Thursday, October 6, 2011

ALLAH BOLEH TURUN KUTU2...BURUNG2...NYAMUK2....BELALANG2...DLL...BAGAIMANA YANG BESAR2 SEPERTI GAJAH2...ITULAH SIFAT ALLAH YANG MAHA KUASA ...FIKIRLAH MAKSIAT ATAU DERHAKA YANG KITA BUAT...JANGAN MAKHLUK MENCABAR ALLAH....HAIRAN BILA MANUSIA MELUPAKAN IA DIHIDUPKAN ...SERTA DIBERI REZEKI OLEH ALLAH...TAPI LUPA DARATAN....

Tumpu golongan bergaji rendah


BAJET 2012 diharap dapat memberi lebih insentif kepada golongan berpendapatan rendah mengimbangi pendapatan mereka dengan kenaikan harga barang. - Gambar hiasan



KUALA LUMPUR – Kelangsungan hidup golongan berpendapatan rendah dan pengurangan kadar cukai diharap menjadi agenda utama Bajet 2012 yang akan dibentangkan di Parlimen hari ini.
Beberapa pakar ekonomi berpendapat pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu akan menumpukan kedua-dua aspek berkenaan.
Pakar ekonomi, Datuk Salleh Majid berkata, kerajaan perlu mengurangkan kadar cukai yang disifatkannya masih tinggi bagi membolehkan Malaysia kekal kompetitif dalam kalangan negara-negara membangun.
“Walaupun kadar cukai pendapatan maksimum dikurangkan daripada 27 peratus kepada 26 peratus dalam bajet tahun lepas, ia sebenarnya masih tinggi untuk berdaya saing dengan negara-negara lain di rantau ini.
“Singapura, misalnya, hanya mengenakan kadar cukai pendapatan sebanyak 17 peratus namun tetap mampu bersaing,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu-isu yang ditekankan dalam Bajet 2012 yang akan dibentangkan oleh Najib hari ini.
Mengulas lanjut, Salleh berkata, pengurangan kadar cukai juga dapat menggalakkan kemasukan pelabur asing yang secara tidak langsung berupaya memacu pertumbuhan ekonomi yang positif.
Salleh juga menyatakan harapannya agar pengurangan kadar cukai dapat dilaksanakan supaya dapat meringankan beban rakyat dari segi kos sara hidup terutamanya dalam kalangan golongan miskin dan berpendapatan rendah.
Sementara itu, Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia, Prof. Dr. Jariah Masud pula berharap kerajaan perlu mengawal harga barang keperluan asas bagi mengelakkan pengguna daripada terus ditindas sesetengah peniaga.
Menurutnya, sudah terlalu banyak kes yang melibatkan penipuan oleh peniaga dan keadaan itu akan menjejaskan ekonomi keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Jika perkara itu tidak segera dibendung, katanya, keluarga berkenaan dikhuatiri akan gagal mengawal perbelanjaan harian, sekali gus mendatangkan kesan negatif kepada ekonomi untuk jangka masa panjang.
“Kini sudah terdapat banyak kes seperti anak-anak terpaksa berhenti daripada persekolahan semata-mata untuk membantu ibu bapa mencari wang.
“Bagi saya, antara cara terbaik untuk menangani masalah tersebut ialah dengan mengawal harga barang,” katanya.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah pula berpendapat Bajet 2012 dapat memberi lebih pengisian kepada rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah.
“Saya percaya bajet itu dapat memberi lebih insentif kepada golongan berkenaan agar dapat mengimbangi pendapatan dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa ini.
“Pelaksanaan itu diharap dapat memberi kesamaan dari segi taraf hidup bagi menjamin keselesaan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Derita serangan kutu beras



MOHD. TAHIR menunjukkan kutu beras yang menyerang penduduk di Pasir Gudang semalam.



