Kereta Ferrari putus dua
LOS ANGELES – Seorang penumpang kereta Ferrari terbunuh manakala pemandunya cedera teruk apabila kereta yang mereka dinaiki putus dua setelah melanggar sebatang tiang elektrik sebelum terjatuh ke tebing curam, lapor sebuah akhbar semalam.
Penumpang itu, Basil Max Price III, 23, dari Los Angeles, tercampak dari kereta dan mati di tempat kejadian.
Pemandunya Vladimir Skortsov, 24, dari Upland berada dalam keadaan kritikal dan mendapat rawatan di Pusat Perubatan
UCLA di sini.
Polis memberitahu, Ferrari 350 M keluaran 1999 yang kini bernilai sekitar AS$100,000 (RM311,375) terjunam ke dalam tebing curam
di tepi pantai pada awal pagi
di Lebuh Raya Pantau Pasifik.
Tiang elektrik itu patah dua.
Kenderaan tersebut dilaporkan hilang kawalan semasa dipandu pada awal kelmarin.
Beberapa pegawai berkata, bekalan elektrik terputus buat sementara waktu ekoran tiang elektrik tersebut patah. – Agensi
54 maut gempa di sempadan India
|
GUWAHATI - Sejumlah askar dan anggota penyelamat mencari mangsa-mangsa kejadian gempa bumi semalam dalam hujan di perkampungan di banjaran Himalaya.
Gempa bumi yang sekuat 6.9 pada skala Richter itu menyebabkan 54 orang terbunuh di India, Nepal dan Tibet yang dikuasai China.
Pusat gempa bumi itu adalah di Shangri-la, negeri Sikkim, India.
Gegaran gempa bumi yang berlaku malam kelmarin boleh dirasai di New Delhi yang terletak kira-kira 804.67 kilometer dari pusat kejadian.
Awan tebal menghalang beberapa helikopter penyelamat terbang dekat kawasan yang terjejas akibat gempa bumi.
Menurut jurucakap polis sempadan India-Tibet, Deepak Pandey, gempa bumi tersebut melonggarkan struktur tanah menyebabkan tanah runtuh akibat hujan.
"Kami sudah menyelamatkan lebih 400 orang sejak malam kelmarin," katanya.
Angka kematian terkini mungkin mengambil masa selama beberapa hari untuk disahkan.
Gambar-gambar di televisyen menunjukkan sejumlah orang di bandar utama negeri Sikkim, Gangtok duduk di tepi jalan di bawah payung dalam hujan lebat selepas mereka enggan memasuki rumah masing-masing kerana takut gegaran susulan.
"Orang ramai masih lagi panik," kata seorang penduduk di Gangtok, Pawan Thapa menerusi telefon kepada wartawan agensi berita Reuters.
Kedai-kedai, pejabat dan premis perniagaan ditutup di Gangtok dan kawasan berdekatan dengan bandar itu.
Gempa bumi itu berlaku pada pukul 6.10 petang waktu tempatan dan gegarannya dirasai di lima buah negara termasuk Bangladesh dan Bhutan.
Lebih 1,000 askar China dihantar untuk membantu kerja-kerja menyelamat.
Antara yang maut itu ialah dua orang di Bihar manakala enam lagi di negeri Bengal Barat.
Seramai tujuh orang mati di Nepal, tiga daripadanya menemui ajal selepas sebuah dinding di Kedutaan Britain di Kathmandu runtuh ke atas sebuah kereta dan motosikal.
Tujuh orang mati dan ratusan kehilangan tempat tinggal di Tibet, China.
Sejumlah gempa bumi telah melanda utara dan timur India pada tahun ini tetapi tiada yang menyebabkan kerosakan atau kecederaan.
Pada 2001, satu gempa bumi melanda negeri Gujarat, India menyebabkan 19,700 orang mati selain mengakibatkan kerosakan di Pakistan. - Agensi
PM Itali berasmara dengan lapan wanita satu malam
|
|
ROM - Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi yang berusia 74 tahun mengaku dia pernah berasmara dengan lapan wanita dalam satu malam, lapor sebuah akhbar semalam.
Beliau menyatakan demikian semasa berbual menerusi telefon dengan seorang ahli perniagaan, Giampaolo Tarantini.
Dalam perbualan itu, Berlusconi menyatakan beliau hanya mampu berasmara dengan lapan daripada 11 wanita yang berada di luar rumahnya.
Panggilan telefon itu dibuat pada tahun baharu 2009.
Ia merupakan sebahagian daripada 100,000 intipan perbualan yang dirakamkan dan didedahkan untuk siasatan kes lapan individu yang dituduh membekalkan wanita teman sosial dalam parti anjuran Berlusconi.
Salah seorang wanita teman sosial itu, Maria Teres De Nicolo, 38, mendakwa dia tidur dengan Berlusconi.
"Sebelum saya pergi ke partinya, saya diberikan wang AS$1,378 (RM4,258)," katanya.
