Sunday, December 9, 2012

BILA ALLAH MENGHUKUM...KEMANA KITA NAK PERGI...NI LAH SATU DUNIA YANG ADA...TU SEBAB JANGAN BUAT KEROSAKAN DAN KEZALIMAN

Jururawat Kate mati


PUTERA William berdiri di sini isterinya, Catherine ketika mereka keluar dari Hospital King Edward VII di London pada Khamis lalu.



LONDON - Seorang jururawat yang menjadi mangsa panggilan palsu untuk mendapatkan maklumat tentang kehamilan isteri Putera William, Kate Middleton atau Duchess of Cambridge, Catherine, ditemui mati mengejut, menurut kenyataan sebuah hospital kelmarin.
Jacintha Saldanha yang berasal dari India ditemui mati di sebuah apartmen yang menempatkan pekerja-pekerja Hospital King Edward VII di sini awal kelmarin.
Saldanha, 46, bekerja di hospital berkenaan sejak empat tahun lalu.
Punca kematiannya masih belum dikenal pasti dengan polis kini menunggu keputusan bedah siasat tetapi pihak berkuasa menolak sebarang perbuatan khianat.
Beberapa media Britain melaporkan bahawa wanita itu mati kerana membunuh diri tetapi kesahihan laporan tersebut tidak dapat disahkan.
Dalam pada itu, stesen radio Australia yang dikaitkan dengan panggilan palsu tersebut, 2DayFM menyatakan bahawa dua penyampainya, Mel Greig dan Michael Christian tidak akan kembali bekerja sehingga dimaklumkan kelak.
Kedua-dua penyampai radio tersebut memohon maaf berhubung perbuatan mereka pada Rabu lepas.
"Pendek kata, mereka amat terkejut dengan kematian Saldanha," kata Rhys Holleran yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat induk 2DayFM, Southern Cross Austereo.
Greig dan Christian menyamar sebagai pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II dan ayahanda William, Putera Charles dan meminta Saldanha menyambungkan panggilan mereka untuk bercakap dengan seorang jururawat yang memberikan butiran terbaharu tentang keadaan Kate.
Perbuatan dua penyampai radio berkenaan turut membangkitkan kemarahan ramai pengguna internet di Britain dan Australia yang menyifatkan perbuatan mereka sebagai jenaka yang keterlaluan.
"Kelakarkah lagi kamu? Seorang jururawat Britain hilang nyawa untuk jenaka murahan kamu. Kamu patut malu dengan perbuatan kamu!" kata seorang pengguna internet, Kim Wilson.
Berita kematian Saldanha turut menimbulkan perasaan sedih kepada William dan Kate.
"Kami ingin menyatakan sokongan penuh kami kepada semua jururawat (yang terlibat merawat Kate) dan staf hospital berkenaan," kata satu kenyataan Istana St.James yang mewakili pasangan diraja itu.
Kate dimasukkan ke Hospital King Edward VII pada Isnin lalu kerana mengalami rasa mual yang teruk sebelum dibenarkan keluar Khamis lalu.
Beberapa pegawai Istana St.James menyatakan, kehamilan Kate belum mencapai usia 12 minggu dan ia merupakan zuriat pertama Putera William dan isterinya. - AP

Washington lulus pengunaan ganja

SEATTLE - Beratus-ratus orang dilihat menghisap ganja di sini selepas penggunaan dadah itu dibenarkan di negeri Washington, Amerika Syarikat (AS).
Pengambilan ganja bukan lagi satu jenayah di Washington berkuat kuasa selepas pukul 12 malam Khamis lalu susulan keputusan satu referendum mengenainya pada bulan lalu.
Negeri berkenaan bersama Colorado menjadi dua negeri pertama AS yang membenarkan pengunaan ganja.
Secara teknikal, undang-undang baharu itu masih melarang pengunaan ganja di tempat awam dengan denda akan dikenakan terhadap mereka yang melanggar peraturan itu. - Agensi

Taufan Bopha beralih arah



MANGSA-MANGSA taufan mencuci pakaian dan mandi di sebuah pusat perlindungan di Maparat, selatan Filipina kelmarin.



MANILA - Taufan pembunuh yang meragut beratus-ratus nyawa dan menyebabkan puluhan ribu lagi hilang tempat tinggal di selatan Filipina beralih arah dan akan sekali lagi melanda negara Asia Tenggara berkenaan, menurut agensi meteorologi tempatan semalam.
Agensi kaji cuaca tersebut memberi amaran, taufan Bopha diramalkan membadai utara Pulau Luzon hari ini dengan membawa angin kencang selaju 160 kilometer sejam (km/j).
Disifatkan taufan paling dahsyat yang melanda Filipina pada tahun ini, Bopha dijangka membawa hujan lebat ke kawasan tersebut.
"Penduduk di utara Luzon perlu berwaspada," kata pengarah pejabat pertahanan awam, Benito Ramos pada satu sidang akhbar di sini.
Pusat taufan tersebut berada 230 kilometer ke barat bandar Sinait di utara negara itu setakat pukul 4 petang semalam.
Taufan tersebut menghentam pantai timur Pulau Mindanao dengan angin mencecah 210 km/j pada Selasa lalu.
Bencana tersebut menyebabkan sekurang-kurangnya 548 orang terbunuh manakala 500 lagi masih hilang.
Sekitar 212,000 penduduk turut hilang tempat tinggal dalam bencana itu.
Dalam perkembangan berkaitan 4,000 penduduk sekitar pekan Maparat, Mindanao terpaksa makan isi kelapa berikutan bantuan ke kawasan itu masih belum tiba. - AFP

62 rumah rosak akibat ribut


Anggota Jabatan Pertahanan Awam memotong pokok besar yang tumbang dalam kejadian ribut di Jelapang, Ipoh semalam.


IPOH – Sebanyak 62 buah rumah melibatkan enam kawasan perumahan sekitar Jelapang di sini rosak selepas sebahagian bumbung diterbangkan ribut dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam.
Walaupun tidak ada mangsa mengalami kecederaan, kejadian itu cukup mencemaskan para penduduk.
Antara kawasan perumahan yang terlibat ialah Taman Meru, Taman Meru 2B, Taman Meru 2C, Taman Meru 3C, Taman Jati dan Kampung Datuk Ahmad Said.
Lebih 20 batang pokok besar termasuk 14 di sepanjang laluan utama Jelapang-Meru di sini tumbang namun ia tidak menimpa kenderaan yang melalui jalan tersebut.
Menurut seorang penduduk, Jasbeir Kaur, 57, kejadian tersebut bermula dengan tiupan angin kuat disusuli dengan hujan lebat.
Katanya, dia yang ketika itu berseorangan di rumah hanya mampu melihat atap-atap rumahnya terbang ditiup angin kencang sebelum bertindak menyelamatkan diri dengan berlari keluar dari rumah.
“Pada mulanya saya mendengar bunyi yang cukup kuat datang dari atas bumbung dan dalam sekelip mata melihat angin kencang menerbangkan keseluruhan atap rumah saya.
“Saya sangat takut melihat keadaan itu kerana rumah seakan-akan digoncang kuat menyebabkan saya berlari keluar rumah dalam hujan untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Chong Kien Foo, 41, memberitahu, hujan lebat selama sejam setengah itu telah menumbangkan sebatang pokok besar bersebelah rumahnya hingga menyebabkan penjuru kediamannya ditimpa pokok berkenaan.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail yang ditemui semasa melawat lokasi kejadian, pihaknya menyediakan 200 keping atap zink untuk diagihkan kepada mangsa yang terlibat.

Pengambilan kurang



PUTRAJAYA - Pengambilan penjawat awam dijangka berkurangan pada tahun depan berikutan pelaksanaan opsyen pelanjutan umur persaraan daripada 58 tahun kepada 60 tahun, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam (gambar kecil).
Secara purata, beliau berkata, SPA menerima hampir 1.2 juta permohonan kerja setiap tahun dan kira-kira 40,000 calon diambil untuk berkhidmat dalam sektor awam.
"Pada tahun ini dan tahun depan, ramai penjawat awam telah memilih opsyen untuk bersara pada umur 60 tahun, maka pengambilan sudah berkurang.
"Namun, selepas tahun depan, apabila ramai yang bersara pada usia 60 tahun, jumlah pengambilan akan bertambah sekurang-kurangnya 10 peratus.
"Saya menjangkakan sekurang-kurangnya 50,000 penjawat awam akan diambil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengenalan Kepada Skil Pekerjaan Sektor Awam di Pejabat SPA di sini semalam.
Mahmood berkata, seminar yang pertama kali diadakan itu bertujuan untuk membantu calon yang memohon pekerjaan dengan SPA agar melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran pekerjaan sekali gus dapat meningkatkan peratusan kebolehdapatan pekerjaan di sektor awam.
Kira-kira 200 peserta menghadiri seminar sehari anjuran bersama SPA dan Persatuan Profesional Melayu Malaysia (PPMM) bagi mendengar penjelasan mengenai peperiksaan, penilaian dan temu duga serta pengetahuan berkaitan urusan pengambilan di SPA.

Penduduk diminta tangkap ular sawa



GAMBAR menunjukkan seekor ular sawa Burma sepanjang lebih 4.5 meter ditangkap di Taman Negara Everglades pada 14 November, 2009.



WASHINGTON - Penduduk setempat digesa menyertai satu pertandingan menangkap ular sawa Burma yang mengancam hidupan di kawasan paya Everglades, di negeri Florida.
Orang ramai dialu-alukan menyertai usaha untuk menghapuskan spesies reptilia itu yang memakan burung, rusa, kucing hutan dan pelbagai haiwan lain yang menghuni kawasan Everglades.
Dianjurkan Perkhidmatan Hidupan Liar Amerika Syarikat (AS), pertandingan selama sebulan bermula 12 Januari depan itu menawarkan hadiah wang tunai AS$1,500 (RM4,565) kepada pemenangnya.
"Kesedaran orang ramai yang semakin meningkat tentang ancaman ular sawa Burma ke atas ekosistem Everglades menjadi matlamat pertandingan Cabaran Ular Sawa 2013 ini," kata perkhidmatan berkenaan dalam satu kenyataan.
Kali pertama ditemui di dalam paya Everglades pada 1979, ular sawa Burma mengambil masa 21 tahun untuk menjadi spesies paling dominan di kawasan itu.
Reptilia tersebut dipercayai telah dibuang ke dalam paya oleh beberapa pemilik haiwan eksotik. - AFP


BERNIAGALAH IKUT SYARAK...NAK SAHIH TANYA JAKIM

Gelombang baharu rekaan hari bahagia





PELAMIN indah berhias, karpet merah menghampar dewan dan kad undangan juga sudah lama diterima jemputan. Apa yang pasti, segala persiapan terlaksana dengan rapi. Namun, saat menatap cermin sebelum langkah diatur ke pelamin, busana yang membaluti tubuh seakan-akan melenyapkan keyakinan.
Momen di atas bagaikan mimpi ngeri setiap bakal pengantin. Hakikatnya, busana raja sehari adalah teras daripada keseluruhan rancangan perkahwinan terutamanya kaum Hawa. Disebabkan itu, busana pengantin perlu cantik dan berupaya menyerlahkan kejelitaan mempelai wanita. Jika tidak, ia bakal menjadi palitan hitam dalam sejarah hidup si gadis.
Ironinya, sejauh mana pun zaman beredar, busana pengantin akan kekal sebagai persalinan paling utama dalam diri setiap individu. Memilih konsep, mencari pereka dan butik antara perkara penting perlu dilaksanakan bakal pengantin baharu.
"Majlis perkahwinan orang Melayu selalunya memerlukan pemakaian baju pengantin yang banyak. Baju tunang, nikah, malam berinai dan persandingan untuk kedua-dua belah pihak sudah boleh memberi gambaran sebenar ketaksuban masyarakat negara ini melaram pada hari bahagia mereka.
"Dahulu ia mungkin boleh didapati daripada butik-butik atau mak andam, tetapi hari ini, gelombangnya berubah apabila anak-anak muda lebih gemar menjalani sesi pemilihan pakaian perkahwinan mereka secara terperinci.
"Ia melibatkan perbincangan 100 peratus antara pereka dan pelanggan bermula daripada proses penetapan konsep, pemilihan material dan rekaan akhir sehingga sehelai busana itu siap sepenuhnya," jelas pereka fesyen tanah air, Hasfitri Yusof.
Konsep dongeng
Seiring dengan perkembangan positif itu, Hasfitri tampil dengan rekaan busana perkahwinan berteraskan kisah dongeng. Penggunaan sepenuhnya kain net lembut bersama pelapik sutera satin dan sedikit les, menyempurnakan persalinan pengantin yang mengidamkan konsep perkahwinan bak puteri fantasi.
WARNA lembut memberi perlambangan suci kepada pasangan pengantin.


Penampilan moden mampu diserlahkan menerusi mainan warna-warna pastel yang terdiri daripada krim dan merah jambu. Pilihan rona garang seperti merah turut ditawarkan. Menariknya, penggunaan bulu burung unta asli pada salah satu pakaian koleksi pereka sedang meningkat naik itu menambahkan semarak eksklusif kepada diri si pemakai.
"Potongan bak puteri diberi penekanan bagi membolehkan pengantin menyelami konsep dongeng yang dipilih. Bahagian bawah yang mengembang pula sengaja direka tidak ketat bagi membolehkan semua bentuk badan memakai busana ini.
"Rekaan baharu saya ini juga menampilkan dres yang diolah daripada kebaya yang diberi sentuhan Inggeris. Saya mendapat inspirasi daripada filem klasik Robin Hood, tetapi ia diadun bersama ciri-ciri kemelayuan," ujarnya yang memberitahu pakaian nikah dan perkahwinan yang direkanya diletakkan pada harga bernilai RM2,000 ke atas.
Tambah Hasfitri, koleksi kali ini juga menggunakan pendekatan pakaian dua helai (two piece), iaitu bahagian atas dan bawah didatangkan secara berasingan. Secara tidak langsung, ia menguntungkan pelanggan kerana dapat menyuaipadan pakaian tersebut untuk majlis berbeza.
Pertaruhan peplum
Pereka senior, Melvin Shah juga tidak terkecuali menggunakan pendekatan two piece. Baginya, baju perkahwinan zaman ini perlu mengutamakan nilai pelbagai guna. Rugi sekiranya ia hanya dipakai untuk sekali dan kemudian disimpan di dalam almari sebagai kenangan.
"Koleksi perkahwinan saya boleh dipakai untuk majlis makan malam atau acara eksklusif memandangkan ia ringkas dan tidak sarat dengan perincian mahupun aksesori.
"Potongan kembang payung yang digunakan diadaptasi daripada tradisi Melayu yang ketara pada ketepatan siluetnya. Bagi memberi sedikit nilai sentimental, saya mempertaruhkan unsur peplum dalam kebanyakan rekaan kali ini.
"Seperti yang kita tahu, peplum menjadi kegilaan pada era kegemilangan Allahyarhamah Puan Sri Saloma dan ia kembali dipilih generasi muda yang menggemari busana berkonsep klasik," ujar Melvin yang ditemui Stailo pada sesi fotografi baru-baru ini.
Untuk pengetahuan pembaca, peplum merupakan unjuran yang menyerupai skirt pada blaus dari bahagian pinggang, kembang payung atau bersambung pada tali pinggang. Ia popular pada pertengahan tahun 1860-an dan 1930-an.
Tambah Melvin, pilihan warna lembut seperti kuning seakan-akan jingga (champagne) dan campuran merah jambu dan jingga (coral) pula menyuntik aura moden yang segar.


CIPTAKAN kelainan namun masih mengekalkan elemen glamor pada busana raja sehari anda.



Difahamkan, sebahagian golongan urban menggemari baju pengantin rona sebegitu kerana mereka mahukan penampilan yang santai tetapi kekal elegan.
Berkongsi pendapat berhubung persiapan pakaian perkahwinan, Melvin melihat ia lebih kepada kebijaksanaan pasangan tersebut. Ertinya, setiap bakal pengantin perlu tahu merancang pakaian apa yang hendak ditempah dan mana satu wajar disewa.
"Sebagai orang Melayu, sudah tentu pengantin mahu menyarungkan pakaian tradisional seperti songket. Persalinan ini hanya perlu disewa di butik pengantin kerana ia tidak praktikal untuk dimiliki.
"Baju songket yang disewa itu pula perlu dipilih dengan teliti agar tidak kelihatan ketinggalan zaman. Hari ini, banyak butik yang menawarkan songket perkahwinan berciri moden dari segi potongan dan sulaman," jelasnya menutup bicara pada petang tersebut.

Ribuan askar Israel trauma, bunuh diri



SEPARUH daripada tentera Israel menyesal kerana bersikap ganas terhadap orang awam.



TRAUMA akibat perang yang sudah tercetus lebih enam dekad ini sebenarnya tidak dialami oleh penduduk Palestin sahaja. Sebaliknya, tentera bersekutu terutamanya tentera Zionis turut mengalami tekanan psikologi yang serius hinggakan ada yang terdorong untuk membunuh diri.
Dalam satu penyelidikan yang dijalankan sekumpulan profesor Israel dari Pusat Trauma Israel bagi Mangsa Keganasan dan Perang, Universiti Tel Aviv dan Universiti Haifa yang diketuai Dr. Avi Bleich mendapati tentera Israel mengalami tekanan emosi, gangguan psikologi dan trauma selepas berperang dengan penduduk Palestin.
"Dalam kajian kami, askar Israel yang terlibat dalam operasi ketenteraan terhadap penduduk Palestin mengalami gangguan rasa bersalah, tidak senang hati, bencikan diri sendiri dan menyesal kerana tidak pasti apakah mereka berada pada pihak yang benar.
"Walaupun kajian ini memberikan tumpuan kepada veteran perang yang terlibat ketika Intifada kedua dan meninggalkan perkhidmatan sejak 10 tahun lalu, namun hasil temu bual yang dijalankan saya yakin tidak jauh bezanya dengan trauma yang dihadapi tentera hari ini.
"Selepas menemu bual hampir 230 anggota tentera lelaki dan wanita, kebanyakannya berasa berbelah bagi mengenai kebenaran moral tugas mereka.
"Dianggarkan separuh daripada tentera di sempadan menyesal kerana bersikap ganas terhadap orang awam, satu per tiga daripadanya mengaku melakukan jenayah manakala 17.4 peratus menyedari tingkah laku mereka memalukan.
"Paling mereka kesalkan, mereka terpaksa menyerang dan membunuh orang awam tanpa alasan yang kukuh.
"Pernah seorang bekas tentera menangis sambil memberitahu saya, dia diarah menangkap kanak-kanak kerana mahukan maklumat tentang keluarganya yang terlibat dengan Al-Qassam.
"Semasa dalam tahanan, kanak-kanak yang baru mencecah umur lapan tahun ini merayu supaya mengasihaninya, jangan meliwatnya dan jangan membunuhnya," kata Bleich.
Tambahnya lagi, walaupun telah lama meninggalkan Palestin, kebanyakan tentera masih trauma dan tidak mendapatkan bantuan psikologi.
"Tidak hairanlah mengapa sejak tahun 1980 hingga hari ini ribuan tentera Israel memilih untuk membunuh diri," katanya.

No comments:

Post a Comment