Thursday, October 6, 2011

BILA NYAWA TIDAKBERHARGA LAGI....BILA PENIPU BANYAK....BILA PENCURI BERKELIARAN....MAKA BERWASPADALAH...

Pasangan kekasih mati bersama



TAWAU: Gara-gara memandu kereta ‘sport’ dengan laju, sepasang kekasih maut apabila kenderaan itu terbabas dan merempih tembok batu selepas gagal mengelak seekor anjing melintas jalan di Kilometer 5, Jalan Kuhara, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, pemandu kereta Nissan Fairlady 350Z dikenali sebagai Tam, 35, maut di tempat kejadian akibat tersepit di dalam kenderaannya yang hancur, manakala teman wanitanya dikenali Lo, 27, maut selepas tercampak keluar dari kenderaan. Difahamkan, sebelum kejadian, pasangan terbabit dalam perjalanan dari pusat bandar menuju ke kawasan perniagaan di Hot Spring, di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, pemandu kenderaan mewah itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan terhumban ke dalam parit besar di kiri jalan.

“Siasatan mendapati kenderaan itu dipandu laju dan pada masa sama gagal mengelak seekor anjing yang melintas jalan,” katanya.

Menurut Ibrahim, polis turut menemui bangkai anjing yang dipercayai dilanggar mangsa. “Kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian termasuk pemandunya tersepit dan dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat beberapa jam kemudian,” katanya.

Suami cekup 2 penipu

Oleh Rosli Ilham
am@hmetro.com.my

DUNGUN: “Saya tidak sangka mereka berniat menipu saya,” kata peniaga, Rosidah Mamat, 24, selepas wang tunai RM200 miliknya dilarikan dua warga Filipina yang berpura-pura ingin menukar wang di kedai runcitnya di Kampung Landas, di sini, petang kelmarin.
Dia berkata, dalam kejadian jam 5.30 petang itu, dua warga asing terbabit memberhentikan kereta Datsun Sunny berwarna putih di hadapan kedainya dan berpura-pura mahu membeli barang.

“Mereka memaklumkan mahu membeli sabun dan roti sebelum menghampiri saya di kaunter dan seorang mengeluarkan wang RM100 sebanyak enam keping di depan saya,” katanya.
Menurutnya, suspek memintanya menukar semua wang tunai RM600 itu dengan RM50.

“Bagaimanapun, saya memberitahu wang untuk ditukar tidak mencukupi kerana saya hanya ada RM400 ketika itu. “Suspek kemudian memegang wang saya sebanyak RM400 itu dan sekali lagi membuat helah dengan meminta menukar dengan nilai RM5 dan sebaik saya menjawab tiada, dia menyerahkan kembali wang RM400 itu kepada saya,” katanya.

Katanya, dalam suasana kalut kedua-dua warga asing itu berpura-pura pula bertanya harga rokok di kedainya, dia tanpa mengira semula wang itu memasukkannya ke dalam laci.

“Selepas kedua-dua suspek beredar, saya membuka laci untuk mengira semula wang yang dikembalikan itu dan terkejut apabila mendapati wang itu kurang sebanyak RM200 sebelum memaklumkan kepada suami yang berada di luar kedai,” katanya.

Rosidah berkata, suaminya, Mohd Asmawi Mohd Razak, 31, kemudian memecut kereta mengejar kedua-dua suspek dan selepas beberapa kali berhenti untuk bertanya kepada penduduk sama ada mereka nampak kereta yang dinaiki suspek, suaminya dimaklumkan kereta berkenaan memasuki Felda Jerangau.
“Saya percaya suspek mahu melakukan jenayah sama kepada peniaga di kawasan itu namun tidak berjaya sebelum memandu keluar dari Felda berkenaan,” katanya.

Suami mangsa, Mohd Asmawi Mohd Razak, 31, berkata dia terserempak dengan kenderaan dinaiki suspek yang berhenti di sebuah simpang sebelum menyekat kereta itu.

“Sebaik keluar dari kereta, saya memaklumkan apa yang berlaku kepada beberapa penduduk yang secara kebetulan berada di kawasan itu dan dengan bantuan mereka, saya menyerbu kenderaan suspek dan menahan mereka,” katanya.

Mohd Asmawi berkata, kedua-dua suspek memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan dan sanggup mengganti kembali wang tunai yang dicuri itu namun dia enggan menerimanya.

“Kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Jerangau dan saya bersama isteri membuat laporan pada jam 6.30 petang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 39 dan 53 tahun itu kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu untuk tindakan selanjutnya.

Tiga dicekup, seorang diburu

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes samun mesin deposit tunai (CDM) sebuah bank di Jalan Segambut , di sini, 10 September lalu diberkas polis manakala seorang lagi rakan suspek masih diburu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, dua lelaki yang memakai topi keledar, topeng dan bersenjatakan sepucuk pistol memasuki bank berkenaan ketika dua kakitangan bank membaiki mesin itu.

“Suspek merampas beg silang milik pengawal keselamatan bank mengandungi sepucuk pistol dan lima butir peluru sebelum mengarahkan mangsa membuka mesin CDM dan melarikan wang tunai RM61,400 sebelum melarikan diri dengan dua motosikal bersama dua lagi rakan yang menunggu di depan bank.
“Hasil siasatan, polis menahan ketiga-tiga suspek berusia antara 22 dan 25 tahun di sebuah rumah di Batu Caves, 28 September lalu dan menemui dua pucuk pistol, satu digunakan untuk merompak manakala satu lagi milik pengawal keselamatan bank yang dilarikan,” katanya.

