Saturday, December 15, 2012

DUNIA PENUH DENGAN PELBAGAI PERISTIWA SUKA DAN DUKA

Pengganas ditembak depan isteri

DUA anggota polis Filipina memeriksa peralatan untuk membuat bom yang digunakan oleh Mohd. Noor (gambar kecil) di Davao, Filipina.


KUALA LUMPUR - Seorang rakyat Malaysia yang disyaki anggota kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) mati ditembak di hadapan isterinya oleh pasukan keselamatan Filipina di sebuah hotel di Davao malam kelmarin selepas dipercayai cuba melakukan serangan bom di bandar tersebut.
Mohd. Noor Fikrie Abd. Kahar, 26, yang berasal dari Kedah meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Dia dipercayai memasuki Filipina dari Sandakan, Sabah pada April lalu untuk bertemu dengan isterinya, Anabelle Nieva Lee, seorang rakyat negara itu.
Memetik laporan agensi berita, Ketua Polis Davao, Superintendan Kanan Ronaldo Dela Rosa memberitahu, kehadiran suami isteri itu di Hotel Sampaguita, Davao berjaya dijejaki oleh polis Filipina yang menugaskan sepasukan anggota pasukan gerak khas dan taktikal (SWAT) mengepung hotel itu pada pukul 7 malam.
Mohd. Noor dan Anabelle yang membawa beg sandang, dilihat keluar dari bilik hotel mereka pada pukul 10.30 malam dan menuju ke lobi hotel.
Pada waktu itu, Dela Rosa bersama anggotanya telah meminta mereka untuk menyerah diri namun Mohd. Noor bertindak mengeluarkan telefon bimbit dan mengugut untuk meletupkan bom menggunakan peralatan itu jika dia ditembak.
Tindakannya itu menyebabkan keadaan di lobi hotel itu menjadi kelam-kabut sehingga mendorong polis membiarkan pasangan tersebut lari keluar dari bangunan demi keselamatan orang awam.
Mohd. Noor yang membawa beg sandang berisi bom cuba melarikan diri ke arah sebuah taman awam sebelum dia ditembak oleh penembak tepat yang sedia menunggu di kawasan tersebut.
Dela Rosa berkata, polis turut menemui bahan letupan yang diperbuat daripada kepala mortar bersaiz 60 milimeter, telefon bimbit dan peralatan lain untuk membuat bom.
Mohd. Noor dipercayai merancang untuk meletupkan sebuah hotel di Davao tetapi setakat ini belum dapat dipastikan sama ada bangunan itu ialah Hotel Sampaguita.
Kejadian itu turut disahkan oleh Pengarah Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Cegah Keganasan) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Sementara itu, satu sumber memberitahu Kosmo! Ahad bahawa gerak-geri Mohd. Noor sebagai anggota militan telah dipantau sejak dia berada di Malaysia lagi.
"Dia masuk ke Filipina pada April lalu untuk belajar buat bom. Apabila berada di sana dia berkahwin dengan seorang wanita tempatan (Anabelle)," kata sumber itu.

