Thursday, November 15, 2012

JANGAN KITA HAMPIR KEPADA PERKARA YANG MEMBAHAYAKAN DIRI...JANGAN BERI RUANG HINGGA KITA DIPERKOSA

Dua korban treler 'terbang'

Oleh Asmah Rusman
asmah@hmetro.com.my

pix_middle
pix_topright
BENTONG: Dua maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan treler dan sebuah Perodua Myvi di Kilometer 42.8 Lebuh Raya Karak menghala ke Kuala Lumpur berhampiran susur keluar Janda Baik, dekat sini, kira-kira 9.25 malam tadi.
Kemalangan berlaku apabila treler yang membawa muatan besi buruk dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan itu terbabas, bergesel dengan pembahagi jalan sebelum terbang serta terhumban ke laluan bertentangan.

Menurut jurucakap Peronda Lebuh Raya Karak, pemandu treler dikenali Mohd Yusof Mansor, 38, dan kelindannya yang belum dikenal pasti identiti maut di tempat kejadian selepas tercampak ke dalam longkang berhampiran.
“Pemandu treler berkenaan maut akibat parah di kepala dan badan manakala kelindannya putus tangan kanan dan hancur di bahagian muka.

“Dua lagi mangsa yang menaiki Perodua Myvi pula parah dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. Sehingga ini, identiti kedua-dua mangsa belum dikenal pasti,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal tidak menolak kemungkinan treler berkenaan dipandu laju menyebabkan ia hilang kawalan sebaik menuruni selekoh berkenaan.
Difahamkan, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong terpaksa mengambil kira-kira setengah jam untuk sampai ke lokasi kejadian berikutan kesesakan lalu-lintas.

Kemalangan itu juga menyebabkan laluan dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur terpaksa ditutup kira-kira dua jam untuk kerja-kerja pembersihan sebelum dibuka semula kira-kira 11.30 malam.


VIDEO:


Angkara mercun

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my

PARAH...seorang daripada mangsa yang cedera ditetak.
PARAH...seorang daripada mangsa yang cedera ditetak.
ALOR GAJAH: Kegembiraan satu keluarga menyambut Deepavali berakhir tragedi berdarah apabila tiga daripada mereka ditetak jiran dalam kejadian serangan di sebuah taman perumahan di pekan ini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa, C Rajendran, 48, dan anak lelakinya, V Yoganadan, 20-an, serta ahli keluarga lain berkumpul di rumah berkenaan.
Mereka didatangi lebih 10 lelaki yang meluru masuk dalam rumah berkenaan lalu menyerang membabi buta sebelum menetak kedua-dua mangsa dengan senjata tumpul dan tajam sebelum melarikan diri.

Sumber berkata, kumpulan itu turut memusnahkan beberapa peralatan dalam rumah mangsa dan menggunakan serpihan pasu bunga menyerang ahli keluarga berkenaan menyebabkan tiga mangsa termasuk seorang wanita cedera di kepala dan badan.

“Kumpulan itu menyerang keluarga berkenaan berikutan tidak berpuas hati melihat ramai saudara-mara mangsa datang dari jauh dan berkumpul bagi meraikan Deepavali.

Pam bayi dalam tandas

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

RAKAM...wanita  dipercayai mengepam bayi dalam mangkuk tandas.
RAKAM...wanita dipercayai mengepam bayi dalam mangkuk tandas.
SIASAT...anggota forensik melakukan siasatan.
SIASAT...anggota forensik melakukan siasatan.
GEORGETOWN: Seorang wanita bertindak di luar batasan apabila dipercayai mengepam bayi yang baru dilahirkannya ke dalam tandas di sebuah hotel di Jalan Macalister, di sini, kelmarin.
Bagaimanapun, wanita terbabit tidak menyedari imejnya ketika berlegar-legar di kawasan hotel itu sebelum masuk ke tandas berkenaan dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Melalui rakaman CCTV itu, wanita berusia 20-an terbabit dilihat menuju ke tandas hotel kira-kira jam 7 malam, tetapi kejadian berkenaan hanya disedari beberapa jam selepas itu ketika seorang pekerja pencuci membersihkan tandas.