PASIR GUDANG - Lebih 5,000 penduduk yang tinggal berhampiran gudang beras Padi Beras Nasional (Bernas) di Jalan Gangsa di sini tertekan dengan gangguan dan serangan kutu beras sejak awal tahun ini.
Lebih merimaskan, kutu beras tersebut turut memasuki bilik tidur penghuni termasuk di Perjiranan 10 dan Flat Malaysia Marine and Heavy Engineering (MMHE).
Seorang penduduk, Ainon Endud, 65, berkata, setiap hari lebih 100 ekor kutu beras muncul di rumahnya terutama pada awal pagi dan lewat petang.
"Kutu beras berada atas lantai, katil, dinding, dapur, dalam makanan, bekas minuman dan di mana-mana sahaja sehingga kami buntu dan tidak tahu apa hendak dibuat untuk mengatasinya.
"Setiap hari saya terpaksa menyapu dan mengutip kutu beras ini tetapi masalah ini masih berterusan," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.
Dakwanya, masalah itu pernah diajukan beberapa kali kepada pihak Bernas dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) tetapi hingga kini tiada sebarang tindakan diambil.
Mohd. Tahir Ibrahim, 59, pula memberitahu, serangga itu bukan sahaja memenuhi ruang rumahnya malah turut merayap dan menggigit badannya sehingga menyebabkan kulit menjadi kemerah-merahan.
"Bagi yang alah, gigitannya boleh menyebabkan kulit bermasalah berminggu-minggu lamanya.
"Kutu beras juga masuk ke telinga dan hidung kanak-kanak pada malam hari," terangnya lagi.
Shari Basir, 41, berkata, kutu beras biasanya terdapat di bawah bantal dan tilam dalam jumlah yang banyak.
Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka tidak dapat tidur dengan nyenyak dan berharap tindakan segera diambil oleh pihak terbabit.
Dalam pada itu, Yang Dipertua MPPG, On Jabbar @ Jaffar berkata, pihak Bernas telah mengambil tindakan termasuk memusnahkan semua palet di gudang itu yang dikatakan menjadi punca utama pembiakan kutu beras.
"Langkah ini akan dilakukan secara berperingkat-peringkat kerana perlu mengalihkan beras yang berjumlah 32,000 metrik tan.
"Selain itu, Bernas akan memasang jaring dan melakukan proses asapan atau melepaskan gas untuk membunuh kutu-kutu beras," katanya selepas melawat gudang beras Bernas berkenaan.

Motif dendam



THAIVEEGAN (tengah) bersama pegawainya menunjukkan senjata yang ditemui dalam kes bunuh pasangan suami isteri pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.



SHAH ALAM – Polis semalam memberitahu perselisihan faham dan dendam merupakan motif utama kes pembunuhan kejam sepasang suami isteri yang mayat mereka ditemui di sebuah dusun durian Batu 30, Hulu Yam Lama, Batang Kali pada 28 September lalu.
Motif tersebut diketahui selepas pihak berkuasa itu menyoal siasat tujuh lelaki berusia di antara 16 dan 44 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan. Dua daripada suspek merupakan anak beranak dan mereka mengusahakan perniagaan bas.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, lima daripada suspek ditahan di Batang Kali dan Rasa, Hulu Selangor dua hari selepas kejadian. Semakan mendapati tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah manakala dua lagi masih berstatus Ordinan Pencegahan Jenayah (PCO).
Katanya, dua lagi ditahan di Rasa, Isnin lalu di mana salah seorangnya didapati positif syabu.
“Polis menganggap kes ini selesai selepas berjaya menemui dua bilah parang yang digunakan untuk membunuh di Sungai Selangor, Rasa iaitu kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian,” katanya.
Baru-baru ini, Kosmo! melaporkan, dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, mayat L. Ramasandram, 57, dan isterinya, A. Bakiam, 51, ditemui terlentang di atas jalan tanah merah.
Ramasandram cedera teruk di kepala dengan kelima-lima jari tangan kanannya putus manakala Bakiam hampir putus pergelangan tangan selain turut ditetak di kepala.
Menurut Thaiveegan, pembunuhan itu bermotifkan perselisihan faham dan dendam. Kesemua suspek kini direman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Tragedi ragut empat nyawa



BEGINILAH keadaan kereta Perodua Kenari yang terperosok di bawah perut treler dalam kemalangan di Kilometer 4.2, Jalan Machang, Pasir Puteh, semalam.



