Friday, September 23, 2011

BILA MANUSIA TAK PENDULI HUKUM ALLAH MACAM LUPA HARI KEMATIAN SERTA HARI DIBANGKITKAN SEMULA

 TIDAK PENDULI HUKUMJurutari dibogel, dicampak

Oleh Rosliza Mohamed
am@hmetro.com.my

KOTA BHARU: Seorang jurutari lelaki berusia 20-an bukan saja melalui pengalaman hidup paling memalukan apabila dibogelkan sebelum diikat dua lelaki yang tidak berpuas hati terhadapnya, tetapi turut dicampak ke dalam tali air di Jalan Dewan, dekat Salor, Khamis lalu.
Tidak setakat itu, mangsa yang di bawa dari Tanah Merah ke sebuah rumah tumpangan di Wakaf Bharu, kira-kira jam 11 malam turut ditutup mukanya oleh pemuda berkenaan menggunakan pakaian.

Tidak tahu motif perbuatan itu, rambut mangsa turut digunting ketika berada di rumah tumpangan berkenaan, selain telefon bimbitnya dirampas suspek.
Difahamkan, sebelum kejadian mangsa yang berasal dari Tanah Merah diajak dua pemuda berkenaan ke sebuah rumah tumpangan, namun berlaku kejadian tidak diduga apabila diaibkan ketika berada dalam rumah berkenaan.

Selepas puas melakukan ‘khianat’ terhadap mangsa, dua pemuda berkenaan mengarahkan mangsa dalam keadaan bogel masuk ke dalam kereta dan dibuang ke dalam tali air dekat Salor, yang jaraknya kira-kira 15 kilometer dari Wakaf Bharu.

Sebaik suspek meninggalkannya, mangsa menyelamatkan diri.

Dia bernasib baik kerana lambaiannya disedari orang awam, sebelum kereta peronda melalui kawasan berkenaan memberhentikan kenderaan dan membawanya ke Balai Polis Kota Bharu, dekat sini, untuk membuat laporan.

Selepas sesi laporan polis selesai jam 3.50 pagi, polis menghantarnya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian ‘aib’ yang dilakukan dua pemuda berkenaan terhadap mangsa.

Berikutan kejadian itu katanya dua suspek masing-masing berusia 22 dan 24 tahun yang disyaki terbabit dengan kejadian berkenaan ditahan pada 19 September lalu jam 12 tengah hari bagi membantu siasatan.

“Kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan dan kedua-dua suspek terbabit sudah dijatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan dan dua sebatan,” katanya, semalam.

Rempuh polis lepas asmara



PERMAISURI: Panik melihat kehadiran sebuah kereta peronda polis, seorang lelaki yang asyik memadu asmara bukan saja merempuh kenderaan pihak berkuasa terbabit, malah lari meninggalkan teman wanitanya yang terkial-kial memberikan penjelasan kepada polis mengenai tindakan mereka itu.
Kejadian berlaku pada jam 1.30 pagi semalam di kawasan parkir dan rehat di hadapan sebuah kolej swasta di bandar ini ketika pasangan terbabit memadu asmara di dalam sebuah Perodua Myvi di kawasan berkenaan tanpa menyedari dua anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah melihat perbuatan mereka.

Disebabkan terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa berkenaan, lelaki itu memecut keretanya dan bergesel dengan kereta peronda polis menyebabkan bumper hadapan kereta peronda itu tercabut.

Pasangan terbabit memecut meninggalkan tempat kejadian menyebabkan anggota polis terbabit mengejar sejauh satu kilometer sebelum kereta itu tersadai di bahu jalan akibat satu tayar hadapannya pecah.

Polis membawa pelajar itu bersama kereta teman lelakinya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu, di sini, untuk siasatan lanjut. Pelajar terbabit dibebaskan selepas keterangannya diambil manakala teman lelakinya masih menghilangkan diri.

Dinding, lantai rumah pula merekah



RUNTUH... wakil penduduk Bandar Puteri 9 menunjukkan kesan tembok yang runtuh.
RUNTUH... wakil penduduk Bandar Puteri 9 menunjukkan kesan tembok yang runtuh.
PUCHONG: Selepas beberapa siri mesyuarat diadakan, masalah tanah runtuh yang menghantui penduduk Bandar Puteri 9, di sini, belum menemui penyelesaiannya apabila timbul pelbagai masalah lain selepas kejadian tembok penghadang cerun runtuh Mei lalu.
Walaupun pemaju sudah membaik pulih dinding yang runtuh, masalah menjadi lebih serius apabila berlaku rekahan di dinding serta lantai rumah penduduk di situ, sekali gus menyebabkan air dari bawah tanah keluar melalui celahan lantai itu.

Penduduk mendakwa, masalah berlaku disebabkan pemaju gagal membina sistem cerucuk yang baik bagi mengukuhkan tapak rumah dan menyediakan saluran air hujan di kawasan terbabit dengan lebih sistematik dan selamat.
Penduduk, M Paramanathan , 47, berkata selepas kejadian tembok runtuh, dia mula menyedari terdapat rekahan di beberapa bahagian pagar dan jalan sekitar rumahnya dan lebih membimbangkan rekahan terbabit semakin merebak. “Kerisauan saya tidak pernah berakhir dan tertekan apabila memikirkan kedudukan rumah saya di hujung jalan dan bersebelahan cerun.

“Sejak peristiwa tanah runtuh, kami sekeluarga tak tidur nyenyak,” katanya yang baru enam bulan mendiami rumah itu.

Bagi penduduk, Chin, 50, berkata dia berharap pemaju tidak lepas tangan memandangkan masalah itu membabitkan keselamatan dan nyawa ramai pihak.

“Saya percaya masalah ini boleh diatasi dengan adanya sistem cerucuk yang sistematik dan konsisten terutama bagi kedudukan rumah di kawasan berbukit yang berisiko berlaku tanah runtuh. “Sekiranya tiada tindakan diambil, saya khuatir perkara lebih buruk berlaku. Jika hujan lebat berlarutan setiap hari lebih banyak air akan diserap dan menjadikan dasar tanah lembut,” katanya.

Budak 2 tahun diperkosa di rumah pengasuh



PETALING JAYA: Seorang budak perempuan berusia dua tahun yang baru dibawa pulang ibunya dari rumah pengasuh dipercayai dirogol selepas mengadu sakit pada kemaluannya di Kota Damansara, di sini, kelmarin.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, ibu mangsa yang baru pulang dari tempat kerja menjemput anaknya seperti biasa di rumah pengasuh terbabit.

Bagaimanapun, setibanya di rumah, kanak-kanak itu menangis dan mengadu sakit di kemaluan dan selepas diperiksa, terdapat luka dan bengkak di bahagian berkenaan.
“Ibu mangsa membawa anaknya itu ke pusat kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.

“Wanita itu terperanjat apabila doktor mengesahkan terdapat kesan kecederaan pada kemaluan anaknya akibat tusukan objek keras,” katanya.

Menurutnya, ibu mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan awal mendapati semua penghuni di rumah pengasuh terbabit adalah wanita, namun tidak menolak kemungkinan suspek adalah orang dikenali mangsa.

‘Suami awak suami saya’

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Seorang bapa kepada sembilan anak bukan saja sanggup mengaku bujang dan muda 10 tahun berbanding usia sebenar, malah memalsukan identitinya termasuk gambar serta nombor kad pengenalan gara-gara mahu berpoligami.
Helah pengusaha baulu terbabit yang dikenali sebagai Samad, 42, dengan berkahwin lagi tanpa pengetahuan isteri pertama terbongkar apabila isterinya itu membuat semakan dengan Jabatan Agama Johor (JAJ).

Isteri pertama Samad yang mahu dikenali sebagai Rosmah, 41, berkata selain mendakwa masih bujang menggunakan sekeping surat sokongan daripada ketua kampung, suaminya turut mendakwa baru berusia 32 tahun berdasarkan nombor kad pengenalan yang ditukar sedangkan dia 10 tahun lebih tua.
“Saya mengesyaki suami bermain kayu tiga dengan janda lima anak dikenali sebagai Nora, berusia lingkungan 30-an, yang juga kakitangan syarikat milik suami berpejabat di Pontian.

“Suami semakin kerap tidak pulang ke rumah di Taman Teratai di sini, atas alasan sibuk dengan perniagaan bahulunya,” katanya, semalam.

Rosmah yang bertugas sebagai juruwang di sebuah pasar raya di Taman Teratai, berkata pada 19 September lalu, dia ke kedai suami untuk berbincang berkaitan masalah rumahtangga mereka.

Bagaimanapun, Rosmah yang juga ibu kepada sembilan anak berusia antara lima dan 24 tahun terkejut apabila mendapati suaminya sedang makan dengan Nora.

“Saya terus bertanyakan kepada suami kedudukan sebenar perkahwinan kami yang kemudian mencetuskan pertengkaran antara saya dengan Nora.
“Ketika pertengkaran, Nora mendakwa dia juga berhak kerana suami saya suaminya juga. Kenyataan itu menyebabkan saya terkilan dan sedih,” katanya.

