Wednesday, February 22, 2012

BILA JIWA MATI..ATAU HATI MATI...JASAD HIDUP DIJAGA RAPI...HATI DIBIAR TAK BERI MAKAN...MAKANNYA MAJLIS ILMU...3 HARI TAK HADIR SAKIT...40 HARI TAK HADIR JADI SAKIT TENAT ATAU MATI...DARI KESIMPULAN MAKSUD HADIS...

Dapur berdarah

Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my

GEMPAR...penduduk kampung di pekarangan rumah mangsa, semalam.
GEMPAR...penduduk kampung di pekarangan rumah mangsa, semalam.
SUNGAI PETANI: “Saya terkejut hingga menggigil bila melihat Tok Teh terbaring berlumuran darah berhampiran singki di dapur,” kata Fadzilah Hussin, 26, cucu saudara A’inshon Abd Rahman, 60, yang mati ditetak dengan golok perak oleh anak lelakinya di Kampung Padang Buluh, Sidam Kiri, dekat sini, semalam.
Kejadian dipercayai berlaku antara jam 11.30 pagi dan jam 1 tengah hari dan mayat mangsa ditemui seorang penjual ikan yang lalu di situ sebelum terlihat warga emas itu terbaring di lantai menerusi pintu dapur yang terbuka.
Difahamkan, mangsa yang memasak untuk makan tengah hari ditetak anak lelakinya berusia 26 tahun yang juga penagih dadah apabila dia tidak memberi wang yang diminta suspek.

Fadzilah berkata, sebelum kejadian dia menyuruh anak lelakinya, Khainursyani Mohd Khizri, 3, ke rumah nenek saudaranya itu jam 11 pagi dan anaknya pulang membawa sebiji pisang yang diberikan mangsa.


Menurutnya, dia langsung tidak mengesyaki sesuatu yang pelik kerana tidak mendengar pertengkaran mangsa dengan anak bongsunya walaupun jarak rumah mereka hanya lima meter.

 

Ladang enjin curi

Oleh Wan Asrudi Wan Hassan dan Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque
am@hmetro.com.my

BANYAK...bengkel lerai kenderaan dalam ladang sawit yang menyimpan ribuan enjin lori curi bernilai jutaan ringgit.
BANYAK...bengkel lerai kenderaan dalam ladang sawit yang menyimpan ribuan enjin lori curi bernilai jutaan ringgit.
TAIPING: Serbuan polis ke sebuah bengkel kenderaan yang tersorok dalam ladang kelapa sawit di Changkat Jering, di sini, membawa kepada penemuan mengejutkan apabila lebih 1,000 enjin lori yang dicuri bernilai jutaan ringgit berselerakan di bengkel itu.
Bengkel milik sindiket curi kenderaan berat itu sengaja dibina di kawasan sunyi bagi membolehkan kerja melerai dan melapah lori curi dilakukan dalam tempoh hanya beberapa jam sebelum komponennya dijual sebagai alat ganti terpakai.

Serbuan ke atas bengkel yang terletak di atas kawasan seluas dua hektar itu dilakukan polis Kontinjen Perak dengan kerjasama polis Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Sabtu lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, sindiket terbabit sengaja memilih kawasan tersorok dalam ladang kelapa sawit untuk menjalankan kegiatan mereka bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Berdasarkan maklumat, sindiket itu mendapat bekalan lori curi dari Pulau Pinang, Perak dan Lembah Klang yang dibawa ke bengkel itu sebelum dileraikan enjin serta komponen lain.

“Selain lebih 1,000 enjin lori curi, turut ditemui puluhan kepala lori yang menunggu masa untuk dileraikan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Sementara itu, di Shah Alam, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, selain lori, ahli anggota sindiket terbabit turut mencuri pelbagai kenderaan lain dan mereka dipercayai aktif dalam jenayah itu sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, tembelang sindiket itu terbongkar sejurus polis menahan tiga lelaki yang cuba mencuri sebuah lori di belakang sebuah pasar raya di Rawang, Khamis lalu.
Katanya, susulan penahan lelaki berusia 22 tahun hingga 33 tahun yang berasal dari Tanjung Karang dan Sungai Besar itu, polis menjumpai pelbagai peralatan curi kenderaan dalam kereta Proton Wira yang dimiliki seorang daripada mereka.

“Penahanan ketiga-tiga suspek membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 25 tahun di Sabak Bernam kira-kira jam 4 pagi keesokan harinya.

