Wednesday, October 5, 2011

BILA KEJAHATAN SERTA JENAYAH BERADA DIMANA2....ADAKAH INI MERUPAKAN BALA@MUSIBAH YANG KITA UNDANG DISEBABKAN TIDAK BERAMAL ATAU BERAMAL BENDA YANG SALAH DARI SEGI SYARIAT ISLAM...

Peragut Myanmar mati dibelasah



SEORANG peragut Myanmar dibelasah oleh orang ramai yang meragut dua pelancong China yang baru keluar dari medan selera ini di Jalan Pudu kelmarin.



KUALA LUMPUR - Tindakan dua lelaki Myanmar yang meragut beg tangan milik dua pelancong warga China berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada peragut itu mati dibelasah oleh orang awam dalam kejadian berhampiran medan makanan di Pudu di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, orang ramai yang berang dengan tindakan peragut itu bertindak memukul dan menendang suspek namun salah seorang daripada peragut itu berjaya melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, sebaik polis tiba di tempat kejadian, suspek yang dipukul telah mati akibat mengalami pendarahan teruk di kepala.
"Sebelum kejadian, kedua-dua suspek itu meragut dua wanita warga China yang ketika itu dalam perjalanan ke hotel selepas makan di medan selera berkenaan.
"Berlaku pergelutan dalam cubaan meragut itu dan dua mangsa wanita tersebut juga cedera akibat ditikam dengan pisau," kata beliau di sini semalam.

Pengguna mengadu rugi RM250 juta


WALAUPUN perkhidmatan jalur lebar kian meluas termasuk meliputi pondok menunggu bas seperti dalam gambar ini, aspek kualiti didakwa belum memuaskan sehingga menyebabkan ramai mengadu kepada NCCC. - Gambar hiasan



KUALA LUMPUR - Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menerima 34,381 aduan daripada pengguna di seluruh negara berhubung kes-kes pembelian barangan dan perkhidmatan yang membabitkan kerugian berjumlah sehingga RM250 juta sepanjang tahun lalu.
Jumlah kes itu mencatat peningkatan 6.2 peratus berbanding 32,369 aduan pada tahun 2009 dengan nilai kerugian RM150 juta.
Pengerusi Lembaga Pengarah NCCC, Datuk N. Marimuthu berkata, trend peningkatan jumlah aduan itu bermakna bilangan pengguna semakin ramai dan mereka juga kian sensitif terhadap kualiti produk dan perkhidmatan yang diberikan.
"Ini menuntut pengusaha mengambil langkah yang serius untuk meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan kepada pengguna," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar dan Pelancaran Laporan Tahunan 2010 NCCC, di sini semalam.

Kembar Siam tidak jadi bedah



ZULKIFLI ketika ditemui wartawan Kosmo!, Luqman Ridhwan Mohamed Nor di Hospital Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR – Doktor-doktor pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tidak akan menjalankan pembedahan bagi memisahkan kembar Siam, Nur Shazwanie dan Nur Shazrinie Zulkifli kerana ia boleh mengakibatkan komplikasi sekali gus membahayakan nyawa kembar tersebut.
Pengarah HKL, Datuk Dr. Zaininah Mohd. Zain berkata, ini kerana kembar tersebut berkongsi satu jantung sekali gus sebarang pembedahan boleh meragut nyawa kedua-dua kembar berkenaan
“Keadaan jantung kembar tersebut adalah tidak normal. Mereka berkongsi satu jantung. Itulah faktor utama mengapa pembedahan tersebut tidak dapat diteruskan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Beliau diminta mengulas perkembangan terkini nasib kembar tersebut yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi HKL sejak semalam untuk rawatan susulan dan kemungkinan menjalani pembedahan pemisahan sekiranya keadaan mengizinkan.
Kembar tersebut yang dilahirkan pada 22 September lalu dibawa ke HKL dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu awal pagi kelmarin untuk tujuan tersebut.

Perangkap si wanita seksi



HOTEL-HOTEL bajet di Jalan Tun Ali, Melaka antara lokasi wanita seksi membawa mangsanya untuk disamun.



MELAKA - Taktik sebuah kumpulan samun yang menggunakan wanita cantik dan seksi bagi mengumpan 'lelaki hidung belang' sebagai mangsa samun kecundang ekoran penahanan enam lelaki daripada Geng Sethu dalam serbuan di Taman Cheng di sini pada awal bulan lalu.
Difahamkan, wanita cantik dan berbadan seksi berusia awal 20-an yang juga merupakan anggota Geng Sethu akan dihantar berlegar-legar di beberapa lokasi kunjungan orang ramai di negeri ini bagi memikat mana-mana lelaki yang dilihat berpotensi untuk disamun.
Selepas mangsa tergoda dengan penampilan wanita Geng Sethu itu, mangsa biasanya terdorong membawa suspek wanita itu ke hotel bajet yang berdekatan bagi melakukan hubungan seks.
Antara hotel bajet yang dilaporkan pernah menjadi persinggahan mangsa dan suspek wanita itu adalah hotel bajet di sekitar Jalan Tun Ali di sini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, ketika berada di dalam bilik hotel, sekumpulan lelaki bersenjatakan pisau dan tukul akan menyerbu bilik hotel tersebut untuk menyamun beg duit atau apa-apa barang berharga milik mangsa.
"Suspek-suspek itu kemudian mengugut akan melakukan perkara lebih buruk terhadap mangsa selepas mendakwa wanita yang ditiduri mangsa merupakan adik atau saudara mereka," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini semalam.
Menurut beliau, kejadian tersebut tidak berakhir di situ apabila suspek-suspek lelaki itu turut mengambil kunci rumah mangsa dan memaksa mangsa memberitahu alamat lengkap rumahnya.
"Suspek-suspek kemudian akan menceroboh rumah mangsa dan melarikan semua barang berharga dari rumah itu," kata beliau lagi.
Semasa kejadian pecah masuk rumah, mangsa terus 'ditahan' di dalam hotel terbabit. Mangsa hanya dibebaskan selepas suspek-suspek selesai menggelidah rumah mangsa.

Penjahat Amerika Latin diberkas



DUA SUSPEK warga Amerika Latin yang ditahan di Jalan Ipoh, Sentul pada Jumaat lalu kerana disyaki mangsa untuk disamun.



KUALA LUMPUR - Warga kota yang sebelum ini dihantui dengan kes-kes mangsa disamun ketika memeriksa tayar kereta yang pancit mampu menarik nafas lega apabila polis berjaya menahan lima lelaki Amerika Latin yang terlibat dalam jenayah itu.
Jenayah terancang yang dipercayai melibatkan 15 ahli kesemua rakyat Amerika Latin termasuk dua wanita berusia lingkungan 40-an dan 50-an dipercayai mempunyai rangkaian penjenayah menggunakan taktik sama yang beroperasi di negara lain seperti Singapura, Hong Kong, Korea, Jepun dan Vietnam sebagai sasaran.
Modus operandi penjenayah Amerika Latin yang disifatkan profesional itu sama iaitu memancitkan tayar kereta mangsa sebelum suspek mengekori mangsa itu dan berpura-pura menghulurkan bantuan sebelum mangsa disamun.
Kumpulan penjenayah ini bergerak secara berkumpulan ketika mencari sasaran. Mereka dilihat menumpukan kepada pelanggan bank yang mengeluarkan wang.
Bagi melancarkan rancangan jahat itu, dua suspek wanita yang kadangkala turut memakai tudung akan diletakkan di bank-bank untuk menjadi pemerhati pelanggan bank yang mengeluarkan wang dalam jumlah yang banyak.
Pada masa sama, suspek yang berada di luar bank akan memainkan peranannya iaitu meletakkan satu alat tajam di bawah salah satu tayar kereta mangsa.
Selepas urusan mengeluarkan wang selesai mangsa yang menjadi sasaran diekori oleh suspek lain.
Kereta mangsa kebiasaannya akan pancit selepas ia dipandu beberapa kilometer sebelum beberapa suspek lelaki yang berlagak baik hati turut memberhentikan kereta dan menghulurkan bantuan untuk menukarkan tayar.
Namun kesempatan semasa menukarkan tayar itu digunakan oleh suspek untuk mengambil beg mangsa yang mengandungi wang yang biasanya diletakkan dalam kereta.
Kegiatan licik kumpulan Amerika Latin yang bermaharajalela hampir tiga bulan itu di ibu negara bagaimanapun berjaya dipatahkan apabila lima daripada anggotanya ditahan pada pukul 1 petang Jumaat lalu.

Penjual barang lusuh ditahan edar 10,642 biji pil eramin



THAIVEEGAN (kiri) menunjukkan kotak hadiah berisi sebahagian pil eramin 5 yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor di Shah Alam semalam.



SHAH ALAM - Polis menahan seorang lelaki berusia 52 tahun dan merampas 10,642 biji dadah pil jenis eramin 5 bernilai RM266,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Muda, Ampang dekat sini Ahad lepas.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, dalam serbuan pada pukul 1 pagi itu, dadah tersebut ditemui secara berasingan iaitu 1,000 biji pil eramin 5 ditemui disimpan di dalam sebuah kotak yang dibungkus kemas dengan kertas pembalut hadiah manakala sejumlah 9,642 lagi ditemui disembunyikan di dalam kenderaan dan bahagian lain di rumah tersebut.
"Kita percaya pil itu mahu diedarkan untuk pasaran di kelab-kelab malam di sekitar Lembah Klang," kata beliau pada sidang berita di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini semalam.

No comments:

Post a Comment