NEGARA
BOB bantu banteras jualan barangan tiruan
SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kini melaksanakan kaedah basket of brands (BOB) bagi memudahkannya membantu syarikat-syarikat pembuat melindungi barang-barang keluaran mereka yang sering berdepan dengan barang tiruan.
Ini meliputi pakaian, minuman keras, alat ganti kereta dan ubatan yang dikenal pasti popular di kalangan pengguna, kata Ketua Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK, Mohd. Roslan Mahayudin.
Beliau berkata, dalam usaha memerangi barang tiruan, kementerian akan memberi tumpuan terhadap barang-barang yang tergolong dalam BOB.
Sehingga kini, kira-kira 20 syarikat yang mempunyai 40 cap dagangan telah bersetuju untuk menyertai program itu, katanya dalam sidang akhbar selepas menutup Program Rakan Gerak Gempur Cetak Rompak (Rakan GGCR) di sini semalam.
Seramai 34 penuntut dari 13 institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini menyertai program selama tiga hari anjuran KPDNKK dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Mohd. Roslan berkata, kaedah BOB diperkenalkan berikutan KPDNKK tidak mampu membanteras kesemua barangan tiruan yang terlalu banyak di pasaran tempatan.
"Sebab itu, kita masukkan dalam satu basket dan kalau kita boleh banteras (barangan tiruan) dalam BOB, dah cukup baik dah," katanya.
Beliau berkata, program BOB akan dilancarkan pada konvensyen penguatkuasaan hak ke atas harta intelek (IPR) di seluruh negara yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 20 Oktober depan. - Bernama
Tangguhkan perjalanan ke Yemen
|
KUALA LUMPUR - Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia yang bercadang melawat Yemen agar menangguhkan perjalanan mereka sehingga keadaan keselamatan di negara itu pulih seperti biasa.
Semua rakyat Malaysia yang berada di negara itu juga dinasihatkan agar segera mendaftarkan diri di Kedutaan Besar Malaysia di Sana'a, ibu negara Yemen, sekiranya mereka belum berbuat demikian.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini semalam memberitahu, pihaknya telah menghubungi semua rakyat Malaysia yang berada di Yemen dan menasihatkan mereka supaya sentiasa mengambil langkah-langkah keselamatan dan mengikuti perkembangan keselamatan semasa berada di negara itu.
Kementerian sentiasa memantau perkembangan situasi semasa di Yemen dan meminta penuntut dan rakyat Malaysia yang bekerja atau melawat negara itu agar kembali secara sukarela ke Malaysia setelah urusan mereka selesai.
Langkah itu dibuat ekoran situasi di Yemen pada masa ini khususnya di Sana'a dan Aden bertambah kritikal selepas pihak prodemokrasi bertempur dengan pihak keselamatan kerajaan, menurut kementerian itu. - Bernama
Wanita hamil cedera lif terhempas
26/09/2011 3:00am
KUALA LUMPUR — Seorang wanita hamil tujuh bulan patah kaki kanan selepas lif yang dinaikinya jatuh terhempas di pusat membeli belah Selayang Mall di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang, mangsa Norazlina Mohd. Yusoff, 25, bersama enam lagi ahli keluarganya dan beberapa individu lain menggunakan lif tersebut untuk turun dari tingkat empat ke tingkat paling bawah.
Norazlina berkata, beliau sekeluarga masuk ke dalam lif itu dari tingkat empat kawasan parkir sebelum lif tersebut berhenti di tingkat tiga untuk mengambil penumpang yang merupakan satu keluarga dan tiba-tiba berhenti di tingkat ‘G’ (ground floor) tanpa pintu terbuka.
"Secara tiba-tiba lif tersebut naik semula ke tingkat satu sebelum terus menjunam ke tingkat paling bawah (lower ground),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Selayang.
Beliau berkata, kesemua mereka kemudiannya dikeluarkan oleh pengawal keselamatan bangunan itu dan orang ramai yang kebetulan berada di situ sebelum yang tercedera dikejarkan ke hospital tersebut.
"Ketika kejadian kira-kira 12 orang berada dalam lif termasuk keluarga saya yang terdiri dari suami, emak, nenek dan ahli keluarga lain dan ia berlaku sekelip mata...semua orang terjatuh dan keadaan menjadi huru-hara.
"Saya sendiri cuba menahan dari terjatuh bagi menyelamatkan bayi dalam kandungan dan akibatnya kaki kanan patah namun saya bersyukur bayi dalam kandungan selamat, malah anak saudara berusia 8 bulan yang dikendong suami turut selamat,” kata Norazalina, seorang kerani swasta.
