Thursday, September 9, 2010

PUAN WOOK

NEGARA


Wook pilih baju merah jambu



WOOK menunjukkan baju raya berwarna merah jambu ketika ditemui di
Kampung Tok Randok, Ajil, Kuala Berang semalam.



HULU TERENGGANU - Usianya sudah mencecah 108 tahun, namun Wook Kundur tetap ingin tampil bergaya bersama suami yang 70 tahun lebih muda daripadanya, Mohd. Nor Musa, 38, sempena Aidilfitri ini.
Wook yang dipercayai wanita tertua di negeri ini juga sudah memilih sepasang baju kurung moden dan sepasang baju Melayu yang kedua-duanya berwarna merah jambu untuk dipakai ketika lebaran.
Menurut Wook, kedua-dua pasang baju itu adalah pemberian sekumpulan individu yang bermurah hati membawanya ke butik pakaian di pekan Kuala Berang dekat sini baru-baru ini.
Kesempatan itu digunakan sebaik mungkin oleh Wook untuk memilih pakaian idamannya.
"Syukur Alhamdulillah, walaupun Nor (Mohd. Nor) banyak buat hal tapi sebab tok kahwin dengan dia, ramai orang datang tolong tok," katanya ketika ditemui di rumah adiknya Minah Kundur, 66, di Kampung Tok Randok, Ajil dekat sini semalam.
Namun jelasnya, ketiadaan suaminya yang menjalani pemulihan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Ajil dekat sini sedikit menyukarkannya untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat tarawih.
"Kalau boleh tok mintak Nor dilepaskan sebelum hari raya nanti kerana tok mahu memohon maaf dan beraya bersamanya," katanya.


NEGARA


Nenek jaga tiga cucu ditinggalkan ibu bapa



FATIMAH terpaksa menjaga tiga orang cucunya (dari kiri) Nurul Farhani, Safarilia Hanani dan Safaralisa Hanani di Kampung Masjid, Beserah, Kuantan semalam.



KUANTAN - "Saya pasrah menjaga tiga orang cucu kami yang ditinggalkan ibu bapa mereka meskipun saya sendiri hidup melarat."
Demikian rintihan pilu seorang nenek, Fatimah Abu Bakar, 53, yang sanggup menjaga tiga cucunya termasuk dua daripada mereka kembar perempuan berusia setahun.
Fatimah memberitahu, cucunya diabaikan kerana ibu bapa mereka menghadapi masalah rumah tangga dan bertindak menghilangkan diri sejak setahun lalu.
"Cucu kembar perempuan saya ini, Safarilia Hanani Mohd. Riduan dan Safaralisa Hanani ditinggalkan di rumah saya sejak masih bayi. Nurul Farhani Abdul Mohd. Shukri, 9, juga mengalami nasib serupa.
"Sebagai nenek, walau sesusah manapun, saya tidak sampai hati untuk lepas tangan atau menyerahkan mereka kepada orang lain untuk dijaga," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Masjid, Beserah di sini semalam.
Paling menyentuh perasaannya ialah salah seorang daripada kembar berkenaan mengalami kecacatan sejak lahir dan memerlukan perbelanjaan besar untuk rawatan.
"Doktor maklumkan bahawa Safaralisa mengalami penyakit otak mengecil sejak lahir yang menyebabkan dia tidak boleh bergerak dan hanya mampu berbaring.
"Tetapi saya dan suami tidak pernah berputus asa untuk merawat dan melihatnya kembali sihat seperti kanak-kanak lain," ujarnya.
Menurutnya, wang pencen suami sebanyak RM720 sebulan dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat digunakan untuk membeli ubat serta membawa kanak-kanak itu menjalani rawatan tradisional.
Fatimah mengakui dia sedih dengan sikap anak lelaki dan menantunya yang tidak mengendahkan kehadiran cahaya mata mereka sendiri.
"Mereka ada masalah tapi yang jadi mangsa adalah cucu-cucu saya yang masih kecil ini padahal menjadi tanggungjawab mereka menjaga kanak-kanak ini," katanya.
Menjelang hari lebaran kali ini, dia mengakui perasaannya pilu kerana tiada persiapan sempurna buat tiga cucu tersebut berikutan kekurangan wang sebagaimana tahun sebelumnya.
"Kami tak mampu untuk menyediakan persiapan raya kerana untuk membeli barang keperluan pun kadang-kala tidak cukup," katanya


Jolie kutuk cadangan bakar al-Quran



ANGELINA JOLIE bercakap pada sidang akhbar di Islamabad, Pakistan semalam.



ISLAMABAD - Pelakon terkenal, Angelina Jolie semalam mengutuk tindakan sebuah gereja di Florida, Amerika Syarikat (AS) yang mengancam untuk membakar sejumlah kitab suci al-Quran pada ulang tahun kesembilan serangan 11 September 2001 yang dilakukan oleh pengganas.
Aktres berusia 35 tahun itu yang kini popular dengan filem Salt menyuarakan pendapatnya itu semasa melakukan lawatan ke Pakistan untuk meningkatkan kesedaran mengenai banjir yang melanda negara tersebut.
Kritikan Jolie mengulangi pendapat pegawai-pegawai AS yang berpendapat bahawa rancangan gereja tersebut merupakan tindakan yang memalukan.
Pegawai-pegawai itu turut memberi amaran bahawa tindakan membakar al-Quran akan membahayakan nyawa askar AS di Afghanistan dan rakyat Amerika di seluruh dunia.
"Saya sukar memikirkan bahawa ada orang yang sanggup membakar kitab suci agama lain," kata Jolie.
Paderi yang mengetuai rancangan untuk membakar kitab tersebut, Pastor Terry Jones, memberitahu, dia akan meneruskan rancangannya itu walaupun mendapat bantahan ramai.
Banjir di Pakistan telan menyebabkan lebih 1,700 orang maut dan menjejaskan kehidupan 18 juta penduduk. - AP



DUNIA


20,000 berhimpun untuk dapatkan RM3.45



PULUHAN ribu berhimpun untuk mendapatkan duit zakat di luar kilang Gudang Garam di Kediri, Indonesia semalam.



KEDIRI - Kira-kira 20,000 penduduk dari pelbagai daerah di Jawa Timur berhimpun untuk mendapatkan duit zakat yang diedarkan oleh pihak pengurusan syarikat rokok Gudang Garam di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Puluhan ribu penduduk itu berhimpun di luar kilang rokok itu sejak awal pagi lagi.
Menurut seorang pegawai bahagian perhubungan masyarakat polis di sini, bilangan penduduk yang datang untuk mendapatkan wang zakat itu lebih ramai daripada tahun lalu.
"Mereka (penduduk yang datang) berasal dari berbagai daerah di Jawa Timur seperti Nganjuk, Jombang, Trenggalek, dan daerah lain," katanya.
Dia menyatakan pihak polis menempatkan kira-kira 700 anggota keselamatan untuk mengawasi ketenteraman.
Kebanyakan penduduk yang mahu mendapatkan duit zakat itu termasuk kanak-kanak dan orang tua.
Mereka berhimpun untuk mendapatkan wang antara 10,000 rupiah (RM3.45) hingga 20,000 rupiah (RM6.90).
Anggota-anggota keselamatan terpaksa membahagikan-bahagikan penduduk itu menjadi sejumlah kumpulan kecil.
Seorang penduduk, Suprih berkata, dia mahu menggunakan wang zakat itu untuk membeli barang keperluan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Dia sanggup membawa seorang anaknya berusia satu setengah tahun ke lokasi pengedaran duit zakat kerana tidak ada orang yang menjaganya jika dia ditinggalkan di rumah. - Agensi



