Tangguh dulu lawat selatan Thailand sehingga keadaan pulih
KUALA LUMPUR - Rakyat dinasihatkan agar tidak mengunjungi selatan Thailand buat sementara waktu ekoran kejadian letupan tiga butir bom yang mengorbankan empat warganegara Malaysia di Sungai Golok kelmarin.Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, tiga kawasan yang dikenal pasti tidak selamat ialah Sungai Golok dalam wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani.
"Sebaik-baiknya elakkan daripada mengunjungi kawasan-kawasan tersebut atau tangguh dulu perjalanan melainkan jika ada keperluan mendesak.
"Langkah sewajarnya ialah menghubungi Kedutaan Malaysia di Thailand atau konsulat kita di Songkhla untuk mendapatkan kepastian sama ada keadaan benar-benar selamat," katanya ketika mengesahkan nasihat tersebut menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Kosmo! semalam.
Kelmarin Kosmo! melaporkan empat rakyat Malaysia termasuk seorang kanak-kanak antara lima yang maut apabila tiga butir bom meletup di kawasan hiburan di Jalan Charoen Khet, Sungai Golok.
Letupan itu turut menyebabkan 14 lagi rakyat Malaysia cedera yang mana dua daripadanya iaitu Yau Win dan Heng Chin Goa parah. Mereka dirawat di Hospital Yala.
Tercampak selepas keluar hotel
|
SUNGAI GOLOK (Selatan Thailand) - Seorang mangsa kejadian letupan bom di bandar Sungai Golok, Lai Yoke Long menganggap dia umpama mati hidup semula selepas terselamat walaupun hanya berada kira-kira 20 meter dari tempat insiden tersebut berdekatan Hotel Merlin di sini pada malam Jumaat lalu.
Yoke Long, 42, yang datang ke bandar itu bersama seorang rakan, sebelum itu kecewa kerana bilik hotel itu yang popular dalam kalangan pelancong Malaysia telah habis ditempah.
"Saya kemudian keluar dari hotel itu untuk cari bilik di tempat lain dan sewaktu berjalan di sebelah sebuah kereta, kami dikejutkan dengan bunyi letupan bom," kata Yoke Long ketika ditemui di Hospital Sungai Golok semalam.
Yoke Long yang berasal dari Seri Kembangan, Selangor dan bekerja di sebuah lombong emas di Tanah Merah, Kelantan memberitahu, selepas letupan dia mendapati badannya berlumuran darah dan terus lari mendapatkan perlindungan di sebuah restoran berhampiran.
"Mujurlah ada beberapa orang dalam kedai makan itu membantu dengan menghantar saya ke hospital," katanya yang mengalami kecederaan di dahi sementara dua serpihan besi masih tertusuk di bahagian dadanya.
Yoke Long berkata, dia perlu menjalani pembedahan untuk membuang serpihan besi itu di hospital berkenaan tidak lama lagi.
"Saya sudah serik ke Golok. Kepada rakan-rakan, saya nasihatkan supaya jangan lagi ke sini (Golok) jika tidak ada urusan penting," katanya.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd. Aini Atan semalam mengesahkan seramai 18 rakyat Malaysia terkena letupan tiga butir bom dengan empat maut manakala 14 lagi cedera.
Katanya, lima mangsa yang masih dirawat di Hospital Sungai Golok ialah Lai Yok Long, 52, Phoo King Kuang, 54, Ling Yee Lung, 28, Wee It Cheng, 61, dan Cheng Yew Mang, 40. Kesemua mereka adalah lelaki.
Dua lagi rakyat Malaysia dirawat di Hospital Yala.
Seorang lagi mangsa yang dirawat di hospital itu dan hanya mahu dikenali sebagai Man, 40, dari Kota Bharu berkata, sebutir bom meletup betul-betul di hadapan restoran dan pusat karaoke miliknya di bandar itu.
Bandar Sungai Golok ibarat kalis peluru, bom
SUNGAI GOLOK (Selatan Thailand) - Kejadian tiga butir bom yang meletup sehingga mengorbankan lima orang termasuk empat pelancong dari Malaysia Jumaat lalu dipercayai tidak banyak memberi kesan ke atas daya tarikan bandar ini sebagai syurga beli-belah dan pusat hiburan kepada pelancong asing.
Timbalan Datuk Bandar Sungai Golok, Rosdi Che Omar berkata, aktiviti di bandar itu kini pulih seperti sedia kala dengan pusat-pusat perniagaan sudah mula beroperasi dan dibuka kepada pengunjung.
Menurutnya, kebanyakan penduduk Golok serta beberapa kawasan berhampiran sudah lali dengan kejadian letupan dan keganasan.
"Kejadian seperti ini tidak begitu meninggalkan rasa trauma dalam kalangan penduduk namun ia pastinya memberi kesan kepada pelancong terutama dari Malaysia yang sering ke sini," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Katanya, pihak berkuasa Thailand akan terus mengetatkan kawalan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
"Saya melahirkan rasa dukacita terutama kepada rakyat Malaysia yang terbunuh dalam kejadian tersebut dan sebagai tanda simpati kita akan menanggung semua kos rawatan serta sedikit sumbangan lain untuk mangsa.
"Justeru, saya memohon supaya rakyat Malaysia tidak serik untuk terus datang melancong ke sini bagi membantu meningkatkan ekonomi penduduk di bandar ini," ujarnya.
Pelajar maut dihempap tiang gol
KLANG - Hasrat seorang pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jawa 2 di sini untuk memiliki sepasang kasut bola tidak kesampaian apabila dia maut setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat dihempap tiang gol ketika bermain bola sepak semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, Allahyarham Muhammad Fakhrul Amin Abdul Rahman, 11, anak keempat daripada lapan beradik dikatakan bersama-sama rakan-rakannya sedang bermain bola di padang SK Kampung Jawa 1. Dia mengalami pendarahan teruk selain retak tempurung kepalanya.
Bapa mangsa, Abdul Rahman Sarbaini, berkata, beliau yang berada di rumah terkejut apabila dipanggil seorang jirannya mengatakan anaknya mengalami kemalangan akibat bermain bola di padang kira-kira 50 meter dari kediamannya di kuarters guru Kampung Jawa.
"Apabila sampai ke tempat kejadian, saya melihat banyak darah keluar daripada kepalanya dan dia (Muhammad Fakhrul) sudah terbaring tidak sedarkan diri.
"Melihat kecederaannya yang parah, saya terus menghantarnya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk menerima rawatan namun dia gagal diselamatkan," katanya.
Ribut bagai tsunami melanda
KEMAMAN – Lebih 220 buah rumah milik peneroka Felda Kerteh 5 dan Felda Kerteh 6 dekat sini rosak akibat dipukul ribut dan angin kencang kelmarin.
Kejadian pada pukul 4 petang itu berlaku hanya dalam tempoh lima minit.
Sekurang-kurangnya lebih sepuluh batang pokok turut tumbang di sepanjang jalan memasuki ke Felda itu.
Pokok-pokok itu turut merosakkan pelbagai harta benda termasuk beberapa buah kenderaan.
Seorang peneroka, Mekzah Daud, 46, berkata, kejadian itu merupakan yang pertama berlaku di Felda Kerteh sejak lebih 20 tahun dia tinggal di sini.
Katanya, hujan lebat yang turun disertai angin kencang mengingatkan dia kepada kejadian tsunami yang pernah ditonton melalui televisyen apabila rata-rata atap rumah di kampung berkenaan tercabut dan rosak teruk.
“Keadaan ketika itu menakutkan ekoran bunyi bising apabila atap rumah tiba-tiba pecah ditiup angin sehingga menyebabkan air memasuki rumah.
“Ketika itu, saya dan enam orang anak saya terus memasuki sebuah bilik sambil berpelukan kerana bimbang sesuatu yang buruk akan berlaku,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ibu tunggal, Zawiyah Mohd., 47, pula berkata, kejadian angin kencang itu berlaku dalam tempoh singkat namun kesannya amat menakutkan.
