Saturday, September 24, 2011

ZINA..ROGOL..ROMPAK...RASUAH...BULI..LIWAT...MATI MENGEJUT...KEMALANGAN...NI KESAN TAK MENGIKUT UNDANG2...SIKAP MENAFIKAN HUKUM ALLAH...MENGABAIKAN TAAT KEPADA ALLAH....NI BAHANA AGAMA SEBAGAI BAKA@KETURUNAN SAHAJA...

‘Suspek bukan Datuk’

Oleh Ahmad Isyafiq Mad Desa
am@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Polis Selangor menafikan salah seorang daripada tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan kerana disyaki menyamun seorang pengurup wang asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 September lalu berpangkat Datuk.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata ketiga-tiga suspek itu adalah pegawai kanan biasa dengan salah seorangnya berpangkat asisten komisioner.

“Mangsa disamun di bangunan satelit KLIA dan kalau hendak masuk dalam bangunan ini ia memerlukan pas masuk dan tidak boleh suka-suka hendak masuk.
“Jadi siasatan kita juga menjurus bagaimana semua suspek boleh masuk ke dalam bangunan ini dan biarkan polis siasat terlebih dulu termasuk mencari bukti di mana wang samun itu disembunyikan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan penahanan tiga pegawai kanan SPRM selepas disyaki menyamun seorang pengurup wang asing membabitkan kerugian AS$300,000 (RM900,000) di KLIA pada 16 September lalu.

Ketiga-tiga pegawai kanan itu berumur 20 hingga 35 tahun dan ditahan reman tujuh hari bermula Isnin lalu.

Polis juga sudah merakam keterangan 15 saksi bagi membantu siasatan kes tiga pegawai kanan SPRM itu.

Tun Hisan berkata, polis masih mengesan dua suspek awam dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu.
Jelasnya, kedua-dua suspek dikenali T Sritharan, 32, dan D Nagarajan, 34, masing-masing beralamat terakhir di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dan Bandar Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Tun Hisan ditanya mengenai perkembangan siasatan kes kediaman Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu di Seksyen 19, di sini Selasa lalu yang disimbah cecair dipercayai petrol, beliau berkata, pihaknya sudah menghantar segala bukti fizikal untuk dianalisis Jabatan Kimia.

“Polis masih belum dapat petunjuk, tetapi segala bukti yang kita temui di kawasan kejadian termasuk jenis minyak yang digunakan sudah dihantar untuk dianalisis dan buat masa ini polis masih belum mendapat laporan Jabatan Kimia,” katanya.

‘Telefon tak berjawab’

Oleh Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor
am@hmetro.com.my

TAMPIN: “Kerana pelik melihat dia (mangsa) masih tidak pulang ke rumah, saya cuba menghubungi telefon bimbitnya beberapa kali namun tidak berjawab,” kata Maheran Mohammad, 42, isteri kepada pengawas Renjer Hutan Gemas/Gemencheh yang ditemui mati di kawasan tempat kerjanya, pagi semalam.
Difahamkan, mangsa, Rusli Kassim, 46, mengalami kecederaan teruk di kepala dipercayai akibat terjatuh dari kawasan tinggi sebelum mayatnya ditemui tertiarap oleh kakitangan hutan terbabit, kira-kira jam 8 pagi. Menurut Maheran, dia kali terakhir menemui mangsa ketika mahu keluar bekerja di kediaman mereka di Taman Sri Terachi, Kuala Pilah, kira-kira jam 7 pagi kelmarin.

“Pada waktu itu, saya tidak melihat sebarang perubahan padanya namun kebelakangan ini dia kerap termenung dan kami tidak pernah bertanyakan mengenainya.
“Bagaimanapun, hati ini resah apabila dia masih tidak pulang ke rumah malam tadi (kelmarin) kerana dia kebiasaannya akan memberitahu saya jika mempunyai urusan lain.

“Bimbang dengan keadaan itu, saya cuba menghubunginya namun gagal,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin di sini, semalam.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, keresahannya akhirnya terungkai apabila menerima panggilan daripada seseorang memaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa berhampiran keretanya, kira-kira jam 8 pagi semalam.

Anak sulung mangsa, Nor Farhana Izzati, 20, berkata sebelum kejadian, bapanya ada meminta supaya menunggunya pulang untuk memberi wang saku.

“Saya menanti kepulangan ayah sehingga jam 1 pagi namun dia tidak pulang menyebabkan saya bergegas pulang ke kolej kerana perlu menyiapkan tugasan,” katanya yang menuntut di Kolej Yayasan Melaka.
Menurutnya, dia amat sedih kerana bapanya itu tidak sabar melihatnya di majlis konvokesyen pada tahun depan.