“Hasil soal siasat, suspek membawa polis ke sebuah bengkel di Taiping, Perak,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam. Tun Hisan berkata, hasil serbuan ke bengkel itu, polis menahan lapan individu membabitkan seorang kerani wanita, tiga lelaki tempatan dan empat lagi lelaki warga Bangladesh. Semua mereka berusia antara 18 dan 50 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas suspek warga Bangladesh itu mendapati hanya seorang daripada mereka memiliki pasport dan selebihnya masuk ke negara secara haram.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menjumpai 1,101 enjin lori, 102 enjin kereta, 30 kepala lori, tiga kepala kereta, tiga lori, 128 kereta, 1,040 pintu lori yang sudah dikikis nama syarikat pada badannya serta 13 kunci lori. “Polis mendapati suspek mengikis nombor casis dan enjin kenderaan yang dicuri bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya. Beliau berkata, setakat ini, polis mengesan pemilik dua lori yang dilaporkan hilang dipercayai dicuri sindiket berkenaan di Hutan Melintang, Perak pada 1999 dan di Desa Jaya, Gombak.

Katanya, modus operandi sindiket berkenaan adalah mencuri lori atau kereta yang diletakkan di tempat letak kereta atau dengan cara menyamun kenderaan berkenaan. “Polis akan meminta bantuan pasukan Forensik untuk mengenal pasti nombor casis dan enjin serta pintu yang dikikis bagi memudahkan siasatan,” katanya.

Beliau berkata, seorang lelaki yang juga pemilik premis berkenaan RC Muniandi, 48, dan alamat terakhirnya Taman Kota Jaya, Simpang, Taiping, Perak kini diburu polis untuk membantu siasatan.

Semua individu yang berjaya ditahan itu kini ditahan reman sehingga 22 Februari ini dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK) kerana curi kenderaan.

Tun Hisan berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 294 kes curi lori dilaporkan di Gombak meningkat berbanding 246 kes dilaporkan sepanjang 2010.

Katanya, Polis Selangor juga menumpaskan empat sindiket curi kenderaan serta menahan 12 individu sepanjang tahun lalu. Beliau berkata, suspek satu daripada empat sindiket sudah didakwa di mahkamah manakala yang selebihnya dihantar ke Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor mengikut Ordinan Darurat berikutan kekurangan bukti.

Superman nahas

Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my

USUNG...jenazah Ramli  dibawa  ke HSNZ untuk bedah siasat, malam kelmarin.
USUNG...jenazah Ramli dibawa ke HSNZ untuk bedah siasat, malam kelmarin.
MARANG: Tindakan seorang lelaki membakar diri gara-gara meniru aksi siri kartun Superman kira-kira 28 tahun lalu menjadi kenangan sukar dilupakan keluarga mangsa kemalangan maut di Kampung Kelulut, di sini, malam kelmarin.
“Kejadian itu berlaku ketika arwah berusia 12 tahun dan terlalu meminati kartun Superman hingga terikut-ikut aksi superhero itu tanpa memikirkan kesan akibat perbuatan itu.
“Bermula tragedi itu, arwah yang melecur hampir keseluruhan badan enggan bersekolah kerana malu diejek rakan berikutan wajahnya yang melecur menyebabkan arwah menghadapi tekanan perasaan dan disahkan doktor sebagai pesakit jiwa,” kata Ismail Othman, 56, bapa kepada Ramli Ismail, 40, yang maut dalam kemalangan kira-kira jam 8.30 malam.

Ismail berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya pada Januari lalu selepas arwah pulang ke rumahnya di Kampung Durian Burong, Kuala Terengganu.


Menurutnya, dia percaya arwah ketika itu melalui kawasan berkenaan dan singgah di rumahnya untuk meminta makanan sebelum keluar semula selepas selesai makan.

Rahsia rumah tertutup

KLANG: Rahsia sebuah rumah teres di Lorong Tepi Sungai 4, Kawasan 7, di sini, yang sentiasa tertutup rapat terbongkar apabila ia didapati dijadikan markas melempias nafsu lelaki hidung belang.
Kegiatan tidak bermoral itu terbongkar selepas diserbu Urusetia NKRA Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, jam 11 malam kelmarin. Dalam operasi itu, lima wanita warga asing dipercayai pelacur bersama tiga lelaki tempatan seorang lelaki yang juga bapa ayam ditahan.

Ketua Operasinya, Asisten Superintendan Emmi Shah Fadhil berkata, semua pelacur yang ditahan masing-masing empat dari Vietnam dan seorang dari China. “Siasatan awal mendapati empat daripada mereka memiliki pasport manakala seorang lagi tiada pasport dan memasuki negara ini secara haram.
“Semua pelacur yang ditahan berusia 22 tahun hingga 38 tahun dan melakukan aktiviti haram ini sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Polis turut menemui kondom dan alatan rangsangan seks di dalam bilik di dalam rumah berkenaan.

