Sunday, December 9, 2012

KALAU ORI PUN BUKAN NAK DEDAH2....TAK TAHUKAH DOSA...AKHIRNYA TUA KEREPOT...MATI MASUK DALAM TANAH...ITU PUN JIKA SEMPAT TUA...BERTAUBATLAH SEBELUM TERLAMBAT...TERMASUK SRMUA ARTIS

Saya Tak Bedah & Tak Pakai Korset 2 Lapis – Rozita Che Wan

Written by AbangNara | December 9th, 2012

Secara jujur, Abang Nara pun turut tertanya-tanya mengenai keaslian bentuk badan yang dimiliki oleh Rozita Che Wan. Namun tak adalah sampai terfikir yang Rozita buat pembedahan. Hari ini, menerusi Metro Ahad, Rozita Che Wan tampil menjelaskan dakwaan kononnya dia pernah menjalani pembedahan rekonstrutif payudara akibat barah sebelum menjadi artis.
rozita original
Yang penting, apa yang ada di badan Rozita Che Wan adalah 100% original. Tiada pembedahan. Tiada korset. Alasan yang digunakan oleh pihak yang mendakwa Rozita melakukan pembedahan ialah setiap kali bergambar, Rozita akan mengiring ke kiri bagi memastikan kedudukan tubuhnya stabil. Hmmmmm. Pelik sungguh alasan tersebut.
rccw baru
Kata Rozita Che Wan untuk menjelaskan perkara ini:-
Selalunya apabila bergambar, saya akan ikut keselesaan tubuh. Tambahan pula saya kidal. Rambut yang didandan selalunya mengiring sebelah kiri juga menjadi faktor mengapa saya hanya akan bergambar di sebelah kiri atau mengiring tubuh ke arah itu. Pada waktu sama, tak pernah memakai korset dua lapis. Apa yang peminat tengok, itulah keadaan tubuh saya.
rozita baru
Rozita Che Wan turut sempat menyelitkan nasihat buat mereka yang dengki akan kecantikan tubuh badannya:-
Pada saya, kita jangan busuk hati kalau nampak orang lain lebih. Sepatutnya kita menjadikan kelebihan dimiliki itu sebagai sumber inspirasi. Mengambil contoh, jika ada antara kita bertubuh gempal dan melihat orang lain bertubuh cantik, jangan pula kita menuduh dia melakukan pembedahan itu dan ini. Sebaliknya jadikan dia idola bahawa kita juga mampu cantik dan sihat sepertinya.
Abang Nara sokong kata-kata Rozita Che Wan. Kalau tiap-tiap hari bantai makan roti canai, maggi, nasik lemak 4 5 bungkus lepas tue dengki dengan orang yang bertubuh mulus, tak ada faedahnya kan. Pasti mereka yang bertubuh cantik itu banyak berkorban untuk mendapatkan badan idaman. Tak gitu?

Tak bedah payudara

Oleh RUDY IMRAN SHAMSUDIN
imran@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Saya tak pernah menjalani pembedahan untuk kecantikan tubuh mahupun wajah,” kata aktres popular, Rozita Abu Bakar @ Che Wan atau lebih popular dengan panggilan Cik Ta.
Dia menjawab dakwaan segelintir peminat hiburan di utara tanah air kononnya dia pernah menjalani pembedahan rekonstruktif payudara akibat barah sebelum menjadi artis.

Alasan diberi ialah, setiap kali bergambar, pelakon kelahiran Alor Setar, Kedah ini hanya akan mengiring ke kiri bagi memastikan kedudukan tubuhnya stabil dan perkara itu tidak disedari umum.
Ada pihak percaya dakwaan itu memandangkan pada 2008, Che Ta dilaporkan menjalani pembedahan kecil dan ditahan di hospital selama 10 hari. Ia dikatakan berpunca daripada kanser usus, namun masih di peringkat awal.

Selain itu, dia turut didakwa ‘mengikat perut’ dengan memakai dua lapis korset bagi membolehkan tubuhnya kelihatan langsing dengan dada gebu dan tegang.