“Beliau yang sentiasa ceria adalah pembakar semangat untuk saya melanjutkan pengajian dan sentiasa memberi sokongan padu.

Kehilangannya memang amat dirasai apatah lagi kami semua masih belajar dan memerlukan perhatian seorang ayah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Renjer Hutan Gemas/Gemencheh, Rosman Abdullah berkata, beliau sempat bertugas bersama mangsa sehingga jam 5.30 petang kelmarin.

“Kami kemudian beredar pulang, namun tidak mengetahui sama ada mangsa sudah keluar dari kawasan pejabat. Pagi tadi (semalam), saya terkejut apabila diberitahu mayatnya dijumpai,” katanya.

Terikat 19 jam

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my

ALOR GAJAH: Seorang ibu tunggal warga emas bersama anak perempuannya hanya terbayangkan maut apabila kedua-dua tangan mereka diikat, manakala mulut ditampal pita pelekat sebelum seorang daripada mereka dipukul tiga penjenayah dalam kejadian samun di Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah, malam Rabu lalu.
Tiga penjenayah berusia 20-an terbabit dipercayai memasuki rumah mangsa dengan membakar kayu tingkap bahagian dapur hingga jeriji besi tingkap ditanggalkan dengan mudah.

Difahamkan, warga emas terbabit, Samidah Yusop, 73, bukan hanya diikat malah dipukul sehingga cedera sebelum penjenayah menyamun dan membiarkan mereka terkurung selama 19 jam sebelum dikesan adiknya sendiri yang menyedari mangsa tidak keluar rumah seharian.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, Samidah ke tandas sementara anak perempuan sulungnya, Rosiah Mansor, 56, yang mengalami masalah mental sejak kematian suaminya duduk di kerusi di ruang tamu.


Samidah yang juga kakak sulung kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman Yusop, cedera di muka akibat ditumbuk penjenayah selain patah pergelangan tangan kiri dalam kejadian itu dan ditemui adiknya bersama beberapa jiran dalam keadaan tangan terikat dan terbaring di lantai dapur dalam keadaan lemah.

Dipukul lima rakan



GOMBAK: Seorang lelaki menerima empat jahitan di dahi dan luka di kaki selepas dibelasah lima lelaki kerana enggan menyerahkan wang yang diminta mereka, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa berusia 33 tahun yang baru pulang bekerja terkejut apabila lima lelaki terbabit yang dikenalinya menunggu di depan pintu rumahnya di Taman Rawang Putra, di sini.

Mangsa yang kepenatan mahu masuk ke dalam rumah, namun dihalang sebaliknya mereka meminta mangsa menyerahkan wang.
Menurut sumber, mangsa memberi alasan tidak mempunyai wang tambahan pula belum menerima gaji dan menyuruh semua lelaki itu beredar.

“Mereka mengajak mangsa minum dan melepak bersama, namun mangsa enggan dan menolak ajakan itu.

“Berang ajakan tidak dilayan tambahan mangsa tidak memberi wang menyebabkan mereka naik angin dan memarahi mangsa,” katanya.

Sumber berkata, belum sempat mangsa berbuat apa-apa seorang daripada mereka menghentak kepalanya dengan topi keledar dan menumbuk muka beberapa kali.

“Mereka membelasah mangsa beramai-ramai beberapa minit sebelum meninggalkannya.
“Mangsa yang cedera pergi ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan dan menerima empat jahitan di dahi,” katanya.

Mangsa yang bimbang dengan keselamatannya membuat laporan di Balai Polis Kuala Selangor untuk tindakan lanjut sebelum kes itu dirujuk semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

‘Abang jaga ibu’

Oleh Norfaisal Jahuri
am@hmetro.com.my

JASIN: Seorang wanita tidak sempat bekerja di sebuah kilang di Taman Perindustrian Merlimau, di sini, apabila dia maut dalam kemalangan sejurus selesai temu duga di kilang berkenaan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 11.50 pagi, mangsa, Sarahliza Khamis, 21, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Parit Putat Benteng di Sungai Rambai, di sini, apabila motosikal Honda EX-5 dinaikinya bertembung sebuah lori tiga tan jenis Mercedes Benz.

Berikutan itu, mangsa terperosok di bawah lori terbabit dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Hasrat anak keempat daripada lima adik beradik itu untuk naik pelamin pada Februari tahun depan tidak kesampaian.

Abang mangsa, Mohd Sobri, 26, berkata dia tidak menyangka pesanan adiknya supaya menjaga ibunya, Asnah Jamal, 63, pada malam kelmarin menjadi pesanan terakhir sebelum arwah pergi buat selama-lamanya.

Katanya, pada malam sebelum kejadian, Sarahliza memberitahu dia akan menghadiri temu duga di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Merlimau di sini.

“Arwah selalu berpesan kepada saya supaya menjaga emak dan banyak mengingatkan saya, lebih-lebih lagi saya bakal mendirikan rumah tangga pada November depan.

“Peringatan itu saya anggap sebagai biasa saja dan tak sangka pesanan malam tadi (kelmarin) menjadi yang terakhir,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Merlimau, di sini, semalam.
Menurut Mohd Sobri, sejak beberapa minggu lalu Sarahliza terlalu ceria walaupun ada kalanya dia agak serius dan mendiamkan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan kejadian itu.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku selepas lori yang dipandu seorang lelaki berusia 53 tahun itu keluar dari persimpangan dipercayai tidak menekan brek dan membelok ke arah kanan.

“Mangsa yang gagal mengelak kenderaan terbabit melanggar badan lori itu sebelum terperosok di bawahnya menyebabkan dia parah di kepala maut di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat,” katanya.

Eksekutif Proton bersalah terima rasuah



KUALA LUMPUR: Seorang bekas eksekutif Proton Sdn Bhd dikenakan hukuman penjara enam bulan dan denda RM70,000 selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan menerima rasuah daripada pemilik syarikat perkhidmatan kejuruteraan dan pembekal alat ganti kereta, berjumlah RM3,028.27, enam tahun lalu.
Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain menjatuhkan hukuman itu terhadap Fahmy Ameer Mohd Raf, 36, di Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Beliau yang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.
Fahmy didakwa secara rasuah menerima RM432.61 sebanyak tujuh kali secara berasingan sebagai pembayaran ansuran kereta miliknya daripada Mohd Sharid Md Salleh, pemilik syarikat Enrichford Sdn Bhd.

Bayaran tersebut dibuat sebagai dorongan supaya tertuduh tidak menghalang syarikat pembekal alat ganti kereta milik mangsa mendapat kerja daripada Proton.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Tingkat 5, Wisma Nusantara, Jalan Puncak, Persimpangan Jalan P Ramlee di sini, antara 12 September 2005 dan 15 Jun 2006.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Fahmy Ameer yang diwakili peguam Shahrulnizam Azmuir, memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kepada anak guamnya kerana tertuduh adalah pesalah pertama dan penanggung tunggal keluarga.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azuan Adzhar.

Tetap dijel

Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi, di sini, semalam mengekalkan hukuman penjara 17 tahun terhadap seorang lelaki warga Pakistan yang didapati bersalah merogol anak tirinya yang berusia 15 tahun, lima tahun lalu.
Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu selepas menolak rayuan dikemukakan tertuduh yang berusia 28 tahun dan pernah bekerja sebagai pembantu restoran. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula daripada tarikh dia ditangkap pada 11 September 2009 dan tertuduh juga dikenakan hukuman 10 sebatan.

Bagaimanapun, mahkamah mengetepikan dua lagi pertuduhan rogol yang disabitkan terhadap tertuduh masing-masing 15 dan 16 tahun penjara serta empat sebatan. Terdahulu dalam penghakimannya, Ghazali berkata, dalam keterangan, mangsa memberitahu kejadian rogol itu berlaku pada tengah malam. Bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak berbuat apa-apa untuk meminda pertuduhan itu.
Oleh itu mahkamah mengetepikan dua pertuduhan terhadap tertuduh.

Sementara itu, dalam pembelaannya, tertuduh menafikan berada di tempat kejadian tanpa mengemukakan notis alibi dan mahkamah mendapati ia adalah penafian semata-mata. “Sumbang mahram adalah satu kesalahan yang serius dan ia boleh mengakibatkan masalah sosial. Rayuan tertuduh di Mahkamah Sesyen pula tidak menunjukkan tertuduh kesal dengan perbuatannya,” kata Ghazali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mazelan Jamaludin manakala tertuduh diwakili peguam Benedict Anand. Pada 13 Januari lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun yang dijalankan serentak serta 12 sebatan terhadap tertuduh selepas disabitkan salah atas pertuduhan itu. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada pada 31 Ogos 2006 sebelum mengulanginya pada 17 September 2006 dan pada 21 September 2006.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di ruang tamu rumah yang terletak di Jalan Thamby Abdullah, di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Hampir diliwat di surau