Menurut jiran, dia curiga dengan perilaku ‘jiran’ yang tinggal berdekatan rumahnya kerana sukar melihat mereka keluar dari rumah.

Lelaki angau ugut rodok janda tolak cinta

PADANG BESAR: “Aku sayang hang, jangan buat aku macam ni, jangan paksa aku rodok hang,” ugut seorang lelaki mengancam merodok perut seorang janda dengan gunting selepas cintanya ditolak wanita berkenaan.
Dalam kejadian Ahad lalu, janda berusia 28 tahun beranak satu itu bukan saja diugut ditikam, malah dia turut dibelasah dan dicekik peniaga berusia 26 tahun itu.

Difahamkan, baju dipakai wanita itu dikoyak suspek kerana tidak puas hati dengan tindakannya berpindah ke kawasan jauh dari rumahnya.
Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam selepas mangsa memberitahu tidak lagi lagi tinggal di sebuah taman perumahan di Beseri di sini, yang berhampiran dengan rumah suspek.

Menurutnya, lelaki itu datang ke rumah wanita berkenaan dan berlaku pertengkaran antara mereka selepas wanita itu memberitahu mahu berpindah ke rumahnya di Kangar selepas menyewa di kawasan itu sejak beberapa bulan lalu.

“Wanita itu juga menyatakan mahu berpisah dengan lelaki berkenaan yang mencetuskan kemarahan peniaga itu sebelum dia memukul wanita terbabit.

“Mangsa juga dicekik lelaki itu yang berang sehingga menyebabkannya terpaksa menjerit dan meronta-ronta meminta dirinya dilepaskan,” katanya.

Menurutnya, wanita itu yang berjaya melepaskan diri, ditarik semula suspek yang mengeluarkan gunting dibawanya sambil mengancam menikam mangsa.
“Lelaki itu merayu kepada janda berkenaan tidak memutuskan hubungan mereka, namun wanita itu enggan melayan lalu meninggalkan suspek dengan menaiki keretanya untuk pulang ke rumah,” katanya.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros berkata wanita itu membuat laporan di Balai Polis Beseri, kelmarin, mendakwa selain diugut ditikam oleh suspek, dia juga dibelasah kerana mahu berpindah ke kawasan lain.

Katanya, wanita itu memberitahu lelaki berkenaan tidak pernah berkelakuan sedemikian sebelum ini, tetapi menjadi pemarah dan ganas apabila wanita itu ingin berpindah dan menolak cintanya.

“Mangsa bukan saja dibelasah suspek, malah dicekik kerana marah wanita itu tidak mempedulikan cintanya,” katanya, di sini, semalam.

Katanya, polis memburu lelaki berkenaan yang menghilangkan diri untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Tendangan selamatkan diri daripada diperkosa



KUALA LUMPUR: Tendangan kuat seorang wanita berusia 24 tahun menyelamatkan dirinya daripada dirogol seorang lelaki warga India dalam kejadian di hadapan sebuah kedai di Sri Petaling, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa yang dalam perjalanan untuk membuka kedai majikannya di kawasan berkenaan tiba-tiba menyedari diekori seorang lelaki berusia 30-an namun tidak mengendahkannya.

Menurut sumber, sebaik tiba di tempat kerja, lelaki terbabit menghampiri mangsa lalu menolaknya dari belakang menyebabkan mangsa tersandar ke dinding.
“Lelaki itu mengarahkan mangsa membuka pintu tempat kerjanya. namun arahan itu tidak dipedulikan.

“Selepas memastikan tiada orang lain di kawasan itu, lelaki terbabit memegang kemaluan mangsa. Malah, lelaki itu dilaporkan cuba untuk merogol mangsa.

“Tersentak dengan tindakan itu, mangsa merayu supaya tidak diapa-apakan namun lelaki terbabit masih cuba untuk menanggalkan pakaian mangsa,” katanya.

Sumber berkata, tidak tahan dengan tindakan keji lelaki itu yang tidak mengendahkan rayuannya, wanita terbabit menendang lelaki itu dengan kuat.

“Tendangan itu menyebabkan lelaki berkenaan terjatuh lalu kesempatan itu digunakan mangsa untuk menjerit meminta pertolongan,” katanya.
Panik dengan tindakan dan jeritan wanita berkenaan, lelaki itu kemudian melarikan diri meninggalkan kawasan berkenaan.

Mangsa kemudian bergegas membuat laporan di Balai Polis Sri Petaling, di sini, untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan.