Ketika dihubungi bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu, Che Ta yang kini sibuk menjalani rakaman program Primadona berkata, dakwaan itu tidak benar kerana dia sering menghalakan tubuh ke kiri apabila bergambar disebabkan keadaan dirinya yang kidal.
“Selalunya apabila bergambar, saya akan ikut keselesaan tubuh. Tambahan pula saya kidal. Rambut yang didandan selalunya mengikut belah kiri juga menjadi faktor mengapa saya hanya akan bergambar di sebelah kiri atau mengiring tubuh ke arah itu.

“Pada waktu sama, saya tak pernah memakai korset dua lapis. Apa yang peminat tengok, itulah keadaan tubuh saya,” katanya kepada Metro Ahad.
Che Ta turut meluahkan rasa kecewanya apabila ada pihak membuat dakwaan berkenaan, apatah lagi ia ibarat mempermain-mainkan keadaan kesihatannya.

“Saya mahu tanya kembali kepada mereka yang menimbulkan spekulasi sedemikian, kenapa manusia tidak boleh terima anugerah dan kejadian Tuhan yang sempurna. Setiap individu mempunyai kelebihan dan kekurangan, tapi mempertikaikan ciptaan Tuhan bermakna mereka tak pernah bersyukur,” kata pelakon berusia 41 tahun itu.

Pelakon jelita itu turut menyifatkan dakwaan itu disebabkan sifat dengki kerana ada pihak tidak puas hati melihat orang lain mempunyai kelebihan.

“Pada saya, kita jangan busuk hati kalau nampak orang lain lebih. Sepatutnya kita menjadikan kelebihan dimiliki itu sebagai sumber inspirasi.

“Mengambil contoh, jika ada antara kita bertubuh gempal dan melihat orang lain bertubuh cantik, jangan pula kita menuduh dia melakukan pembedahan itu dan ini.

“Sebaliknya, jadikan dia idola bahawa kita juga mampu cantik dan sihat sepertinya,” kata ibu kepada Ammar Effendy, 16, dan Aniq Ezzra, 13, ini.

Pelakon yang turut dikaitkan punya hubungan ‘istimewa’ dengan pelakon muda, Zain Saidin ini menegaskan, kecantikan wajah dan tubuh dimiliki juga bergantung kepada usaha.

“Badan saya kalau berisi sikit, saya tak akan makan banyak selain melakukan senaman sekerap mungkin.

“Bagi menjaga tubuh, kita kena berusaha. Apatah lagi kebaikannya untuk diri kita sendiri kerana apabila kerap bersenam, tubuh menjadi sihat dan secara tak langsung akan menyerlahkan kejelitaan wajah,” kata pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama bersiri Manjalara ini.

Che Ta turut menegur pihak yang sering mempertikaikan kelebihan dan kemewahan dimilikinya dengan mendakwa kononnya dia dibela orang kenamaan (VIP).

“Tahukah mereka bahawa saya mahupun artis lain bekerja siang malam untuk mendapatkan rezeki. “Fikirlah kalau seseorang itu bekerja siang malam, tidakkah dia boleh hidup senang.

“Allah menyatakan bahawa Dia akan memberikan rezeki kepada hamba-Nya yang berusaha dan sabar,” katanya.

Enggan berasa tertekan dengan apa diperkatakan orang keliling mengenainya, Che Ta berkata, dia cuba melihat segala tuduhan itu daripada sudut positif.

Katanya, setiap orang ada hak untuk bersuara dan memberikan pendapat, namun biarlah berpada-pada dan tidak melampaui batas.

Bercerita mengenai kerjaya terbarunya sebagai pengacara bergandingan dengan aktres popular lain iaitu Erra Fazira, Raja Azura dan Ziela Jalil mengendalikan Primadona, Che Ta berkata, dia mula berasa seronok, apatah lagi pihak produksi merancang menyambungnya sehingga 52 episod.

“Setakat ini, kami menjalani rakaman untuk tujuh episod. Maklum balas diberikan peminat sungguh memberangsangkan. “Memang Primadona mengambil konsep program bual bicara The Views, tapi daripada sudut corak persembahan sangat berbeza.

“Yang seronoknya, selain bergandingan dengan pelakon popular dan berpengalaman, saya dapat menjadi diri sendiri sepanjang mengendalikan rancangan bual bicara ini.

“Ia bukan lakonan di mana saya membawa karakter orang lain, sebaliknya saya benar-benar menjadi diri sendiri. Malah, sewaktu berbicara juga saya kekal dengan dialek utara iaitu tanah kelahiran saya,” katanya.

Guna lot kedai kosong

Oleh FIRDAUS SAHAT dan WAN ASRUDI WAN HASSAN
metahad@hmetro.com.my

IPOH: Bagaikan senario di negara jiran, sebuah pusat pelacuran di bandar raya ini licik mempelbagaikan taktik memerangkap lelaki miang supaya melanggan gadis seksi untuk dijadikan teman tidur dengan menawarkan pakej terbaru ‘wayang akuarium’.
Menerusi pakej itu, pelanggan berpeluang berehat sambil menonton filem terbaru Hollywood atau memilih video lucah di ruang pawagam mini sebelum dibawa ke depan dua bilik kaca seperti akuarium untuk memilih puluhan pelacur berpakaian seksi yang berkumpul di dalamnya.

Rahsia pusat pelacuran itu terbongkar selepas wartawan Metro Ahad berjaya memasuki premis terbabit untuk melakukan penyiasatan, baru-baru ini.
Siasatan mendapati premis terbabit sebenarnya dikawal rapi oleh beberapa bapa ayam. Bagi mengaburi pihak berkuasa, pusat pelacuran itu tidak memaparkan papan tanda dan tidak berselindung di sebalik nama pusat refleksologi atau spa seperti kebanyakan premis pelacuran lain, sebaliknya bahagian depan seolah-olah lot kedai kosong.

Berdasarkan pemerhatian, pusat pelacuran itu membina sekurang-kurangnya tiga pintu sebelum ke bilik akuarium yang menempatkan gadis seksi, dipercayai sebagai langkah berjaga-jaga dan menyelamatkan diri jika diserbu pihak berkuasa.

Selain itu, premis terbabit tidak kisah berbelanja besar untuk menawarkan perkhidmatan unik bagi memperoleh keuntungan dalam tempoh singkat, selain mengatasi saingan sengit beberapa premis sama berdekatan.
Sekali pandang, premis terbabit yang dilengkapi dengan jeriji besi di pintu depan hanya kelihatan seperti sebuah pusat permainan video. Begitupun, apabila melangkah ke dalam, wartawan mendapati premis itu dibahagikan kepada beberapa bahagian.

Di ruang depan, hanya ada satu meja pool atau billiard selain kaunter kononnya ia adalah pusat permainan pool. Kemudian, wartawan dibawa masuk melalui satu lagi pintu menuju ke bilik menunggu sebelum menanti giliran untuk dibawa ke bilik ‘akuarium’ terbabit.
Di bilik menunggu itu, wartawan seakan-akan berada dalam sebuah pawagam mini apabila ia dilengkapi sistem projektor dan skrin layar bersaiz gergasi yang memaparkan filem terbaru Hollywood.

Tidak cukup dengan itu, dua televisyen bersaiz 32 inci yang diletakkan di sisi skrin gergasi berkenaan menayangkan filem lucah secara terang-terangan kepada pelanggan.

Hampir lima minit berada dalam pawagam mini itu, wartawan dibawa masuk ke sebuah bilik gelap melalui satu lagi pintu di belakang bilik menunggu untuk ke bilik kaca.

Mengejutkan sebaik langsir di kiri kanan bilik gelap dibuka bapa ayam itu, hampir 20 pelacur berpakaian seksi berada di dalam dua bilik kaca sambil duduk menanti pelanggan.

Difahamkan, pelacur warga Vietnam, Filipina dan Thailand ini boleh dilanggan pada harga RM90 selama setengah jam, manakala pelacur warga China RM150 tetapi hanya untuk pelanggan berbangsa Cina.

Bayaran itu tampak murah tetapi sebenarnya lebih kurang sama dengan premis pelacuran lain di bandar raya besar seluruh negara yang menawarkan RM200 hingga RM250 untuk perkhidmatan sejam.

Bagi meneruskan penyiasatan, wartawan membuat keputusan memilih seorang gadis warga Vietnam sebelum dibawa ke sebuah bilik yang dilengkapi tandas dan tilam.

