Lelaki diberkas berhubung kes mayat wanita dalam selimut di Simpang Pulai
Ketua Polis Perak Datuk Shukri Dahlan berkata lelaki berusia 49 tahun itu, yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau, ditahan di rumahnya di Taman Lapangan Legenda di sini pada 5.30 petang semalam.
"Polis menemui sebilah parang, sepasang gari, dua telefon bimbit, sebuah decorder, satu hos getah, gunting dan sebuah kereta jenis BMW di rumah lelaki itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Shukri berkata siasatan awal mendapati motif pembunuhan adalah sikap cemburu suspek terhadap mangsa.
Katanya lelaki itu direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Dalam kejadian Isnin lepas, Indeer Kaur a/p Jeswant Singh, 23, yang tinggal di Sungai Rokam di sini, ditemui mati akibat hentakan objek tumpul di kepala dan badan.
Mayatnya yang sudah berulat itu ditemui oleh seorang lelaki Orang Asli ketika mencari burung pada 2.30 petang.
Dalam kes lain pada Isnin, polis menahan tiga lelaki dan merampas dadah jenis heroin seberat 9.2 kg bernilai RM160,000 di dalam sebuah kereta yang dinaiki mereka di Taman Muhibbah di Sungai Siput.
Shukri berkata polis turut merampas wang tunai RM3,830 dan sebuah kereta daripada mereka.
Katanya ketiga-tiga suspek itu yang tidak bekerja dipercayai terlibat dalam kegiatan mengedar dadah sekitar Ipoh dan Sungai Siput sejak dua bulan lepas. -- BERNAMA
Saintis temui ikan jerung hibrid
|
SYDNEY - Sekumpulan saintis semalam mendedahkan mereka telah menemui jerung hibrid pertama di dunia di perairan Australia.
Ketua penyelidik berkenaan, Jess Morgan berkata, jerung hibrid tersebut terhasil daripada proses mengawan antara jerung muncung hitam Australia dengan jerung muncung hitam biasa sekali gus merupakan satu penemuan mengejutkan di bidang sains.
"Ia amat mengejutkan kerana tiada siapa pernah melihat jerung hibrid sebelum ini, Inilah bukti proses evolusi," kata Morgan.
Menurutnya, penemuan jerung hibrid itu dibuat semasa kerja merekodkan spesies jerung di perairan timur Australia baru-baru ini.
Jerung muncung hitam Australia cuma hidup di kawasan beriklim tropikal tetapi jerung hibrid tersebut ditemui di perairan lebih sejuk pada jarak 2,000 kilometer dari pantai.
Saintis percaya proses mengawan antara dua baka berlainan itu berlaku kerana adaptasi bagi membolehkan jerung muncung hitam terus hidup walaupun suhu air laut kini berubah akibat pemanasan global. - AFP
Bertan-tan ikan mati di utara Norway
OSLO - Para saintis dan penduduk tempatan keliru tentang kejadian beberapa tan ikan herring terdampar di sebuah pantai di utara Norway, lapor media kelmarin.
Seorang penduduk setempat, Jan-Petter Jorgensen yang memeriksa pantai berkenaan di Kvaenes, Nordreisa bersama anjingnya pada hujung minggu lalu berkata, terdapat beberapa tan bangkai ikan tersebut.
Antara punca kematian besar-besaran itu termasuk ikan tersebut terperangkap di dalam air pasang selepas dikejar ikan-ikan pemangsa tepian pantai.
Teori yang lain menyatakan sekawanan ikan herring itu hanyut ke tepi pantai semasa ribut baru-baru ini. Terdapat teori lain yang menyatakan ikan-ikan berkenaan terperangkap di dalam air cetek dan mati kerana terperangkap dalam air tawar dari sebatang sungai yang mengalir ke pantai berkenaan. - Dpa
Ash, Dira runding hak penjagaan anak
|
KUALA LUMPUR – Hos program sensasi Melodi, Dira Abu Zahar, 28, mengakui dia kini dalam proses perbicaraan di mahkamah untuk menuntut hak penjagaan terhadap anaknya, Tengku Anggun Deandra Tengku Shafiz-Rullah, 4, yang masih dijaganya hingga kini.
Dira yang merupakan bekas isteri kepada penyanyi kumpulan popular Gabba Gabba, Ash atau nama sebenarnya Tengku Shafiz-Rullah As Syafiee Tengku Mohd. Shahidd, 28, bercerai pada tahun 2007.
Dira atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar yang berkahwin dengan pengarah fotografi, Mohd. Helmi Mohd. Yusof pada 11 November tahun lepas, memberitahu, segala urusan masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.
“Seelok-eloknya biar mahkamah yang putuskan, saya tidak berhak memberikan sebarang komen mengenai isu ini,” ujarnya ketika dihubungi di sini semalam.
Selepas Dira dan Ash bercerai, tiada sebarang perjanjian dibuat mengenai hak penjagaan anak sebaliknya Dira mengambil alih menjaga anaknya atas dasar tanggungjawab sebagai seorang ibu.
“Sepanjang saya menjadi ibu tunggal, saya yang menjaga anak saya dan suami saya sekarang pun tidak kisah,” katanya yang enggan mendedahkan kisah peribadinya.
Bagaimanapun, menurut beliau, sekiranya mahkamah memutuskan hak penjagaan anaknya jatuh ke tangan bekas suami yang melangsungkan pernikahan bersama pelakon Sherie Merlis kelmarin, dia tidak terkilan.
Ubat curi HKL dijual kepada pasaran gelap
PETALING JAYA - Ubat-ubatan bernilai RM1 juta yang disedari hilang ketika kakitangan Hospital Kuala Lumpur (HKL) membuat pemeriksaan stok di HKL pada 28 Disember lalu dipercayai dicuri untuk dijual di pasaran gelap di negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tong Lai berkata, pihaknya percaya ubat berkenaan yang dijumpai semula di sebuah premis di Jalan Duta, Kuala Lumpur tiga hari lalu adalah untuk dijual secara tidak sah bagi mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda berbanding nilai sebenar ubat itu.
Katanya, kes berkenaan adalah serius kerana apabila ubat itu berada di pasaran gelap dan dijual secara tidak sah, ia akan menyebabkan ubat tersebut bercampur dengan ubat-ubatan tiruan dan berkualiti rendah.
Oleh itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya untuk membeli ubat-ubatan di pasaran gelap yang mungkin datang daripada hasil curi atau kualitinya tidak elok.
"Apabila sudah bercampur-campur dalam pasaran gelap, mungkin ada yang asli dan tidak, jadi sukar untuk dipastikan mana satu yang betul. Nasihat saya jangan beli terus ubat yang tidak tahu asal usulnya," katanya pada satu sidang akhbar di sini semalam.
Salleh Majid meninggal dunia
KUALA LUMPUR - Bekas Presiden, Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) (kini Bursa Malaysia) Datuk Mohd. Salleh Abdul Majid meninggal dunia semalam akibat barah usus dan kegagalan buah pinggang.
Mohd. Salleh, 62, meninggal dunia kira-kira 10.20 pagi di Hospital Kuala Lumpur di sini.
Allahyarham menjadi Presiden BSKL pada 1996 dan bersara daripada badan itu pada 2003.
Menurut anggota keluarga, jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke rumah ibunya di Kampung Pasir, Hulu Klang dan dikebumikan kira-kira pukul 5.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ar-Ridhuan, Hulu Klang.
Antara yang menziarahi jenazah Allahyarham ialah Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.
Memperoleh Master of Business Administration daripada Northern Illinois University, Amerika Syarikat sekitar 1971, Mohd. Salleh memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Pengurusan, Institut Teknologi Mara.
Amah kerabat mati tergantung
KUALA LUMPUR – Dua anggota polis di Balai Polis Desa Jaya, Kepong kelmarin tergamam apabila menemui mayat seorang amah warga Kemboja yang bekerja dengan sebuah keluarga kerabat diraja sebuah negeri di utara tanah air tergantung di jeriji tingkap tandas balai polis itu.
Mayat wanita yang dikenali sebagai Chhouy Ren, 33, itu ditemui pada pukul 6.40 petang dalam tandas tersebut dengan lehernya terjerut pada sehelai seluar yang diikat pada jeriji tersebut.
Difahamkan, dia datang ke negara ini sejak lima bulan lalu dan baru bekerja dengan majikannya yang merupakan seorang Datin berusia 45 tahun minggu lepas.
Dua hari sebelum kejadian, pembantu rumah berkenaan telah ditahan oleh pengawal keselamatan di kawasan perumahan majikannya di Valencia, Desa Jaya dekat sini pada pukul 4 petang selepas dia dikatakan telah melarikan diri sejauh dua kilometer kerana memberontak untuk berhenti kerja.
Dia melarikan diri selepas hasrat dia untuk berhenti kerja pada hari berkenaan memerlukan dia menunggu tempoh beberapa hari berikutan ejennya gagal dihubungi manakala pejabat agensi itu pula tutup sempena cuti umum.
Pihak kedutaan Kemboja pula memaklumkan pihaknya memerlukan satu hingga dua minggu untuk urusan antara amah berkenaan dengan ejen itu.
Tanpa diduga, mangsa kemudian menjerit lalu terus berlari keluar rumah sebelum dia ditahan oleh pengawal kawasan perumahan dan ditempatkan di sebuah bilik.
Keesokan harinya, pengawal berkenaan membawa mangsa ke balai polis kerana bimbang dia akan mencederakan sesiapa ekoran kemurungan yang dialaminya. Mangsa kemudian meminta tumpang sementara di balai polis itu kerana tiada tempat tinggal.
Mati ditembak masa tengah makan
JOHOR BAHRU - Belum pun selesai kes pembunuhan seorang Pegawai Perhubungan Awam (PRO) yang ditemui mati diparang ketika sedang minum teh tarik di sebuah restoran di Taman Puteri Wangsa di sini pada 25 Disember lalu, satu lagi kes serupa menimpa seorang pekerja kedai keranda semalam.
Cuma bezanya, kejadian pukul 7.13 pagi itu menyebabkan Ong Chin Loo, 48, mati di tempat kejadian dipercayai ditembak sebanyak enam das di badan oleh seorang lelaki memakai topi keledar ketika mangsa sedang bersarapan di sebuah restoran di Jalan Nakhoda, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim berkata, siasatan di tempat kejadian menemui enam kelongsong peluru.
"Kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup di premis berkenaan selain mendapatkan maklumat daripada dua lelaki yang ditahan selepas kejadian itu untuk membantu siasatan," katanya yang menyiasat kes bunuh itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, seorang saksi memberitahu, kejadian itu berlaku begitu pantas.
"Pelanggan juga panik dan tidak mampu berbuat apa-apa," ceritanya yang memberitahu polis tiba di tempat kejadian tidak lama selepas kejadian berlaku.
Gadis 15 tahun didera mertua dihantar ke India
|
KABUL - Seorang gadis Afghanistan, Sahar Gul yang berusia 15 tahun dan didera selama beberapa bulan oleh mertuanya sebagai cara untuk memaksanya menjadi pelacur akan dihantar ke India untuk dirawat, kata seorang pegawai negara ini semalam.
Ibu mertua dan kakak ipar Sahar ditangkap dan suami gadis tersebut diburu, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Sediq Sediqi.
Kes itu telah mengejutkan penduduk negara ini.
Presiden Afghanistan, Hamid Karzai menyatakan sesiapa yang didapati menggunakan kekerasan terhadap Sahar akan dihukum.
Menurut beberapa pegawai di wilayah Baghlan, mertua Sahar mengurung dia di ruang bawah tanah selama enam bulan, mencabut kukunya dan menderanya dengan menggunakan seterika panas serta mematahkan jarinya.
Polis membebaskan Sahar pada minggu lalu.
Sahar dibebaskan selepas bapa saudaranya menghubungi polis.
"Ia merupakan satu tindakan ganas dan tidak dapat diterima pada abad ke-21," kata Sediq kepada pemberita.
"Kami berterima kasih kepada bapa saudara Sahar," tambahnya.
"Jika polis tidak tiba pada masa yang tepat, dia mungkin telah mati," kata Sediq.
Semua anggota badan Sahar mengalami kecederaan, tambahnya.
Menurut Sediq, terdapat tanda-tanda tubuhnya terbakar.
Dia berkata, mertua Sahar dan beberapa anggota keluarganya dilaporkan terlibat dalam apa yang dianggapnya sebagai aktiviti jenayah termasuk menjual minuman keras dan alkohol.
Sahar telah berkahwin tujuh bulan lalu.
Jurucakap polis wilayah Baghlan, Jawad Basharat menyatakan, waran tangkap telah dikeluarkan untuk menangkap suami Sahar.
Suami Sahar kini berkhidmat dengan tentera Afghanistan.
Menurut Jawad, mertua dan beberapa anggota keluarga Sahar cuba memaksanya terlibat dalam kancah pelacuran tetapi dia tidak bersetuju menyebabkan ia menjadi salah satu punca gadis tersebut dikurung. - Agensi
Lelaki ditemui mati dalam kereta
03/01/2012 6:22pm
KUANTAN - Seorang lelaki ditemui mati dalam sebuah kereta yang diletakkan di tepi Jalan Kuantan-Gebeng, dekat Pelabuhan Kuantan di sini hari ini.
Ketua Siasatan Jenayah Polis Daerah Kuantan, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, mangsa yang belum dikenali itu berusia dalam lingkungan 30an ditemui pada kira-kira pukul 9 pagi oleh orang awam yang melalui jalan berkenaan.
