Monday, March 28, 2011

TIADA KALAU2 LAGI...TELAH JADI TAKDIR...TAKZIAH SERTA ALFATIHAH.....ALLAH LEBIH MENYAYANGINYA....KITA HANYA MAMPU BERUSAHA SAJA...ALLAHLAH PENENTUNYA....TERSURAT MATI LEMAS...TERSIRAT ALLAH SAJA YANG TAHU....BERTAUBAT SERTA BERTAKWALAH KEPADA ALLAH...

Tinggal impian

Oleh Mary Victoria Dass dan Mahaizura Abdul Malik
am@hmetro.com.my

SEBAK...Seri Mahani menunjukkan gambar Mohd Farriz yang lemas di kawasan takungan air, semalam.
SEBAK...Seri Mahani menunjukkan gambar Mohd Farriz yang lemas di kawasan takungan air, semalam.
JOHOR BAHRU: “Adik baru menceritakan impiannya untuk mendapat 5A dalam UPSR dan belajar di Mesir seperti abang saudaranya, tidak sangka pada hari ini semuanya hanya tinggal kenangan,” kata ibu mangsa lemas, Mohd Farriz Mohd Saparman, 12, yang ditemui di sebuah kawasan takungan air di Kangkar Pulai di sini, semalam.
Suri rumah itu, Seri Mahani Marwan, 36, berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya, Farriz atau mesra dengan gelaran Adik adalah pada pagi kelmarin sebelum murid darjah enam itu ke sekolah selain meminta kebenarannya untuk meneruskan latihan kompang pada waktu petang. Menurutnya, bagaimanapun anak kedua daripada empat beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika keluar rumah dan berjanji pulang awal untuk mengulang kaji pelajaran.

“Siapa sangka hari ini kami hanya menemui jasad kakunya selepas menjalankan usaha mencarinya selama beberapa jam selepas dia tidak pulang ke rumah petang semalam (kelmarin).
“Kami tidak sangka mayat Adik ditemui di sebuah kawasan takungan air terbiar itu.

“Selepas ini, rumah kami pasti kesunyian tanpa Adik kerana dia suka menyakat adik-beradiknya yang lain selain gemar bergurau,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Mangsa, yang berasal dari Taman Pulai Bistari, di sini, ditemui di dalam kawasan berkenaan pada jam 5.55 petang.

Sebelum kejadian, mangsa yang juga murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Kangkar Pulai, di sini, dan dua lagi rakannya dikatakan keluar bermain di kawasan itu selepas menamatkan sesi persekolahan petang kelmarin, tetapi terus tidak pulang ke rumahnya.

Keluarganya kemudian mencarinya di sekitar kawasan berkenaan, tetapi gagal sebelum satu laporan dibuat di Balai Polis Kangkar Pulai, pagi semalam.
Usaha mencari mangsa turut disertai penduduk kampung yang menemui basikal mangsa di tepi kawasan takungan air di sekitar kawasan Sekolah Menengah Kangkar Pulai, di sini.

Seorang penduduk terbabit dalam usaha mencari Mohd Farriz, Mohd Zaini Saimon, 40, berkata penduduk kampung menemui basikal mangsa di tepi kawasan takungan air atas bukit dekat tempat kejadian.

“Kami mengesyaki sesuatu terjadi kepadanya kerana basikal itu kepunyaan mangsa, kami cuba mencari di sekitar kawasan berkenaan tetapi tidak menemui sebarang tanda sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mohd Zaini berkata, skuad penyelam yang tiba ke tempat kejadian tidak lama selepas itu menemui mayat mangsa dalam lombong berkenaan.



Maut dihentam penutup tong



IPOH: Malang menimpa seorang pekerja kilang apabila dia maut selepas muka dan kepalanya dihentam penutup tong diperbuat daripada besi sebaik cuba memotong tong berkenaan untuk dijadikan tempat pembuangan sampah di sebuah kilang, petang kelmarin.
Difahamkan, mangsa cuba memotong tong berkenaan dengan alat memotong khas sebelum berlaku satu letupan kecil menyebabkan penutup tong itu tercabut dan menghentam muka dan kepala.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang di Kawasan Perindustrian Bukit Merah itu, Rozaidi Rackapli, 24, berasal dari Kampung Matang, Taiping, maut kira-kira sejam selepas kejadian itu ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, ketika kejadian, mangsa memotong tong besi tanpa muatan menggunakan sejenis alat dikenali ‘Oxy-Acetelen’. Beliau berkata, perbuatan itu dipercayai menghasilkan tekanan kuat sehingga berlaku letupan kecil menyebabkan penutup tong terpelanting dan menghentam muka mangsa serta tercampak tiga meter sebelum tidak sedarkan diri.


Askar ‘ghaib’ tiga minggu ditemui dalam gaung



TAMPIN: Misteri kehilangan seorang anggota tentera yang tidak melaporkan diri di kem selama tiga minggu terjawab apabila mayatnya ditemui dalam sebuah gaung di Kilometer 10, Jalan Gemas-Tampin, berhampiran Felda Sungai Kelamah, di sini, kelmarin.
Lebih memilukan apabila mayat mangsa, Prebet Mohd Zaki Ahmudhi, 27, yang ditemui kira-kira jam 1.35 petang hanya tinggal rangka dalam keadaan terbenam di dalam lopak air di gaung kira-kira tiga meter.