MACHANG – Kegembiraan lima pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang keluar makan malam dan bersiar-siar di Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu tidak berpanjangan apabila empat daripadanya maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta jenis Perodua Kenari yang dinaiki terlibat dalam kemalangan semalam.
Kejadian pukul 5.30 pagi di Kilometer 4.2, Jalan Machang Pasir Puteh dekat sini itu mengakibatkan Mohd. Shamil Malik, 19, serta Mohd. Rizal Mohd. Zain, 19, dari Kampung Parit Jurak, Batu Pahat dan Kluang, Johor meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di seluruh badan.
Dua lagi rakan mereka, Mohd. Sazwan Rosli, 19, dari Pekan, Pahang dan Mohd. Faizuddin Jamil, 19, dari Seksyen 24, Shah Alam, Selangor, mati ketika mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian petang semalam.
Seorang lagi mangsa, Mohd. Haziq Zailani, 19, pula cedera ringan. Ketika kejadian, kereta yang dipandu Mohd. Shamil itu dalam perjalanan ke UiTM Machang dari Kota Bharu.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila kereta yang mereka naiki melanggar bahagian tengah treler yang datang dari arah bertentangan sebelum terperosok ke bawah kenderaan tersebut.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Che Malek Bedot berkata, ekoran itu, pemandu dan tiga penumpang Kenari maut manakala seorang lagi cedera.
“Pemandu dan kelindan treler tidak cedera dan mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1947,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Che Fauzi Che Omar berkata, sebaik tiba, pihaknya mendapati empat mangsa tersepit manakala seorang lagi sudah dikeluarkan oleh orang ramai.
“Kami mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Haziq memberitahu, ketika kejadian dia sedang tidur di tempat duduk belakang sebelum terkejut mendengar bunyi dentuman kuat.
“Saya kemudian melihat rakan-rakan berlumuran darah dan tidak bergerak. Sebelum kejadian, kami dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu ke UiTM selepas keluar makan di Wakaf Che Yeh serta bersiar-siar di Pantai Cahaya Bulan,” ceritanya.
Bapa Mohd. Rizal, Mohd. Zain Yaacob, 50, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anak sulungnya itu dua hari lalu ketika mengambil barangan milik arwah di kampus.
“Tiada apa yang pelik cuma barang yang diberikan untuk dibawa pulang kali ini lebih banyak daripada sebelumnya,” kata Mohd. Zain.
Tambahnya, dia mengetahui kejadian tersebut selepas mendapat panggilan daripada isterinya yang berada di Johor Bahru. Ketika itu, dia berada di rumah bapanya di Ladang Kerala, Tanah Merah.

97 pelarian Myanmar kebuluran di laut



MOHD. HATTA (kanan) bertanyakan sesuatu kepada seorang pelarian warga Myanmar di Balik Pulau, Pulau Pinang semalam.



BALIK PULAU - Tindakan nekad 97 pelarian warga Myanmar untuk masuk ke negara ini secara haram selepas sembilan hari belayar dari Bangladesh tidak kesampaian apabila mereka ditahan polis di pesisiran pantai Pulau Betong di sini semalam.
Kesemua mereka yang berusia 19 hingga 30 tahun diberkas dalam satu operasi bersepadu polis kira-kira pukul 8 pagi dan ditemui dalam keadaan tidak bermaya serta kelaparan setelah lima hari terputus bekalan makanan.
Difahamkan, mereka terpaksa mengerah kudrat yang ada untuk berenang sejauh 300 meter menyeberangi Pulau Kendi ke Pulau Betong selepas ditinggalkan tekong bot kira-kira 500 meter dari pantai.
Sebahagian daripada mereka menggunakan jaket keselamatan untuk berenang ke pesisiran pantai manakala selebihnya hanya menggunakan tong beras, tong fiber dan plastik sebagai pelampung.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Mohd. Hatta Mohd. Zain berkata, tangkapan dilakukan berdasarkan maklumat orang awam yang curiga melihat sebuah bot berhampiran Pulau Betong pada pukul 3 pagi semalam.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan polis ke lokasi terbabit menemui sekumpulan lelaki basah kuyup dan menggigil kesejukan selain berada dalam keadaan lapar manakala selebihnya melarikan diri ke kawasan bukit berhampiran.
"Siasatan mendapati mereka adalah kumpulan pelarian Myanmar yang datang dari sebuah kem pelarian di Bangladesh sebelum belayar ke negara ini semata-mata mahu mencari pekerjaan.


SEBAHAGIAN daripada 97 orang pelarian warga Myanmar yang
kebuluran diberi makan selepas ditahan di Balik Pulau semalam.



"Mereka menaiki sebuah bot kayu dan membayar tekong dengan upah 10,000 paka (RM420) seorang dan diarah terjun ke laut kira-kira 500 meter dari pantai oleh tekong berkenaan," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Susulan daripada itu, Hatta memberitahu, pihaknya dengan kerjasama Maritim Malaysia (APMM) giat mengesan bot terbabit selain berjaya menahan 14 lagi warga Myanmar, tidak jauh dari pantai Pulau Betong.
Turut ditahan ialah dua lelaki Myanmar berusia 40-an yang bekerja di negeri ini yang mengaku mahu mengambil saudara mereka yang tiba dengan bot di pesisiran pantai terbabit.
Kedua-dua lelaki yang datang dari Nibong Tebal dan Sabak Bernam, Selangor itu kemudiannya turut dibawa bersama kesemua pelarian terbabit ke Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya untuk membantu siasatan.
Sementara itu, menurut seorang pelarian, Anowar Hussain, 23, mereka hanya minum air kosong bagi mengalas perut sejak lima hari lalu ketika belayar dari perairan Bangladesh ke sini.
Katanya, dia menghabiskan semua wang simpanan kira-kira RM500 untuk membayar tekong kerana teruja untuk mencari pekerjaan yang lebih baik di Malaysia setelah mendengar cerita rakan-rakan yang berhijrah ke sini.

Pemandu dapat 'hadiah' penumbuk


MOHADI menunjukkan laporan polis yang dibuatnya selepas ditumbuk seorang lelaki di Besut, Terengganu semalam.


BESUT - Seorang lelaki yang gagal mengawal perasaan marahnya bertindak menumbuk mata seorang pemandu ambulans selepas berang dengan tindakan mangsa yang didakwanya lambat tiba untuk membawa doktor dan dua jururawat bagi membantu isterinya bersalin semalam.
Kejadian pukul 2.45 pagi itu menimpa Mohadi Mohd. Jaafar, 39, sebaik dia tiba di rumah pasangan itu di Kampung Alur Luntah dekat sini. Difahamkan, ketika mereka tiba, isteri lelaki itu telah selamat melahirkan sepasang anak kembar.
Menurut Mohadi, kemungkinan atas sebab itu lelaki tersebut yang marah kerana isterinya bersalin tanpa bantuan doktor dan jururawat terus menumbuk mata kirinya.
"Selepas mendapat panggilan daripada Penolong Pegawai Perubatan di unit kecemasan Hospital Besut pada pukul 2.30 pagi, saya mengambil seorang doktor dan dua jururawat lalu terus memandu ke lokasi yang diarahkan.
"Sebaik saya tiba di rumah pasangan itu 15 minit kemudian, doktor dan dua jururawat terus masuk ke rumah. Seorang lelaki kemudian memarahi saya dan terus menumbuk mata kiri saya kerana katanya sebagai 'hadiah' kerana tiba lewat untuk membantu isterinya bersalin," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambahnya, dalam menahan sakit, dia masih sanggup membawa pasangan bayi itu dan ibunya ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Saya lakukan tugas itu sebagai tanggungjawab hakiki saya membawa orang yang sakit atau memerlukan bantuan ke hospital," katanya lagi.
Ujar Mohadi, dia kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.
Dia membuat laporan di Balai Polis Jerteh kira-kira pukul 3.25 pagi semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Kamarudin Mohd. Zakaria mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut dan siasatan masih dilakukan sebelum polis mengambil mengambil tindakan lanjut.

Pelakon nafi peluk, cium pasangan khalwat


ABDUL RAZAK hadir memberi keterangan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Pelakon dan penyanyi Abdul Razak Ahmad menafikan dirinya berkelakuan tidak senonoh dengan memeluk, mencium serta menyentuh seorang ahli perniagaan wanita yang ditangkap khalwat bersamanya lima tahun lalu.
Razak, 44, berkata, mustahil perbuatan itu berlaku kerana dia pergi ke sebuah premis stor dengan niat untuk mencuba pakaian yang ditaja oleh Selamah Sahudin, 45.
Razak menyatakan demikian sewaktu pemeriksaan balas oleh Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli dalam perbicaraan bela diri atas tuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.
Tertuduh bagaimanapun bersetuju dengan Shafezan bahawa dia berada di premis stor menyimpan pakaian milik Selamah itu selama satu jam setengah sebelum diserbu oleh suami wanita itu pada pukul 2.15 pagi.
Menurut Razak, dari pukul 1 pagi hingga 2.15 pagi, dia mencuba tiga pasang baju dan ketika serbuan dilakukan dia hanya memakai singlet tanpa lengan dan seluar kerana sedang mengeringkan peluh di dalam bilik utama premis itu.
Ditanya sama ada tujuannya membuka baju adalah untuk 'bersama' dengan Selamah, Razak menafikan.
Namun artis tersebut mengaku dia bukan mahram kepada Selamah dan tidak menegah Selamah menutup pintu utama selepas mereka masuk.
Menurut Razak, sebelum itu dia dan Selamah berjanji berjumpa di premis berkenaan dan kedua-dua mereka bergerak dari rumah masing-masing.
"Saya bergerak dari Pelabuhan Klang pada pukul 12 malam dan itu merupakan kali pertama saya ke sana, jadi saya beberapa kali menelefon Selamah bertanyakan arah dan jalan ke sana," katanya.
Razak dalam pada itu mendakwa hubungan dia dan Selamah hanya antara penaja dan artis, namun selepas diasak oleh Shafezan, dia akhirnya akur apabila memberitahu telah mengenali Selamah sejak 1982.
Razak yang diwakili peguam syarie, Mohammad Azman Karim didakwa berada bersama Selamah dalam keadaan yang menimbulkan syak di No. A-4-19, Blok A, Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan di sini pada pukul 2.15 pagi 1 April 2006.
Ketika pertama kali didakwa pada 14 September tahun yang sama, Abdul Razak memohon dibicarakan tetapi Selamah didenda RM2,850 atau penjara tujuh bulan selepas mengaku bersalah.
Jika sabit kesalahan, Abdul Razak boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya. Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad bersambung 10 November ini.

No comments:

Post a Comment