Menurut sumber, pekerja itu yang takut selepas melihat titisan darah pada mangkuk tandas dan lantai terus memaklumkan kejadian itu kepada pengurusan hotel.

“Pihak pengurusan hotel terbabit kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis dan susulan daripada itu, sepasukan anggota penyiasat dan juga unit forensik bergegas ke lokasi kejadian.

‘Belilah bang...’

Oleh Ardyhansah Amat
ardyhansah@hmetro.com.my

JUAL MURAH...seorang lelaki tempatan menawarkan telefon kepada pelancong.
JUAL MURAH...seorang lelaki tempatan menawarkan telefon kepada pelancong.
PUJUK...anggota kumpulan terbabit (kanan) meyakinkan pengunjung Taman KLCC untuk membeli gajet.
PUJUK...anggota kumpulan terbabit (kanan) meyakinkan pengunjung Taman KLCC untuk membeli gajet.
KUALA LUMPUR: ‘Abang, belilah (sambil menunjukkan iPhone 4s). Saya bagi abang harga RM800, siap kotak dan pengecas telefon sekali.’
Demikian tawaran seorang lelaki tempatan kepada wartawan Harian Metro ketika membuat tinjauan penjualan gajet secara haram di Taman KLCC, di sini, semalam.

Hasil perbualan bersama lelaki terbabit, gajet yang dijualnya tulen, tetapi tiada jaminan ganti rugi atau pertukaran sekiranya rosak seperti dijual di kedai telefon bimbit.
“Biasanya saya jual kepada pelancong asing sehingga RM1,800 sebuah telefon bimbit jenis ini dan mereka membelinya disebabkan harga murah.

“Kalau orang kita (tempatan) saya jual RM800. Tetapi, hari ini, saya boleh kurangkan harga, jika abang mahu,” katanya.

Tinjauan di sini, semalam, mendapati lelaki terbabit bergerak secara berkumpulan dan berlagak seperti pengunjung di taman berkenaan.
Mereka akan mengenal pasti pengunjung sebelum menghampiri dan menawarkan gajet berkenaan yang disimpan dalam sebuah beg kecil.

Pelancong dari Iran yang mahu dikenali sebagai Ahmed, 39, mengakui didatangi dua lelaki tempatan dan menawarkan iPhone 4s dengan harga RM1,500.
“Ketika itu, saya duduk berehat di kawasan taman ini. Tiba-tiba dua lelaki menghampiri saya sebelum seorang daripadanya mengeluarkan telefon terbabit dan mahu menjualnya.

“Malah, mereka juga meyakinkan saya telefon itu tulen dengan menunjukkan perisian didalamnya. Bagaimanapun, saya menolak untuk membelinya kerana saya sudah memiliki telefon itu,” katanya.

Selain Ahmed, warga tempatan Liza Osman, 35, turut mengakui didatangi kumpulan lelaki terbabit sebelum menawarkan telefon bimbit yang murah.

“Ketika itu, saya membawa rakan dari Indonesia untuk datang bersiar-siar di sini. Kemudian beberapa lelaki menghampiri kami dan menawarkan iPhone 4s dengan harga RM500.

“Harganya terlalu murah menyebabkan kami bimbang sekiranya ia tiruan ataupun dicuri,” katanya.

Menurut Liza, kehadiran kumpulan lelaki terbabit yang menjual gajet secara haram di situ boleh mencemarkan Taman KLCC sebagai antara pusat pelancongan utama Malaysia.

Pendapat itu dipersetujui Zuraidi Razak, 28. Beliau yang berasal dari Marang, Terengganu dan bercuti di sini menyifatkan orang ramai boleh ditipu memandangkan urusan dilakukan tanpa resit dan jaminan kerosakan barang.