Norazalina berkata mereka menunggu kira-kira 20 minit sebelum ambulans tiba dan ahli keluarganya yang cedera ringan seperti neneknya, mendapat rawatan pesakit luar di hospital itu. Katanya, bagaimanapun mereka yang lain tidak mengalami kecederaan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak dimaklumkan dan tidak mendapat sebarang laporan berkenaan insiden itu dari pengurusan pusat membeli belah tersebut.
Beliau berkata, pihaknya akan menghubungi pengurusan berkenaan sebelum menyiasat punca bagaimana lif tersebut terhempas - sama ada berlaku kecuaian atau faktor lain. — Bernama
Buang al-Quran di bangsal lembu
BACHOK - Penduduk Kampung Pauh Sembilan dekat sini gempar apabila menemui beribu-ribu naskhah al-Quran yang ditinggalkan di sebuah bangsal lembu dipercayai untuk dilupuskan secara tidak sah.
Seorang penduduk, Mamat Harun, 65, berkata, kira-kira pukul 12 tengah hari kelmarin, sebuah treler telah memasuki kampungnya dan dia sempat melihat beberapa lelaki sedang memunggah kotak ke dalam sebuah lori kecil.
Menurutnya, treler tersebut berhenti dalam jarak satu kilometer dari bangsal tempat al-Quran tersebut ditinggalkan dan terpaksa menggunakan lori kecil untuk mengangkutnya.
"Jalan ke bangsal ini sempit, jadi treler berhenti di simpang jalan dan mereka menggunakan sebuah jengkaut untuk memindahkan al-Quran dari treler ke sebuah lori kecil sebelum dihantar ke bangsal tersebut.
"Saya sempat tanya, mereka beritahu dari Kuala Lumpur dan diarahkan untuk menghantar al-Quran tersebut ke sini untuk disimpan," ceritanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya, jarak antara rumahnya ke bangsal tersebut hanyalah 200 meter dan pada mulanya dia tidak mengesyaki apa-apa yang pelik.
Bagaimanapun dia mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena berlaku selepas beberapa orang polis dan pegawai pejabat agama datang ke kawasan tersebut petang kelmarin.
Katanya, bangsal tersebut yang seluas 1.4 meter x 2.8 meter itu pernah dijadikan tempat menyimpan makanan lembu seperti dedak dan rumput namun tetapi kini tidak lagi digunakan oleh pemiliknya.
Sementara itu, sumber Pejabat Agama Jajahan Bachok memberitahu, siasatan awal mendapati al-Quran tersebut mungkin untuk dilupuskan.
Ia berikutan terdapat kecacatan daripada segi cetakan dan reka bentuk ataupun kesilapan pada ayat al-Quran itu sendiri.
Katanya, al-Quran tersebut telah dihantar ke sini oleh sebuah syarikat dari Kuala Lumpur dan akan diserahkan kepada individu tertentu untuk dilupuskan dan bangsal tersebut hanya dijadikan transit.
"Kita telah membuat laporan polis dan siasatan akan dijalankan untuk mengesan individu terbabit kerana tindakan melupus al-Quran perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan hanya boleh dibuat di kawasan tertentu sahaja.
"Saya dimaklumkan tempat untuk melupus al-Quran ini hanya di Kuala Lumpur dan prosesnya melibatkan kos yang tinggi. Jadi, ini mungkin salah satu cara pihak tersebut untuk mengurangkan kerugian yang dialami," ujarnya.
Jelas beliau, pihaknya telah menutup kawasan tersebut dan kesemua al-Quran terbabit juga ditutup dengan rapi bagi mengelakkan ia disalah guna.
Kawasan tersebut kini di bawah pemantauan polis sehingga siasatan selesai dan tindakan susulan diambil.
Pelancong hamba empat beranak
KUALA LUMPUR - Tiga wanita India terpaksa menanggung azab selama dua tahun apabila dijadikan seperti hamba ketika dikerah bekerja tanpa gaji di sebuah ladang ternakan dan tanaman sebelum diselamatkan polis yang menyerbu kawasan tersebut di Gopeng, Perak baru-baru ini.Selain tidak dibayar gaji, ketiga-tiga mangsa berusia di antara 20 dan 30 tahun itu turut mendakwa dipukul, tidak dibenarkan keluar dan dipaksa bekerja tidak mengikut masa seperti yang ditetapkan dalam Akta Buruh.
Mereka yang dipaksa bekerja sebagai penggembala lembu, kambing, menjaga kolam dan mengutip bunga melor dikatakan datang ke negara ini sebagai pelancong pada 2009 sebelum diperdaya untuk bekerja di ladang itu oleh empat suspek tersebut.
Jarak di antara India dan Gopeng dianggarkan sejauh 2,600 kilometer.
Empat suspek itu dikatakan mempunyai hubungan keluarga dan mereka berusia di antara 12 dan 40 tahun.
Sumber berkata, polis yang menerima maklumat kemudian telah menyerbu ladang tersebut pada 12 September lalu.
Katanya, ketika diserbu oleh sepasukan polis dari Unit Anti Pemerdagangan Orang (ATIP) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, kesemua mangsa sedang bekerja dalam keadaan tertekan dan daif manakala kesemua suspek yang merupakan majikan ketiga-tiga wanita itu berada di ladang berkenaan.
"Kita melakukan risikan selama dua minggu selepas mendapat maklumat daripada orang awam. Siasatan mendapati, sepanjang tempoh dua tahun itu, mereka tidak dibayar gaji dan bekerja tidak mengikut prosedur yang ditetapkan Akta Buruh.
"Kita sedang menyiasat dakwaan wanita itu mengatakan mereka dipukul oleh majikannya dan dipaksa bekerja sebagai penggembala lembu, kambing, menjaga kolam dan mengutip bunga melor," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Tambahnya, soal siasat mendapati, mereka diperdaya oleh keempat-empat suspek itu yang pada mulanya berjanji akan memberikan gaji setimpal dengan kerja yang dilakukan di ladang tersebut.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan mengesahkan penahanan keempat-empat suspek tersebut.
Menurut Abdul Jalil, kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 13 Akta ATIP dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan pemerdagangan orang menyalurkannya kepada pihak polis dalam usaha membanteras kegiatan itu bagi mengelak lebih ramai orang menjadi mangsa pihak tertentu.
Pelacur solo kejar lelaki miang
KUALA LUMPUR – Penglibatan wanita asing dalam kancah pelacuran seakan-akan tiada penghujungnya walaupun banyak operasi dilakukan apabila mereka kini didapati menggunakan dua taktik baharu bagi mendapatkan wang.Pelacur-pelacur muda berusia lingkungan 20-an dari China, Uzbekistan, Vietnam, Afrika, Mongolia dan Filipina itu kini memilih menjalankan perniagaan secara bersendirian tanpa membabitkan ejen dan akan ‘beraksi’ di kondominium atau apartmen mewah.
Difahamkan, rata-rata mereka yang memasuki negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial dan pelajar, mengenakan bayaran RM500 untuk sekali perkhidmatan.
Mereka yang terlibat kebanyakannya pernah dijadikan pelacur oleh ejen masing-masing ketika mula datang ke sini dengan bekerja di pusat urut dan refleksologi. Mungkin kerana bosan dicekup, mereka kemudian memilih modus operandi baharu itu.
Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Azman Mohd. Isa (gambar) memberitahu, siasatan mendapati, pelacur dari Afrika, Nigeria, Filipina, Vietnam dan China memilih untuk bergerak sendiri mencari pelanggan.
Katanya, pelacur yang menggunakan pas lawatan sosial dan pelajar itu hanya perlu ke kelab malam untuk memancing pelanggan sebelum membawa mereka ke hotel atau rumah sewa untuk lakukan seks.
“Alasan yang sering diberi jika dicekup ialah mereka perlu mencari duit lebih untuk menampung yuran pengajian kolej. Berdasarkan tangkapan, lebih 50 peratus pelacur negara itu telah datang ke sini berulang kali.
“Ketika dinaungi sindiket, mereka terpaksa menggunakan orang tengah untuk mencari pelanggan tetapi selepas mahir dan mempunyai pelanggan tetap, mereka ‘membuka’ perniagaan sendiri. Cara itu lebih menguntungkan kerana tidak perlu bayar wang perlindungan,” dedahnya.
Azman memberitahu, pelacur dari Mongolia, Uzbekistan, China dan Vietnam pula didapati lebih cenderung menggunakan kondominium dan apartmen mewah untuk menjalankan aktiviti persundalan di sini.
Bagaimanapun katanya, mereka masih memerlukan ejen untuk mencari pelanggan. Mereka mengenakan bayaran RM1,000 bagi setiap perkhidmatan kerana berstatus pelacur kelas atasan.
“Polis menghadapi kesukaran untuk mengekang dan mengesan mereka kerana mereka tidak menetap di kondominium dan apartmen mewah tersebut dan kerap berpindah,” katanya.
Ujar Azman, selain itu, premis tersebut mempunyai kawalan keselamatan yang ketat serta mempunyai kamera litar tertutup.
Bagaimanapun katanya, polis ada juga melakukan serbuan dan tangkapan terhadap pelacur yang menggunakan taktik sebegitu.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pelacuran supaya menyalurkannya kepada polis berikutan bilangan pelajar dan pelancong warga asing yang terlibat meningkat saban tahun.
Brek basikal rosak, lelaki maut kemalangan
PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki warga Indonesia yang mengayuh basikal tanpa mementingkan aspek keselamatan membawa padah apabila dia maut selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di persimpangan SS 1/10 berhampiran SS 1/13 di sini semalam.
Kejadian pukul 2 petang itu menyebabkan Hanadin Hosin, (gambar) 59, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan patah tengkuk.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila Hanadin gagal memperlahankan basikal tersebut ketika hendak menuruni bukit di persimpangan itu ekoran mengalami masalah brek.
Kawasan itu dikatakan sering berlaku kemalangan.
Sebaik dirempuh kereta jenis Honda Accord itu, mangsa terus terperosok di bawah perut kereta itu lalu meninggal dunia.
Pegawai Penyiasat Trafik Petaling Jaya, Inspektor Mohd. Firdaus Razak berkata, pihaknya sedang mencari waris mangsa ekoran alamat yang ditemui pada dokumen perjalanannya di Kampung Kastam, Brickfields tidak menemui sesiapa.
“Kawasan itu telah dibangunkan untuk projek pembinaan dan tiada sesiapa lagi yang tinggal di situ,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.
Polis turut mengambil keterangan pemandu kereta itu sebelum dia dibebaskan.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung waris Hanadin diminta menghubungi Balai Polis Petaling Jaya di talian 03-79662222 sambungan 2268 untuk membantu siasatan.
Jabat salam tipu jual nombor
KUALA LUMPUR – Berhati-hati jika terserempak dengan seorang lelaki berpakaian lusuh berusia lingkungan 50-an ketika anda melalui kawasan bangunan Wisma Indah di Jalan Pudu di sini.
Ia berikutan anda mungkin akan diperdaya lelaki tersebut untuk mendapatkan wang kononnya dia mempunyai empat digit nombor yang bakal memenangi hadiah jika dibeli di kedai agensi nombor ramalan.
Lelaki berbadan sederhana itu dikatakan berkeliaran di kawasan itu sejak sebulan lalu dengan menjadikan kawasan itu sebagai lubuk memperdaya si kaki judi. Dia akan meminta sebanyak RM30 dan RM50 bagi setiap orang yang ditemuinya.
Tinjauan Kosmo! mendapati kawasan itu sebelum ini dijadikan tempat pelacur mencari pelanggan.
Sebaik didekati, lelaki itu akan berjabat salam sebelum mengucapkan ayat pujukan seperti: “Saya tengok muka awak memang ada rezeki untuk kena nombor ekor tetapi sebelum itu saya mahu tengok awak punya hati ada baik atau tidak.
“Awak boleh bagi saya RM30 sebagai cubaan untuk menguji diri supaya nombor yang dibeli diberkati,” pujuknya.
Bagaimanapun, nombor yang diberi itu sebenarnya tipu dan dia hanya menyebutnya untuk meyakinkan mangsa.
Seorang pengusaha bengkel dikenali sebagai Ah Peng, 41, berkata, lelaki itu akan muncul dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari dan akan datang semula pada pukul 3 hingga 5 petang.
Seorang lagi yang ditemui, Sabran Mustafa, 34, berkata, dia juga dikunjungi lelaki terbabit yang turut menawarkan nombor ramalan.
Katanya, lelaki itu kononnya mahukan wang sebagai tanda keberkatan untuk nombor yang akan diberi bagi menguji tahap peribadi dirinya.
“Buat apa saya nak bagi dia duit sedangkan saya tak pernah beli nombor ekor. Kalau nombor itu boleh menang mengapa dia tidak beli sendiri?” soalnya.
Ahmad Jais dipindah ke ICU
SHAH ALAM - Penyanyi irama pop yeh yeh, Datuk Mohd. Jais Ahmad atau lebih dikenali sebagai Ahmad Jais dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) tengah malam semalam kerana mengalami masalah kesukaran bernafas.
Anak keempatnya, Maimun Mohd. Jais, 31, berkata, buat masa ini, bapanya diberi bantuan mesin sokongan bagi membolehkannya berehat memandangkan keadaan paru-parunya masih lemah.
