Tuesday, September 27, 2011

AIR DAN API...KURNIA ALLAH BANYAK FAEDAHNYA...TAPI TIADA HATI2..MUSIBAH MENUNGGU...BEGITU JUGA ANGIN....BERSYUKURLAH....BERTAKWALAH......BERTAUBATLAH DARI SEGALA DOSA...ALLAH AKAN MENGHUKUM ORANG YANG MELAMPUI BATAS.....KITA LINDUNGI DIDUNIA...AKHIRAT DUA2 ALLAH HUKUM...JANGAN BUAT KERJA2 TAK ADIL DAN DOUBLE STANDARD DIDUNIA...ORANG BEGINI MACAM TAK BERIMAN PADA HARI AKHIRAT...

Kasih nenek tiada batasan



SARIDAH dan Mohamad Farhan mengenangkan Mohamad Fardinie yang mati lemas dalam terusan di Kampung Sungai Lentang, Ulu Sedaka, Yan kelmarin.



YAN - Tanpa menghiraukan kudrat diri yang sudah bergelar warga emas, seorang nenek sanggup terjun ke dalam terusan bagi menyelamatkan cucunya yang hilang selepas terjatuh ke dalam terusan itu di Kampung Sungai Lentang, Ulu Sedaka di sini kelmarin.
Semasa kejadian pada pukul 5.30 petang, Halimah Din, 68, hanya memikirkan untuk menyelamatkan cucunya, Mohamad Fardinie Zamri, 5. Terusan itu mempunyai kedalaman hampir dua meter.
"Sebelum terjun mak cik tidak fikir apa-apa kecuali mahu menyelamatkan cucu. Mak cik selam selama lima minit sebelum timbul ke permukaan air namun hampa tidak jumpa cucu mak cik.
"Mak cik selam lagi beberapa kali selepas itu namun masih gagal mengesan kedudukan cucu kerana air keruh dan dalam," cerita wanita itu ketika ditemui pemberita di rumah anaknya, Saridah Harun, 36, di sini semalam.
Bagaimanapun, Halimah yang bekerja bendang memberitahu, selepas hampir setengah jam mencari, Mohamad Fardinie kemudian ditemui oleh penduduk kampung yang turut membantunya terjun ke dalam terusan itu bagi mencari cucunya itu.
Namun ketika ditemui kanak-kanak itu sudah tidak bernyawa.
Mohamad Fardinie merupakan anak pasangan Saridah, seorang suri rumah dan Zamri Ahmad, 39, seorang anggota tentera di Kem Sungai Petani dekat sini.

Leher ditikam, dahi dihentak

SEMENYIH – Seorang lelaki terkejut apabila menemui ibunya mati dalam keadaan tertiarap dengan kesan tikaman di leher dan hentakan di dahi dalam kejadian di Kampung Pasir Baru, Jalan Sungai Lalang di sini semalam.
Mayat S. Danaletchume, 64, ditemui dengan mukanya tersembam di dalam kolam takungan air di dalam bilik air rumahnya. Dia dipercayai dibunuh di antara pukul 10 dan 11 pagi.
Kejadian disedari pukul 12 tengah hari ketika lelaki dikenali sebagai Krishnan, 30-an, pulang ke rumah selepas kerja separuh hari. Pekerja kilang aluminium di Beranang dekat sini itu kemudian hairan apabila mendapati pintu dan pintu pagar rumahnya terbuka.
Isteri Krishnan ketika itu keluar bekerja manakala anaknya ke sekolah.
Menurut Krishnan, dia kemudian mencari ibunya di dalam rumah teres yang mempunyai empat bilik itu sebelum terkejut menemui mayat warga emas itu.
“Kami sekeluarga baru sahaja berkumpul untuk meraikan upacara keagamaan pada Sabtu lalu kerana anak perempuan ahli keluarga kami mencecah usia 13 tahun (baligh) dan hari ini (semalam) kami menerima berita sedih pula,” ceritanya.

Darah, rambut pada kayu kriket

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu terdapat titisan darah dan sehelai rambut pada kayu kriket yang ditemui di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting, iaitu tempat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain didakwa dibunuh dan dibakar.
Ketua Bahagian Kimia Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, Supritendan Soo Me Tong (gambar kecil) berkata, beliau kemudian melakukan ujian DNA pada bahan bukti tersebut.
"Ujian DNA dilakukan selepas saya diberi taklimat mengenai titisan darah dan sehelai rambut ditemui pada kayu kriket tersebut," katanya ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff.
Me Tong sedang memberi keterangan dalam kes bunuh melibatkan Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38. Bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyagan, 20; R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, dituduh melakukannya.
Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam hingga 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Ketika ditanya peguam bela, Manjeet Singh Dhillon, saksi pendakwaan ke-48 itu memberitahu, dia tidak tahu kayu kriket itu ditemui dalam Sungai Panchau seperti yang dimaklumkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin pada sidang akhbarnya.

Hanyut kerana bot mainan



ORANG RAMAI melihat anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat mencari Mohd. Nor Hafizi (gambar kecil) yang terjatuh ke dalam Sungai Arau di Arau kelmarin.



ARAU – Seorang pembantu jualan ditemui mati lemas setelah dia terjun ke dalam sungai semata-mata untuk mengambil permainan bot kawalan jauhnya yang terbalik di Sungai Arau di sini kelmarin.
Mayat Mohd. Nor Hafizi Mohd. Nan, 20, ditemui pada pukul 7 malam tadi kira-kira dua kilometer dari lokasi dia terjun di Sungai Arau pada pukul 5.30 petang kelmarin.
Mohd. Nor Hafizi pekerja pasar raya C-MART dikatakan terjun ke dalam sungai itu kelmarin selepas bot kawalan jauh yang dimainkan mangsa terbalik dalam sungai berkenaan.
Namun sebaik mangsa terjun ke sungai itu, dia kemudian dilihat terkapai-kapai sebelum dihanyut arus deras dan tenggelam.
Menurut bapanya, Mohd. Nan Derus, mereka sekeluarga seolah-olah tidak percaya dengan kejadian menimpa anaknya itu yang berlaku disebabkan bot kawalan jauh yang diminati mangsa.
“Namun selepas menemui baju dan tag nama Mohd. Nor Hafizi di tepi Sungai Arau baru saya percaya anak saya benar-benar hilang dalam sungai tersebut,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Wanita redah api demi RM2,000



MASLIZA melihat rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Felda Jerangau, Dungun semalam.



DUNGUN – Seorang wanita sanggup menggadaikan nyawa dengan meredah api yang sedang marak semata-mata mahu menyelamatkan wang tunai RM2,000 dalam kejadian kebakaran di rumahnya di Felda Jerangau dekat sini kelmarin.
Masliza Mohd., 27, bertindak demikian selepas dia berjaya membawa keluar dua anak kecilnya, Isma Haikal Ismail, 4, dan Mohd. Adam Daniel, 2, dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 3.30 petang itu.
Menurut suri rumah itu, selepas berjaya menyelamatkan dua anaknya, dia tiba-tiba teringatkan wang tunai RM2,000 milik seorang peneroka yang disimpan di dalam rumahnya.
Katanya, duit itu diperoleh daripada suaminya, Ismail Ibrahim, 31, yang mengambil upah mengait dan menjual kelapa sawit seorang peneroka di Felda terbabit dan bercadang untuk menyerahkan duit itu kepadanya dalam masa terdekat.
“Saya lupakan bahaya dan risiko meredah api kerana takut duit itu hangus kerana duit itu bukan milik kami. Lagipun, sukar untuk kami sekeluarga mencari pendapatan lain untuk menggantikan semula duit peneroka itu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mengimbas kejadian itu, cerita Masliza, dia sebelum itu sedang melayan dua anak kecilnya di ruang tamu sebelum ternampak asap hitam yang keluar dari bahagian dapur.
“Saya ingat asap itu berpunca daripada tindakan adik ipar yang membakar sampah di belakang rumah, tetapi selepas ditinjau, sebahagian dapur rumah saya sudah dijilat api.
“Api kemudian dengan pantas menyambar bahagian ruang tamu membuatkan saya panik dan segera membawa keluar dua anak kecil saya,” katanya.
Sejurus selepas keluar dari rumah, Masliza berkata, dia berpatah balik dan meredah api yang sedang marak apabila teringat beg tangannya yang mengandungi duit RM2,000 milik seorang peneroka.
Katanya, beg yang turut mengandungi duit miliknya bernilai RM1,000 itu disimpan di sebuah bilik di rumah itu.
“Ketika itulah saya memberanikan diri dengan naik semula ke rumah tanpa memikirkan keselamatan diri,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Md. Salleh Sarbini ketika dihubungi berkata, 12 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran.

Kerajaan diarah bayar RM590,000




ROHANI berbincang dengan peguamnya di pekarangan
Mahkamah Tinggi Kuantan semalam.


KUANTAN - Mahkamah Tinggi di sini semalam memerintahkan Kerajaan Malaysia membayar ganti rugi RM590,000 kepada Rohani Mohamed, 53, atas kematian anaknya akibat dipukul di penjara pada 2004.
Perintah melalui Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mariana Yahya tersebut membabitkan ganti rugi teruk, ganti rugi khas dan ganti rugi am yang dibayar kepada plaintif, Rohani, akibat kematian anaknya, Mohd. Shukri Mohamed, 18, dalam kejadian 10 Mac 2004 di Penjara Penor di sini.
Rohani selaku plaintif melalui peguam G. Subramaniam Noir, G. Virbanathan Noir dan Ebrina Zubir memfailkan saman pada 2007 terhadap 10 kakitangan Penjara Penor, Penguasa Penjara Penor dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Mariana dalam keputusannya bagaimanapun memerintahkan hanya Kerajaan Malaysia bertanggungjawab membayar ganti rugi tersebut.
Beliau melalui hujah penghakimannya berkata, penjara sewajarnya menjadi tempat paling selamat untuk banduan.
"Tindakan mereka ini (defendan) telah melanggar hak asasi manusia dan melanggar batas-batas sebagai manusia. Pegawai-pegawai ini terlalu kejam, tidak adil dan tindakan mereka tidak boleh dikompromi.
"Oleh itu, mahkamah memutuskan Kerajaan Malaysia sebagai majikan kepada defendan-defendan ini membayar ganti rugi kepada plaintif," tegasnya.
Mohd. Shukri merupakan seorang tahanan reman di Penjara Penor selepas ditahan polis pada 28 Februari 2004 bagi membantu siasatan kes berkaitan dadah dan dipercayai cuba melarikan diri daripada lokap penjara itu pada 1 Mac tahun yang sama.
Dia bagaimanapun telah berjaya ditangkap semula oleh kakitangan penjara tersebut dan dipercayai dipukul sehingga tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia pada 10 Mac.
Rohani ketika ditemui selepas mahkamah membuat keputusan berkata, beliau bertindak menyaman bagi mendapatkan keadilan terhadap kematian anaknya yang berada dalam jagaan pihak Penjara Penor.
"Anak saya (Mohd. Shukri) yang ditahan reman di penjara tidak sepatutnya dipukul sehingga meninggal dunia.
"Keputusan mahkamah sangat saya hormati dan berharap ia memberi pengajaran kepada orang lain supaya mengenali batas-batas dalam setiap tindakan," katanya enggan mengulas lanjut.

Polis laku kesalahan tidak dilindungi



ABU SEMAN melihat keadaan pusat pemeriksaan di Bukit Kayu Hitam ketika melakukan tinjauan sempadan di Bukit Kayu Hitam semalam.



BUKIT KAYU HITAM - Kerajaan tidak akan melindungi mana-mana anggota polis yang melakukan kesalahan dan tindakan sewajarnya perlu dikenakan jika mereka didapati bersalah, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop.
Menurutnya, polis adalah anggota pasukan profesional dan kementerian tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang.
"Seorang anggota polis sepatutnya memberi contoh baik kepada orang ramai dan bukan melakukan sebaliknya," katanya kepada pemberita semasa melakukan lawatan ke kawasan sempadan dari Bukit Kayu Hitam hingga Perlis di sini semalam.
Beliau diiringi Setiausaha Bahagian Keselamatan Kawasan Sempadan merangkap Ketua Pengarah Unit Pencegahan (UPP), Datuk Ab. Rahim Ismail.
Abu Seman mengulas dakwaan seorang pekerja pembersihan sisa pepejal, Mohd. Ridzuan Mohd. Noor, 23, mendakwa dibelasah lima anggota polis kerana dikatakan menegur seorang daripada mereka yang tidak membuang sampah ke dalam tong.
Ketika kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi itu, mangsa membuat kerja-kerja pembersihan di Taman Bahagia, Kodiang dekat sini Sabtu lalu.
Menurut Abu Seman, kerajaan tegas dalam menangani masalah disiplin di kalangan pegawai dan anggota keselamatannya.
"Kita akan buat siasatan dan ambil tindakan sewajar sekiranya terbukti mereka bersalah.
"Ia bergantung kepada siasatan sama ada tindakan disiplin mengikut Akta Polis atau Kanun Keseksaan bagi yang melibatkan sesuatu jenayah," katanya.

Jual organ: NGO minta polis siasat

28/09/2011 3:17am

KUALA LUMPUR — Para doktor dan persatuan pengguna meminta pihak polis menyiasat dakwaan bahawa Malaysia merupakan antara negara yang terbabit dalam perniagaan organ.
Mereka berkata, perkara tersebut perlu dilakukan bagi membersihkan nama negara.
Ketua Konsultan Nephrologi Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr Ghazali Ahmad Kutty berkata, perkara itu tidak boleh dibiarkan berlaku.
"Kita mahu pihak berkuasa seperti polis dan agensi berkaitan untuk melakukan siasatan menyeluruh kerana amalan perniagaan organ tidak boleh dibiarkan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai satu kumpulan yang membuat laporan polis berhubung isu tersebut seperti yang dilaporkan beberapa akhbar.
Antara yang membuat laporan itu ialah Persatuan Nephrologi Malaysia, Persatuan Transplan Malaysia serta Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman turut memandang serius laporan media mengenai perkara tersebut yang antara lain mendakwa bahawa penderma dari kawasan terpencil di Bangladesh diterbangkan ke Asia Tenggara untuk menjual buah pinggang mereka. — Bernama

Anggota polis parah tertembak pistol sendiri

28/09/2011 3:17am

KAJANG — Seorang konstabel cedera parah setelah tertembak dirinya sendiri ketika sedang mengosongkan peluru Revolver .38 selepas pulang dari rondaan malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, Konstabel Syaiful Nizam Zamaluddin, 24, cedera di kepalanya akibat terkena tembakan itu.
Syaiful Nizam dari Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur dikatakan baru pulang dari rondaan berjalan kaki bersama-sama sekumpulan anggota polis lain semasa kejadian itu berlaku di hadapan stor simpanan senjata Ibu Pejabat Polis Kajang.
"Peluru itu mengenai kepala di tepi sebelah kanan dan ia berlaku di hadapan rakan-rakan anggota yang baru pulang dari meronda.
"Setakat ini saya difahamkan Syaiful masih dirawat di Hospital Kajang dan keadaannya kritikal,” kata Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ab Rashid Ab Wahab ketika ditemui pemberita di Hospital Kajang di sini.
Beliau berkata, Syaiful Nizam, yang isterinya mengandung tujuh bulan, sudah dua tahun berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Kajang.
"Kita akan membuat siasatan lanjut kes ini,” katanya. — Bernama


Maut ditembak ketika cuba samun polis

28/09/2011 3:16am

KUALA LUMPUR — Seorang pegawai kanan polis menembak mati seorang pemuda yang cuba menyamunnya bersama-sama lima lelaki lain di hadapan rumahnya di Lorong Burhanuddin Helmi 6, Taman Tun Dr Ismail di sini, malam tadi.
Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, kejadian berlaku kira-kira 9.45 malam ketika pegawai polis berpangkat Superitendan dari Bukit Aman itu baru pulang dari makan malam sebelum beliau diserang.
“Mangsa ketika itu baru turun dari keretanya sebelum diserang enam lelaki besenjatakan parang. Mangsa kemudian melarikan diri sambil mencampak barang berharga yang kemudiannya dikutip suspek.
"Helah mangsa menjadi, lalu mangsa mengeluarkan senjatanya dan melepaskan tiga das tembakan dan mengenai badan seorang suspek,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Chin Wah berkata, suspek rebah dan mati di tempat kejadian dan rakannya yang terkejut terus melarikan diri dengan menaiki motosikal yang diletakkan berdekatan dengan rumah mangsa.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati suspek yang mati berumur 19 tahun dan berasal dari Batu Caves, Selangor.
Mayatnya dihantar ke hospital berdekatan untuk bedah siasat, katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan ada rakan suspek yang turut cedera dalam kejadian itu. — Bernama

Lelaki minta hakim buang kes dia rogol isteri

SYDNEY - Seorang lelaki berusia 80 tahun yang didakwa merogol isterinya memohon agar Mahkamah Tinggi membuang kes itu kerana perbuatan merogol dalam perkahwinan bukan satu jenayah pada tahun 1960-an.
Lelaki tersebut yang hanya dikenali sebagai PGA, didakwa pada tahun 2009 kerana merogol isterinya pada 1963.
Dia mencabar kes tersebut kerana sebelum tahun 1976 seorang wanita tidak boleh menolak hubungan seks dengan suaminya di Australia.
Peguam lelaki tersebut, David Bennet memberitahu tujuh hakim semalam yang mendengar kes tersebut bahawa merogol bukan satu jenayah dan pendakwaan itu perlu digugurkan.
Lelaki itu bercerai dengan isterinya itu pada 1971. Setakat ini tidak diketahui kenapa isterinya mengambil masa yang terlalu lama untuk membuat aduan kepada polis ke atas bekas suaminya itu. - AFP

Isteri failkan perceraian ditembak mati

ISLAMABAD, Pakistan - Beberapa lelaki bersenjata menembak mati seorang ibu dan anak perempuannya pada siang hari di sebuah kawasan perumahan mewah di ibu kota Pakistan di sini semalam selepas si ibu mengemukakan tuntutan cerai terhadap suaminya, kata polis.
Mangsa, Najma Bibi, 40, berada di dalam sebuah kereta apabila dia ditembak mati bersama anak perempuannya yang berusia 18 tahun, Sidra dan seorang pemuda berumur 28 tahun, Nazeer.
Serangan berlaku ketika mereka sedang dalam perjalanan pulang selepas Najma memfailkan permohonan cerai di sebuah mahkamah syariah di sini.
Setakat ini, polis masih belum mengetahui dengan jelas mengenai hubungan pemuda itu dengan kedua-dua wanita berkenaan.
"Kes ini bermotifkan dendam peribadi. Wanita berkenaan menuntut cerai dan kami menganggap suaminya berjaya membunuhnya," kata seorang pegawai polis, Jamshed Khan. - AFP

Bas jadi leper selepas nahas



afp
SEORANG lelaki melihat sebuah bas sekolah yang menjadi leper di lokasi nahas di Kalar Kahar, Pakistan kelmarin.



ISLAMABAD - Sekurang-kurangnya 31 kanak-kanak dan remaja serta empat orang dewasa terbunuh apabila sebuah bas terbabas dan memasuki gaung di tenggara Islamabad, kata beberapa pegawai semalam.
Bas itu membawa pulang pelajar sebuah sekolah swasta daripada berkelah.
Ia terbabas dan jatuh ke dalam gaung di wilayah Punjab kelmarin.
"Seramai 35 mangsa termasuk 31 kanak-kanak dan empat orang dewasa terbunuh dalam kemalangan itu. Pemandu, pembantu pemandu, penolong pengetua dan guru antara yang terkorban," kata seorang pegawai pentadbiran kanan di daerah Faisalabad, Naseem Sadiq.
"Kesemua pelajar itu berumur di antara 10 hingga 15 tahun," kata ketua sebuah hospital, Dr. Sultan Alamgirian.
Seorang pegawai memberitahu, siasatan akan dilakukan bagi mengetahui punca kemalangan tetapi laporan awal menyatakan ia mungkin disebabkan masalah brek. - AFP

No comments:

Post a Comment