Di dalam bilik itu turut diletakkan sebuah televisyen kecil bersaiz 21 inci di sisi tilam yang turut menayangkan filem lucah bertujuan menaikkan nafsu pelanggan.

Ketika berada dalam bilik berkenaan, pelacur Vietnam yang ingin dikenali sebagai Lu Ying menjelaskan, dia menjadi pelacur di negara ini hampir setahun. Walaupun tidak fasih berbahasa Melayu, Lu Ying boleh berbahasa Inggeris.

Menurut Lu Ying, tempat berkenaan jarang diserbu kerana tidak ramai yang tahu ia pusat pelacuran.

Hampir 15 minit berada dalam bilik berkenaan, wartawan yang mula mual dengan tayangan filem lucah dan godaan Lu Ying akhirnya meninggalkan bilik dengan pelbagai alasan tanpa melakukan apa-apa.

Bagaimanapun, sebelum meninggalkan bilik, Lu Ying memberitahu dia boleh dibawa keluar dengan bayaran RM400 untuk satu malam. Dia juga sanggup melakukan apa saja jika diberi pil khayal.

Jelik dengan sikap tidak tahu malu itu selain khuatir sesi penyiasatan disedari bapa ayam, wartawan segera meninggalkan tempat berkenaan.

Begitupun, ketika melangkah keluar daripada premis terbabit, wartawan sempat meninjau keadaan sekeliling yang tidak ubah seperti Hatyai mini di Thailand.

Secara kasar, wartawan mendapati hampir enam premis berdekatan menawarkan khidmat seks. Begitupun, kebanyakannya menggunakan model operandi biasa.

Dipenjara bunuh kekasih isteri



MELBOURNE (Australia): Gara-gara ingin menebus maruah keluarga, seorang lelaki terpaksa akur apabila dihukum penjara maksimum 23 tahun kerana didapati bersalah membunuh kekasih isterinya, dua tahun lalu.
Australian Associated Press (AAP) melaporkan, Hakim David Davies menjatuhi hukuman itu terhadap Hazairin Iskandar, 58, kerana membunuh Mohd Shah Saemin, yang berasal dari Melaka. Hazairin Iskandar diperintah menjalani hukuman penjara minimum 17 tahun.

Mohd Shah meninggal dunia akibat diserang Hazairin dan anak lelakinya, Andrew, di luar rumah pangsa Leichhardt, tempat tinggal Mohd Shah di Sydney, pada malam 21 Februari 2010.
Hazairin yang berasal dari Indonesia, menikam Mohd Shah sekurang-kurangnya empat kali dengan sebilah pisau, manakala anaknya pula memukul mangsa dengan tukul.

Mahkamah diberitahu, Mohd Shah yang bertugas sebagai pemandu di pejabat konsul Malaysia di Sydney, menjalin hubungan sulit dengan isteri Hazairin, Nita Iskandar yang bekerja di tempat sama.

Dalam keterangannya, Hazairin memberitahu mahkamah, perbuatan Mohd Shah mengaibkan keluarganya.
Hazairin berkata, dia membunuh Mohd Shah untuk memelihara maruah keluarganya.

Pada Mac tahun ini, Andrew dihukum penjara sekurang-kurangnya 18 tahun kerana pembunuhan itu, manakala Nita dikenakan ikat jamin berkelakuan baik selama dua tahun kerana mempunyai kaitan dengan jenayah itu.
Nita yang hadir di mahkamah menangis apabila hakim menjatuhi hukuman itu.

Ketika menjatuhi hukuman itu, Hakim Davies berkata, Hazairin menunjukkan rasa insaf atas tindakannya itu dan akan ‘mencapai usia lanjut’ apabila layak mendapat parol kelak.

Kata beliau lagi: “Ini adalah satu pembunuhan kejam dan si mati tentu berasa terseksa sebelum menemui ajalnya.” Berdasarkan hukuman yang dijalaninya, Hazairin layak mendapat parol pada Februari 2027. Andrew pula layak mendapat parol pada Mei 2028. — Bernama

Sorok di rumah saudara



SHAH ALAM: Polis masih mengesan bapa tiri kepada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dirogol lebih 20 kali sejak setahun lalu.
Difahamkan, suspek berusia 45 tahun itu kini dipercayai bersembunyi di sebuah rumah milik ahli keluarganya di Kapar, Klang, selepas menyedari dirinya menjadi buruan polis.

Polis akan mengumpul maklumat untuk mendapatkan alamat lengkap rumah berkenaan bagi membolehkan suspek ditahan dalam masa terdekat.
Sebelum ini, suspek melarikan diri menggunakan motosikal jenis Yamaha LC selepas mengetahui isteri dan mangsa membuat laporan polis.

Lembu tenusu tidak wujud

Oleh MOHD HUSNI MOHD NOOR
mhusni@hmetro.com.my

IPOH: Seorang pensyarah kanan berputih mata dan kerugian lebih RM30,000 apabila mendapati skim lembu tenusu yang disertainya menerusi sebuah syarikat Ogos tahun lalu tidak pernah wujud.
Mangsa menyertai program pelaburan itu selepas mendaftar skim berkenaan di sebuah gerai pameran yang di buka di sebuah pasar raya di sini, pertengahan Jun tahun lalu.

Lebih mengelirukan, mangsa dikenali sebagai Loo Leong Peng (gambar), 56, yang juga pensyarah di Politeknik Premier Ungku Omar itu turut dijanji jaminan pulangan pelaburan mencecah RM170,000 bagi tempoh lapan tahun.
Bagaimanapun, selepas 11 bulan menyertai skim berkenaaan, dia mula mengesyaki dirinya tertipu selepas dimaklumkan lembu tenusu miliknya berasal dari Australia itu mati.

Leong Peng berkata, dia meminta syarikat berkenaan menggantikan lembunya yang mati itu namun, tidak diendahkan selain tuntutan kerugiannya juga tidak dilayan.

Beliau berkata, syarikat berkenaan berjanji untuk menggantikan lembu miliknya dalam tempoh enam bulan namun, ia hanya janji palsu.
“Saya cuba menghubungi syarikat berkenaan bagi mendapatkan penjelasan sebenar namun, panggilan tidak berjawab sebelum satu laporan polis dibuat di Balai Polis Pekan Baru, semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui pada sidang media dibuat di pejabat Biro Aduan dan Khidmat MCA Perak di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Biro Aduan dan Khidmat MCA negeri, Datuk Lee Kon Yin.
Katanya, sebelum membuat keputusan melabur dalam skim berkenaan, dia sudah melakukan pemantauan peribadi terhadap syarikat berkenaan termasuk melayari laman web milik syarikat itu.

“Saya mendapati laman web syarikat itu memaparkan pelbagai maklumat mengenai skim berkenaan termasuk carta pulangan pelaburan, gambar lembu yang diternak serta ladang ternak yang luas beroperasi di Kluang, Johor itu.

“Saya mendaftar skim itu selepas yakin dengan kemampuan syarikat berkenaan dan percaya potensi pasaran susu lembu di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Kon Yin berkata, dia mahu mangsa lain yang berdepan nasib sama seperti Leong Peng supaya dapat tampil membuat laporan bagi membolehkan satu siasatan terperinci dilakukan.

“Kami akan membantu mangsa membuka fail aduan bagi menuntut ganti rugi daripada syarikat. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai skim haram itu boleh menghubungi pejabat biro aduan di talian 05-2536981 atau 05-2538455.

Tepuk bahu, emas lesap



MUKAH: “Bahu saya ditepuk tiga kali oleh wanita tidak dikenali dan hanya tersedar beberapa minit kemudian sebelum mendapati barang kemas dipakai lesap,” kata seorang wanita warga emas yang disyaki dipukau tiga beranak ketika berada di pasar lama Mukah, di sini, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu menyebabkan Dew Jabar, 70, kerugian hampir RM10,000 apabila barang kemas serta wang tunai dilarikan tiga beranak terbabit.

Mangsa berkata, sebelum kejadian, dia ditemani suaminya, Laiseh Keri, 73, ke pasar berkenaan untuk membeli barangan keperluan sebelum disapa seorang wanita berusia 40-an bertanyakan mangsa mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
“Wanita terbabit menawarkan diri membantu membuat permohonan BR1M sebelum membawa saya ke bangunan kerajaan tidak jauh dari lokasi kejadian. Dia (wanita) tidak membenarkan suami ikut sama, malah saya dibawa ke tempat lain iaitu ke sebuah hotel.

“Ketika itu, saya dibawa menaiki kereta berwarna emas yang dipandu seorang lelaki berusia 40-an selain terdapat seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dalam kenderaan berkenaan. “Saya dalam keadaan separuh sedar selepas bahu saya ditepuk tiga kali oleh wanita terbabit ketika dalam perjalanan ke hotel. Sebaik tiba, saya diarahkan keluar sebelum dibawa ke salah satu bangunan,” katanya.

Dew yang ditemui Metro Ahad di rumahnya di Kampung Tellian, semalam, sejurus selepas membuat laporan di Balai Polis Mukah berkata, dia hanya menyedari wang tunai dan barang kemas dipakainya lesap beberapa minit kemudian.
Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah, Inspektor Yong Yew Ping memberitahu pihaknya sudah menerima laporan dan kes masih dalam siasatan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berjalan berseorangan ketika melalui tempat sunyi dan elakkan daripada mendekati individu atau kumpulan tidak dikenali.
“Kes sebegini tidak banyak dilaporkan di Mukah dan kami meminta orang ramai menghubungi polis ataupun pihak berkuasa di talian 084-871222.” katanya.

Minta izin tidur bersama ayah, ibu



BANGI: “Kebiasaannya, Emy akan memaklumkan kepada kami ke mana dia mahu pergi. Bagaimanapun, pada hari kejadian (Jumaat), dia langsung tidak memberitahu kami,” kata Setiausaha Agung Persatuan Superbikers Malaysia (Sam), Sulaiman Samia’an, 43, iaitu bapa Muhammad Azzeem Suhaimi, 17, mangsa kemalangan maut di Persiaran Timur arah ke Dengkil di Putrajaya, kelmarin.
Menurutnya, dia hanya mengetahui anak kedua daripada empat beradik itu terbabit dalam kemalangan selepas anggota polis datang ke rumahnya kira-kira jam 8 malam. “Saya menggigil sebaik polis datang dan terus melihat sekeliling rupanya kereta Proton Perdana tiada di rumah. Pada waktu itu, fikiran saya terus teringatkan anak saya, Emy. “Kemudian, saya dan isteri, Siti Zaidah Mat Nawi, 43, bergegas ke Hospital Putrajaya untuk melihat jenazah anak saya,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Desa Sentosa, Teras Jernang, di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang Jumaat lalu, Muhammad Azzeem Suhaimi, 17, yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang maut selepas kereta dipandunya melanggar tiang lampu di tengah pembahagi jalan di Persiaran Timur arah ke Dengkil, Putrajaya ketika hujan lebat. Muhammad Azzeem Suhaimi terpelanting keluar daripada kenderaannya dan mati di tempat kejadian manakala kereta dipandu terputus dua. Sulaiman berkata, dia sepatutnya menyertai konvoi bermotor ke Pendang, Kedah, Jumaat lalu sebelum meneruskan perjalanan ke Laos, namun membatalkan hasrat berkenaan. “Pada hari kejadian, saya berasa tidak sedap hati dan menukar fikiran tidak mahu mengikuti konvoi berkenaan. Malah, saya juga pulang awal dari tempat kerja. “Rupanya, rasa tidak sedap hati itu adalah antara tanda anak kedua saya ‘pergi’ dijemput Ilahi,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perubahan diri anaknya, Sulaiman berkata, dua hari sebelum kejadian, Emy meminta kebenaran mahu tidur bersamanya dan isteri. “Malam itu, dia mengetuk pintu bilik dan mahu tidur bersama kami. Saya kata padanya ‘sudah besar panjang pun nak tidur sama-sama’. “Bagaimanapun, saya dan isteri layankan saja permintaannya mahu bermanja bersama kami. Saya tak sangka rupanya itu juga petanda dia mahu meninggalkan kami selama-lamanya,” katanya.
Jenazah Muhammad Azzeem kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Merab, di sini, kira-kira jam 10 pagi, semalam.

Polis serbu premis



IPOH: Dua pelacur warga China dan Thailand bersama dua bapa ayam dicekup dalam serbuan polis di pusat pelacuran yang menawarkan khidmat ‘wayang akuarium’ di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi berkata, ketika serbuan kira-kira jam 2 pagi dilakukan, hanya terdapat empat individu di dalam pusat pelacuran terbabit.