Oleh Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my

KAJANG: Kepantasan seorang bapa menyelamatkan anak lelakinya berusia lapan tahun daripada menjadi mangsa nafsu songsang seorang lelaki yang cuba meliwat anaknya itu dalam tandas sebuah surau di Seksyen 8, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, bapa mangsa yang berusia 30 tahun terkejut dimaklumkan rakan anaknya seorang lelaki tidak dikenali menarik tangan kanak-kanak itu masuk ke tandas surau berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, sebaik menerima aduan itu, bapa mangsa bersama adik iparnya bergegas ke surau berkenaan untuk meninjau sendiri keadaan sebenar.
Katanya, sebaik tiba, bapa mangsa terdengar suara kanak-kanak menangis sebelum mencari arah punca suara tangisan itu.

“Ketika bapa mangsa menghampiri tandas, dia mengesyaki tangisan kanak-kanak di dalam tandas berkenaan adalah suara anaknya.

“Lebih membimbangkan pintu tandas berkenaan dikunci dari dalam dan usaha bapa mangsa untuk membuka pintu berkenaan gagal,” katanya.

Ab Rashid berkata, bimbang perkara buruk berlaku kepada anaknya, tanpa berfikir panjang bapa mangsa nekad menendang pintu tandas berkenaan beberapa kali sehingga terbuka.

Katanya, sebaik pintu tandas berkenaan terbuka, bapa mangsa terkejut sejurus mendapati seorang lelaki yang tidak dikenali dan anaknya dalam keadaan tidak berpakaian.
“Sejurus pintu dibuka, anak mangsa menangis ketakutan kerana terkejut dengan perbuatan lelaki berkenaan yang cuba meliwatnya.

“Terkejut perbuatannya diketahui bapa mangsa, suspek nekad melarikan diri dan berlaku pergelutan antara suspek dan bapa mangsa sebelum dia dicekup,” katanya.

Bapa mangsa terus menghubungi polis sebelum sebuah kereta peronda tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian dan membawa suspek ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut.

Ab Rashid berkata, suspek kini direman empat hari dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana cubaan meliwat.

Terbaring keletihan

Oleh Junaidi Ladjana
djuns@hmetro.com.my

KOTA KINABALU: Seorang penuntut wanita universiti di Lembah Klang berusia 22 tahun yang dipercayai selesai membersihkan diri selepas ‘bersama’ teman lelakinya, terkejut apabila mendapati penguat kuasa agama berkopiah memenuhi ruang bilik rumah tumpangan disewa bersama kekasih yang juga penuntut universiti di negeri ini, kelmarin.
Gadis tempatan yang juga penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Kuala Lumpur itu dikatakan menjalani latihan amali di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) dan mengambil kesempatan berasmara dengan kekasihnya, jam 11.30 malam.

Bagaimanapun, perbuatan pasangan kekasih itu dihidu penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) yang menyerbu bilik berkenaan sebelum mendapati teman lelakinya yang berusia 21 tahun terbaring keletihan di atas katil.

Pemeriksaan di bilik berkenaan mendapati pakaian dalam gadis berkenaan bertaburan di atas lantai, malah ketika disoal siasat, mereka mengaku hanya pasangan kekasih dan mengambil kesempatan memadu kasih di rumah tumpangan itu.


Penolong Ketua Penguat kuasa Agama JHEAINS, Khamis Jamil berkata, ketika serbuan beberapa penguat kuasa mengetuk pintu bilik pasangan terbabit beberapa kali sebelum dibuka seseorang.

Dikeroyok keluarga rakan wanita



AMPANG: Seorang pelajar lelaki cedera dibelasah ahli keluarga rakan wanitanya gara-gara dituduh melakukan perkara tidak elok dengan anak gadis mereka menyebabkan dia cedera di kepala, tangan dan badan, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, pelajar terbabit yang berusia 17 tahun tidur di rumah rakannya di Pandan Mewah, di sini, sebelum terjaga apabila terdengar pintu rumah diketuk.

Menurut sumber, mangsa yang menyangka rakannya datang membuka pintu, namun terkejut apabila mendapati tiga lelaki tidak dikenali bertanyakan seseorang.
“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa memberitahu orang yang dicari itu dirinya dan belum sempat berbuat apa-apa, seorang daripada lelaki terbabit masuk dan menumbuk muka serta kepalanya.

“Tersentak dengan tindakan itu, mangsa bertanya mengapa dia dipukul sebelum mereka memperkenalkan diri bapa, abang dan bapa saudara rakan wanitanya,” katanya.

Menurutnya, keluarga terbabit membawa mangsa ke kediaman mereka di Sri Nilam untuk berjumpa seorang pelajar perempuan yang berkawan dengan anak mereka.

