NEGARA
Ariel Peterpan dipenjara, denda
BANDUNG - Vokalis Ariel Peterpan atau nama sebenarnya Nazriel Irham, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun enam bulan dan didenda 250 juta rupiah (RM85,000) atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Daerah Bandung semalam, setelah didapati bersalah membuat dan mengedar video pornografi melibatkan dirinya dengan artis Luna Maya dan Cut Tari.
Keputusan itu dibaca oleh Ketua Majelis Hakim kes itu, Singgih Budi Prakoso pada perbicaraan secara terbuka yang penuh sesak dengan orang ramai serta wartawan. Sebelum ini, perbicaraan diadakan secara tertutup.
Mendengar keputusan itu, beberapa peminat wanita Ariel kelihatan menangis.
Hukuman itu adalah lebih ringan daripada tuntutan pihak pendakwaan pada 6 Januari lepas yang meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun terhadap penyanyi itu.
Lari selepas dibebaskan
ALOR SETAR - Seorang pemandu lori sebuah syarikat kurier bergegas berlari seribu sebaik Mahkamah Tinggi di sini semalam melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar kanabis, setahun lalu.
Tertuduh, Sazali Salleh, 38, yang memakai baju T berwarna kuning dan seluar sukan kelabu menekup muka dengan kedua-dua belah tangan sebaik hakim, Datuk Mohd. Azman Husin membacakan keputusan tersebut.
Dia yang berasal dari Sungai Petani sebelum itu bersalaman dengan anggota polis yang mengiringinya dan bergegas keluar dari bilik mahkamah tanpa sempat berjumpa dengan ahli keluarganya yang berada di galeri awam.
Sazali kemudian dilihat berlari ke arah kawasan rumah kedai dan sawah yang terletak kira-kira 100 meter dari kompleks mahkamah sebelum hilang daripada pandangan.
Tindakan itu sekali gus mengejutkan ramai yang berada di pekarangan mahkamah untuk mengikuti keputusan kes tersebut.
Sepanjang prosiding berlangsung sejak 23 Januari lalu, seramai lima orang saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut.
Mohd. Azman dalam keputusannya menyatakan bahawa pertuduhan pendakwaan tidak lengkap dan terdapat kesilapan teknikal disebabkan kecuaian polis selain keterangan mereka selaku saksi pendakwaan juga menimbulkan keraguan.
Beliau juga hairan dengan kegagalan 15 anggota polis berpakaian preman untuk memberkas rakan Sazali yang dikenali sebagai Din selain tidak memperoleh butir- butir peribadi lelaki itu.
"Disebabkan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil bela diri, namun tertakluk kepada rayuan (pihak pendakwaan)," katanya.
Mengikut kertas pertuduhan, Sazali bersama seorang lagi yang masih bebas dididakwa mengedar dadah kanabis seberat 903.5 gram pada pukul 11.30 pagi, 15 Februari 2009 di hadapan rumah Lot 92, Lorong 13, Taman Bakar Arang, Sungai Petani.
Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Sazali diberkas bersama kanabis oleh sepasukan 15 anggota polis yang menahan lori dinaikinya bersama seorang rakan tetapi lelaki itu dapat melarikan diri ketika kejadian.
Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Ibrahim berkata, beliau akan membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan dalam tempoh 14 hari.
Sazali diwakili oleh peguam, Rahmatulah Baharudeen.
NEGARA
Jurutera perunding didakwa
KUALA TERENGGANU – Seorang jurutera perunding dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menipu sebagai pemeriksa yang diiktiraf untuk melakukan kerja pemeriksaan terhadap reka bentuk bumbung Stadium Sultan Mizan, Gong Badak.
Wan Manan Wan Ali, 51, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kesnya disebut di hadapan Hakim M. Bakri Abd. Majid.
Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syafinas Shabudin manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Zainuddin Wan Musa.
Mengikut kertas pertuduhan, Wan Manan di antara 15 Januari hingga 29 Mac 2009 dengan curangnya menipu dan berpura-pura sebagai checker yang diiktiraf mengeluarkan dokumen bertarikh 15 Januari 2009.
Dokumen tersebut iaitu The main roof truss system and its associated work ialah sebagai cadangan untuk membina dan menyiapkan bumbung stadium utama di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.
Ia diserahkan kepada Rosli Zainal, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) ketika itu di mana tertuduh memberi pandangan dan menandatangani dokumen itu untuk memperdaya Rosli dan Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Mokhtar Nong supaya mempercayai bahawa dia adalah checker yang diiktiraf.
NEGARA
Pengarah syarikat ditipu RM1.6j
KUANTAN – Seorang pengarah syarikat kerugian RM1.661 juta selepas terpedaya dengan penipuan seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) yang menawarkan bantuan bagi mendapatkan empat lokasi tanah di negeri ini.Modus operandi suspek ialah memperkenalkan diri kepada mangsa lelaki berusia 67 tahun itu dengan menggunakan identiti sebenar Ketua Penolong Setiausaha (Pelaburan) UPEN Pahang, Jumshoiry Novdany Sulaiman.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supritendan Zaini Jass berkata, suspek berjanji akan membantu mangsa mendapatkan empat lokasi tanah apabila dia menyerahkan kepadanya sejumlah wang sebagai pendahuluan.
“Suspek berjanji untuk membantu mangsa mendapatkan tanah seluas 20 hektar di Gebeng, Kuantan, 2,600 hektar di Rompin, 257.2 hektar di Raub dan 424.8 hektar lagi di Lipis,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini semalam.
Percaya dengan kata-kata suspek, kata Zaini, mangsa yang ingin membangunkan tanah itu bagi tujuan pertanian dan perlombongan telah menyerahkan wang berjumlah RM1.661 juta kepada suspek.
“Mangsa membayar RM450,500 dalam bentuk empat bank draf atas nama Tabung Amanah Perbadanan Setiausaha Negeri Pahang manakala RM1.21 juta lagi dibayar sebanyak tujuh kali oleh mangsa dalam bentuk wang tunai dengan berjumpa suspek atau wakilnya,” katanya.
Beliau berkata, kali terakhir mangsa bertemu suspek untuk urusan itu ialah pada Jumaat lalu di tempat letak kereta Wisma Seri Pahang di sini.
“Pada pertemuan itu, suspek meminta lagi RM500,000. Bagaimanapun mangsa yang berasa curiga telah ke pejabat UPEN dan bertanya mengenai suspek sebelum mendapati dia tertipu apabila berjumpa dengan Ketua Penolong Setiausaha UPEN sebenar,” katanya.
Zaini berkata, susulan itu, mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada hari sama dan polis kini mencari tiga lelaki iaitu Mohd. Nazrul Izad Mohd. Arshad, 32, Syed Saharuddin Syed Abd. Hamid, 42 dan Syed Mohammad Faiz Syed Azemant, 24, bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu juga diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Razif di IPD Kuantan menerusi talian 09-513 2222 sambungan 225.
500 pelajar mula dipindah
KUALA LUMPUR - Seramai 500 pelajar Malaysia berpindah secara berperingkat-peringkat dari kediaman masing-masing ke Rumah Melayu Abasiah Mesir (ARMA) di Abasiah, Kaherah mulai semalam.Presiden Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia-Mesir (Perubatan), Muhammad Husaini Saleh berkata, arahan perpindahan itu dikeluarkan oleh Kedutaan Malaysia di Mesir bagi mengelak mereka menjadi mangsa keganasan rakyat negara itu yang mengadakan demonstrasi menuntut Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan.
"Kami masih tidak mengetahui jumlah pelajar yang dapat dipindahkan ke ARMA sejak 25 Januari lepas kerana kerajaan Mesir telah menguatkuasakan perintah berkurung bermula pada hari berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
NEGARA
Harga petrol RON97 naik 10 sen seliter
KUALA LUMPUR - Harga petrol RON97 naik 10 sen menjadi RM2.50 seliter mulai tengah malam tadi, kata Timbalan Presiden Persatuan Penjual Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Zulkifli Mokti.Beliau berkata, kenaikan itu berlaku akibat peningkatan harga minyak mentah kepada AS$105 setong minggu ini berbanding AS$100 sebelum ini.
"Penggunaan minyak mentah meningkat mendadak di Amerika Syarikat dan Eropah akibat cuaca sejuk melampau di sana sekali gus menimbulkan kebimbangan kekurangan minyak mentah," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.
Zulkifli berkata, harga minyak mentah dunia akan kembali turun sebaik musim panas tiba pada Jun ini dan harga petrol akan kembali stabil pada waktu itu.
Pada 4 Januari lepas, harga RON97, yang diapungkan mengikut pasaran minyak dunia semasa, naik 10 sen menjadikannya RM2.40 seliter. - Bernama
NEGARA
Tujuh lelaki Somalia direman
PELABUHAN KLANG – Polis semalam mendapat perintah untuk menahan reman selama tujuh hari terhadap tujuh lelaki dipercayai lanun warga Somalia bagi membantu siasatan berhubung kes mereka merampas kapal dagang MT Bunga Laurel di Teluk Arden dekat Oman pada 21 Januari lalu.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli di Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada pukul 4 petang.
Kesemua suspek berusia di antara 15 dan 35 tahun itu direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. Mereka kemudian dipercayai dibawa ke Bukit Aman pada pukul 4.15 petang.
NEGARA
HRPZ II cipta sejarah bedah jantung
KOTA BHARU – Hanya menerusi bahasa isyarat, seorang wanita pekak dan bisu, Yus Izura Yusoff, 39, yang selamat menjalani pembedahan jantung di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada 24 Januari lalu melahirkan rasa gembiranya apabila disahkan sihat semalam.
Yus Izura merupakan individu pertama menjalani pembedahan jantung di HRPZ II dan semalam, dia dibenarkan bertemu media di wad HRPZ II setelah disahkan sihat.
“Dia kata dia berasa selesa sekarang. Dia sudah boleh bangun, berjalan dan makan,” kata adiknya, Madihah, 27, yang menjadi perantara antara pihak media dan Yus Izura ketika ditemubual semalam
No comments:
Post a Comment