“Jika ia terus berleluasa dan ramai pelancong yang tertipu, sudah tentu ia menyebabkan tempat ini tercemar. Sudah tentu mereka berasa tidak selamat untuk berkunjung ke sini kerana bimbang dikenakan dengan sindiket penjualan gajet seperti ini.

“Saya berharap pihak berkuasa memantau kawasan ini bagi memastikan kegiatan ini tidak berleluasa kerana sedikit sebanyak ia boleh menjejaskan imej KLCC,” katanya.

Padah gadis tidur rumah lelaki



PUCHONG: Seorang budak perempuan berusia 12 tahun mendakwa diperkosa lelaki dikenalinya serta beberapa lagi lelaki selepas dia dibawa bersiar-siar di sekitar ibu kota, Ahad lalu.
Difahamkan, budak perempuan itu ke rumah rakan perempuannya di Puchong Perdana, tetapi berlaku perselisihan faham menyebabkan dia keluar dan menghubungi seorang rakan lelakinya berusia 20-an yang tinggal berhampiran.

Malangnya, tindakannya itu membawa padah apabila dia bukan saja diperkosa lelaki itu, malah beberapa lagi rakan lelaki berkenaan.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa dibawa ke rumah lelaki berkenaan terlebih dulu, sebelum dibawa berjumpa beberapa lagi lelaki, juga berusia awal 20-an.

“Dia dibawa menunggang motosikal ke ibu kota dan beberapa jam kemudian, mereka pulang ke rumah lelaki terbabit kerana kepenatan. “Lelaki itu menyuruh mangsa tidur di rumah berkenaan dan berjanji menghantarnya pulang esok dan budak perempuan itu tidur dalam sebuah bilik berasingan,” katanya.

Menurut sumber, seorang lelaki menyuruhnya membuka pintu bilik dengan alasan mahu mengambil bantal.
“Sebaik membuka pintu, mereka masuk ke dalam bilik lalu memegang mangsa, meraba tubuhnya sebelum memperkosanya bergilir-gilir,” katanya.

Katanya, mangsa berjaya menyusup keluar selepas suspek kepenatan sebelum meminta bantuan seorang rakan dan membuat laporan polis, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei mengesahkan menerima laporan kejadian.

Biarlah sendiri’

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

KUALA KANGSAR: Seorang guru wanita sanggup berstatus andartu dan melupakan hajatnya mendirikan rumah tangga demi menjaga dua kakak dan seorang adik perempuannya yang terlantar sakit akibat penyakit misteri.
Nor Azian Yop Kamaruddin, 55, guru bahasa Perancis di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di sini, berkorban demi dua kakaknya, Aishah, 71, dan Nor Aziah, 60, serta adiknya, Azimah Yun, 49, yang bergelar orang kelainan upaya (OKU) sejak kecil.

Tugas berat itu dipikul Nor Azian selepas kematian ibunya, Yun Mohd Daud, 70, pada 1994 dan bapanya, Yop Kamaruddin Abdul Rahman, 80, dua tahun lalu.
Lulusan ijazah bahasa Perancis dari University of Franche-Comte, Besancon, Perancis, itu terus menerima nasib malang apabila lima adik-beradiknya yang lain meninggal dunia sejak beberapa tahun lalu menyebabkan tugas menjaga adik dan kakaknya ditanggungnya sendirian.

Ketiga-tiga mereka bukan saja terlantar di atas katil sepanjang masa, malah mengalami kesukaran bercakap dan berjalan, sebaliknya hanya mampu mengensot.