Bagi memastikan kesahihan dakwaan Nora, Rosmah ke Bahagian Pendaftaran Nikah, Pejabat Agama Johor Bahru keesokan harinya dan bertambah terkejut selain keliru apabila melihat sijil perkahwinan serta beberapa dokumen yang didaftarkan menggunakan nombor kad pengenalan dan gambar palsu lelaki terbabit.

Rosmah yang keliru dengan penemuan itu membuat laporan polis di Balai Polis Taman Universiti pada hari sama selain membuat aduan rasmi kepada JAJ.

“Beberapa saksi pernikahan yang ditemui, seorang daripadanya adalah bapa saudara suami turut memaklumkan perkara serta peristiwa sebenar yang berlaku selepas saya cuba mendapatkan kepastian mereka.

“Bapa saudara suami memberitahu Nora adalah sepupu sebelah suami. Berdasarkan dokumen sokongan yang dikemukakan untuk bernikah, suami turut mendakwa dia bujang sedangkan dia berkahwin dengan saya ketika berusia 19 tahun,” katanya.

Menurut Rosmah, bapa saudara suami juga menyatakan lokasi pernikahan yang tercatat pada dokumen di pejabat agama itu tidak tepat salinan kad pengenalan saksi yang disertakan juga bukan saksi sebenar yang hadir ketika majlis berlangsung.

Rosmah berharap JAJ menyiasat perkara itu kerana ia membabitkan pemalsuan dokumen untuk berkahwin lain dan jika dibiarkan, lebih ramai yang akan melakukan perkara sama.

“Kakitangan di pejabat agama sewajarnya melakukan pemeriksaan terhadap dokumen milik suami atau sesiapa saja sebelum mengeluarkan sebarang pengesahan.

“Saya harap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin dan JAJ sewajarnya memanggil suami untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap JAJ ketika dihubungi mengesahkan sudah menerima aduan daripada Rosmah.

“Kami masih menjalankan siasatan terhadap aduan dikemukakan Rosmah, kami mungkin akan memanggil suaminya dalam masa terdekat untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Buat masa ini, kami sedang mengkaji beberapa dokumen yang dinyatakan oleh Rosmah,” katanya enggan mengulas lanjut

‘Bukan hudud jadi isu tapi pelaksanaan’



PUTRAJAYA: “Perkara yang menjadi perbahasan sekarang ialah mengenai pelaksanaan, bukannya hudud itu sendiri.
PUTRAJAYA: “Perkara yang menjadi perbahasan sekarang ialah mengenai pelaksanaan, bukannya hudud itu sendiri.

“(Perkara ini) nampak macam sama tapi tak sama. Ia berbeza, kita tidak boleh bercanggah soal hukum, (sebaliknya) isu implimentasi,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata, sebagai seorang Islam kita mematuhi undang-undang atau hukum dan soal hudud itu diterima.
Menurutnya, sebagai seorang Islam, dalam kerajaan, malah sesiapa pun dari parti pembangkang tidak boleh menolak perkara itu, kerana ia kenyataan dari segi hukum syarak.

“Cuma pandangan Umno mungkin berbeza di Malaysia, satu langkah yang perlu ialah memberi penjelasan, pemahaman, apa dimaksudkan dengan hudud, sama ada persekitaran ini sudah sesuai untuk kita laksanakan. “Pendirian ini sudah kita ambil sejak dulu, lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat pelbagai kaum dan agama, supaya kita dapat menyebar luaskan kefahaman itu,” katanya, diminta mengulas mengenai hudud dan pelaksanaannya.

Semalam Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dilaporkan tetap bertegas meneruskan pelaksanaan hukum hudud walaupun bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa negeri itu tidak boleh melaksanakan hudud kerana tidak kondusif.

Bagi Nik Aziz, keadaan Kelantan sudah lama kondusif untuk pelaksanaan hukum hudud dan ia dibuktikan melalui tiga asas agama yang dilaksanakan dalam pentadbiran kerajaan negeri iaitu Ubudiah, Masuliah dan Itqan.

Malah, katanya, setiap Jumaat diadakan kuliah agama yang turut membabitkannya, selain banyak pelaksanaan projek menjurus kepada keperluan rakyat, sekali gus menjadikan asas cukup kondusif bagi melaksanakan hukum hudud di negeri ini.
Muhyiddin berkata, beliau tidak fikir dalam keadaan sekarang ini sesuai untuk dilaksanakan hudud, namun pihak pembangkang atau Pas menyatakan hasrat untuk melaksanakan dari dulu lagi. “Itu soal pendirian mereka. Pendirian kita di Malaysia tak boleh nak melaksanakannya kerana situasi dan keadaan.

“Kalau Nik Aziz kata di Kelantan sampai masa sesuai, beliau nak buat, itu soal beliau. Bagi kita belum lagi, kita fikir di mana boleh dilaksanakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment