Justeru, lakukanlah sesuatu supaya timbul perasaan gerun. Bukan saja kepada lelaki, tetapi si wanita juga perlu dihukum sama sebagai satu pengajaran yang boleh dikenang sampai bila-bila.

Jika berlaku kes hamil luar nikah, dedahkan segera tindakan yang bakal diambil. Mengambil contoh kes pelajar berusia 18 tahun yang melahirkan anak luar nikah di sekolahnya di Tumpat, Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) Tumpat segera membuka kertas siasatan.

Pegawai Agama Tumpat, Mohd Naim Ghazali, berkata, pihaknya akan mengambil keterangan daripada pelajar berusia 18 tahun itu dan pihak sekolah.

Katanya, jika diperlukan, pihak jabatan akan turut mengambil keterangan daripada ibu bapanya bagi melancarkan siasatan kes itu.

“Jika sabit kesalahan, pelajar perempuan itu boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun.

“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 16 Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1985,” katanya.

Kepada pihak berkuasa, jangan takut untuk mendedahkan kerja yang dilakukan kerana ia bukan soal menunjuk-nunjuk, tetapi ia satu tugas mulia yang perlu dilaksanakan. Biar ia jadi pengajaran supaya sesiapa yang kini sudah ada bibit-bibit ke arah pelakuan seks bebas, sedar diri.


Penulis Ketua Biro Harian Metro Kelantan

No comments:

Post a Comment