Lebih malang, doktor yang merawat ketiga-tiga beradik itu sukar mengesan penyakit sebenar mereka, namun ia mungkin ada kaitan dengan penyakit misteri dikenali sebagai sindrom ‘Addison’ apabila tubuh mereka tidak dapat mengeluarkan hormon mencukupi.
Nor Azian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Stesen, di sini, semalam berkata, perkahwinan bukan menjadi keutamaan selepas pulang ke Malaysia sejurus menamatkan pengajian pada 1988 sebaliknya menjaga saudara kandung sehingga akhir hayat lebih penting.

Beliau berkata, dia mengambil alih menjaga kakak dan adiknya itu selepas bapa dan ibunya meninggal dunia dengan dibantu seorang abangnya yang kini berada di Kuala Lumpur.
“Bagaimanapun, saya dipertanggungjawabkan sepenuhnya menjaga mereka. Saya tidak kisah dicemuh asalkan dapat memberi jagaan sempurna buat mereka.

“Saya juga bersyukur kerana tugas berkenaan dibantu seorang pembantu rumah warga Indonesia yang setia bersama keluarga kami sejak 13 tahun lalu,” katanya.

Katanya, dia sering berdoa agar diberi kesihatan baik untuk memikul tugas berat itu dan bimbang nasib adik dan kakaknya itu terutama selepas dia meninggal dunia kelak.

“Saya hanya bimbang keadaan mereka jika sesuatu yang buruk berlaku kepada saya kelak. Bagaimana nasib mereka jika saya tiada.

“Buat masa ini, hanya saya menanggung keperluan mereka termasuk gaji pembantu rumah dan segala keperluan harian lain termasuk makanan,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini, ketiga-tiga saudaranya itu tidak mempunyai MyKad, sekali gus menyukarkan mereka mendapat bantuan terutama dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Nasib malang dihadapi Nor Azian mendapat perhatian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak apabila Pengarahnya, Alias Mamat berkunjung ke rumahnya pagi semalam bagi menyerahkan MyKad kepada tiga beradik OKU itu.

Alias berkata, sebelum, ini, ketiga-tiga mereka hanya mempunyai sijil kelahiran namun, dokumen itu tidak cukup untuk memohon sebarang bantuan kewangan daripada agensi berkaitan.

“Kami berharap ketiga-tiga mereka dapat menggunakan MyKad berkenaan untuk memohon bantuan kewangan bagi menampung kos sara hidup yang ditawarkan beberapa agensi kerajaan,“ katanya.

Elak pasang jeriji ‘mati’

KUALA LUMPUR: “Buku Garis Panduan Pemasangan Jeriji Di Kediaman oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah lama diedarkan secara percuma kepada orang ramai sejak tahun 1990-an lagi.
“Cuma kami tidak tahu berapa ramai yang ikut panduan itu walaupun pemasangan openable grille (jeriji boleh buka) sangat mudah dan tidak memerlukan kepakaran khusus,” kata Penolong Ketua Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM, Datuk Rusmani Muhamad.

Menurut beliau, pemasangan jeriji ‘mati’ atau tidak boleh buka pada kebanyakan kediaman sebenarnya lebih bertujuan untuk mencegah pencerobohan dan bukannya memudahkan usaha menyelamat dari aspek kebombaan.
Rusmani berkata, sejak buku garis panduan itu diedarkan lebih 20 tahun yang lalu, JPAM sentiasa mengingatkan orang ramai supaya memasang jeriji menggunakan mekanisma yang betul. “Memang tiada sebarang larangan memasang jeriji pada kediaman, tetapi pemasangan jeriji mengikut spesifikasi disyorkan itu mungkin dapat menyelamatkan nyawa sekiranya berlaku kebakaran.

“Nasihat ini banyak kali diingatkan pada program JBPM bersama pengguna, malah turut diiklankan di dalam media cetak dan elektronik, tetapi pengguna mungkin mahukan jeriji yang lebih murah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Tambahnya, kos pemasangan openable grille mungkin mahal sedikit menyebabkannya jeriji ‘mati’ menjadi pilihan kebanyakkan pengguna tanpa menyedari keburukannya yang boleh menjadi sebuah perangkap maut.
Dalam kejadian di Taiping, Perak kelmarin, tiga sekeluarga dan orang gaji mereka rentung dalam kebakaran yang memusnahkan keseluruhan bumbung banglo rumah dua tingkat yang didiami.

Telan 220 butir berlian



BERLIAN yang cuba diseludup dikeluarkan selepas lelaki itu diberi makan julap.
BERLIAN yang cuba diseludup dikeluarkan selepas lelaki itu diberi makan julap.
JOHANNESBURG: Seorang penyeludup menelan 220 butir berlian bernilai RM7 juta sebelum cuba menaiki sebuah pesawat, semalam.
Penyeludup warga Lubnan yang namanya tidak didedahkan dan berusia 25 tahun, ditahan ketika menaiki sebuah pesawat yang hendak berlepas dari Johannesburg ke Dubai.

Pegawai di Lapangan Terbang Antarabangsa OR Tambo memberinya makan julap untuk memaksa berlian berkenaan keluar dari sistem penghadamannya.
Polis mengesahkan menahan suspek di pintu masuk selepas menerima maklumat.

“Lelaki itu sudah bersiap sedia untuk menaiki kapal terbang dengan berlian di dalam perutnya.

“Pegawai kami menerima maklumat mengenai kegiatannya dan menahannya di lapangan terbang. “Dia kemudian dibawa untuk pemeriksaan dan kami menemui 220 berlian di dalam perutnya yang bernilai 20 juta rand (RM7 juta),” kata jurucakap polis, Paul Ramaloko.
Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada lelaki berkenaan menelan berlian itu sebelum tiba di lapangan terbang atau menelannya kerana cemas selepas nampak polis di pintu masuk ke pesawat.

“Tidak wajar bagi kami untuk meramalkan mengenai apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.
Lelaki itu diperiksa secara menyeluruh sebelum berlian itu ditemui.

“Kami tidak pasti sama ada dia menelannya sebelum tiba di lapangan terbang atau ,ketika ditahan,” kata Ramaloko.

Suspek ditahan oleh pasukan unit elit polis Afrika Selatan, ‘Hawks,’ dan dijadual dihadapkan ke mahkamah esok.

Menurut Ramaloko, penahanan semalam adalah yang kedua selepas seorang lagi lelaki Lubnan berusia 27 tahun ditangkap di lapangan terbang sama Mac lalu. - DM

China pamer helikopter penyerang baru



SHANGHAI: China semalam mempamerkan sebuah helikopter penyerang baru yang dikatakan setanding dengan pesawat seumpanya yang dihasilkan oleh Amerika Syarikat dan Russia.
Sebuah unit Perbadanan Industri Penerbangan China (AVIC) menunjukkan buat kali pertama kepada awam helikopter WZ-10 atau ‘Thunder Fire’ di pameran udara di Zhuhai, Guangdong.

Akhbar China Daily melaporkan, Beijing mempamerkan pelbagai kelengkapan tentera, termasuk dron baru dan sebuah model jet pejuang generasi akan datang di pameran berkenaan. Ia selaras dengan usaha negara itu untuk membangunkan sendiri keupayaan ketenteraannya dan pada masa sama, mencari pelanggan untuk produknya.
Lebih 30 perwakilan tentera asing menghadiri pameran berkenaan, lapor agensi berita Xinhua.

Helikopter penyerang itu yang direka untuk misi antikereta kebal, bertujuan menyaingi AH-64 Apache Amerika Syarikat dan Mil Mi-28 Russia, lapor China Daily yang memetik kenyataan beberapa pakar China.

AVIC turut mempamerkan sebuah lagi helikopter pada pertunjukan itu - WZ-19, atau ‘Black Tornado,’ yang direka untuk misi sokongan kepada tentera darat, lapor akhbar itu. - AFP

No comments:

Post a Comment