"Mangsa dilihat dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kereta berkenaan tetapi didapati sudah meninggal dunia semasa polis memeriksa,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.
Punca kematian masih dalam siasatan polis. - BERNAMA
Mangsa ke-enam kereta terjunam ditemui
03/01/2012 6:33pm
LAHAD DATU - Mangsa ke-enam kereta terjunam ke dalam sungai di Kilometer 30, Jalan Lahad Datu-Sandakan di sini semalam ditemui pagi ini, kata Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supritendan Shamsudin Mat.
Beliau berkata, mayat bayi perempuan berusia 12 hari, Dhiaamanina Zahirah Mohd. Shahril Azman dijumpai pada pukul 7 pagi tadi, kira-kira 300 meter dari lokasi kereta berkenaan dijumpai.
Bayi itu yang merupakan anak pasangan Mohd. Shahril Azman Lajahamad dan Nurhidayah Chin Abdullah yang turut maut dalam nahas itu, dijumpai tersangkut pada timbunan kayu oleh pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada anggota bomba dan polis.
Beliau berkata, operasi mencari disambung pagi tadi setelah anggota keluarga mangsa memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa masih ada mangsa yang masih hilang selain mayat lima beranak yang telah ditemui semalam.
Lima mangsa yang ditemui semalam ialah Mohd. Shahril Azman, 24, pemandu kereta, isterinya Nurhidayah,21, anak perempuan mereka Nuramani Zafirah berusia setahun, ibu mentua Mohd. Shahril, Rosmina Ritwan, 45, dan adik Nurhidayah, Majelin Chin, 7.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi semalam, kereta yang dipandu Mohd. Shahril Azman gagal dikawal lalu terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai dan dihanyutkan arus deras sejauh kira-kira 200 meter.
Kejadian berlaku dalam keadaan hujan lebat dan kesemua mangsa mati lemas akibat terperangkap di dalam kereta. - BERNAMA
4 dibunuh kejam
Oleh M Hifzuddin Ikhsan dan David Tengah
bhnews@bharian.com.my
2012/01/04
Usahawan, dua anak serta ibu dipukul hingga mati angkara perniagaan
SIBU: Empat beranak, termasuk dua kanak-kanak berusia 7 dan 10 tahun dipukul hingga mati menggunakan objek tumpul di rumah mereka di RTM Road Lane di sini, semalam, dipercayai akibat pertelingkahan perniagaan.
Difahamkan, polis menahan seorang wanita warga China yang mempunyai kaitan dalam perniagaan Tong Hock petang semalam, bagi membantu siasatan.
Wanita itu ditahan berdekatan lokasi kejadian sebelum dibawa ke IPD Sibu dan dijangka ditahan reman pagi ini. Suspek berusia 30-an itu dipercayai sudah menetap lama di negara ini dan mempunyai hubungan rapat dengan keluarga mangsa termasuk menguruskan perniagaannya.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail, dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, berkata semua mangsa dipercayai dibunuh sekumpulan penjenayah yang menceroboh rumah berkenaan ketika ada antara mangsa sedang tidur.
“Siasatan mendapati mangsa dipukul beberapa kali dengan senjata tumpul di kepala dan badan. Ahli perniagaan itu turut dikelar lehernya,” katanya.
Beliau berkata, polis yakin penjenayah memasuki rumah itu untuk membunuh semua penghuninya dan menolak kemungkinan motif rompakan kerana semua barang berharga milik mangsa langsung tidak disentuh.
Kanak-kanak itu dan nenek mereka dibunuh dalam bilik di tingkat atas, manakala mayat Tong Hock ditemui di bilik tidur utama. Difahamkan, ahli perniagaan itu sempat mengarahkan isterinya keluar melalui tingkap dan menyembunyikan diri sebelum pembunuh memasuki bilik mereka.
Anggota Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, dihantar ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan, termasuk mengesan suspek yang dipercayai masih berada di negeri ini.
Shafie berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku salah faham atau pertelingkahan membabitkan Tong Hock dengan musuh perniagaan menjadi motif pembunuhan kejam itu.
“Kita masih menyiasat motif dan siasatan dibuat dari pelbagai sudut, termasuk persaingan perniagaan. Satu-satunya saksi ketika ini adalah isteri mangsa dan kita masih menunggu keadaannya stabil bagi meneruskan siasatan,” katanya.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh, manakala gerakan memburu suspek sudah dilancarkan di seluruh negeri.
No comments:
Post a Comment