Wednesday, December 12, 2012

KATA DAH SAMPAI BULAN...BUAT APA PUSING2...BOLEH BUAT ROKET PENUMPANG....SAPE MAMPU BOLEHLAH PI BULAN

Mekanik kejam dera anak tiri

RENTETAN gambar menunjukkan seorang lelaki begitu rakus mendera seorang kanak-kanak dengan mengangkat badan mangsa, menendang, memukul dengan senduk dan memaksanya berlutut dengan mengangkat tangan di sebuah rumah di Klang.


KLANG – Perbuatan kebinatangan seorang mekanik yang mendera anak tiri lelakinya berusia tiga tahun tanpa belas kasihan memakan diri apabila dia diberkas selepas aksi kejamnya itu dirakam menggunakan kamera telefon bimbit sebelum dimuat naik di laman sosial Facebook.
Suspek berusia 32 tahun tersebut diberkas pada pukul 8 malam kelmarin di rumahnya di Taman Mas, Kapar di sini iaitu tempat di mana kejadian dera itu berlaku. Dia diberkas apabila polis menerima laporan jirannya sejam selepas dia melihat rakaman tersebut.
Difahamkan, ketika serbuan, suspek berada di dalam rumah itu bersama mangsa tetapi isterinya telah melarikan diri.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Jani Ahmad berkata, kanak-kanak tersebut dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini dan pemeriksaan menemui kesan kecederaan dan calar di badan serta kepalanya.
Katanya, polis percaya mangsa telah didera oleh bapa tirinya sejak dua bulan lalu.

Pelacur promosi Krismas dicekup


SEBAHAGIAN daripada 11 pelacur yang diberkas dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Kota Damansara kelmarin.


PETALING JAYA – Tembelang pemilik sebuah pusat hiburan mempromosikan khidmat hubungan seks tanpa had selama 24 jam bersama pelacur dengan bayaran RM600 sempena sambutan Krismas pada 25 Disember ini terbongkar apabila premis itu diserbu di Kota Damansara di sini kelmarin.
Pelanggan boleh membawa pelacur yang disediakan oleh pusat itu ke tempat yang disukai tanpa sekatan oleh ‘majikannya’ dan boleh memilih sama ada mahu tidur dengan salah seorang daripada 20 wanita dari Thailand, Vietnam, Filipina atau wanita dari mana-mana negara yang ditawarkan.
Bagaimanapun, kegiatan persundalan sejak lima bulan lalu itu terbongkar apabila polis daripada Bahagian Cegah Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman menyerbu premis tersebut dan menahan 11 pelacur asing berusia antara 20 hingga 37 tahun.
Difahamkan, sembilan lagi wanita telah pulang ke negara masing-masing untuk memperbaharui pas lawatan sebelum kembali ke negara ini.
Pegawai operasi, Inspektor Muhammad Mohd. Jais berkata, ketika serbuan, terdapat 15 pelanggan sedang asyik berhibur bersama pelacur di situ.
“Siasatan mendapati pelanggan boleh membawa pulang pelacur terbabit untuk melakukan seks tanpa sekatan dengan bayaran antara RM300 hingga RM600 semalam selain menjadi teman sosial,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Lemas di Johor, jumpa di Indonesia


JENAZAH Anuar yang ditemui di Bengkalis, Sumatera selamat tiba di Kompleks Imigresen Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Banda Hilir, Melaka semalam.


MELAKA – Misteri kehilangan seorang peniaga minuman sejak dua minggu lalu terjawab apabila mayat lelaki itu ditemui terdampar di Pantai Indah Desa Selat Baru, Bengkalis, Sumatera, Indonesia pada Sabtu lalu oleh nelayan republik itu.
Anuar Abdullah, 44, dipercayai terjatuh ke dalam sebatang sungai berhampiran rumah rakannya di Kampung Pinang Balan, Batu Pahat, Johor dan dipercayai lemas sebelum mayatnya dihanyutkan hingga ke pantai di Bengkalis.
Lokasi mayat itu ditemui dengan tempat mangsa terjatuh adalah kira-kira 70 kilometer.
Mayat Anuar yang dibawa pulang dari Indonesia selamat tiba di Kompleks Imigresen Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) Banda Hilir di sini pada pukul 9 pagi semalam.
Isteri mangsa, Marliana Sirat, 36, dari Taman Nira, Batu Pahat ketika dihubungi berkata, suaminya itu keluar dari rumah pada pukul 9.30 pagi 28 November lalu untuk menghantar seorang anaknya ke rumah ibunya di Parit Guntung, Batu Pahat.
Bagaimanapun, suri rumah itu memberitahu, sejak itu, suaminya tidak pulang dan dia juga telah mencari arwah di merata-rata tempat sebelum menemui motosikal arwah di rumah rakannya di Kampung Pinang Balan.
“Rakan arwah memberitahu pada hari sebelum hilang, arwah dilihat berjalan menghala ke arah sungai,” katanya.
Marliana yang sedang hamil tujuh bulan berkata, apabila suaminya masih tidak pulang beberapa hari kemudian, dia melaporkan kejadian tersebut di Balai Polis Batu Bahat pada 2 Disember lalu.
“Saya kemudian diberitahu oleh anggota polis pada Sabtu lalu bahawa mayat arwah ditemui di Bengkalis, Sumatera.
“Tidak sangka mayat suami saya akan hanyut sejauh ini,” katanya sambil memberitahu jenazah suaminya akan dibawa ke kampung halaman di Machang, Kelantan sebelum dikebumikan.

Empat kamera AES di Perak dirosakkan


SEBUAH kamera AES yang tumbang akibat perbuatan khianat di Kilometer 376 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Slim River, Perak baru-baru ini.


IPOH - Empat kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dipasang di negeri ini menjadi sasaran perbuatan khianat termasuk dua daripadanya ditumbangkan pada Oktober dan November lalu.
Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Ramli Awang Seberang, dua daripada kamera AES itu terletak di Lebuh Raya Utara-Selatan iaitu di Kilometer 376 Slim River dan Kilometer 205.6 Taiping.
Dua lagi kamera yang dirosakkan terletak di Jalan Pasir Putih di sini dan Kilometer 85.5 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Sungkai.
"Kesemua kejadian dikesan berlaku pada awal Oktober lalu kecuali di Taiping pada awal bulan lepas," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Setakat ini belum ada tangkapan dibuat.
Mereka yang melakukan perbuatan itu boleh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan berhadapan hukuman penjara maksimum dua tahun serta denda jika sabit kesalahan

Zakiah Anas pilih kawan lama jadi suami

ZAKIAH dan Raja Shahrul pada majlis pernikahan mereka di Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Personaliti TV3, Zakiah Anas sah bergelar isteri kepada ahli peniagaan berstatus duda, Raja Shahrul Azmi Raja Sahar dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan mereka di Masjid Kota Damansara di sini semalam.
Berpakaian serba putih, Zakiah, 46, dan Raja Shahrul, 42, dinikahkan oleh kadi Mohd. Arip Johdi pada pukul 11.35 pagi dengan berwalikan abangnya, Mohd. Adnan Anas.
Pada majlis yang hanya dihadiri oleh sanak-saudara dan rakan taulan terdekat itu, Zakiah menerima mas kahwin sebanyak RM13,500.
Zakiah ketika dihubungi semalam bersyukur kerana majlis pernikahannya itu berjalan lancar.
"Alhamdulillah, segala-galanya berjalan dengan baik dan saya rasa bersyukur kerana dipertemukan dengan dia (Raja Shahrul)," ujarnya.
Walaupun mereka berkenalan sejak 21 tahun lalu ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara, pasangan itu hanya mula bercinta pada tahun lepas.