Datuk K jalani pembedahan esok

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih mesra dipanggil Datuk K yang terlibat dalam kemalangan motosikal pada Khamis lalu dijadual menjalani pembedahan ekoran kecederaan serius pada bahagian belakang badan di Hospital Southland, Invercargill, New Zealand esok.
Anak ketiganya, Muhammad Asyraf, 20, berkata, dia dimaklumkan mengenai perkara itu oleh bapanya dalam perbualan telefon kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Muhammad Asyraf menyifatkan kecederaan bapanya agak serius tetapi beliau dalam keadaan stabil.
"Ayah beritahu bahawa dia akan dibedah pada hari Isnin (esok), pembedahan itu mungkin melibatkan bahagian belakang badannya.
"Ayah minta kami supaya tidak terlalu risau keadaannya, malah cadangkan agar kami adik-adik tidak perlu ke New Zealand. Bagaimanapun, saya maklumkan bahawa tiket penerbangan sudah dibeli dan kami akan ke sana pada pukul 2 petang hari ini (semalam)," katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.
Datuk K yang merupakan suami penyanyi popular Siti Nurhaliza kini dirawat di hospital itu yang terletak kira-kira 190 kilometer dari bandar Queenstown. Di bandar itulah Datuk K terlibat dalam kemalangan motosikal ketika bersiar-siar bersama rakan pada Khamis lalu.
Beliau mengalami kemalangan setelah motosikal Harley Davidson yang ditunggangnya terbabas dan melanggar pagar di tepi jalan dalam kemalangan pada pukul 12 tengah hari Khamis waktu Malaysia (pukul 4 petang waktu New Zealand).
Muhammad Asyraf memberitahu, dia dan adik-beradiknya, Muhammad Adib, 22, dan Muhammad Aazief, 14, dijangka tiba di negara tersebut malam ini dan berharap dapat bertemu dengan bapa mereka sebelum pembedahan dilakukan.
Dalam pada itu, Siti Nurhaliza, 33, pula selamat tiba di hospital itu kira-kira pukul 10 pagi waktu Malaysia semalam (pukul 2 petang waktu New Zealand) setelah menempuh perjalanan udara dan darat selama 27 jam dengan ditemani kakak iparnya, Datin Zaiton.

Majlis perkahwinan anak lelaki diteruskan tanpa Datuk K


HISHAMMUDDIN (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Muhd. Anas Zawawi (tengah) sambil diperhatikan oleh Nasha Alyssa pada majlis perkahwinan mereka di Kluang semalam.


KLUANG - Majlis resepsi perkahwinan anak perempuan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan anak lelaki Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K tetap diteruskan di Taman Sri Lambak, Sembrong dekat sini semalam.
Datuk K tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana dia kini terlantar di Hospital Southland, Invercargill, New Zealand selepas terbabit dalam kemalangan motosikal di negara itu pada Khamis lalu.
Pasangan Muhd. Anas Zawawi Khalid, 26, dan Nasha Alyssa Hishammuddin, 24, telah diijabkabulkan di kediaman pengantin perempuan di Taman Tun Abdul Razak, Ampang Jaya pada 24 November lalu.
Sebelum ini, majlis resepsi mereka telah diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra dan sebuah hotel di Kuala Lumpur.

26 terbunuh di AS dalam tembakan rambang di sekolah

FOTO dari udara menunjukkan pihak berkuasa AS dan penduduk setempat memenuhi kawasan sekitar Sekolah Rendah Sandy Hook di Newtown, Connecticut, AS.


NEWTOWN, Connecticut, Amerika Syarikat (AS) - Seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang dan membunuh 20 orang kanak-kanak dan enam orang dewasa di sebuah sekolah di sini pada Jumaat, sekali gus menjadi antara insiden tembakan paling buruk dalam sejarah AS.
Jurucakap Polis Negeri Connecticut, Leftenan Paul Vance memberitahu seramai 18 orang murid ditembak mati di Sekolah Rendah Sandy Hook dan dua orang lagi mangsa meninggal di hospital akibat cedera parah. Media AS melaporkan guru besar sekolah itu, Dawn Lafferty Hochsprun turut terbunuh.
Suspek dikatakan membunuh ibunya di rumah mereka sebelum melakukan serangan. Pembunuh yang dikenal pasti sebagai Adam Lanza, 20, kemudian membunuh diri.
Motif serangan masih belum diketahui dan abang suspek, Ryan Lanza berusia 24 tahun kini berada dalam tahanan polis dan sedang disoal siasat. Adam yang merupakan seorang pelajar pintar dan pendiam didakwa mengalami gangguan personaliti. Dia juga tidak mempunyai rekod jenayah.
Sebaik sahaja berita tembakan itu tersebar, ibu bapa yang panik memenuhi kawasan sekolah, ketika mangsa yang berlumuran darah dibawa keluar dari bangunan sekolah.
Insiden berlaku sekitar pukul 9.30 pagi di dalam dua buah kelas. Mangsa-mangsa berusia antara 5 hingga 10 tahun. Hampir semua mangsa mengalami kecederaan serius yang menunjukkan suspek mahir menggunakan senjata api. Tambah Vance, hanya seorang mangsa yang terselamat.
Lanza dikatakan membawa empat pucuk senjata api dan memakai baju kalis peluru. Dua pucuk pistol jenis Glock dan Sig Sauer dan selaras raifel .223 kaliber Bushmaster kemudian dijumpai di dalam kawasan sekolah manakala satu lagi senjata api ditemui di luar sekolah.