Menurutnya, polis kini memburu seorang lagi suspek dikenali sebagai Al-Syahfarin Ahmad, 26, beralamat Batu 23 1/2, Jalan Sahom, Sungai Siput Selatan, Kampar, Perak dan Flat Taman Desa, Batu Caves 1, bagi membantu siasatan.

Keahlian digantung tapi perlu bayar yuran



KUALA LUMPUR: Hanya kerana mengutip sampah-sarap untuk dikitar semula di sebuah kelab golf terkemuka di Shah Alam, seorang pesara swasta mendakwa digantung sebagai ahli selama enam bulan bermula September lalu hingga Mac tahun depan.
Mangsa, Lee Choon Poke, 51, berkata dia menjadi ahli kelab itu sejak tiga tahun lalu dan kesal apabila pihak pengurusan menggantung keahliannya hanya kerana perkara kecil.

Bagaimanapun, dia tetap perlu membayar yuran keahlian RM270 bagi tempoh tiga bulan sedangkan dia, isteri dan tiga anak tidak boleh memasuki kawasan kelab.
“Akibat tindakan itu, saya sekeluarga dihalang dan tidak boleh memasuki kelab itu untuk melakukan aktiviti riadah.

“Selain itu, kami langsung tidak boleh menjejakkan kaki ke kelab yang dua kilometer dari rumah walaupun untuk membeli makanan di restoran kelab,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Beliau membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15, Shah Alam, kelmarin, kerana tidak puas hati dengan tindakan kelab berkenaan.

Polis tahan 7 lelaki bantu siasatan kes bunuh suami isteri



SHAH ALAM: Polis menahan tujuh lelaki termasuk seorang bapa dan anaknya bagi membantu siasatan kes pembunuhan sepasang suami isteri di sebuah dusun durian berhampiran kebun getah di Batu 30, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Hulu Yam, Selangor pada 28 September lalu.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A Thaiveegan berkata kesemua suspek warganegara tempatan itu berusia antara 16 dan 44 tahun ditahan di beberapa lokasi pada 30 Sept dan 3 Oktober lalu.

"Tangkapan pertama membabitkan lima lelaki warga tempatan di mana tiga daripada suspek didapati mempunyai rekod kesalahan lampau serta dua lagi masih berstatus Ordinan Pencegahan Jenayah (PCO) di kawasan Ulu Yam.

"Dua lagi suspek ditahan pada Isnin lepas dan kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah namun seorang daripadanya positif dadah jenis syabu," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.


Beliau berkata semalam, polis turut menjumpai dua bilah parang yang dipercayai digunakan suspek untuk membunuh mangsa di dalam Sungai Selangor Rasa, Batang Kali, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Thaiveegan berkata kejadian bunuh itu dipercayai bermotif dendam dan perselisihan faham.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi pada 28 September lalu, mayat L Ramasandram, 57, dan isterinya A.Bakiam, 51, ditemui dalam keadaan terlentang di atas jalan tanah merah berhampiran dusun durian.

Ramasandram cedera teruk di kepala dengan kelima-lima jari tangan kanannya putus manakala Bakiam hampir putus pergelangan tangan selain turut ditetak di kepala.

Pasangan terbabit dikatakan keluar rumah seawal 5 pagi untuk menoreh getah di kebun terbabit yang terletak dua kilometer dari rumah mereka. - Bernama

Berhati-hati individu menyamar penjawat awam mohon derma



JOHOR BAHARU: Orang ramai di bandar raya ini diminta berwaspada apabila dihubungi individu yang mendakwa dari agensi awam meminta derma, susulan beberapa kejadian penipuan menggunakan modus operandi sedemikian.
Ketua Pemuda MCA Johor Kua Song Tuck berkata pihaknya menerima lima aduan ditipu dengan cara itu setakat ini.

Mereka lazimnya menyamar sebagai penjawat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Majlis Daerah Johor Bahru Tengah (MPJBT), Jabatan Kesihatan dan Majlis Amal Cegah Jenayah, katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Kua berkata antara alasan mengutip derma ialah untuk mengadakan majlis malam amal dan membantu golongan kurang bernasib baik.


Sementara itu, seorang mangsa Cindy Tan, 35, yang hadir pada sidang media tersebut mendakwa beliau kerugian RM5,350 apabila ditipu dua kali oleh sindiket berkenaan.

Pengusaha kilang plastik itu mendakwa kali pertama beliau dihubungi seorang wanita pada 26 Sept lepas yang mengaku dari MPJBT dan meminta derma berjumlah RM2,250 bagi pembelian lima unit kerusi roda.

"Saya hanya mampu menderma RM1,350 dan kakak saya kemudian menyerahkan wang terbabit kepada seorang wanita di sebuah bank di Taman Universiti," katanya.

Tan berkata empat hari kemudian beliau menerima satu lagi panggilan dari seorang lelaki mendakwa petugas MPJBT meminta derma RM8,000 bagi membeli set meja makan untuk kegunaan Hospital Permai, Tampoi.

Bagaimanapun Tan berkata beliau hanya mampu memberi RM4,000 sahaja dan wang terbabit diserahkan melalui kakaknya kepada seorang lelaki di bank yang sama pada hari yang sama.

"Saya kemudian menyedari telah ditipu pada pukul 8 malam hari yang sama sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Taman Universiti, tiga hari lalu," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment