Wednesday, January 4, 2012

ALLAH TAHU MANA YANG BENAR..KITA BOLEH TIPU MANUSIA...TAPI KITA TAK BOLEH TIPU YANG PUNYA MANUSIA@MAKHLUK DAN SEGALA2NYA IAITU 'ALLAH SWT'...

Rugi RM35,000

Oleh Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my

SELONGKAR...mangsa menunjukkan bilik yang diselongkar penyamun.
SELONGKAR...mangsa menunjukkan bilik yang diselongkar penyamun.
SHAH ALAM: Gara-gara percaya individu yang datang ke rumahnya adalah kontraktor pendawaian yang diupah neneknya, seorang remaja lelaki kerugian kira-kira RM35,000 selepas barang kemas milik ibunya dan barangan elektronik miliknya dilarikan tiga lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian samun di Seksyen 19, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, anak mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Ashvindren, 18, sedang menonton televisyen seorang diri di rumah sebelum mendengar bunyi bising di tingkat bawah rumahnya.

Pelik dengan bunyi itu, mangsa turun ke tingkat bawah sebelum mendapati tiga lelaki berpakaian seperti kontraktor pendawaian di hadapan pintu rumahnya.
Katanya, dia bertanyakan tujuan mereka dan meminta mereka beredar.

“Seorang daripada suspek menunjukkan surat kononnya mereka diarahkan nenek membuat pemeriksaan pendawaian elektrik.

“Sebaik masuk, seorang daripada suspek memegang kolar baju dan meminta menunjukkan tempat simpanan barangan kemas. Dalam masa sama dua lagi suspek mengambil parang yang diletakkan dalam van di depan rumah,” katanya.

Beliau berkata, suspek meletakkan parang dilehernya dan mengugut dicederakan jika enggan menunjukkan barangan kemas. Disebabkan bimbang dicederakan, dia membawa suspek ke biliknya di tingkat atas dan suspek merampas komputer riba dan telefon bimbitnya.

Katanya, ketika suspek memunggah biliknya, ibunya Kalavathi, 42, pulang ke rumah selepas menghantar adik ke sekolah dan terkejut melihat suspek turun dari tingkat atas sebelum mengacukan parang dan meminta ibu menyerahkan barang kemas seperti gelang, rantai dan cincin jika tidak mahu dicederakan,” katanya yang mengakui masih lagi trauma.
Ashvindren berkata, ibunya yang ketakutan dan bimbang dicederakan kemudian menyerahkan semua barang kemas yang disimpan di dalam bilik dan barang kemas berkenaan dianggarkan bernilai kira-kira RM30,000.

Suspek melarikan diri bersama barangan milik mangsa.

Mangsa kemudian menghubungi pihak berkuasa sebelum sepasukan polis tiba di rumahnya bagi menjalankan siasatan dan mengesan cap jari suspek di sekitar kawasan rumah.

Bimbang kejadian sama berulang mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9, di sini, untuk tindakan selanjutnya.


D7 pantau rapi

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Dadah, pelacuran, parkir haram dan along (ceti haram). Itulah aktiviti jenayah ahli kongsi gelap...tiada satu perkara yang baik pun,” tegas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Abd Jalil Hassan.
Menurutnya, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan khasnya, Unit D7 tidak pernah memandang ringan kepada kewujudan kumpulan kongsi gelap biarpun semuanya masih dalam kawalan.

“Semua aktiviti mereka dipantau dan tiada yang terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya turut memberitahu satu mesyuarat diwakili ketua jabatan D7 seluruh negara baru diadakan baru-baru ini bagi membincangkan masalah kongsi gelap.
Abd Jalil berkata, D7 seluruh negara sentiasa bekerjasama dengan bahagian jenayah lain seperti Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memastikan pemantauan berterusan dilakukan.

“Jika babitkan dadah kita akan minta bantuan daripada JSJN, along pula daripada JSJ dan jika babitkan kegiatan parkir haram, PBT (pihak berkuasa tempatan) akan diminta bekerjasama dengan polis untuk menyelesaikannya,” katanya.

Menurutnya, selepas sesuatu operasi dilakukan di sebuah pusat hiburan, spa atau rumah kedai yang menyediakan khidmat pelacuran, polis akan segera memaklumkan kepada PBT bagi memotong bekalan elektrik dan air di kawasan itu.

Abd Jalil juga berharap kerjasama PBT lebih jitu dengan memastikan pengusaha pusat hiburan dan spa yang sudah diserbu polis kerana terbabit dalam aktiviti dadah serta pelacuran tidak diberikan semula lesen perniagaan mereka.


‘Saya tetap Melayu Islam’

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my

KOTA TINGGI: “Saya tetap Melayu Islam. Walaupun saya seorang yang suka berfesyen dan mengayakan pelbagai jenis pakaian, saya tetap mengutamakan batasan budaya dan agama dalam apa juga perkara dilakukan, malah tidak pernah terjebak dengan aktiviti sosial atau budaya negatif ‘mat salleh’.
“Sebagai umat Islam saya tetap bersolat lima waktu dan setiap malam Jumaat, saya membaca surah Yasin bagi mendapat petunjuk dalam pelajaran dan keberkatan hidup,” kata pelajar genius Nur Amalina Che Bakri, 23, ketika menjelaskan kontroversi laporan sebuah blog mengatakan dia seorang suka bersosial dan gagal dalam pelajaran serta pulang ke Malaysia secara senyap-senyap.

Nur Amalina atau lebih manja dengan panggilan Ina, ditemuramah menerusi sidang video ‘Skype’ selama hampir 45 minit bermula kira-kira jam 5.30 petang di rumah ibunya, Sabariah Hassan, 52, di Taman Sri Saujana di sini, semalam.
Malah, gadis pintar itu masih merendah diri dan berharap rakyat Malaysia terus menyokong dan mendoakan kejayaannya walaupun selepas penyebaran fitnah mengenainya itu.

Dalam temu bual yang dilakukan dalam bahasa Melayu, Ina meminta orang ramai tidak mudah percaya dengan apa disebarkan dan jangan menghukum seseorang berdasarkan perwatakannya.

“Memang ini diri Ina yang sebenar, Ina suka bergaya serta berfesyen dan ia bukan perkara baru, malah dilakukan sejak kecil lagi, mungkin timbul salah faham berikutan penampilan di khalayak seperti di sekolah atau majlis rasmi sebelum ini kerap bertudung sedangkan di rumah atau bersama keluarga, Ina tidak (bertudung).

“Ibu Ina sendiri tidak pernah melarang hobi Ina, malah membelikan pelbagai pakaian berfesyen untuk dipakai dan tidak mungkin seseorang ibu akan membelikan pakaian tidak senonoh untuk anaknya sendiri.

“Terima kasih kepada ibu kerana memberikan didikan agama yang lengkap sebagai bekalan sebelum berangkat ke United Kingdom (UK) bagi melanjutkan pelajaran, syukur sepanjang lapan tahun di sini pesanan itu masih kuat dan segar dalam ingatan,” katanya.
Nur Amalina berkata, berita negatif itu diibaratkan sebagai serangan peribadi yang tersebar di Internet namun sedikitpun tidak menjejaskan tumpuan pada pelajaran, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk terus berjaya kerana sudah lali dengan tohmahan pelbagai pihak. Dia juga berharap pihak berkenaan membuang gambar disiarkan sebelum ini dan menganggapnya sebagai perkara peribadi namun disiarkan kepada umum melalui Internet tanpa kebenarannya.

Tidak mudah melatah dengan berita negatif itu, Nur Amalina sebaliknya berkata, individu berkenaan mungkin berniat baik, tetapi cara penyampaian digunakan tidak betul hingga menyentuh sensitiviti pihak lain.

“Selain itu, pihak terbabit diharap memahami maksud ‘bersosial’ dengan lebih mendalam dan berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan atau andaian.

“Jika bersosial bersama rakan untuk melepaskan tekanan, rasanya itu tidak salah kerana pada masa sama saya tetap berpegang teguh pada ajaran agama dan tahu batasannya. Saya bukannya melakukan perkara melalaikan atau terjebak dengan kelakuan negatif seperti berfoya-foya atau maksiat sedangkan sepanjang di sini saya lebih banyak meluangkan masa di perpustakaan untuk mengulang kaji. “Tidak dinafikan itu adalah gambar saya, tetapi ia dirakam ketika Ina keluar bersiar-siar dengan rakan untuk melepaskan tekanan belajar dan bagi mereka yang pernah belajar di sini, mungkin mereka faham bagaimana susahnya berada di negara asing dengan jadual padat sedangkan semua insan memerlukan rehat.

“Memang Ina terkilan selepas membaca dan melihat gambar disiarkan...mungkin itu adalah nasihat kepada Ina, tetapi jika berniat baik gunakanlah cara betul dan bukannya menyiarkan perkara berunsur negatif,” katanya.

Nur Amalina turut mengaku kerap menghabiskan masa antara empat dan lima jam setiap hujung minggu bermain luncur ais dan boling bersama rakan sekuliah.