“Semua mereka ditahan mengikut peraturan imigresen dan Kanun Keseksaan. Sebelum ini pun, semakan dengan pegawai bertugas mendapati pemeriksaan di premis perniagaan yang dikenal pasti melakukan aktiviti tidak bermoral itu dilakukan setiap hari, termasuk di kawasan berkenaan. Namun, kelicikan premis itu menyembunyikan aktiviti mereka berjaya melindungi kerja tidak bermoral terbabit.
“Atas maklumat yang kami terima dan risikan yang kami lakukan akhirnya berjaya menahan empat individu yang dipercayai bapa ayam dan pelacur,” katanya.

Difahamkan, kes disiasat mengikut Seksyen 372(b) Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan pelacuran, manakala penjaga premis ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 372(1)(F) kanun sama.

Selain itu, wanita terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 iaitu kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial dan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
Menurut Sum, pihaknya akan membuat siasatan berterusan dan memantau segala aktiviti serta operasi berkaitan pelacuran di bandar raya ini.

“Bagaimanapun, kegiatan ini masih dalam peringkat terkawal. Pihak berkuasa turut menjalankan tugas masing-masing dalam membasmi segala bentuk kesalahan undang-undang dilakukan di negeri ini,” katanya.

Tawar ‘ayam’ serendah RM90



IPOH: Persaingan sengit di antara beberapa pusat pelacuran berdekatan menyebabkan bapa ayam melakukan pelbagai taktik untuk menarik pelanggan secara terbuka tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.
Ini terbukti apabila sebaik meletakkan kenderaan di kawasan parkir berdekatan pusat ‘akuarium’ terbabit, wartawan segera dihampiri seorang lelaki lingkungan 40-an yang seolah-olah khuatir ‘pelanggan’ pergi ke premis lain.

Berdasarkan pengamatan wartawan, premis itu mempunyai beberapa bapa ayam yang ada tugas masing-masing. Ikuti dialog wartawan bersama bapa ayam terbabit.
Penjaga parkir (P): Hello bos. You (awak) mau cari apa? Kalau mau ‘ayam’, ikut saya. Ini tempat memang best. You kena cuba dulu.

Wartawan (W): Eh, you mahu bawa saya ke mana? Saya mahu pergi ke ******. Kawan saya cakap tempat itu lagi ‘best’.

P: Haiya... You percaya sama saya. Saya gerenti you puas hati. Sini lagi syok dari tempat itu. Mari-mari, saya bawa you. Jangan risau. You pasti puas hati.
W: Okey.

Sebaik masuk, wartawan bertemu pula dengan seorang lagi bapa ayam yang menjaga pusat itu. Selain itu, tinjauan awal mendapati premis itu tidak langsung menggambarkan sebuah pusat pelacuran atau spa.
Wartawan pasti, ramai tidak tahu premis terbabit menawarkan khidmat seks, lebih-lebih lagi pintu depannya berwarna hitam selain dilengkapi pagar besi, seolah-olah ia pub atau kelab malam.

Bapa ayam (B): Hai bos. You mau ayam? Mau ‘girl’? Mari masuk. Sini ada banyak, you boleh pilih.

W: Memang mahu tauke, tapi sini tempat ‘best’ ke? Saya selalu pergi yang depan tu. Sini saya tak pernah datang lagi.

B: Tak apa. You boleh ‘try’ dulu. You boleh tengok-tengok dulu. Kalau tak puas hati, tak apa. Saya tak marah.

W: Okeylah. I cuba dulu.

W: (Ketika di dalam premis terbabit) Wow. You punya tempat ada mini cinema (pawagam mini) ya? Hebat la. ‘Porn’ (video lucah) pun you pasang ke? B: Mestila. Kita mau cari makan maa... Mesti ada tarikan, baru orang datang. Betul tak? Ok. ‘Girl’ sudah siap. Mari masuk bilik kaca. Sekarang ada dalam 15 orang. You pilih mana suka. Ada dari Vietnam, Filipina, Thailand dan China. Semua RM90 setengah jam kecuali dari China, RM150. Tapi ini ‘China Doll’ hanya mau orang Cina. You pilihlah mana u suka.

W: Bos, boleh angkat keluar ke ini ‘girl’? Kalau saya mau bawa keluar satu hari boleh ke? B: Tak boleh la. Ini ‘girl’ tak pandai cakap Melayu. Inggeris pun dia tak pandai. Nanti jadi ayam itik macam mana? You susah, nanti saya pun susah juga.

W: (Selepas memilih) Okey bos. Saya mahu yang ini.

B: Okey. Ini orang pandai ‘servis’. You mesti puas hati. Sekarang bayar dulu RM90. Nanti I bawa you pergi bilik.

Setiap jalan ada aktiviti pelacuran secara terbuka



IPOH: Kegiatan sindiket pelacuran yang masih berleluasa di bandar raya ini perlu dibendung habis-habisan bagi menjaga imej di mata pelancong, terutama sempena Tahun Melawat Perak tahun ini.
Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata, aktiviti tidak bermoral itu bukan hanya membabitkan di lot kedai, malah beberapa hotel di sekitarnya. Berikutan itu, katanya, kegiatan berkenaan sepatutnya dibanteras pihak berkuasa sejak awal lagi supaya ia tidak berlarutan sehingga menjejaskan imej bandar raya ini.

“Tidak dinafikan, kegiatan pelacuran berada pada tahap kritikal apabila kebanyakan mereka bukan hanya membabitkan pelacur wanita daripada pelbagai usia dan kaum, malah kelompok mak nyah.
“Bayangkan, setiap jalan berhampiran beberapa premis perniagaan di sini ada aktiviti pelacuran. Mereka seolah-olah menjalankan kegiatan tidak bermoral secara terbuka,” katanya.

Menurutnya, antara lokasi yang menjadi tempat tumpuan maksiat ialah sekitar Jalan Dato Onn Jaafar, Jalan Raja Musa Aziz, Jalan Yang Kalsom, Jalan Hussein dan Jalan Kampar.

Bibit cinta ketika program persatuan



BUKIT KAYU HITAM: Pertemuan pertama ketika menghadiri program anjuran Persatuan Orang Kerdil Malaysia berjaya menyatukan dua hati sebelum guru, Mohd Razif Romle, 26, dan pasangannya, Nor Hazani Zakaria, 28, mengambil kata putus mendirikan rumah tangga.
Perkenalan dua tahun lalu tidak terhenti di situ saja, sebaliknya mereka mengambil masa lebih setahun untuk menyulam kasih dan mengenali hati budi masing-masing sehingga mengikat tali pertunangan, Mei lalu.

Mohd Razif berkata, dia tertarik pada budi bahasa dan sikap lemah lembut isterinya, membuatkan dia tidak menunggu lama untuk menyunting pasangannya menjadi suri hidup.
Menurutnya, dia bersyukur kerana ditemukan dengan isteri tercinta yang membuatkan hatinya sentiasa tenang setiap kali memandangnya.

“Keistimewaan pada dirinya menguatkan lagi rasa cinta dan sayang kepada Nor Hazani. Saya yakin dengan pilihan hati ini, malah mendapat restu ahli keluarga,” katanya ketika ditemui di majlis perkahwinan mereka di Felda Bukit Tangga, di sini, semalam.

Sebelum ini, Mohd Razif diijabkabulkan dengan Nor Hazani yang berasal dari Terengganu pada 23 Ogos lalu.
Mohd Razif berkata, dia yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Sri Negeri, Langkawi sebelum ini bercinta jarak jauh dengan Nor Hazani yang bekerja di Jabatan Pembangunan Persekutuan di Kelantan dan menggunakan laman sosial sebagai medium perhubungan.

Menurutnya, dia juga pernah terfikir mungkin tidak akan mempunyai pasangan hidup berikutan keadaan fizikal diri tidak sempurna seperti insan lain hinggalah jatuh hati kepada Nor Hazani pada pertemuan pandang pertama.
“Kami berharap jodoh berkekalan sehingga ke akhir hayat dan menjalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri dengan baik seperti insan lain.

“Buat masa ini, kami belum merancang lokasi berbulan madu kerana sibuk dengan tugasan,” katanya.

No comments:

Post a Comment