Berlusconi menafikan melakukan sebarang salah laku dan membayar upah untuk tujuan seks. - Agensi
66 kanak-kanak berhimpit dalam van
QIANAN, China - Anggota-anggota polis terkejut apabila melihat sebuah van sarat dengan 66 kanak-kanak yang merupakan murid tadika di bandar ini, lapor sebuah akhbar semalam.
Kanak-kanak itu berumur di antara empat hingga lima tahun berhimpit-himpit di dalam van tersebut yang sepatutnya hanya dinaiki seramai lapan penumpang.
Tempat duduk belakang di dalam van itu ditanggalkan dan digantikan dengan bangku panjang.
Pemandu van itu diberikan saman kerana melanggar peraturan jalan raya dalam kejadian yang berlaku baru-baru ini.
Kanak-kanak itu kemudian dihantar pulang ke rumah masing-masing oleh polis dengan menggunakan 12 buah van. - Agensi
Remaja misteri muncul dari hutan
|
|
BERLIN - Pihak Interpol yang merupakan pertubuhan polis terbesar dunia kini menyiasat sama ada seorang remaja yang menyatakan sudah tinggal di dalam hutan selama lima tahun merupakan seorang rakyat Britain yang hilang semasa dia masih kanak-kanak, lapor sebuah akhbar semalam.
Remaja berusia 18 tahun itu yang dikenali sebagai Ray muncul di sebuah dewan di bandar Berlin pada 5 September lalu.
Dia membawa sebuah khemah, beg tidur dan beg galas semasa berjalan menuju ke dewan tersebut.
Menurutnya, dia berjalan keluar dari sebuah hutan yang menjadi tempat dia dan bapanya tinggal.
Namun, bapanya sudah meninggal dunia kerana terjatuh dua minggu sebelum dia ditemui di dewan berkenaan.
Remaja itu menyatakan dia berjalan dengan menggunakan kompas ke utara untuk tiba di Berlin.
Ray dibawa masuk ke sebuah pusat belia di sini selepas dia memberitahu kisahnya itu.
Para pegawai polis kini menunggu hasil keputusan Interpol yang mungkin diketahui hari ini sama ada Ray berada dalam senarai rakyat Britain yang didapati hilang.
Menurut seorang pegawai polis Berlin, Claudia Elitok, Ray bercakap bahasa Inggeris dengan fasih dan beberapa patah perkataan dalam bahasa Jerman.
Elitok berkata, dia mengingati namanya tetapi polis tidak mendedahkannya kepada media.
Pegawai polis itu berkata, Ray menyatakan dia berjalan selama dua minggu sebelum tiba di Berlin.
"Dia menyatakan apa yang telah terjadi kepada ibunya tetapi saya tidak boleh memberikan maklumat itu.
"Ray ditemui dalam keadaan baik dan sedang dijaga oleh beberapa pegawai," katanya. - Agensi
Lidah manusia paling panjang di dunia
|
|
LOS ANGELES - Seorang pelajar di California, Amerika Syarikat memiliki lidah paling panjang di dunia dengan ukuran 9.75 sentimeter, lapor sebuah akhbar semalam.
Pelajar tersebut, Chanel Tapper diiktiraf dalam Guinness Book of World Records pada 2011 ekoran lidahnya yang luar biasa itu.
Menurutnya, dia menerima reaksi positif apabila lidahnya itu dijelirkan di depan orang ramai
"Mereka meminta saya melakukannya sekali lagi," katanya.
Chanel berkata, beberapa wanita menjerit apabila mereka melihat lidahnya. - Agensi
Ahli biologi tangkap ular gergasi
GEORGETOWN - Seorang pengembara, Niall McCann berjaya menangkap seekor ular sawa gergasi sepanjang 5.48 meter dan seberat 100 kilogram di sebuah hutan di Guyana, lapor sebuah akhbar semalam.
McCann yang merupakan seorang ahli biologi dari Cardiff, Britain yang berusia 29 tahun menemui ular tersebut di tebing Sungai Rewa.
Dia menangkap ular tersebut bersama sekumpulan pasukannya yang terdiri daripada penduduk tempatan. - Agensi
Thailand bakar dadah bernilai RM247.24 juta di Ayutthaya
BANGKOK - Thailand kelmarin membakar dadah bernilai AS$80 juta (RM247.24 juta) yang dirampas dalam satu siri serbuan di seluruh negara.
Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra mengetuai majlis pembakaran itu di sebuah kawasan perindustrian di Ayutthaya dekat Bangkok.
Dadah itu termasuk methamphetamine seberat 821 kilogram selain heroin, kokain, ganja dan ekstasi.
Menurut Kementerian Kesihatan, lebih 93,000 orang dirawat di beberapa pusat pemulihan dadah sejak Oktober tahun lalu.
Kira-kira 12,000 daripada mereka berumur di antara tujuh dan 17 tahun. - AFP
No comments:
Post a Comment