AHLI keluarga mangsa yang terbunuh dalam
serangan di Sekolah Rendah Sandy Hook menangis berhampiran sekolah terbabit.


Beberapa orang saksi memberitahu mereka mendengar bunyi tembakan dan melihat percikan darah memenuhi dinding sekolah.
"Saya baru hendak balik ke kelas sebelum mendengar ada orang menendang pintu dan saya ada menghidu bau asap. Kemudian saya terdengar bunyi tembakan dan seorang cikgu menarik saya masuk ke dalam kelasnya. Keadaan pada masa itu sangat panik," kata seorang murid berumur 8 tahun kepada agensi berita NBC.
Imej Presiden AS, Barack Obama yang menangis ketika memberi ucapan selepas kejadian tersebut mencetuskan harapan di seluruh dunia bahawa insiden kejam itu akan membuatkan AS mengetatkan penguatkuasaan pemilikan senjata. Obama turut mengarahkan bendera di bangunan-bangunan kerajaan diturunkan separuh tiang.
Insiden tembakan di sekolah kerap berlaku di AS. Pada 2007, kejadian sama berlaku di Virginia Tech dan membunuh 32 orang mangsa. Pada tahun 1999 pula, seramai 15 orang pelajar sekolah menengah Columbine maut apabila penyerang melepaskan tembakan rambang. - AFP

Wangian guna nama roket laris


SEORANG peniaga menyembur minyak wangi M-75 ke atas tangan pelanggannya.


GAZA - Jualan minyak wangi sempena nama roket yang dilancarkan oleh pejuang Palestin ke wilayah Israel mendapat sambutan hangat.
Wangian diberi nama M-75 itu ditawarkan untuk pengguna lelaki dan wanita. Diisi di dalam kotak berwarna hitam dan hijau, M-75 dihasil menggunakan bau-bauan oren, lemon dan herba-herba yang terdapat di Gaza.
"Minyak wangi ini menyenangkan dan menarik. Sama seperti peluru berpandu pejuang Palestin iaitu M-75," kata pemilik syarikat kosmetik yang bertanggungjawab mengeluarkan M-75 iaitu Stay Stylish, Shadi Adwan.
Pengarah syarikat pengedar minyak wangi di Gaza, Continental Style, Rajaey Odwan memberitahu, M-75 memberi peluang kepada para pelanggannya untuk menghidu 'bau kemenangan'.
"Saya harap bau minyak wangi ini cukup kuat untuk dihidu hingga ke Tel Aviv dan mengingatkan orang Yahudi tentang kemenangan pejuang Palestin," kata seorang pelanggan, Ahmed Hassan yang membeli 30 botol M-75 untuk dijadikan hadiah kepada ahli keluarga dan rakan-rakannya.
M-75 yang berkapasiti 59 milimeter dijual pada harga RM40 sebotol.
Konflik selama lapan hari antara pejuang Hamas dan Israel itu mengakibatkan lebih lebih 170 orang warga Palestin dan enam orang Israel terbunuh. Serangan itu tamat selepas kedua-dua pihak bersetuju menghentikan serangan selepas gencatan senjata tajaan Mesir berjaya. - Agensi

No comments:

Post a Comment