‘Bayar atau dapat malu’

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my

KUCHING: “Kalau kamu tidak bayar sehingga Sabtu ini, sesuatu yang buruk pasti berlaku ke atas kamu.” Itu antara kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) diterima seorang lelaki daripada bekas teman wanita yang mengugut menyebarkan gambar separuh bogelnya di laman sosial facebook.
Wanita berusia 27 tahun itu muncul semula dalam hidup mangsa selepas setahun hubungan mereka terputus dan tuntutan itu kononnya sebagai ganti rugi nilai kad prabayar digunakannya bagi menghubungi mangsa sepanjang tempoh perkenalan mereka.

Menceritakan kejadian itu, mangsa yang hanya mahu dikenali Din, 22, berkata, dia sebenarnya tidak pernah bersua wanita dipercayai dari Sabah itu dan hanya mengenalinya menerusi facebook.
“Saya menyangka tiada apa berlaku selepas hubungan itu berakhir, tetapi malangnya dia muncul semula selepas setahun dan menghantar SMS supaya saya membayar RM600 kepadanya.

“Bayaran itu kononnya sebagai ganti rugi kerana sudah banyak mengeluarkan banyak wang membeli kad prabayar telefon bimbit yang digunakan untuk menghubungi saya sepanjang kami berkenalan,” katanya.

Menurut mangsa, oleh kerana tidak mahu perkara itu berpanjangan, dia membayar RM150 kepada bekas teman wanitanya itu dengan harapan wanita itu dapat melupakannya dan meneruskan haluan masing-masing.

“Saya membayar RM150 selepas dinasihatkan rakan, namun sejak lima hari lalu, saya menerima SMS bertalu-talu daripada wanita itu yang menuntut baki bayaran.

“Saya hanya mendiamkan diri sehinggalah menerima SMS berbaur ugutan jika saya berdegil tidak mahu menjelaskan baki bayaran diminta,” katanya yang sudah memiliki teman wanita baru.
Mangsa berkata, kira-kira jam 6.30 pagi kelmarin, dia dihubungi teman wanitanya memaklumkan gambar separuh bogelnya di facebook yang dimuat naik oleh seseorang tidak dikenali.

“Apabila diperiksa, teman wanita memaklumkan gambar itu dimasukkan menggunakan akaun facebook orang lain dan apabila saya cuba menjejaki akaun facebook dimaksudkan itu, ia seolah-olah sudah dipadamkan,” katanya.

Din berkata, dia tidak pernah bertemu atau merakam gambar bersama bekas teman wanita, malah hubungan sebelum ini sekadar menerusi telefon atau facebook.

“Saya membuat laporan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan kerana ia bukan saja ugutan, malah cuba mengaibkan saya dengan dakwaan tidak berasas.

“Kini, saya menyerahkan kepada polis menjalankan siasatan. Saya tidak pernah mengambil atau menghantar gambar kepada bekas teman wanita.” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kes berkenaan dan siasatan masih dijalankan.

Sengketa bekas kekasih

MARANG: “Saya kesal kalau benar saya yang menjadi punca mereka bergaduh,” kata janda berusia 24 tahun yang enggan dikenali dari Kampung Serating, Merchang, di sini, yang terkilan kerana dikatakan penyebab kejadian simbah asid di kampung terbabit, pagi Ahad lalu.
Bagi mengelak prasangka buruk terhadapnya, ibu kepada dua anak itu menjelaskan salah seorang suspek dan mangsa adalah bekas teman lelakinya dari kampung sama.

Menurutnya, mereka bersengketa apabila mengetahui seorang daripada mangsa iaitu Sharul Zaman Salim, 38, cuba melamarnya beberapa minggu lalu.
“Memang dia (Sharul Zaman) melamar saya minggu lalu, tetapi saya menolak kerana beranggapan mereka hanya sebagai kawan saja.

“Kejadian itu juga menyebabkan penduduk kampung memandang serong kepada saya selain tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerja sebagai pembantu kedai makan dan sangat terkilan seandainya betul kejadian itu ada kaitan dengan saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, susulan tangkapan terhadap dua lelaki berusia 39 dan 32 tahun yang dipercayai terbabit mencederakan dua mangsa dalam kejadian di Kampung Padang, Merchang, di sini, Ahad lalu, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 26 tahun bagi membantu siasatan.

“Lelaki terbabit seorang buruh binaan dari Kampung Padang, Merchang ditahan di premis mencuci kereta di kampung berkenaan kira-kira jam 4.30 petang semalam (kelmarin) dan penahanan terhadap lelaki terbabit dipercayai dapat membantu siasatan yang kini hampir selesai,” katanya.

No comments:

Post a Comment