Monday, March 28, 2011

BILA JAHIL AGAMA ..TAK TAHU HUKUM...MEREKA TAK TAHU...DAGING YANG TUMBUH DARI UNSUR HARAM....MAKA NERAKALAH TEMPATNYA....

Kebas wang atuk RM65,000

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Dia dijadikan cucu angkat dan ditatang bagai minyak yang penuh, namun segala jasa datuknya dibalas dengan pengkhianatan apabila melesapkan wang pencen milik warga emas itu berjumlah RM65,000.
Lebih memilukan Yasin Sagi, 80, dari Kampung Majidee Baru, di sini, cucu angkatnya yang dipanggil nama Gemuk, 30-an menipunya dengan mendapatkan cap jarinya ketika menemaninya melakukan urusan di bank.

Yasin yang mengalami masalah pendengaran berkata, Gemuk tinggal di Stulang, tidak jauh dari rumahnya dan sering mengunjunginya, selain ringan tulang.
“Dia menggelar saya ‘Atuk’ dan kerana itu saya menjadikannya cucu angkat. Keluarga saya juga menyenangi sikapnya yang tidak berkira selain gemar membantu.

“Rupa-rupanya itu semua helahnya untuk mencuri duit saya. Kini semua wang hasil titik peluh sepanjang 30 tahun bertugas di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) lesap,” katanya.

Yasin berkata, dia menyedari Gemuk mencuri duitnya selepas menerima rekod pengeluaran wang di bank antara 23 Disember tahun lalu hingga 4 Januari lalu.

Menurutnya, sebelum kejadian itu, Gemuk menemaninya ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta sebuah bank di Larkin Perdana untuk membuka buku akaun simpanan bank.

“Pada 23 Disember, Gemuk membawa saya ke cawangan bank di Jalan Wong Ah Fook mengeluarkan RM2,000 bagi membeli baja. Gemuk kemudian membuat permohonan mendapatkan kad ATM (mesin juruwang automatik) atas nama saya tanpa pengetahuan saya.
“Saya yang kurang tahu prosedur bank hanya mengikut permintaannya apabila dia meminta cap jari pada satu borang,” katanya.

Menurutnya, dengan kad ATM itu Gemuk membuat beberapa pengeluaran antara 23 Disember tahun lalu dan 4 Januari lalu, sehingga semua wang pencennya RM65,000 di dalam akaun habis.

Yasin berkata, dia hanya menyedari wang pencennya licin selepas dimaklumkan menantu, Ungku Chik, 40-an, selepas menerima makluman dari bank mengenai rekod pengeluaran wang menggunakan kad ATM dengan jumlah maksimum RM5,000 setiap hari secara berterusan selama dua minggu.

“Sejak itu, Gemuk menghilangkan diri. Saya tidak sangka dia menipu dan mencuri duit saya,” katanya. Yasin turut kecewa dengan pengurusan bank berkenaan yang memberi kebenaran kepada individu lain bagi membuat urusan permohonan kad ATM.

Yasin membuat laporan di Balai Polis Majidee pada 4 Januari lalu dan jurucakap balai polis berkenaan mengesahkan menerima laporan itu.

“Kami masih menjalankan siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Gemuk menghubungi talian 07-2212999 atau 07-2254422,” kata jurucakap itu.



Pelakon penipu

Oleh Asmah Rusman dan Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my

TERPEDAYA...tiga mangsa skim MLM yang ditipu K membuat aduan kepada Nadzim (kanan).
TERPEDAYA...tiga mangsa skim MLM yang ditipu K membuat aduan kepada Nadzim (kanan).
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mualaf yang pernah berlakon dalam beberapa drama Cina terbitan produksi tempatan, rupa-rupanya turut bijak ‘berlakon’ apabila memperdaya ribuan mangsa menyertai skim perniagaan jualan langsung (MLM) dianjurkannya, menyebabkan mangsa kerugian hampir RM50 juta.
Dia yang dikenali dengan nama K dan berusia awal 40-an, bijak memperdayakan mangsa melabur skim MLM didalanginya apabila menjual nama kerabat diraja sebuah negeri di Pantai Timur dengan mendakwa dia anak angkat keluarga diraja.

Selain itu, K bijak memanipulasi statusnya sebagai saudara baru menyebabkan skim pelaburan dianjurkannya mudah mendapat ahli dengan jumlah keahlian mencecah 30,000 orang termasuk dari Indonesia dan Thailand.
Kebanyakan mangsa adalah kakitangan kerajaan dan warga emas yang terpengaruh apabila K mendakwa mampu memberi pulangan keuntungan sehingga 60 peratus daripada modal permulaan RM3,700 satu lot.

Penipuan K didedahkan tiga mangsanya, Mohd Fahmi Anuar, 32, Adam Lim, 31, dan Adlan Shah Haris, 35, yang membuat aduan kepada Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Mereka yang mengetuai ahli kumpulan pelaburan terbesar di Johor dan sekitar Lembah Klang berkata, K juga meyakinkan pelabur dengan memaklumkan syarikatnya mempunyai lombong berlian di Kanada dan kilang pemprosesannya di China.

Menurut Mohd Fahmi, pada mulanya dia musykil, tetapi selepas diberi penerangan kononnya pelaburan itu mempunyai lesen sah selain melihat K menggunakan kereta mewah bernombor VIP yang didaftarkan dengan alamat istana, dia tidak teragak-agak mencuba nasib.

“Saya mengajak rakan lain melabur dan gembira apabila menerima pulangan pertama seperti yang dijanjikan selepas sebulan melabur.
“Namun, sejak Oktober tahun lalu sehingga sekarang saya tidak menerima sebarang bayaran dan setiap kali menelefon K tidak pernah berjawab,” katanya yang mendakwa mengalami kerugian RM250,000 melalui dua pakej yang disertai.

Mohd Fahmi berkata, dia bersama rakan lain pergi ke rumah K tetapi mendapati rumah lelaki itu dikawal ketat dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV) selain dipasang pagar berduri.

“Saya yakin lelaki itu masih tinggal di rumah berkenaan berdasarkan kereta dan keadaan rumah yang kemas tetapi dia sengaja berbuat demikian kerana enggan bersemuka dengan kami yang ‘mengejarnya’ sejak lapan bulan lalu,” katanya.

Katanya, ramai pelabur mengalami kerugian dan ada antara mereka sanggup menjual kebun, membuat pinjaman bank, menjual barang kemas dan juga meminjam daripada along.

Adlan Shah pula berkata, banyak janji K tidak ditepati malah pelbagai alasan direka bagi melepaskan diri.

“Awalnya kami dimaklumkan proses pembayaran mempunyai sedikit masalah selepas berlaku pertukaran dalam sistem elektronik bagi penambahbaikan dan dia meminta kami menunggu hingga hujung bulan.

“Dia berjanji membayar tunggakan keuntungan kepada ahli melalui pembayaran cek sebaik saja masalah membabitkan sistem itu selesai tapi sehingga sekarang kami tak mendapat apa-apa,” katanya yang mendakwa kerugian hingga RM4 juta, hasil pelaburan bersama beberapa orang bawahannya.

Menurutnya, K juga bijak memerangkap ketua kumpulan sepertinya untuk melepaskan diri daripada dimarahi ahli.

“Selepas cek keuntungan diserahkan kepada ketua kumpulan K akan memaklumkan kepada semua ahli kononnya bayaran dibuat. “Namun, belum sempat kami menunaikan cek dia membekukan akuan bank menyebabkan cek tidak boleh ditunaikan, tapi ahli memarahi kami kerana menyangka dia benar-benar memberikan duit,” katanya.

Adlan Shah juga mendakwa, K memeluk agama Islam hanya sebagai usaha untuk meyakinkan mangsanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan mengesahkan laporan itu.


Makanan Haram


Abu Nuim, Baihaqi

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Setiap jasad yang membesar daripada benda-benda yang haram maka api nerakalah yang layak baginya”. (Riwayat al-Baihaqi dan Abu Nuim)

Harta-harta yang berkat itu adalah harta yang halal dan baik, kerana sesuatu yang diambil dari yang tidak halal dan tidak baik tidak mungkin mampu mendorong seseorang kepada melakukan kebaikan sama ada kepada diri sendiri mahupun orang lain. Setiap daging yang tumbuh atau dihasilkan dari sesuatu yang haram maka nerakalah tempatnya. Pengertian halal yang harus difahami daripada hadis di atas adalah mencakupi aspek-aspek berikut : Halal wujudnya, iaitu apa saja yang tidak dilarang oleh agama Islam, seperti makanan dan minuman yang tidak diharamkan oleh syariat Islam.Halal cara mengambil atau memperolehinya, iaitu cara mengambil atau cara memperoleh yang tidak dilarang oleh syariat Islam seperti harta yang diperoleh dari pekerjaan yang halal menurut pandangan syariat Islam.Halal kerana tidak bercampur dengan hak milik orang lain, kerana sudah dikeluarkan zakatnya. Jika sebaliknya (haram) jika ia berupa bahan makanan dan dimakan oleh seseorang maka pengaruhnya sangat buruk terhadap perkembangan rohani dan jasmani seseorang.


Kawan karib kebas RM20,000

KESAL...Megat Khairul menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
KESAL...Megat Khairul menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
SHAH ALAM: Impian seorang peniaga kedai telefon untuk memiliki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Caldina musnah apabila jurujual kereta yang juga rakan baiknya melarikan wang pendahuluan RM20,000.
Difahamkan, suspek turut menipu rakan lain hingga mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit sebelum melarikan diri bersama wang mangsa.

Mangsa, Megat Khairul Afiq Ramli, 22, berkata dia tertarik pakej yang ditawarkan rakannya itu pada April tahun lalu kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding kedai lain selain memberi tempoh singkat untuk mendapat kereta.
Katanya, harga MPV Toyota Caldina baru yang ditawarkan rakannya itu RM30,000 berbanding tempat lain melebihi RM100,000.

“Dia begitu meyakinkan apabila mendakwa harga itu termasuk cukai import. Saya tidak mempunyai perasaan syak wasangka dan mengeluarkan wang simpanan demi memenuhi impian.

“Saya menyerahkan wang berkenaan selepas yakin dengannya yang bersungguh-sungguh mahu menguruskan pembelian kereta dalam dua bulan,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, janji tinggal janji apabila kereta yang ditunggu tiada, malah rakannya melarikan diri bersama wang miliknya.

Megat Khairul berkata, rakannya yang berusia 25 tahun itu turut menukar nombor telefon hingga usaha menjejakinya gagal.
“Saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 25 Mac lalu.

“Saya mahu dia mengembalikan wang kami atau berdepan tindakan,” katanya.


Ahli perniagaan berkas suspek larikan RM200,000

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang merompak wang tunai RM200,000 milik ahli perniagaan diberkas mangsanya sendiri selepas motosikal dinaiki suspek dan rakannya terjatuh, Jumaat lalu.
Bagaimanapun, rakan suspek sempat melarikan diri bersama wang tunai. Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, ahli perniagaan terbabit disamun di tempat letak kereta di Dataran Prima, di sini, apabila cermin keretanya dipecahkan dua lelaki menaiki motosikal.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa baru saja mengeluarkan wang sebanyak RM200,000 di sebuah bank di Prima Damansara untuk urusan perniagaan.
Menurut sumber, mangsa menuju ke keretanya dan terus memandu ke Dataran Prima. Suspek dipercayai mengekori mangsa sejak dari bank.

“Sebaik sampai di Dataran Prima, mangsa mencari tempat letak kenderaan, namun terkejut apabila sebuah motosikal menghampirinya sebelum seorang suspek memecahkan cermin kereta sebelah kiri.

“Suspek mengambil beg mangsa berisi wang tunai sebelum melarikan diri,” katanya.

Sumber berkata, ahli perniagaan terbabit yang geram mengejar dan melanggar motosikal suspek.

“Mangsa terus keluar dari keretanya dan menangkap suspek yang terjatuh manakala rakannya sempat melarikan diri bersama wang tunai,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed mengesahkan kejadian itu.

No comments:

Post a Comment