Ibu tak tegah Nur Amalina berfesyen



KOTA TINGGI: “Ina jaga diri baik-baik nak, sabar dengan dugaan yang menimpa...jangan mudah patah semangat dan terus berusaha mencapai kejayaan,” demikian pesanan Sabariah Hassan, 52, ibu kepada pelajar genius, Nur Amalina Che Bakri, 23, ketika dua beranak itu berhubung menggunakan panggilan video ‘Skype’ di kediaman Sabariah di Taman Sri Saujana di sini, petang semalam.
Sabariah, yang terkilan dengan penyebaran berita negatif berhubung anaknya melalui laman blog sejak beberapa hari lalu, turut memberi peluang kepada wakil media menemu bual sendiri Nur Amalina secara langsung bagi mendapatkan penjelasan dan komen berhubung penulisan serta gambar di dalam blog berkenaan.

Sabariah mengaku tidak pernah melarang Nur Amalina bergaya dan berfesyen kerana ia adalah kegemaran gadis berkenaan sejak kecil.
“Nur Amalina aktif dengan aktiviti seperti tarian dan nyanyian pada zaman persekolahannya, seingat saya dalam satu majlis dia pernah menyampaikan lagu ‘rock’ tetapi pakaian dikenakan pada waktu itu tidak melampaui batasan atau tidak senonoh.

“Jangan menghukum orang lain berdasarkan penampilan, bertudung atau sebaliknya kerana ia tidak menggambarkan keperibadian seseorang itu hingga membuat andaian negatif berdasarkan apa dilihat,” katanya.


Aksi jenayah

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

IPOH: Perbuatan jenayah seorang penganggur terbongkar apabila kerja jahatnya itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV), yang dipasang di kediamannya sendiri.
Lelaki berusia 49 tahun itu ditahan polis di kediamannya di Taman Lapangan Perdana Panorama, Simpang Pulai, di sini, jam 5.30 petang semalam berhubung penemuan mayat seorang wanita di sebuah hutan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands pada petang Isnin lalu.

Siasatan awal polis mendapati, rakaman CCTV berkenaan memaparkan aksi jenayah suspek terhadap mangsa yang dipercayai dilakukan di kediaman berkenaan sebelum mayat mangsa dicampak di hutan kecil berhampiran Perkampungan Orang Asli Kampung Juang, Simpang Pulai, di sini.
Pada petang Isnin lalu, mangsa dikenali Indeer Kaur, 22, berasal dari Persiaran Indah Rokam 3, ditemui mati dalam keadaan berbungkus selimut tebal oleh sekumpulan penduduk Orang Asli selain turut berulat dan cedera serta lebam di beberapa bahagian akibat kesan dipukul benda tumpul.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, pihaknya mengambil masa 26 jam untuk menyelesaikan kes berkenaan selepas mendapat maklumat mengenai suspek.

Beliau berkata, siasatan mendapati, suspek dan mangsa adalah pasangan kekasih, malah pihaknya juga tidak menolak kemungkinan pembunuhan bermotif cemburu.

“Ketika tangkapan dibuat, kami turut merampas beberapa bahan bukti daripada suspek termasuk dekoder CCTV, dua buah telefon bimbit, sebuah kereta jenis BMW, sebilah parang, sepasang gari, hos getah sepanjang 172 sentimeter dan gunting.

“Kami percaya bahan bukti itu digunakan suspek untuk membunuh mangsa. Siasatan juga mendapati, suspek turut mempunyai 10 rekod jenayah termasuk tiga kes (Seksyen 392 Kanun Keseksaan); Seksyen 420 KK (empat kes); Seksyen 353 KK (satu kes); Seksyen 363 KK (satu kes) dan Seksyen 380 KK (satu kes),” katanya.
Katanya, suspek ditahan reman tujuh hari berakhir 10 Januari ini bagi membantu siasatan.

Mohd Shukri berkata, pihaknya menemui beberapa keping MyKad dan lesen memandu beberapa individu bersama suspek.

“Kami percaya MyKad berkenaan disimpan suspek dipercayai diperoleh menerusi beberapa kes jenayah yang dilakukannya sebelum ini,” katanya.


Isteri kedua direman untuk siasatan

SIBU: Empat sekeluarga yang dibunuh kejam sehingga tiga daripadanya pecah kepala menimbulkan kecurigaan pihak berkuasa kerana ia disyaki didalangi individu tertentu.
Ini berikutan ketika polis tiba di rumah mangsa, tidak berlaku sebarang pencerobohan kerana kedua-dua pintu depan dan belakang dikunci dari dalam.

