Thursday, September 29, 2011

JUDI SALAH SATU DOSA BESAR YANG BANYAK MEMBAWA MUDHARAT...LEBIH2 MELIBATKAN KEWANGAN KELUARGA...SYARIKAT MAUPUN WANG KERAJAAN..

Puchong jadi bandar judi


PREMIS tingkat dua rumah kedai di sekitar kawasan pusat bandar Puchong banyak dijadikan pusat mesin judi haram.


PUCHONG – Di sebalik pembangunan pesat di bandar ini, ia rupa-rupanya menjadi syurga kepada sindiket mesin judi haram yang tumbuh bak cendawan selepas hujan di sekitar kawasan berkenaan.
Tinjauan Kosmo! di kawasan pusat bandar, Puchong Perdana dan Puchong Permai sahaja mendapati terdapat lebih daripada 10 premis haram yang kebanyakannya beroperasi di premis rumah kedai.
Berselindung di sebalik papan tanda perniagaan, pemilik pusat judi haram didakwa semakin bermaharajalela apabila berani membuka perniagaan selama 24 jam sehari semata-mata mahu mengaut keuntungan besar.
Malangnya, mereka yang menjadi mangsa adalah golongan remaja dan pelajar sekolah yang merupakan pengunjung tegar ke premis itu.
Menurut sumber, pemilik premis kebanyakannya menyewa bilik di tingkat dua premis rumah kedai dan mengubahsuainya menjadi bilik memuatkan mesin-mesin slot judi.
Selain itu, pemilik premis memasang kamera litar tertutup bagi memantau serbuan pihak berkuasa selain mengupah Tonto yang sentiasa mundar-mandir berhampiran kawasan premis terbabit.

BANGUNAN rumah kedai ini juga menjadi lokasi banyak premis mesin judi haram yang dikunjungi pelajar sekolah di sekitar Puchong.


Seorang penduduk, Ismail Hamzah, 41, berkata, dia sendiri pernah melihat pelajar sekolah yang memakai pakaian seragam masuk ke premis tersebut pada waktu persekolahan.
Menurutnya, gejala yang berlaku menunjukkan pemilik premis tidak mengendahkan amaran pihak berkuasa yang melarang mereka di bawah usia 18 tahun mengunjungi pusat hiburan mahupun perjudian.
“Kalau sudah berniaga secara haram, apa sahaja mereka akan lakukan asalkan dapat untung. Keadaan ini jika dibiarkan sudah pasti akan menyebabkan berlakunya gejala sosial dan ponteng sekolah yang semakin serius di bandar ini,” katanya di sini semalam.

Pengebom sembunyi di Malaysia

DERETAN motosikal yang musnah akibat letupan bom di kawasan hiburan Jalan Charoen Khet, Sungai Golok pada 16 September lalu. Gambar kecil, Suhaidi.


KOTA BHARU – Polis sedang giat mengumpul maklumat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan yang menyatakan bahawa dalang yang melakukan siri letupan bom di Sungai Golok, Thailand dipercayai sedang bersembunyi di negara ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, polis tidak akan berdiam diri jika dakwaan tersebut benar seperti didakwa pihak berkuasa Thailand.
Bagaimanapun, kata beliau, setakat ini pihaknya tidak menemui sebarang bukti yang mengesahkan dakwaan tersebut.
“Polis Kelantan sedang membuat risikan berhubung perkara itu bersama-sama polis Thailand. Kita (polis) akan mendapatkan maklumat lanjut dan kita sama sekali tidak akan berdiam diri dan akan mengatur strategi. Segala maklumat ini penting bagi polis Kelantan.
“Kalau benar mereka berada di negara ini, kita akan tangkap. Setakat ini dalam siasatan kita tidak jumpa mana-mana (individu) yang dimaksudkan itu,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan Pemakaian Pangkat Bagi Anggota di sini, semalam.