Difahamkan, mangsa dipercayai meninggal akibat kemalangan berikutan motosikal ditungganginya dijumpai tidak jauh dari kawasan berkenaan. Ibu mangsa yang enggan dikenali berkata, dia berasa pelik apabila dimaklumkan anak lelakinya itu tidak melaporkan diri di Kem Syed Syaruddin, Gemas, di sini, sejak 5 Mac lalu.
“Saya diberitahu pihak tentera sudah berusaha mencari dia (Mohd Zaki), namun tidak berhasil kerana masih gagal menghubungi atau menemuinya.

“Berikutan itu, hati saya amat bimbang dan tidak berhenti berdoa kepada Allah supaya dia ditemui dalam keadaan selamat,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), di sini, kelmarin.

Menurutnya yang turut membuat laporan polis mengenai kehilangan itu, dia tersentak apabila menerima panggilan polis dan tentera supaya datang ke HT untuk membuat pengecaman mayat.

“Sejurus tiba di hospital, hati saya luluh apabila mendapati dokumen pengenalan diri termasuk maklumat yang berada dalam sebuah telefon bimbit adalah miliknya,” katanya. Katanya, walaupun pedih, dia reda dan menganggapnya sebagai ketentuan Ilahi.

“Beberapa hari sebelum kejadian, dia menghubungi saya untuk bertanyakan khabar. Saya menasihatkannya supaya berwaspada ketika berada di jalan raya,” katanya yang tidak menyangka melihat rangka mayat anaknya. Jenazah Allahyarham dibawa pulang untuk dikebumikan di kampungnya di Kluang, Johor, semalam. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Sempat minta maaf pada ibu sebelum ajal



KANGAR: “Pada malam kejadian, arwah beritahu bapa itu kali terakhir dia membawa motosikal dan mahu bapa menghantarnya ke mana-mana selepas ini,” kata Sharizal Kassim, 28, abang Mohd Hafizi, 17, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Sanglang berhampiran simpang Sungai Padang, dekat sini, malam Jumaat lalu.
Turut maut dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu ialah rakan mangsa yang membonceng motosikal berkenaan, Mohd Shawal Shahabudin, 17, selepas dirempuh dan digilis sebuah lori simen.

Sharizal dari Sanglang, dekat sini, ketika ditemui berkata, adiknya yang parah daripada pinggang ke bawah dan patah tangan kanan akibat digilis lori simen terbabit meninggal dunia di Hospital Tunku Fauziah (HTF), di sini, pada jam 12.40 malam kelmarin.
Katanya, walaupun parah dan kehilangan banyak darah, adik bongsunya itu masih mampu berkata-kata dan meminta maaf kepadanya serta ibu bapa mereka iaitu Kassim Yahya, 70, dan Che Amah Ismail, 68, ketika dalam perjalanan ke hospital.

Sharizal berkata, sebaik dimaklum kejadian itu, dia bergegas ke tempat kejadian dan hampir tumbang apabila melihat adiknya yang parah dengan cebisan daging bertaburan di atas jalan raya, manakala Mohd Shawal sudah tidak bernyawa.

Dalam pada itu, bapa Mohd Shawal, Shahabudin Mohd Noor, 40, berkata, ketika kejadian dia berada di Pulau Pinang sebelum dimaklumkan kejadian berkenaan oleh isterinya.

Katanya, dua hari sebelum kejadian anaknya itu memberitahu ibunya dia ingin dikebumikan di sebelah datuknya jika dia meninggal dunia.

“Saya tidak menyangka itu permintaan terakhirnya. Anak sulung saya itu juga pernah meminta untuk memakai baju Melayu yang digemarinya sebelum kejadian dengan memberi alasan tidak dapat memakainya lagi,” katanya.
Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa menaiki motosikal dan dalam perjalanan dari Kampung Batas Pauh ke rumah Mohd Hafizi di Sanglang, dekat sini.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah lori simen yang membuat pusingan U merempuh motosikal sebelum mereka tercampak ke bawah lori sebelum kedua-duanya digilis lori terbabit.

Difahamkan, pemandu lori terbabit yang juga penduduk berdekatan melarikan diri.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Asisten Superintendan Rosli Yahaya ketika dihubungi, berkata kemalangan itu diklasifikasikan sebagai kes langgar lari.

Katanya, kedua-dua mangsa pelajar di sekolah menengah di Simpang Empat itu dipercayai dilanggar dari belakang. “Lokasi terbabit berbahaya dan gelap pada waktu malam, tambahan ketika itu hujan lebat dan mengehadkan jarak penglihatan penunggang motosikal serta pemandu kenderaan,” katanya.

Menurutnya, sehingga semalam, pemandu lori terbabit belum membuat laporan dan polis masih memburunya. Katanya, saksi yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi 04-9778563.

No comments:

Post a Comment