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang wanita yang juga isteri kedua kepada ahli perniagaan itu bagi membantu siasatan.
Pada masa sama, Mahkamah Sesyen Sibu membenarkan wanita berusia 28 tahun yang juga warga China direman tujuh hari bermula semalam.


Tarung nyawa

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my

SIBU: “Dia seorang murid pintar, malah sifatnya cukup baik,” kata seorang guru sebaik menerima khabar anak muridnya, Kelvin Ling Chei You, 8, koma selepas diserang di rumahnya menyebabkan kematian empat ahli keluarga, pagi kelmarin.
Guru wanita berusia 20-an itu yang enggan dikenali ketika ditemui melawat keluarga mangsa di Hospital Sibu berkata, empat hari sebelum kejadian, Chei You bersama mendiang bapanya, Ling Tong Hock, 36, sempat mendaftar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Sing bagi sesi kemasukan 2012.

“Saya hanya mendapat tahu berita menimpa Chei You serta empat ahli keluarganya melalui akhbar pagi tadi (semalam). Saya bersama guru lain bergegas ke hospital menziarahi keluarganya.

“Di sekolah, Chei You antara murid pintar, malah sering mendapat kedudukan terbaik dalam kelas. Kami menumpang kesedihan di atas kejadian menimpa Chei You dan ahli keluarganya,” katanya.


Dalam kejadian pagi kelmarin, empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak ditemui mati bergelimpangan masing-masing di dapur dan bilik tidur dengan tiga daripadanya didapati pecah di kepala dan ada kesan kelar di leher dipercayai dibunuh dengan kejam di rumahnya di Jalan RTM.


Peniaga daging mati ditikam



KUALA LUMPUR: Seorang penjual daging di Pasar Keramat, di sini mati dibunuh di depan rumah jirannya di Lorong Keramat 7, ketika dalam perjalanan ke tempat berniaga pagi semalam.
Pembunuhan itu dipercayai bermotif cemburu kerana mangsa dikatakan menjalinkan hubungan dengan isteri orang.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa ditikam dua kali pada perut dan belakang dengan pisau oleh seorang lelaki yang menaiki motosikal.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Rizal, 40, sempat menjerit meminta tolong sebelum jirannya keluar dan mendapatinya terbaring di atas jalan manakala suspek dilihat memecut laju motosikal meninggalkan lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, mangsa yang parah akibat tikaman itu meninggal dunia di tempat kejadian.

“Berdasarkan pemeriksaan awal, polis mendapati tiada barang berharga milik mangsa dilarikan dan tidak menolak kemungkinan pembunuhan itu bermotifkan dendam atau cemburu.

“Setakat ini, hasil keterangan saksi mendapati suspek memakai t-shirt putih dan topi keledar berpenutup penuh.

“Bagaimanapun, jenis motosikal serta nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliua berkata, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Berikutan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes berkenaan diminta menghubungi Rakan Cop Polis KL di talian 03-21159999 bagi membantu siasatan.

Mayat mangsa yang berasal dari Indonesia dan mendapat taraf penduduk tetap serta berkahwin dengan wanita tempatan itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk di bedah siasat.


‘Tengok Youtube, nilai sendiri’



PUTRAJAYA: “Tuan-tuan tengok sendiri, kita dah siarkan video itu di laman Youtube...nilai sendiri siapa bercakap benar dan siapa tak bercakap benar...nilai sendiri,” tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.
Beliau mengulas dakwaan bahawa polis mengasari mahasiswa ketika demonstrasi haram di depan kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ahad lalu.

Ismail menegaskan polis bertindak profesional menangani kejadian berkenaan dan menafikan berlaku kekasaran terhadap mahasiswa seperti didakwa segelintir pihak.
“Pertama sekali saya nak jelaskan apa yang dikatakan baru-baru ini, tak ada kekerasan langsung dilakukan polis (terhadap mahasiswa) dan saya sendiri menyiasat perkara itu.

“Saya berpuas hati iaitu kalau kita tengok betul-betul (video), Ketua Polis Daerah beri lebih 40 minit untuk kumpulan itu bersurai... tetapi mereka ‘provoke’, berpura-pura pengsan, panjat pagar universiti dan sebagainya.

“Ada juga dakwaan mahasiswa yang cedera dikatakan nazak, mana ada nazak. Periksalah dengan doktor...cedera ringan saja, itu pun akibat rempuh pintu klinik,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat pasca kabinet di Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, semalam.

Pemerhatian Harian Metro mendapati polis memuatnaik empat video bertajuk ‘Demonstrasi Mahasiswa Dihadapan UPSI 1/4 hingga 4/4’ di laman Youtube sejak kelmarin.

No comments:

Post a Comment