Monday, February 20, 2012

BILA HUKUM2 ALLAH TAK DIJAGA..KESAN@PADAH SENDIRI TERIMA...HUKUM ALLAH SAJA BOLEH MEMBENDUNG JENAYAH..JANGAN KITA BERLAGAK LEBIIH PANDAI DARI ALLAH...ADA REJAM..POTONG DDL TAPI TAK MAHU GUNA...

Bendung jenayah, pelacuran

KUALA LUMPUR: Tindakan menghentikan pemberian visa ketibaan dan pas sosial kepada penuntut asing membantu polis dalam membendung kegiatan pelacuran membabitkan warga asing yang mendakwa menjadi pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) swasta di negara ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, langkah itu tepat dan dalam masa sama dapat membantu polis mengekang kegiatan jenayah lain atau salah guna pas berkenaan bagi tujuan maksiat.

“Memang sebelum ini kami bersama Jabatan Imigresen ada membincangkan mengenai perkara ini dan berikan cadangan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya menghentikan pemberian visa atau pas kepada pelajar asing yang ingin memasuki negara sebelum mereka secara sah ditawarkan melanjutkan pengajian ke mana-mana IPT untuk elak mereka salah guna pas tersebut.
“Jadi dengan pelaksanaan seperti ini kami memang sambut baik kerana dapat membantu polis dalam menangani kegiatan jenayah dalam negara terutama aktiviti pelacuran yang seringkali membabitkan warganegara asing yang pada awalnya memasuki negara atas alasan melanjutkan pengajian,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan media semalam bahawa Kementerian Pengajian Tinggi menghentikan pemberian visa ketibaan dan pas sosial kepada penuntut asing ke negara ini bagi membendung penyalahgunaan pas berkenaan.

Abdul Jalil berkata, dalam kebanyakan kes, mereka yang dikesan terbabit dengan kegiatan jenayah kebanyakannya pelajar yang mengikuti program sementara dan pengajian bahasa di IPT yang bukan di bawah kelolaan KPT. “Pelajar yang terbabit dengan salah guna visa dan pas ini didapati belajar kursus jangka pendek atau mengikuti program sementara seperti pengajian bahasa,” katanya.

Bernama pernah melaporkan pada bulan lepas polis menunjukkan wujud trend baru pelacur wanita dari Timur Tengah menjadikan Malaysia antara destinasi utama aktiviti maksiat mereka dengan menggunakan taktik samaran kononnya untuk belajar bahasa Inggeris menggunakan pas pelajar dengan mendaftarkan diri di institusi pendidikan tinggi swasta.

Pada tahun lalu, polis Bukit Aman menerima 116 kes pemerdagangan manusia dan daripada jumlah itu, 52 kes membabitkan ekploitasi seks, 45 kes perkhidmatan\ paksa, 10 kes penyeludupan dan eksploitasi untuk visa dan sembilan kes penjualan bayi. - Bernama

Warga emas disimbah asid

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki cedera di muka akibat disimbah sejenis cecair dipercayai asid oleh seorang wanita warga emas berusia 71 tahun selepas berlaku pertengkaran di rumah sewa mereka di Jalan Pudu, di sini pagi Jumaat lalu.
Mangsa berusia 59 tahun sering bertengkar dengan suspek yang tidak berpuas hati tindakannya membawa orang lain menginap di kediaman mereka.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, polis mendapat laporan berhubung kejadian itu jam 3.30 petang Jumaat lalu selepas mangsa dimasukkan ke Hospital Ampang untuk rawatan.

Amah kerja 3 hari songlap RM55,000



PETALING JAYA: Seorang amah warga Indonesia yang baru tiga hari ditugaskan mengasuh anak majikannya meninggalkan kanak-kanak berusia dua tahun itu sendirian sebelum melarikan diri bersama wang tunai, barang kemas, beg tangan berjenama dan telefon bimbit majikannya bernilai RM55,000.
Kejadian itu disedari majikan terbabit, seorang ahli perniagaan wanita berusia 34 tahun, selepas dimaklumkan pemandunya mengenai kehilangan amah terbabit di rumahnya di Mutiara Damansara, di sini, jam 3 petang, Jumaat lalu.

Menceritakan kejadian terbabit, bekas suami ahli perniagaan itu yang hanya dikenali sebagai Mahmud, 34, berkata dia menerima panggilan daripada pemandunya memaklumkan amah terbabit meninggalkan anak bongsunya sendirian di rumah bekas isterinya.
“Pemandu itu menghantar seorang lagi anak saya pulang dari sekolah ke rumah bekas isteri sebelum mendapati amah terbabit berusia 37 tahun tiada dan usaha mencari di kawasan berhampiran gagal menemui wanita itu.