Pengarah didenda RM10,000


BEE CHOO didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Sebuah syarikat pembinaan, Sara Design Studio yang bertanggungjawab mengubah suai banglo di Seksyen 7 di sini sehingga berlaku insiden seorang buruh maut dihempap bumbung runtuh didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Hukuman diputuskan Hakim Mohamed Mokhzani Mokhtar selepas pengarah syarikat, Ng Bee Choo, 42, mengaku bersalah atas tuduhan tidak memiliki lesen pendaftaran sah yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Jika gagal membayar denda, wanita itu bakal berhadapan hukuman penjara selama sebulan. Bee Choo yang juga pemilik syarikat berkenaan membayar denda tersebut selepas prosiding.
Tetuan Sara Design yang beralamat di D-Bayu 8-G, Jalan Serambi U8/24, Taman Bukit Jelutong di sini didakwa menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian banglo dua tingkat di No.15, Jalan Jed 7/5, Seksyen 7 milik Ab. Razak Ab. Rahman, 53, tanpa memegang sesuatu perakuan pendaftaran yang sah dikeluarkan oleh CIDB.
Syarikat pembinaan yang dikatakan melakukan kerja-kerja pengubahsuaian banglo dengan nilai kira-kira RM1.5 juta itu dituduh di bawah Seksyen 25 Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000.

Tiga dituduh bunuh peniaga gerai R&R

TIGA tertuduh kes bunuh Abdul Talib dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh semalam.


TEMERLOH - Seorang tukang masak bersama dua rakannya didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh selepas merompak seorang peniaga gerai dalam kejadian di Kampung Baru Simpang Sanggang di sini pada September lalu.
Mohd. Hairie Abdul Jalil, 28, Mohammad Ridzuan Khaidir, 22, dan seorang remaja berusia 16 tahun dituduh bersama-sama membunuh Abdul Talib Yadin, 56, di Jalan Melati, Kampung Baru Simpang Sanggang, Temerloh di sini pada pukul 1.30 pagi 14 September lalu.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa di hadapan Majistret Dazuki Ali mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd. Hairie yang berasal dari Kampung Tebing Tinggi Sanggang, Mohammad Ridzuan dari Felda Jengka 19, Maran dan remaja berkenaan.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 22 Januari 2013 dan kesemua tertuduh tidak dibenar ikat jamin.
Sementara itu, Mohd. Hairie atau dikenali sebagai KK mengaku tidak bersalah atas dua lagi tuduhan melakukan rompakan di Lot Kampung Belangka, Jejawi dan No. 78, Taman Bahagia Intan di sini masing-masing pada pukul 9.40 pagi 26 Julai 2012 dan pada pukul 2.30 pagi 20 Julai lalu membabitkan kerugian yang kesemuanya berjumlah RM20,000.

SPAD beri lampu hijau bina trem di Melaka

SEBUAH trem yang beroperasi di Nottingham, England. - Gambar hiasan


MELAKA - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memberi lampu hijau bagi projek trem di Melaka walaupun undang-undang berkaitan penggunaannya masih belum wujud.
Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, kerja-kerja teknikal seperti pembinaan landasan dan depoh boleh dimulakan sementara menunggu undang-undang pengangkutan trem digubal.
"Undang-undang jalan raya sedia ada tidak merangkumi penggunaan trem dan belum ada peraturan yang mentadbir pergerakannya. Namun, kita benarkan projek ini diteruskan kerana kita masih ada masa untuk mewujudkan undang-undang tersebut selagi operasi trem belum dimulakan," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di sini semalam.

Speaker Parlimen letak jawatan


PALMER (kiri) duduk bersama Chee Hean pada sidang akhbar yang diadakan di Singapura semalam.