Maimun menambah, selepas malam semalam, keadaan ayahnya itu dilihat semakin stabil dan bertambah baik namun pihak hospital menasihatkan untuk banyak berehat dan masih memantau keadaannya itu.
Kosmo! Ahad melaporkan, Ahmad Jais, 75, dimasukkan ke Unit Rawatan Separa Rapi Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) awal pagi kelmarin akibat sesak nafas.
Pada 8 September lalu, dia mengadu penat dan sakit selepas pulang membuat persembahan di Batu Pahat, Johor.
Sakitnya mula serius pada malam Khamis lalu dan beliau terpaksa mengambil alat bantuan pernafasan di Hospital Pakar KPJ Selangor.
Bagaimanapun, Ahmad Jais dipindahkan ke DEMC awal pagi semalam kerana mempunyai rekod perubatan di situ.
Ahmad Jais mula berkecimpung dalam bidang muzik sekitar era 60-an.
Antara lagu popularnya ialah Di Ambang Sore, Juwitaku Sayang, Budi Setahun Segunung Intan dan Sejak Kita Berpisah.
Rugi dibelenggu hutang
KUALA LUMPUR - Seramai 40 ahli Persatuan Peniaga Kuala Lumpur 1Malaysia (PPKL1M) membantah tindakan Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) yang mengarahkan mereka menghentikan operasi perniagaan di tapak gerai di Lot 152, Jalan Ampang di sini semalam.
Seorang peniaga, Amran Shariff, 54, berkata, arahan Matic agar mengosongkan kawasan itu tidak wajar kerana mereka baru berniaga di kawasan itu pada 14 Mac lalu.
"Baru enam bulan mencari rezeki, kami menerima surat pada Julai lalu agar berhenti berniaga pada 31 Ogos atas alasan Matic mahu membaik pulih kawasan perniagaan itu.
"Rata-rata peniaga sudah membuat pinjaman sehingga ratusan ribu dan berhenti bekerja untuk berniaga di tempat tersebut," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Amran yang berniaga barangan kulit berkata, dia kesal kerana Matic tidak berjumpa dan berbincang dengan peniaga terlebih dahulu sebelum mengeluarkan arahan berkenaan.
Peniaga pakaian, Sobri Osman, 52, berkata, tindakan Matic akan menyebabkan peniaga menanggung kerugian besar dan dibelenggu hutang.
"Saya telah buat pinjaman sehingga RM100,000 dengan perjanjian selama lima tahun semata-mata hendak berniaga di sini.
"Bagaimana saya mahu menjelaskan pinjaman kerana baru berniaga enam bulan dan masih belum dapat pulangan modal dan keuntungan," katanya.
Sementara itu, seorang pemilik gerai makanan, Norhayati Abdul Aziz mendakwa kakitangan penyelenggara bertindak memotong kabel elektrik bagi mengusir peniaga dari kawasan berkenaan.
Tambahnya, PPKL1M telah membuat laporan polis pada 23 September lalu di Balai Polis Jalan Dang Wangi ekoran tindakan tersebut.
Pengebom berani mati serang gereja di Solo, Indonesia
SOLO - Seorang pengebom berani mati menyerang sebuah gereja semalam menyebabkan 27 orang cedera, sebahagiannya kritikal manakala para penganut keluar ke jalan raya dalam keadaan panik.
Ia merupakan kejadian terbaharu dalam satu siri serangan ke atas kumpulan-kumpulan minoriti di negara ini yang mempunyai jumlah penduduk Islam terbesar di dunia.
Bandar Solo yang didiami kira-kira 500,000 orang merupakan tempat kediaman seorang guru agama, Abu Bakar Bashir yang dipenjarakan Jun lalu kerana terlibat selama 15 tahun dalam sebuah kumpulan pengganas.
Seorang penganut Kristian, Kristanto berkata, dia dan isterinya bersedia untuk meninggalkan gereja Injil Bethel apabila bom tersebut menggegarkan bangunan berkenaan.
"Terdapat jeritan dan histeria. Suasana aman semalam telah menjadi situasi yang kelam-kabut," katanya.
Pengebom tersebut berada di dalam gereja bersama dengan penganut Kristian lain semasa dia bangun dan meletupkan bom ketika dalam perjalanan pulang.
Menteri Penyelaras Politik, Undang-Undang dan Hal Ehwal Awam, Djoko Suyanto berkata, Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono mengutuk keras perbuatan keganasan itu. - AFP
No comments:
Post a Comment