“Pada pertemuan itu, pelajar perempuan terbabit disoal keluarga itu sama ada mangsa pernah berbuat perkara tidak elok kepadanya dan anak mereka.

“Namun, ia dinafikan pelajar terbabit dan memberitahu mangsa bukan seperti didakwa mereka,” katanya.
Sumber itu berkata, sebaik mendengar penjelasan itu, mangsa dilepaskan.

“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Remaja pergi sekolah dibelasah dengan kayu

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar cedera di dahi akibat dipukul dengan kayu oleh pelajar senior ketika dalam perjalanan ke sekolahnya di Salak Selatan Baru, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang berusia 13 tahun tiba di hadapan pintu sekolah berkenaan terkejut apabila dibaling batu, namun ia tidak mengenainya. Malah, belum sempat mangsa bertanya sebab dia bertindak sedemikian tiba-tiba datang seorang lagi pelajar tingkatan dua memukulnya dengan kayu di kepala hingga berdarah.

Menurut sumber, sebaik memukul mangsa, kedua-dua pelajar terbabit masuk ke sekolah dan meninggalkan mangsa kesakitan.
“Mujur rakan mangsa membantu dan membawanya berjumpa pengetua.

“Pengetua berkenaan menghubungi ambulans bagi menghantar mangsa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PP UKM),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

‘Mustahil anak saya terjun sendiri’

ALOR SETAR: “Saya sebak melihat keadaan anak terlantar kesakitan dalam keadaan trauma dan sering meracau selepas terjatuh dari tingkat satu asrama kerana dituduh mencuri seutas jam tangan sedangkan dia menafikan berbuat demikian.”
Begitu kata peniaga, Ilias Mustafa, 52, apabila anaknya, Mohd Asymuni, 27, cedera pada tulang belakang dan tumit kaki selepas terjatuh dipercayai akibat ditolak dari tingkat satu bangunan asrama sebuah sekolah pondok, di sini, Selasa lalu.

Kejadian d berlaku jam 10 malam apabila dua pelajar sekolah pondok terbabit datang ke rumah keluarganya memaklumkan Mohd Asymuni yang juga orang kurang upaya (OKU) terjatuh sebelum bapa mangsa bergegas ke asrama berkenaan.
Ilias dari Taman Nilam, dekat sini, berkata, sebaik tiba dia mendapati anaknya yang juga mengalami masalah lembam terlentang sambil mengerang kesakitan di bilik bawah bangunan asrama terbabit.

Menurutnya, dia meminta penjelasan berhubung kejadian, tetapi pelajar sekolah itu memaklumkan anaknya terjun sendiri. Namun, mangsa menafikan perkara itu dan mendakwa mereka berbohong.

Katanya, dia menghubungi ambulans sebelum anak sulung daripada tiga beradik itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan lanjut.

“Mohd Asymuni sudah lebih 10 tahun belajar al-Quran di sekolah pondok itu dan dia sering mengadu dibuli termasuk dijentik kemaluannya selain kepala dihantuk ke dinding oleh pelajar lain, tetapi saya masih boleh bersabar.

“Bagaimanapun, kejadian terbaru ini menguji kesabaran kerana mereka (pelajar) seperti menyembunyikan sesuatu.
“Saya bertambah sedih apabila doktor memaklumkan tulang belakang dan tumit kedua-dua kakinya retak dana mengambil masa lama untuk pulih,” katanya yang berkunjung ke pejabat Harian Metro, di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa sudah menjalani pembedahan selama lima jam kelmarin bagi memasang besi pada tulang belakangnya untuk membolehkannya pulih.

Menurutnya, dia kesal apabila seorang guru sekolah pondok berkenaan turut mendakwa anaknya terjun sendiri.

Katanya, mereka sepatutnya menyiasat dulu sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Lebih dikesalkan apabila pengurusan mahupun pelajar sekolah terbabit langsung tidak datang menjenguk atau bertanya khabar keadaan Asymuni.

“Saya bukan mahu menghukum mereka membuta-tuli, sebaliknya hanya meminta penjelasan berhubung apa yang berlaku kerana percaya ada sesuatu disembunyikan,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Alor Setar pada Rabu lalu.

Bagaimanapun, pengurusan sekolah pondok berkenaan gagal dihubungi bagi mengulas kejadian itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Kedah, Datuk Khairuddin Zain ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian itu dan perlu memeriksa sama ada sekolah terbabit berdaftar dengan agensi itu atau sebaliknya.

No comments:

Post a Comment