SINGAPURA - Speaker Parlimen Singapura, Michael Palmer semalam mengumumkan peletakan jawatannya selepas beliau mengaku menjalin hubungan sulit dengan seorang pekerja komuniti.
Palmer, 44, yang sudah berkahwin dan merupakan bapa kepada seorang anak mula mengangkat sumpah sebagai speaker parlimen pada bulan Oktober 2011.
Beliau turut meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen dan anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP).
"Saya telah meletakkan jawatan bagi mengambil tanggungjawab penuh terhadap kesalahan besar yang saya telah dilakukan.
"Kelakuan saya tidak sopan dan ia merupakan kesilapan pertimbangan yang sangat serius. Saya telah meletakkan jawatan sebagai langkah untuk mengelakkan PAP dan Parlimen daripada mendapat malu," kata Palmer pada sidang akhbar.
Palmer mendedahkan bahawa dia mempunyai hubungan dengan seorang kakitangan sebuah organisasi komuniti, Persatuan Rakyat.
Beliau yang merupakan seorang peguam menyatakan kekesalan yang mendalam berhubung perbuatannya itu kepada para penyokong, PAP dan keluarganya.
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang juga merupakan Setiausaha Agung PAP kemudian mengumumkan bahawa beliau menerima peletakan jawatan Palmer.
Hsien Loong berkata, anggota-anggota parlimen perlu mendukung keperibadian yang tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Teo Chee Hean yang berada di sisi Palmer pada sidang akhbar itu meminta maaf kepada penduduk di kawasan parlimen bekas speaker itu.
"Saya memastikan bahawa kami akan terus menjaga anda," katanya.
Sebelum ini, PAP mempunyai imej tentang moral yang tinggi dalam kalangan anggota-anggotanya.
Bagaimanapun, skandal tersebut mencetuskan kritikan di internet.
Menurut seorang penduduk, Andrian Lim yang menulis di akaun Hsien Loong mengkritik tentang maklumat peribadi yang diketahui PAP tentang Palmer.
Peletakan jawatan Palmer itu merupakan skandal terbaharu melibatkan pegawai peringkat tinggi di Singapura.
Sebelum ini, ketua bahagian narkotik polis dibicarakan kerana dituduh meminta habuan seks daripada seorang kontraktor.
Seorang lagi ketua pertahanan awam dijangka dibicarakan pada Januari depan berhubung tuduhan yang sama. - AFP

Sidang Parlimen Ukraine kecoh


SESI sidang Parlimen berlangsung selepas kekecohan berlaku.


KIEV - Beberapa aktivis pertubuhan Femen yang memperjuangkan hak-hak wanita mendedahkan payudara mereka dalam satu protes antirasuah di luar bangunan Parlimen di sini semalam.
Bantahan itu diadakan ketika satu pergaduhan melibatkan beberapa wakil rakyat tercetus di Parlimen Ukraine.
Sesi Parlimen yang dikenali sebagai Verkhkovna Rada bermula agak kelam-kabut semalam selepas pilihan raya Parlimen diadakan pada 28 Oktober lalu.
Seramai empat wanita muda melompat pagar Parlimen dan menanggalkan pakaian untuk mengadakan protes di pekarangan bangunan itu.
Seorang jurugambar agensi berita AFP menyatakan, mereka cuma memakai seluar dalam berwarna hitam dalam protes tersebut.
Keempat-empat aktivis berkenaan kemudian ditahan oleh beberapa anggota pengawal keselamatan.
Sebelum itu, mereka menyatakan di laman akaun Facebook Femen bahawa tunjuk perasaan itu diadakan untuk membantah amalan rasuah dalam kalangan wakil rakyat.
Parlimen kali ini bersidang selepas parti politik pimpinan Presiden Viktor Yanukovych menang tipis pada pilihan raya dua bulan lalu.
Para pemerhati mengkritik proses pengundian pilihan raya itu termasuk tindakan pemerintah memenjarakan ketua pembangkang yang juga bekas Perdana Menteri, Yulia Tymoshenko.
Proses pengiraan undi yang berlangsung lebih seminggu turut dicemari pelbagai insiden seperti pergaduhan di pusat-pusat mengundi, penggunaan gas pemedih mata di sebuah kawasan pilihan raya dan tindakan polis pencegah rusuhan menyerbu pejabat suruhanjaya pilihan raya.
Selepas keputusan pilihan raya diumumkan, sebanyak lima daripada 450 kerusi Parlimen masih kosong ekoran dakwaan penipuan yang mendorong pegawai-pegawai pilihan raya mengadakan proses pengundian baharu di lima buah daerah yang dipertikai.
Semalam, para wakil rakyat daripada parti pimpinan Tymoshenko hadir di Parlimen dengan memakai pakaian berwarna hitam.
Bahagian hadapan baju itu tertera potret Tymoshenko.
Pergaduhan bermula apabila anggota-anggota Parlimen daripada pihak pembangkang menjerit kata-kata membenci rakan-rakan mereka yang membelot dengan menyertai parti pemerintah.
Mereka menyerang dua wakil rakyat yang menang atas tiket pembangkang tetapi dipercayai mahu menyertai parti pimpinan Yanukovych.
Insiden itu menyaksikan wakil rakyat iaitu Oleksandr Tabalov dan anak lelakinya, Andrei Tabalov ditolak keluar dari Dewan Parlimen dan dihalang daripada mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen.
Pihak pembangkang kemudian mendakwa tanpa majlis angkat sumpah tersebut, kedua-dua wakil rakyat itu tidak boleh melaksanakan tugas sebagai anggota Parlimen.
Setakat ini, status mereka masih tidak jelas.
Sidang Parlimen dijadualkan disambung semula lewat semalam bagi memilih seorang Speaker dan mengundi calon pilihan Presiden untuk jawatan Perdana Menteri Ukraine.
Yanukovych mencalonkan Perdana Menteri sedia ada yang juga sekutu rapatnya, Mykola Azarov untuk jawatan tersebut. - Agensi

Ragam berkahwin pada 12.12.12


SERAMAI 12 pasangan berkahwin dalam sebuah majlis perkahwinan besar-besaran di Peak, Hong Kong semalam.


HONG KONG - Ribuan pasangan di Hong Kong, tanah besar China, India dan Asia Tenggara melangsungkan perkahwinan pada tarikh 12.12.12.
Pihak berkuasa di Hong Kong menyatakan seramai 696 pasangan melangsungkan perkahwinan semalam manakala di Singapura melibatkan 540 pasangan.
Sejumlah pasangan di tanah besar China turut berbaris untuk mendaftarkan perkahwinan mereka di pejabat pendaftaran perkahwinan.
Menurut laporan media, lebih 4,700 orang membuat permohonan untuk mendaftarkan perkahwinan di Pejabat Hal Ehwal Awam di Beijing.
Di beberapa buah bandar Indonesia, terdapat ibu-ibu yang sanggup menjalani pembedahan bagi membolehkan anak mereka lahir pada tarikh 12.12.12.
Seramai 12 wanita, sebahagiannya berketurunan Cina menempah untuk dibedah awal di Hospital Bunda, Jakarta untuk melahirkan anak pada tarikh tersebut.
"Mereka (ibu-ibu) menyatakan mereka mahu melahirkan anak pada hari ini (semalam) kerana menganggap tarikh itu unik dan istimewa," kata jurucakap hospital tersebut, Samuel Robert.
Ratusan orang kelihatan berbaris di sebuah pejabat pendaftaran perkahwinan di Hong Kong dengan ramai pasangan sibuk bergambar dengan pakaian pengantin.
"Hari ini (semalam) merupakan amat istimewa dan kami boleh berkahwin sebelum 'hari kiamat' berlaku," gurau seorang pengantin lelaki, Raymond Ip.
Dia merujuk tentang hari kiamat yang diramalkan berlaku pada 21 Disember depan berdasarkan kalendar Maya.
Menurut Ip, tiada tarikh 13.13.13 menyebabkan dia menempah tarikh 12.12.12 untuk melangsungkan perkahwinan.
Menurut pengantin wanita, Terrance Fung, 29, tarikh 12.12.12 mempunyai keistimewaan kerana ia tarikh akhir untuk abad ke-21 yang mempunyai nombor yang sama.
Di Yogyakarta, Indonesia, seramai 12 pekerja berkahwin dengan pasangan masing-masing di sebuah kilang tebu.
Sementara itu, sistem komputer di pejabat daerah Bang Rak, Bangkok tidak dapat memproses permohonan perkahwinan yang terlalu banyak pada tarikh 12.12.12.
Menurut akhbar Bangkok Post, pengarah daerah itu, Ziachana Soodcharoen berkata, ramai pasangan yang menunggu sejak awal pagi di pejabat tersebut.
Pada pukul 11.30 pagi waktu tempatan, pihak pejabat tersebut mengumumkan bahawa sistem komputer mengalami masalah kepada kumpulan bakal pengantin yang mahu mendaftarkan perkahiwnan.
Justeru, ramai pengantin terpaksa pergi ke daerah berdekatan untuk memperoleh sijil perkahwinan mereka.
Ramai pasangan yang mahu mendaftarkan perkahwinan di daerah Bang Rak itu kerana rak bermaksud cinta dalam bahasa Thailand.
Seorang pakar komputer di sebuah pejabat pentadbiran wilayah, Wichian Chidchanoknart berkata, komputer tersebut lambat memproses permohonan kerana jumlah pasangan yang mahu berkahwin pada tarikh tersebut terlalu ramai.
Di India, pasangan Brandon Pereira dan Emilia D'Silva dianggap paling bertuah kerana bertunang pada 10.10.10 dan mendaftarkan untuk perkahwinan secara sah pada 11.11.11 tetapi mengadakan majlis perkahwinan pada 12.12.12.
Di selatan Filipina, Ronnel Piligrino dan Anna Marie Poblacion meraikan perkahwinan mereka dalam sebuah khemah perlindungan untuk mangsa-mangsa taufan Bopha di bandar Osmena.
Majlis perkahwinan itu diadakan walaupun penduduk masih belum pulih daripada kesan taufan tersebut yang melanda pada 4 Disember lalu.
Taufan itu membunuh 647 orang dan menyebabkan sektor pertanian mengalami kerugian sebanyak AS$210 juta (RM640.84 juta). - Agensi

AS lancar pesawat tanpa juruterbang ke angkasa lepas

ROKET Atlas V yang membawa kapal angkasa lepas X-37B berlepas dari Stesen Tentera Udara di Cape Canaveral, Florida kelmarin.


WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) kelmarin melancarkan kapal angkasa kecil futuristik tanpa juruterbang, X-37B untuk kali ketiga ke angkasa lepas.
Kapal angkasa sepanjang 8.9 meter dan berat 5,000 kilogram itu berlepas dari pusat pelancaran Stesen Tentera Udara AS di Cape Canaveral, Florida.
Ia dibawa oleh sebuah roket Atlas V pada pukul 1.03 tengah hari waktu tempatan.
Kapal angkasa itu kemudian akan berpisah dengan roket tersebut.
Misi kapal angkasa itu tidak didedahkan secara terperinci oleh Tentera Udara AS.
Firma United Launch Alliance yang wujud menerusi kerjasama antara Boeing dan Lockheed Martin menyiarkan imej penerbangan itu secara langsung di laman webnya.
Menurut firma tersebut, penerbangan itu adalah bagi menyokong eksperimen angkasa lepas.
Tentera AS pula memberitahu, program kapal angkasa itu adalah untuk memperkenalkan teknologi penerbangan angkasa lepas tanpa angkasawan.
Ia diperkenalkan ekoran penamatan misi kapal angkasa milik Pentadbiran Aeronautik Dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
Bagaimanapun, ramai pakar angkasa lepas percaya kapal angkasa itu yang berupaya kembali semula ke Bumi merupakan sebahagian daripada program perisikan canggih AS atau berpotensi digunakan untuk mengganggu satelit negara-negara seterunya.
Projek X-37B itu dilancarkan NASA pada 1999.
Ujian pertama pesawat itu diadakan pada tahun 2010 dan mengelilingi Bumi selama tujuh bulan.
Dalam ujian kedua, pesawat tersebut mendarat pada Jun lalu selepas berada selama 469 hari dengan mengelilingi Bumi. - Agensi

Kubur atas bukit di lokasi pembinaan akhirnya akan dipindah


BEBERAPA pekerja berjalan menuju ke sebuah kubur di atas sebuah bukit di lokasi pembinaan bangunan kediaman di Taiyuan semalam.


TAIYUAN, China - Sebuah kubur yang terletak di atas sebuah bukit di tengah-tengah kawasan pembinaan di sini akan dipindahkan.
Kubur yang terletak di atas bukit setinggi 10 meter itu sebelum ini masih belum dipindahkan walaupun kerja-kerja untuk membina sebuah bangunan kediaman sudah berjalan sejak tujuh bulan lalu.
Menurut laporan, beberapa pegawai kampung di sini telah mencapai persetujuan dengan waris si mati untuk memindahkan kubur tersebut.
Persetujuan tersebut dicapai tanpa menaikkan jumlah pampasan yang ditawarkan oleh pihak pemaju.
Media tempatan membuat spekulasi jumlah pampasan itu ialah AS$160,400 (RM489,485).
Kubur itu telah berada di atas bukit tersebut sejak 2004.
Keluarga si mati akan menemui pakar feng shui untuk mencari tarikh yang bertuah untuk memindahkan kubur tersebut menjelang Sabtu ini. - Agensi

No comments:

Post a Comment