DUNIA


Ibu bapa pelacur minta maaf



JENNIFER THOMPSON



LONDON - Ibu bapa keluarga pelacur Jennifer Thompson telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada isteri Wayne Rooney, Coleen ekoran kelakuan anak perempuan mereka, lapor sebuah akhbar semalam.
Bapa Jennifer, Hamish dan isterinya Dana Thompson menyatakan mereka terkejut untuk mengetahui bahawa anak perempuan mereka yang berumur 21 tahun tidur dengan Rooney yang merupakan bintang skuad England dan Manchaester United (MU).
Dalam satu kenyataan, pasangan itu berkata: "Ekoran beberapa laporan akhbar, kami mahu meminta maaf kepada Coleen dan keluarganya.
"Kami tidak mempunyai idea mengenai sebarang dakwaan yang dibuat itu."
Pasangan itu meminta maaf selepas Rooney bersedia untuk berdepan dengan isterinya buat kali pertama selepas dakwaan bahawa dia menipunya dengan melanggan pelacur.
Sebelum ini media membongkar kisah Rooney yang melanggan Jennifer semasa isterinya sarat mengandung anak pertama mereka.
Coleen bersetuju untuk menemui suaminya itu selepas Rooney kembali semula dari Switzwerland.
Pada perlawanan kelmarin, Rooney menjaringkan gol bagi membantu England menewaskan Switzerland 3-1.
Beberapa rakan memberitahu, pertemuan antara Rooney dengan isterinya itu mungkin bertujuan untuk meneruskan atau menamatkan perkahwinan mereka.
Coleen mahu mengetahui hubungan antara suaminya dengan pelacur tersebut.
Satu sumber berkata: "Coleen bersetuju untuk menemui Rooney. Dia berasa amat kecewa tetapi bersedia mendengar keluhannya. - Agensi


DUNIA


Identiti pelacur kedua bersama Rooney didedah



GAMBAR menunjukkan Helen (kiri) bersama Jennifer Thompson.



LONDON - Coleen yang merupakan isteri bintang bola sepak England, Wayne Rooney kini berdepan dengan satu lagi dakwaan terbaru bahawa terdapat pelacur kedua yang tidur dengan suaminya, lapor sebuah akhbar semalam.
Pelacur kedua itu ialah seorang ibu tunggal, Helen Wood yang berumur 23 tahun.
Dia merupakan gadis teman sosial yang menyertai pelacur Jennifer Thompson untuk melakukan hubungan seks bersama-sama dengan Rooney.
Mereka didakwa melakukan hubungan seks di sebuah hotel lima bintang di Manchester pada tahun lalu.
Helen merupakan wanita yang berfikiran terbuka apabila diminta untuk menemani lelaki. - Agensi










DUNIA


Rakaman penumpang dalam kapal dilanda ombak


SEORANG lelaki (dalam bulatan) terbaring semasa ombak membadai kapal Pacific Sun, baru-baru ini.


WELLINGTON - Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suasana dalam sebuah kapal pesiaran semasa ribut melanda di luar pantai New Zealand, lapor sebuah akhbar semalam.
Semasa ribut itu melanda, sejumlah kakitangan dan tetamu kapal Pacific Sun 'berterbangan' dan mereka cuba untuk memegang sebarang benda yang boleh mengelak diri daripada terjatuh.
Beberapa kakitangan penyambut tetamu memegang meja dan komputer semasa ombak besar membadai kapal tersebut baru-baru ini.
Sebahagian meja dan kerusi bertaburan selepas kapal itu dibadai oleh ombak besar.
Terdapat sejumlah orang yang cedera kerana terkena meja dan kerusi yang menggelongsor.
Ekoran kejadian itu, pihak pengendali kapal tersebut menawarkan diskaun 25 peratus kepada penumpang yang mahu belayar pada masa depan.
Rakaman dalam kapal tersebut semasa ombak itu melanda juga boleh dilihat di laman YouTube. - Agensi



DUNIA


Dapat ikan kap gergasi


RAPHAEL BIAGINI memegang ikan kap koi gergasi berwarna keemasan di sebuah tasik di selatan Perancis baru-baru ini.


PARIS - Seorang pemancing, Raphael Biagini berjaya menangkap seekor ikan kap koi gergasi berwarna keemasan seberat 13.60 kilogram di sebuah tasik di selatan Perancis, lapor sebuah akhbar semalam.
Ikan yang seberat budak perempuan berumur tiga tahun itu dianggap antara yang paling besar pernah ditangkap pemancing.
Biagini bertarung selama sepuluh minit dengan ikan itu sebelum ia dapat ditarik keluar dari tasik berkenaan baru-baru ini.
Detik-detik yang mengembirakan buat pemancing itu berlaku selepas beberapa rakan memberitahunya bahawa mereka telah menghabiskan masa selama enam tahun sebelum ini untuk cuba menangkap ikan tersebut.
"Ikan itu merupakan haiwan yang kuat melawan tetapi ia gagal untuk menang (pertarungan tersebut)," kata Biagini.
Selepas bergambar dengan ikan itu, Biagini melepaskannya semula ke tasik berkenaan. - Agensi

No comments:

Post a Comment