“Kami mengesyaki amah terbabit melarikan diri dan bekas isteri yang memeriksa bilik di rumahnya mendapati wang RM30,000, barang kemas bernilai RM20,000, beg tangan berjenama dan telefon pintar Blackberry tiada dalam simpanan,” katanya, semalam.

Susulan itu, Mahmud membuat laporan di Balai Polis Damansara.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Air deras ‘terjah’ rumah

Oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my

BERBAHAYA...Mumtaz (kanan) dan Mohd Suffian menunjukkan tanah mendap di Jalan Ara, Bangsar.
BERBAHAYA...Mumtaz (kanan) dan Mohd Suffian menunjukkan tanah mendap di Jalan Ara, Bangsar.
KUALA LUMPUR: “Dua minggu lalu tembok batu di belakang rumah runtuh, hari ini (semalam) rumah kami pula dimasuki air,” kata Mohd Suffian Muda, 39, mengenai rumahnya di Lorong Maarof, dekat Bangsar, di sini, yang ‘diterjah’ arus deras akibat hujan lebat petang semalam.
Kejadian jam 4.45 petang itu berpunca akibat longkang yang tersumbat di persimpangan lampu isyarat Jalan Maarof-Jalan Ara kira-kira 30 meter dari rumah berkenaan.

Ia turut menyebabkan persimpangan lampu isyarat berkenaan bertukar ‘sungai’ dan arus deras banjir kilat itu menyebabkan rumah terbabit dinaiki air kira-kira 0.5 meter.
Mohd Suffian berkata, kejadian dua minggu lalu menyebabkan tembok batu setinggi dua meter yang memisahkan rumahnya dengan kedai perabot yang terletak di bahagian belakang rumah itu runtuh.

“Arus deras memasuki kedai perabot itu sebelum merempuh tembok batu di belakang kedai itu hingga runtuh. Hari ini (semalam) disebabkan tembok batu itu runtuh, rumah kami pula dimasuki air,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Mohd Suffian berkata, kejadian itu menyebabkan keseluruhan tingkat bawah banglo dua tingkat yang didiami bersama isteri, dua anak mereka serta mentuanya itu dimasuki air dan merosakkan perabot dan tujuh karpet milik keluarga itu.

Menurutnya, kedai perabot berkenaan yang tidak mempunyai sistem perparitan turut menyebabkan rumahnya terdedah limpahan air akibat banjir kilat itu.

Tinjauan Harian Metro semalam mendapati longkang di persimpangan lampu isyarat itu tersumbat menyebabkan aliran air dari Jalan Ara melimpah sehingga ke permukaan jalan apabila hujan lebat.
Limpahan air itu menyebabkan ruang pejalan kaki di Jalan Ara mendap dan dikhuatiri menyebabkan papan tanda setinggi 10 meter di tepi jalan itu tumbang.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya, Mumtaz Ali, 58, berkata dia kecewa kerana pihaknya sudah membuat aduan kepada pihak terbabit sejak kejadian pertama dua minggu lalu, namun tiada tindakan diambil.

“Saya bimbang berlaku kejadian lebih buruk selepas ini sekiranya tiada tindakan diambil,” katanya.

Jurujual kereta kebas RM10,000



KUALA LUMPUR: Hasrat seorang ahli perniagaan untuk memandu kereta baru BMW X6 terkubur selepas mendapati dirinya ditipu RM10,000 oleh seorang jurujual yang kononnya dapat memberi diskaun, Sabtu lalu.
Ahli perniagaan berusia 40 tahun itu berurusan dengan lelaki terbabit yang mendakwa jurujual kereta berjenama berusia 24 tahun sebulan lalu selepas mengenalinya melalui seorang rakan.

Menurut sumber, mangsa pada mulanya mempercayai suspek yang kononnya boleh mendapatkan harga murah.
“Yakin dengan penerangan suspek, mangsa memasukkan RM10,000 ke dalam akaun suspek pada 10 Januari lalu dan pergi ke Johor Bahru untuk melihat kenderaan yang dibelinya itu.

“Setibanya di Johor Bahru, suspek membawa mangsa ke sebuah hotel untuk menunggu rakannya tiba dengan kereta berkenaan, tetapi rakannya itu tidak muncul-muncul,” katanya.

Menurutnya, suspek yang berada di hotel berkenaan bersama isterinya berjanji kereta berkenaan sampai keesokan harinya.

“Bagaimanapun, keesokan harinya mangsa gagal menghubungi suspek dan isterinya serta mendapati mereka tidak bermalam di hotel berkenaan,” katanya.

Katanya, mangsa menunggu hingga sebulan dan dalam masa sama cuba menghubungi suspek bertujuan membatalkan urusan pembelian itu, namun suspek gagal dikesan.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Pantai, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abd Bari Wan Abd Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa dan berkata siasatan dijalankan.

Isteri kelar muka suami jatuh flat



GEORGETOWN: Pertengkaran antara sepasang suami isteri bertukar tragedi apabila si isteri terjatuh dari tingkat lima rumah mereka di sebuah pangsapuri di Desa Permata, Bandar Baru di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, wanita warga China berusia 37 tahun terbabit maut di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman selepas jatuh dari pangsapuri berkenaan manakala suaminya tidak sedarkan diri dipercayai diserang wanita terbabit menggunakan objek tumpul dan pisau.

Difahamkan, sebelum itu pasangan terbabit bertengkar kerana masalah peribadi dan si suami, Ang Seal Hin, 44, yang ketika itu mabuk dipukul serta dikelar mukanya dengan pisau oleh isterinya.
Akibat pukulan itu, Ang tidak sedarkan diri dan wanita terbabit yang panik melihat muka suaminya berlumuran darah cuba melarikan diri melalui tingkap, tetapi tergelincir dan terjatuh dari tingkat lima.

Seorang pengawal keselamatan yang mahu dikenali sebagai Ang, berusia 50-an berkata, dia terdengar bunyi bising di tingkat lima pangsapuri terbabit, dipercayai suara pasangan itu bertengkar.

“Saya tidak mahu campur rumah tangga mereka kerana pernah beberapa kali pasangan itu bertengkar.

“Namun, tidak lama selepas itu tiada lagi bunyi bising dan saya terdengar sesuatu jatuh ke atas jalan,” katanya.

Menurutnya, dia meninjau kawasan berkenaan dan terkejut apabila melihat tubuh seorang wanita terlentang tidak bergerak.
“Saya panik dan menjerit memanggil penduduk yang kemudian turun untuk melihat apa yang berlaku sebelum mereka menghubungi polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah berhubung kematian wanita terbabit kerana mangsa tergelincir ketika cuba melarikan diri.

“Siasatan polis di rumah itu menemui kesan darah suami wanita terbabit, tetapi tiada tanda mangsa diserang suaminya,” katanya.

Ilustrasi lucah

Oleh Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Ibu bapa yang mempunyai anak di bawah usia 12 tahun perlu waspada kerana mereka mungkin terdedah kepada pengetahuan seks melalui sebuah buku yang dijual secara terbuka di kedai terkemuka di seluruh negara.
Dengan ilustrasi melampau yang menunjukkan bagaimana hubungan kelamin berlaku, ditambah penerangan lengkap kaedah hubungan intim, buku berkenaan juga menerangkan selok-belok perlakuan seks orang dewasa.

Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Biro Aduan dan Komuniti (BAK) Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, buku setebal 44 halaman itu dikesan dijual di sebuah kedai buku di ibu negara baru-baru ini selepas ia dibeli seorang pengguna.
Katanya, pembeli berkenaan yang terkejut melihat isi kandungan buku itu membuat aduan kepada pihaknya bagi memberi ingatan kepada ibu bapa.

Muhd Khairun berkata, hasil pemeriksaan bironya mendapati, buku berkenaan mempunyai isi kandungan yang tidak sepatutnya dibaca kanak-kanak di bawah usia itu selain paparan ilustrasi gambar bogel menunjukkan orang dewasa melakukan hubungan kelamin.

Berharga RM39.80 senaskhah, buku bertajuk ‘Where Did I Come From’ itu dipercayai diimport dari luar negara dengan cetakan lebih dua juta sejak 1997.

Katanya, apa yang mengejutkan ialah terdapat petikan di dalam buku berkenaan yang menceritakan secara terperinci bagaimana hubungan kelamin berlaku termasuk menyatakan bagaimana perasaan pelaku ketika mengadakan hubungan intim itu.

Beliau yang juga Exco Pemuda Umno berkata, BAK yakin terdapat buku lain selain judul itu di pasaran memandangkan sepanjang tahun ini, bironya menerima beberapa aduan berkaitan, tetapi tidak mempunyai bukti untuk mengaitkannya dengan mana-mana pihak. “Kami kesal kerana ketika beberapa pihak sibuk memperjuangkan nasib penulis buku yang tidak menentu sekarang ini, lambakan buku import yang boleh mengundang isu sosial dalam beberapa tahun akan datang dijual secara terbuka di negara kita.
“Isunya sekarang, selain bahan bacaan yang tidak sesuai dengan peringkat umur, terdapat sejumlah 5,150 penulis buku yang tidak mendapat manfaat daripada RM3 bilion nilai dagangan setahun,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Berikutan itu, katanya, biro akan menghantar nota bantahan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam hari ini bagi menyatakan rasa bimbang berhubung penularan buku berkenaan yang boleh merosakkan pemikiran kanak-kanak.

“Ia mungkin sesuai untuk mereka di Barat, tetapi tidak bagi kita di negara ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment