Thursday, February 3, 2011

BILA MAKSIAT MUDAH DAN DIGEMARI...DIGILAI....SEDANGKAN AGAMA DIABAIKAN...MAJLIS PENGAJIAN DISURAU@DIMASJID DIABAIKAN...UNDANG ALLAH DINAFI PULA.....BERERTI KITA MACAM MENGUNDANG BALA DARI ALLAH SWT...

Penyanyi 90-an ditangkap lagi

Oleh Ahmad Saufi Mansor
opie@hmetro.com.my

TAHAN REMAN...penyanyi (kanan) dan pasangannya (bertudung) dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
TAHAN REMAN...penyanyi (kanan) dan pasangannya (bertudung) dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
MELAKA: Seorang penyanyi kumpulan popular sekitar 90-an sekali lagi ditahan polis kerana disyaki memiliki sejumlah dadah dalam serbuan ke bilik penginapannya di sebuah hotel bajet di Taman Melaka Raya, Bandar Hilir, dekat sini, kelmarin.
Dalam serbuan Ops Tapis kira-kira jam 5.20 petang itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri turut menahan seorang wanita berusia 40 tahun dipercayai isteri kepada penyanyi berkenaan.

Sumber berkata, polis yang menerima maklumat berhubung kegiatan penyanyi berusia 40-an itu melakukan intipan sebelum menyerbu bilik hotel berkenaan untuk membuat pemeriksaan.
Menurutnya, anggota polis mengetuk pintu bilik yang dihuni pasangan terbabit sebelum seorang wanita membukanya dan polis masuk membuat pemeriksaan.

“Sebaik anggota polis memasuki bilik, penyanyi terbabit duduk di atas kerusi dan pemeriksaan pada tubuhnya, tidak menemui sebarang bahan terlarang.

“Pemeriksaan lanjut menemui satu ketulan daun kering dipercayai ganja, empat peket lutsinar mengandungi syabu dan empat peket lutsinar berisi ganja dalam beg di dalam bilik mereka.

“Malah, saringan awal ujian air kencing mendapati penyanyi itu positif dadah jenis methapetamin manakala isterinya negatif ujian itu. Bagaimanapun, kedua-dua mereka dibawa ke Balai Polis Melaka Tengah untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dipercayai anak kepada pasangan terbabit yang turut berada dalam bilik berkenaan diserahkan kepada waris keluarganya.
Katanya, setakat ini polis sudah mendapat kebenaran daripada Mahkamah Majistret Ayer Keroh menahan reman pasangan terbabit selama tujuh hari sehingga Selasa depan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Jaafar Mat ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas penyanyi lelaki terbabit.

Menurutnya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Pada masa ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut ke atas pasangan berkenaan berhubung kesalahan memiliki dadah, selain kesalahan memasukkan dadah dalam badan,” katanya.

Sementara itu, penyanyi berkenaan hanya selamba apabila jurugambar merakamkan wajahnya yang berjalan keluar menuju ke trak polis selepas permohonan reman diperoleh daripada mahkamah, malah sempat meminta beberapa batang rokok daripada beberapa lelaki dipercayai saudara maranya.

Pada September tahun lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur memerintahkan penyanyi itu membela diri terhadap tuduhan memasukkan ganja ke tubuhnya pada 2 April 2010.

Selain kes dadah, dia berdepan satu lagi kes mahkamah apabila bekas isterinya memfailkan tuntutan nafkah anak mereka yang dikatakan tidak dijelaskannya.



Anak Sosilawati dalam dilema



SHAH ALAM: Anak Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya berkemungkinan besar akan meneruskan kes tuntutan harta bernilai RM1.38 juta yang difailkan ibu mereka terhadap bekas suami, Nash atau Jamaludin Elias, 52.
Bagaimanapun, peguam ahli perniagaan itu, Datuk Zaidi Zain ketika ditemui di luar mahkamah, berkata pihaknya masih menunggu kata putus daripada anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yulian atau Rita, 26.

Beliau berkata, melalui satu pertemuan pada 9 Januari lalu, Rita memberitahunya akan mengadakan perbincangan rasmi dengan adik-beradik lain berhubung hal itu.
“Berkemungkinan besar kita akan teruskan. Tapi, belum dimuktamadkan,” katanya selepas prosiding kes tuntutan harta Sosilawati terhadap Nash di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.

Pada 26 Ogos tahun lalu atau lima hari sebelum Sosilawati dilaporkan hilang, mahkamah menetapkan semalam, bagi menyambung perbicaraan kes tuntutan itu.

Zaidi yang pernah mengendalikan kes perceraian Sosilawati dan Nash berkata, Rita kini dalam dilema untuk meneruskan kes itu disebabkan hubungan baik ahli keluarganya dengan Nash.

Namun, katanya, pada masa sama ketika hayatnya bersungguh-sungguh untuk membawa perkara itu ke muka pengadilan.

“Ini menyebabkan Rita tidak boleh sewenang-wenangnya untuk melepaskan perkara ini begitu saja. Ini bukan soal wang,” katanya.
Terdahulu, pada prosiding semalam, Zaidi memberitahu mahkamah, permohonan untuk meneruskan kes itu menerusi waris jutawan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 22, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) No 4, 2003.

Namun, katanya, pihaknya memohon supaya kes itu ditangguhkan dua bulan sementara menunggu pihak berkuasa mengumumkan laporan DNA mangsa pembunuhan itu.

Peguam Amli Embong yang mewakili Nash pula berkata, ada beberapa pindaan termasuk memasukkan dokumen penting salinan surat mati perlu dibuat jika permohonan itu mahu diteruskan.



13 GRO ‘bar korek’ diberkas

Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

TAHAN...GRO asing dan dua lelaki penjaga premis terbabit yang ditahan.
TAHAN...GRO asing dan dua lelaki penjaga premis terbabit yang ditahan. 
 
KELANA JAYA: Kegiatan ‘bar korek’ atau ‘ringan-ringan’ di sebuah pusat hiburan karaoke dan kafe di Taman Bukit Mayang Emas, dekat sini, semakin berani dengan terus menjalankan perniagaan haram itu walaupun diserbu polis beberapa kali.
Bagi tahun ini saja, premis yang tidak mempunyai lesen itu sudah dua kali diserbu dan ini tidak termasuk serbuan pada tahun sebelumnya.

Pelayan pelanggan (GRO) pusat hiburan terbabit pula semuanya terdiri daripada wanita warga asing berusia 20 hingga 32 tahun dan mereka turut dikesan menawarkan perkhidmatan seks dengan bayaran RM100 untuk sekali perkhidmatan.
Dalam serbuan terbaru dilakukan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Petaling Jaya, kira-kira jam 7 malam kelmarin, 13 wanita warga asing yang asyik melayan pelanggan diberkas termasuk seorang yang melakukan hubungan seks dalam bilik khas.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed, berkata pihaknya sudah berulang kali membuat serbuan di premis itu, namun ia terus beroperasi tanpa takut dikenakan tindakan undang-undang.

Menurutnya, serbuan kali ini berjaya menahan enam wanita warga Indonesia, lima warga Vietnam dan masing-masing seorang warga China dan Kemboja. Daripada jumlah itu, 10 daripadanya tidak mempunyai dokumen perjalanan, manakala tiga lagi didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial.

“Dua lelaki penjaga premis warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan, selain seorang pelanggan warga Bangladesh dibawa ke balai kerana tidak mempunyai pasport,” katanya.


Perbuatan zaman jahiliah



KUALA LUMPUR: “Perbuatan itu bukan saja bercanggah dengan ajaran Islam, al-Quran dan ittifaq ulama atau kesepakatan ulama, tetapi bercanggah dengan tabiat semula jadi manusia yang disifatkan sebagai amalan ketika zaman jahiliah,” kata Penasihat Majlis Agama Islam Johor (Maij), Datuk Noh Gadut.
Beliau mengulas laporan akhbar ini semalam mengenai pengarah sebuah syarikat yang mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada tiga anak selepas menjalinkan hubungan bersama seorang pengkid.

Selain melakukan hubungan terlarang, wanita yang dikenali sebagai Julia, 30-an, turut menghabiskan wang ringgit dan harta benda lebih RM500,000 kepada pengkid itu. Noh berkata perbuatan itu dosa besar dan wanita itu perlu segera bertaubat dengan melakukan taubat nasuha mengikut syarat ditetapkan Islam seperti berhenti melakukan perbuatan itu serta-merta dan menyesali dengan tidak mengulangi perbuatannya.
“Selain memohon keampunan Allah SWT dan melakukan perbuatan yang baik, individu itu perlu memohon maaf kepada bekas suami, anak-anaknya dan kedua ibu bapanya serta ahli keluarganya di atas perbuatannya.

“Sebagai isteri, wanita itu wajib mentaati suaminya selagi mana arahan atau kehendak suaminya tidak bercanggah hukum agama, manakala sebagai ibu pula, dia perlu meminta maaf ke atas tiga anak-anaknya kerana tidak menjalankan tugas sebagai ibu selain mencemarkan nama baik suami dan anak-anaknya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, Pakar Psikologi Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Sulaiman Selamat, berkata hubungan songsang yang terjalin antara Julia dan pasangannya, Az, berkemungkinan berpunca daripada keinginannya yang tidak dapat dipenuhi suaminya.

Katanya, Az orang yang bijak dan mempunyai kemahiran psikologi sehingga berupaya mengawal Julia dan memusnahkan rumah tangga yang dibina selama tujuh tahun.


Lelaki abai keluarga turut wariskan hutang



KUALA LUMPUR: “Dia bukan hanya meninggalkan saya dan lima anak kami tanpa sebarang nafkah, tetapi turut meninggalkan beban hutang menyebabkan kami sekeluarga hidup serba kekurangan dan sering dikejar bank,” kata kakitangan swasta, Zura, 41, yang dihimpit kesusahan akibat sikap suaminya yang meminjam daripada along.
Lebih menyakitkan hatinya apabila suami dikahwini pada 1993 dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain dan mempunyai seorang anak hasil hubungannya bersama wanita terbabit. Zura berkata, suaminya berubah sikap apabila bekerja sebagai pemandu teksi pada 2005 dan hubungan mereka sebagai suami isteri makin teruk ketika mengandungkan anak bongsu yang kini berusia empat tahun. “Saya hanya mengetahui hubungan mereka apabila suami meninggalkan telefon bimbitnya di rumah. Ketika itu, pihak hospital menghubungi untuk memaklumkan wanita itu selamat melahirkan anaknya. “Ketika itu, perasaan saya bercampur baur antara percaya dan sebaliknya sebelum saya sendiri ke hospital untuk memastikan kesahihan berita itu dan ternyata suami menduakan saya,” katanya. Bukan itu saja, sebaik saja melawat wanita itu kira-kira empat tahun lalu, Zura mendakwa dia turut diugut ahli keluarga wanita terbabit walaupun sekadar melawat wanita untuk memastikan kebenaran hubungan mereka.


SMS pilu

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

IPOH: “SMS (khidmat pesanan ringkas) terakhir yang saya terima pagi tadi (semalam) memaklumkan dia kini terpaksa berkurung dalam rumah sewanya bersama beberapa rakan lain selain hanya mengalas perut dengan roti cecah kuah setiap hari sejak seminggu lalu,” kata Eashah Alias, 63, ibu kepada Meor Abdul Rahman Meor Sidek, 27, antara penuntut Malaysia yang menuntut di Kaherah, Mesir.
Meor Abdul Rahman yang kini mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam jurusan Tahfiz al-Quran di Ma’ahad Qiraat Al-Azhar, Shoubra, Kaherah adalah antara penuntut Malaysia yang terperangkap dan hidup dalam ketakutan selepas negara berkenaan berdepan krisis politik minggu lalu.

Eashah yang juga ibu tunggal tujuh anak itu kini hanya mampu menitiskan air mata setiap hari apabila terkenangkan nasib anaknya itu.
Wanita itu yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran berkata, dia hanya dapat mengetahui nasib anaknya itu menerusi beberapa SMS yang dihantar sejak minggu lalu memaklumkan beberapa masalah dihadapi termasuk terputus bekalan makanan, kebimbangan kejadian pecah rumah dan keganasan.

Menurutnya, anaknya turut memaklumkan, rusuhan hampir setiap malam menyebabkan anaknya bersama rakan lain tidak berani keluar.

Katanya, pagi semalam, anak ketiganya, Marina Meor Sidek, 36, yang menetap di Jepun menghubungi Meor Abdul Rahman kira-kira jam 5 pagi semalam.

“Menerusi panggilan itu, anak saya masih berkurung dalam rumah sewanya bersama puluhan penuntut senegara dan memaklumkan, pegawai kedutaan Malaysia di Mesir sudah menghubunginya dan mereka kini menunggu arahan seterusnya bagi kerja membawa mereka pulang.

“Sebelum ini, saya bimbang anak saya tidak mendapat perhatian daripada kedutaan kerana anak saya tidak bernaung di bawah mana-mana tajaan ketika menyambung pelajaran di negara itu,” katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Mas, Chepor, dekat sini, semalam.
Eashah berkata, pada mulanya dia bimbang anaknya tidak disenaraikan dalam senarai keseluruhan 11,000 penuntut yang menuntut di Mesir.

“Saya juga bersyukur kerana kerajaan mengambil langkah tepat untuk menyelamat serta membawa pulang kira-kira 11,000 penuntut yang berada di negara berkenaan,” katanya.

Menurut Eashah, anaknya itu baru saja berangkat ke Mesir pada 12 Januari lalu selepas pulang untuk cuti semester selama empat bulan.

Katanya, dia berharap anaknya dapat pulang dengan selamat biarpun sebelum ini dia keberatan membenarkannya kerana anaknya itu berada pada tahun ketiga pengajian.


‘Macam kapal karam’

Oleh Norfaisal Jahuri
am@hmetro.com.my

JASIN: Bagaikan kapal karam. Itu gambaran diberikan penduduk di Kampung Bukit Asahan, dekat sini, mengenai keadaan rumah mereka yang dilanda banjir selama dua hari sejak petang Ahad lalu.
Mereka terkejut apabila mendapati semua barang bersepah di samping terdapat peralatan rosak akibat ditenggelami air lebih dari 48 jam.

Difahamkan, seorang warga emas di kampung itu yang terkejut melihat keadaan halaman rumahnya yang terjejas teruk terpaksa mendapat rawatan di hospital berikutan tidak percaya melihat kesan banjir.
Penduduk menyifatkan keadaan banjir kali ini lebih dahsyat berbanding bencana sama pada 2006 kerana air naik sehingga dua meter. Seorang penduduk di Jalan Kebun Sayur 2, Siti Marsitah Wagimin, 52, berkata sebaik tiba di rumah kira-kira jam 8 pagi kelmarin, dia terkejut mendapati bahagian dalam rumahnya tunggang-langgang.

Ibu kepada tujuh anak itu berkata, keadaan peti ais, perabot kayu dan keperluan dapur tidak boleh lagi digunakan kerana rosak akibat ditenggelami air dalam tempoh lama dan semua terpaksa dibuang.

Malah, katanya, sepasang pakaian sekolah anaknya, Mohamad Harzizi Mohd Tulus, 16, yang tidak sempat diselamatkan turut dihanyutkan air dan beg sekolah serta bukunya basah.

“Banjir kali ini memang teruk. Dulu air hanya naik setakat satu meter, tetapi kali ini ia hampir dua meter,” katanya, di sini, semalam.

Siti Marsitah berkata, untuk membersihkan rumahnya mungkin mengambil masa lebih seminggu kerana ada barang seperti perabot kayu reput dan kebanyakan pakaian pula ditenggelami air.
Katanya, terdapat lumpur tersekat dalam rumah yang perlu dibersihkan dan banyak sampah di halaman rumah.

“Apa yang penting kami semua selamat dalam kejadian itu walaupun terpaksa menanggung kerugian harta benda,” katanya.

Sementara itu, seorang warga emas, Saeyah Bolot, 59, berkata dia terpaksa membuang beberapa perabot rumahnya seperti katil dan meja makan.

Katanya, dia tidak menyangka laluan air ketika banjir tempoh hari sangat kuat hingga mampu menggerakkan perabot berat di dalam rumahnya.

“Rumah kami terletak hanya 100 meter dari Sungai Asahan dan keadaan ini menyebabkan air naik begitu cepat.

“Ketika kami diselamatkan, bomba terpaksa menggunakan bot bagi mengeluarkan saya dan jiran lain ke tempat tinggi sebelum dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Asahan (pusat pemindahan),” katanya yang tinggal bersama suami, Mohd Abd Rahman, 67, dan ibunya berusia 85 tahun.

Seorang lagi penduduk, Fajar Aini Martala, 23, berkata banjir kali ini memenatkan kerana rumahnya bukan saja ditenggelami air, malah berlumpur.

Ini kerana, katanya, sebelum kejadian berlaku ibunya, Zainab Bolot, 53, baru membuat pengubahsuaian dengan meninggikan lantai rumahnya bagi mengelakkan banjir berlaku.

“Bagaimanapun, hanya tanah saja sempat ditambak di dalam rumah dan ini menyebabkan air yang memenuhi bahagian dalam rumah turut membasahkan tanah itu sehingga menjadi lumpur,” katanya.

No comments:

Post a Comment