“Rumah di kampung ini terletak berdekatan antara satu sama lain dan saya dapat lihat atap rumah jiran diterbangkan angin,” cerita wanita itu.
Ditemui pucat, tak bergerak
PADANG BESAR – Malang menimpa seorang lelaki apabila dia ditemui oleh isterinya sudah tidak bernyawa selepas badannya tersepit antara pintu lori dan dinding surau di Kampung Perawah, Ngulang dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi, Azizan Ramli, 44, ditemui dalam keadaan muka pucat dan tidak bergerak selepas separuh badannya tersepit antara pintu lori yang bergesel dengan dinding surau yang terletak berdekatan rumah pasangan itu.
Sebelum tragedi itu, Azizan keluar mencuci lori di luar rumah pada pukul 6.30 pagi sebelum kenderaan itu dipercayai bergerak secara tiba-tiba sebelum mangsa cuba memberhentikan lori tersebut.
Azizan yang sudah tidak bernyawa ditemui oleh isterinya, Izyatun Mayuzia Che Saad, 30, yang sebelum itu mencuci pakaian di belakang rumah.
Menurut Izyatun Mayuzia, hatinya tiba-tiba berasa tidak sedap ketika sedang mencuci pakaian yang mendorong suri rumah itu keluar menjenguk Azizan di luar rumah.
“Bila saya nampak suami di pintu lori dengan kepala di dalam lori, ingatkan dia tidak apa-apa. Kemudian saya memanggil Azizan tetapi dia tidak menjawab dan setelah mendekatinya saya terkejut melihat Azizan dalam keadaan pucat dan tidak bergerak lagi,” kata wanita itu ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar semalam.
Dua beradik lemas di resort selepas ditinggalkan bapa
KUANTAN - Dua kanak-kanak ditemui lemas di kolam mandi sebuah resort di Jalan Beserah dekat sini hanya kira-kira 25 minit selepas bapa mangsa mendaftar masuk ke resort berkenaan.Mangsa pelajar Sekolah Kebangsaan Lepar Utara 8, Mohd. Firdaus Samsol, 7, dan adiknya, Mohd. Ridzuan Hakim Samsol, 5, ditemui terbaring di dasar kolam oleh bapa mereka, Samsol Ibrahim, 30-an, pada pukul 12.35 tengah hari kelmarin.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, sebelum kejadian keluarga dari Felda Lepar Utara, Maran baru tiba di sini untuk bercuti di resort berkenaan.
Menurut beliau, Samsol yang bekerja sebagai penyelia sebuah syarikat baru sahaja mendaftar masuk ke resort tersebut pada pukul 12.10 tengah hari sebelum keluar semula untuk membeli minuman pada pukul 12.25 tengah hari.
"Ketika keluar dari bilik, kedua-dua beradik itu mengikuti bapanya, sementara isterinya berada di dalam bilik.
Kapal peronda TLDM hampir tenggelam di perairan Sabah
KUALA LUMPUR – Sebuah kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Pari separa tenggelam apabila bilik jentera utamanya bocor dinaiki air setelah salah satu daripada shaft kapal tersebut tertanggal.
Kejadian itu berlaku pada pukul 2.53 petang Khamis lalu semasa kapal itu baru sahaja keluar dari Pulau Layang-Layang untuk melakukan rondaan di perairan Gugusan Semarang Peninjau di perairan Sabah.
Bagaimanapun, kesemua sembilan pegawai dan 27 anak kapal jenis Fast Attack Craft-Gun itu terselamat.
Pegawai Perhubungan Awam Markas TLDM, Leftenan Komander Masliza Maaris dalam kenyataan di sini semalam berkata, tindakan pantas serta kecekapan Pegawai Memerintah dan anak-anak kapal itu berjaya merapatkan kapal itu di Jeti Pulau Layang-layang.
“Setelah merapat, kapal itu berada dalam keadaan separa tenggelam akibat daripada kadar kemasukan air yang lebih deras berbanding dengan keupayaan mengeluarkan air dari kapal, walaupun dengan menggunakan beberapa buah pam mudah alih,” katanya.
No comments:
Post a Comment