Mohd. Raffie bersyukur tidak buta


MUHD. Khairun Aseh (kiri) melawat mangsa simbahan asid, Mohd. Raffie Abdul Latiff di Hospital Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Tiada kata mampu diucapkan oleh seorang jurujual minyak wangi yang menjadi mangsa simbahan asid pada hari kelapan Ramadan lalu selain bersyukur kerana mata kanannya berjaya diselamatkan.
Bagi Mohd. Raffie Abdul Latiff, 28, kejayaan sekumpulan doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) menjalankan pembedahan ke atas mata kanannya sehingga kembali pulih amat tidak diduga sama sekali.
Pembedahan tersebut diketuai oleh Ketua Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif HKL, Dr. Normala Basiron yang sebelum ini turut merawat mangsa renjatan elektrik, Muhamad Hairuman Miskon, 22.
Malah lebih menggembirakan jurujual minyak wangi itu apabila kulit badannya yang melecur akibat terkena asid juga semakin pulih.
"Sejak tragedi itu, saya sudah pasrah mata kanan saya akan buta tetapi tak sangka pula ia boleh pulih. Jadi kedua-dua mata boleh melihat kembali.
"Terima kasih banyak-banyak kepada semua tenaga pekerja HKL terutamanya di Unit Rawatan Kebakaran kerana menjaga saya selama ini," katanya.

Sampel tanah positif darah

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bahawa hasil ujian terhadap sampel tanah di Ladang Gadong, Banting, iaitu lokasi jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dibunuh sebelum dibakar Ogos tahun lalu menunjukkan ia positif darah.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Bahagian Digital Makmal Forensik, Asisten Komisioner Hussein Omar Khan mendakwa, dia tidak tahu sama ada ujian yang dibuat pada 9 Oktober tahun lalu itu adalah ke atas najis lembu.
Hussein, 41, yang juga saksi pendakwaan ke-51 berkata demikian semasa disoal balas peguam bela, Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh, N. Pathmanabhan.
Terdahulu, Manjeet membangkitkan kepada Hussein berhubung kewujudan darah dalam najis haiwan seperti lembu, kambing dan anjing dan ia turut diakui saksi tersebut.
Hussein turut bersetuju dengan pendapat peguam bahawa najis haiwan yang ada darah akan masuk ke dalam tanah sekiranya ditimpa hujan.
Pegawai polis itu bagaimanapun mengambil masa yang agak lama sebelum turut sependapat dengan Manjeet berhubung cadangan peguam bahawa ujian yang dibuat terhadap sampel tanah akan mengeluarkan keputusan positif untuk hemoglobin dalam najis lembu.
Hussein yang kemudian dipanggil semula pada sesi sebelah petang menyaksikan dia sekali lagi diasak dengan hasil keputusan ujian pada objek-objek yang diambil dari Sungai Panchau, Banting.
Hussein menjawab dia tidak tahu terhadap dua cadangan Manjeet mengenai keputusan pakar yang memeriksa objek tersebut dan DNA yang ditemui padanya.
Dalam kes itu, bekas peguam, Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.
Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam hingga 9.45 malam 30 Ogos tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung hari ini

Cuma sempat cat 20 minit


BULATAN menunjukkan palang kren yang patah hingga mengakibatkan Taskimin maut manakala rakannya parah di Banda Hilir, Melaka semalam.


MELAKA – Kerja-kerja mengecat di sini yang dilakukan enam pekerja menggunakan tiga buah kren sejak kelmarin dicemari insiden berdarah apabila seorang maut manakala seorang lagi parah selepas salah satu tiang kenderaan itu patah semalam.
Insiden pukul 10 pagi itu menyebabkan seorang warga Indonesia, Taskimin (gambar), 24, mati di tempat kejadian selepas terjatuh dari ketinggian 15 meter. Rakan senegaranya, Sustrino, 34, cedera parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Melaka.
Difahamkan, ketika itu, mereka baru 20 minit mengecat bangunan pusat beli-belah Dataran Pahlawan Megamall, Banda Hilir di sini. Kren yang patah itu dikatakan telah digunakan selama 10 tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supritendan Muhammad Koey Abdullah berkata, kedua-dua mangsa terjatuh ke kaki lima sebuah bank berdekatan.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila beban dalam sangkar tidak seimbang dengan kekuatan palang kren yang membawa mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Lelaki lupus mayat dijel 80 bulan


MOSHAROF (dua dari kanan) dijatuhi hukuman penjara 80 bulan selepas mengaku melupus mayat dua beranak di Mahkamah Majistret Ampang Jaya semalam.


AMPANG JAYA - Seorang lelaki warga Bangladesh dihukum penjara 80 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku salah atas dua pertuduhan melupuskan mayat seorang wanita dan anak lelakinya di sebuah apartmen di sini bulan lalu.
Majistret Wan Karimah Wan Ab. Ghani memutuskan, tertuduh Mosharof Hossain, 23, dihukum penjara 40 bulan bagi setiap pertuduhan dan menjalani hukuman secara berasingan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 15 Ogos lalu.
Mosharof didakwa melupuskan mayat wanita Indonesia, Siti Sando, 35, dan anaknya, Mohd. Shukri, 2, pada pukul 11.20 pagi 29 Julai lalu dan pukul 11 pagi 3 Ogos 2011 di rumah Nombor 40, Tingkat 5, Blok Chrysaa, Pangsapuri Astaria, Taman Kosas di sini.

Pemandu teksi acu pistol samun penumpang


AYOB (kanan) memerhatikan anggota polis memeriksa teksi yang dinaiki dua lelaki yang membawa dua pucuk pistol dan peluru selepas ditahan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, George Town kelmarin.


GEORGE TOWN - Kegiatan jahat seorang pemandu teksi dan rakannya menyamun pelancong asing dan meninggalkan mangsa di kawasan sunyi sejak beberapa bulan lalu tumpas apabila mereka ditahan dalam operasi khas polis di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Cheong Eu di sini kelmarin.
Kedua-dua suspek berusia 38 dan 58 tahun yang bersenjatakan dua pucuk pistol itu ditahan pada pukul 11.45 malam ketika hendak melakukan jenayah dalam teksi yang dinaiki dari Seberang Perai.
Dalam serbuan oleh anggota Cawangan Kongsi Gelap Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut itu, polis merampas pistol automatik jenis Baretta dan Browning bersama kelopak serta 29 butir peluru kaliber 9mm.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, polis menemui pistol itu di tepi pinggang dan belakang badan dua suspek itu.
Katanya, modus operandi suspek adalah mengambil penumpang terutama pelancong asing dan membawa mereka ke kawasan sunyi untuk disamun sebelum ditinggalkan.
Jelasnya, mereka yang mempunyai rekod jenayah berkaitan bunuh, curi dan dadah ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

Larang petani guna kalsium karbida


Mohamed idris menunjukkan buah-buahan tempatan yang selalu diperam oleh petani dengan menggunakan kalsium karbida di George Town semalam.


GEORGE TOWN – Amalan memeram buah-buahan menggunakan kalsium karbida di kalangan petani di negara ini didakwa mampu menghilangkan daya ingatan pengguna termasuk kecacatan bayi ketika lahir.
Hasil kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) itu mendapati bahan kimia tersebut kini digunakan secara meluas oleh petani yang mengusahakan tanaman pisang, betik, nenas, cempedak, mangga dan ciku supaya cepat ranum sebenarnya merbahaya.
Difahamkan, secara umumnya penggunaan kalsium karbida adalah untuk kerja-kerja kimpalan, memateri keluli besi dan berfungsi menyalakan api pelita.
Presiden CAP, S.M Mohamed Idris berkata, pemakanan buah yang diperam dengan bahan kimia arsenik dan fosforus itu bukan sahaja beracun kepada pengguna malah boleh memudaratkan kepada mereka yang mengendalikannya.
“Antara kesannya kepada saraf dalam jangka masa pendek adalah sakit kepala, pening, mengantuk dan kejang otot manakala jangka panjangnya pula ialah hilang daya ingatan.
“CAP terperanjat berikutan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Kesihatan Malaysia masih belum membendung bahaya ini sungguhpun telah dibangkitkan sejak 36 tahun lalu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

No comments:

Post a Comment