Sunday, March 4, 2012

ADAKAH JADI BINTANG MENJANJI BAHGIA...MEWAH DAN TERKENAL...BAGAIMANA FITNAHNYA..DOSANYA..BERCAMPUR GAULNYA...AURATNYA...CARI KEBAHGIAN HAKIKI DIAKHIRAT....

Hanya berbakat jadi bintang

Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN, RUDY IMRAN SHAMSUDIN, AMIRUL HASWENDY ASHARI, HELLINIE SINA dan RABI’ATUL ’ADAWIYAH ISMAIL
am@hmetro.com.my

NURNAZARINA... pelajar perubatan Unimas.
NURNAZARINA... pelajar perubatan Unimas.
KUALA LUMPUR: Buat persembahan, rakam, muat naik ke YouTube dan tunggu tuah. Jika memang berbakat dan bernasib baik, rakaman itu bakal menarik minat jutaan penonton, sekali gus melonjakkan si penyanyi menjadi ‘superstar’ dalam sekelip mata.
Fenomena yang sebelum ini menggegarkan industri hiburan di Barat kini menular di Malaysia. Terbaru, ‘budak sekolah’ Najwa Latif mencipta kejutan apabila rakaman lagunya, Cinta Muka Buku yang dimuat naik ke Youtube ditonton enam juta pelayar Internet.

Walaupun ada pihak mendakwa lagu nyanyian dan ciptaan Najwa ‘biasa-biasa’ saja, pihak industri hiburan terpaksa mengalah dengan kehendak peminat kerana ia menjadi trend terkini.

Foto  Foto
Ternyata gelombang itu sungguh kuat hingga semakin ramai anak muda turut mencuba nasib menjadikan YouTube sebagai batu loncatan untuk menggapai impian bergelar penyanyi terkenal selepas kejayaan sama turut dicatat Yuna dan Zee Avi.

Terkini, beberapa remaja yang memuat naik lagu nyanyian mereka di YouTube turut dilihat mempunyai peluang cerah untuk mencipta nama. Antaranya Ainan Tasneem, Tasha Manshahar, Nur Nurnazarina, Ajek Hassan, Syed Shamim dan Amri.

Walaupun didakwa menggunakan YouTube sebagai batu loncatan supaya bakat mereka disedari penggiat seni, seterusnya menggapai impian menjadi artis, kebanyakan ‘bintang muda’ terbabit menegaskan, pada mulanya rakaman yang dimuat naik hanya sebagai tatapan teman dan keluarga.

Hal ini diakui Ainan Tasneem Ridzuan, 20, yang kini popular dengan lagu Aku Suka Dia.

“Saya memuat naik rakaman sekadar suka-suka, malah tidak pernah terlintas untuk menceburi bidang nyanyian secara serius.
“Menyanyi sekadar hobi, tak mungkin saya bergiat serius sebagai penyanyi. Ibu bapa tidak menghalang hobi itu, tetapi kurang menggalakkannya.

“Sejak kecil saya bercita-cita menjadi pensyarah dan tiada masalah untuk memenuhi permintaan mereka. Mungkin segelintir masyarakat menganggap saya menjadikan YouTube untuk menampilkan bakat, namun ia sebenarnya hanya sebagai memenuhi permintaan teman rapat,” kata penuntut Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dalam jurusan Sarjana Kejuruteraan Bioproses ini.

Bermula dengan memuat naik rakaman ‘cover version’ di Facebook (FB), Ainan dicabar menghasilkan lagu sendiri, lalu terhasillah lagu Aku Suka Dia sebelum seorang teman FB memuat naik rakaman itu di Youtube.

“Tak sangka lagu itu menarik 750,000 penonton, menyebabkan saya terus menggunakan medium itu untuk memuat naik rakaman lagu yang pernah dipopularkan penyanyi lain,” katanya yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Music Vally.

Sementara itu, gadis kelahiran Sandakan, Sabah, Tasha Manshahar atau nama sebenarnya, Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar, 20, mula memuat naik rakamannya di YouTube sejak berusia 16 tahun.

Gadis ini turut ditawarkan menjadi artis syarikat rakaman Music Valley, namun menolak kerana bimbang tidak dapat membahagikan masa antara kuliah dengan komitmennya sebagai penyanyi.

Penuntut tahun pertama Sarjana Muda Perguruan Pengkhususan Bahasa Inggeris di Institut Perguruan Ilmu Khas ini meletakkan pelajaran sebagai keutamaan kerana mahukan masa depan yang lebih terjamin.

“Memuat naik rakaman di YouTube hanya untuk berkongsi bakat dengan teman yang meminati muzik. Buat masa ini saya tak boleh melakukan dua perkara dalam masa sama. Justeru, biar saya tamatkan pengajian terlebih dulu.

“Pun begitu, minat terhadap muzik tidak pernah surut dan jika satu hari nanti saya bernaung dengan mana-mana syarikat rakaman, saya akan menyanyi tapi tetap berpegang dengan pendirian sekadar mengisi masa lapang,” katanya yang bukan saja pandai memetik gitar tetapi turut mahir bermain keyboard.

Berbeza dengan Nurnazarina Mahrif, 29, atau lebih popular dengan nama jolokan The Shy Singing Doctor, pembabitannya menghasilkan video nyanyian semula yang dimuat naik ke YouTube pada mulanya dilakukan sekadar memenuhi permintaan arwah ibunya, Rakiah Abdul Rahman yang meninggal dunia akibat barah payudara pada Ogos 2011.

“Arwah ibu sangat meminati lagu ‘Padamu Ku Bersujud’ nyanyian penyanyi Indonesia, Afghan dan meminta saya mencarikan cakera padat lagu itu atau memuat turun di Internet.

“Malangnya, saya tidak menjumpai album itu dan bertekad menyanyikannya sendiri sebagai kejutan kepada arwah ibu. Saya menyiapkan video itu dua hari sebelum kematiannya, tetapi dia tidak sempat menonton.

“Saya terkilan kerana tidak dapat menunaikan hasrat terakhirnya dan sejak itu saya aktif merakam dan memuat naik video ke Youtube. Sehingga hari ini saya ada 69 rakaman video nyanyian semua penyanyi popular dalam serta luar negara,” katanya yang bertugas di Unit Radioterapi Onkologi dan Paliatif, Hospital Umum Sarawak (HUS).

Graduan Ijazah Sarjana Muda Perubatan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu berkata, melalui sesi menyanyi, dia dapat meredakan tekanan kerja selain menjadi terapi memulihkan semangat selepas kehilangan ibu tersayang.

Mendapat dorongan bapanya, bekas wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kuching, Mahrif Bujang, 64, Nurnazarina turut diberikan sokongan oleh rakan setugas dan pesakit untuk terus menunjukkan bakat terpendam itu.

“Terbabit dalam bidang ini tidak bermakna saya mengabaikan tanggungjawab, saya hanya melakukannya pada waktu rehat atau selepas waktu kerja, malah ia sedikit pun tidak mengganggu tugas saya sebagai doktor,” katanya.

‘Tok teringin nak kahwin’

Oleh RASHIDI KARIM
am@hmetro.com.my

MASIH SIHAT... Puan yang berusia 116 tahun bersama anak,  cucu dan cicitnya ketika program Jalinan Mesra Bersama Warga Emas yang diadakan di rumahnya.
MASIH SIHAT... Puan yang berusia 116 tahun bersama anak, cucu dan cicitnya ketika program Jalinan Mesra Bersama Warga Emas yang diadakan di rumahnya.
KANGAR: Wanita tertua di Perlis, Puan Ahmad, berusia 116 tahun, yang menjanda sejak lebih 30 tahun lalu, masih menyimpan hasrat untuk bertemu jodoh dengan lelaki yang mampu menjaganya sebelum menghembuskan nafas terakhir.
“Pilihan kali ini biar di kalangan lelaki yang mampu menjaga tok. Tok tidak mahu lelaki yang laih (sudah tidak larat) seperti sebelum ini yang semuanya terlebih dulu meninggalkan tok buat selama-lamanya.

“Bagaimanapun, semuanya ketentuan Allah kerana ia membabitkan jodoh... jika hampa (pemberita) tanya sama ada tok nak kahwin lagi untuk kali ketujuh... memang tok teringin nak kahwin.
“Tok tak malu nak sembunyi hasrat untuk berkahwin yang mungkin kali terakhir jika bertemu jodoh sesuai. Ciri-ciri pilihan suami kali ini biarlah lebih bertenaga daripada tok,” katanya yang mampu mendengar dengan jelas dan mempunyai penglihatan yang baik ketika ditemui di rumahnya di Padang Keria, Sanglang, dekat sini, semalam.

Terdahulu, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia (PKSM) menganjurkan Majlis Kenduri Rakyat serta program Jalinan Mesra Bersama Warga Emas di rumah Puan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan isteri, Datin Seri Asiah Asmuni hadir menyampaikan sumbangan terbabit. Puan turut menerima bantuan sara hidup berjumlah RM300 sebulan daripada JKM.

Hadir sama, Pengerusi PKSM, Datuk Mustika Junaidah Hussin serta anak kedua dan ketiga Puan, Teh Man, 65, dan Mat Yusop, 63.

Puan pernah berkahwin enam kali dan mempunyai empat anak selain 19 cucu dan 47 cicit. Bagaimanapun, semua enam suami yang dikahwini sudah lama meninggal dunia.
Mengulas lanjut, Puan berkata, dia hasrat memperoleh jodoh di kalangan lelaki lebih muda daripadanya bagi membantu melakukan kerja harian di rumah bagi mengelak bebanan terus kepada anak.

“Tok tak mahu terus membebankan anak kerana mereka juga ada tanggungjawab lain. Walaupun menetap bersama seorang anak di rumah ini, semua kerja harian tok lakukan sendiri.

“Anak tak bantah hasrat tok nak kahwin lagi jika bertemu jodoh,” katanya

Hati Fouziah dimiliki

Oleh HELLINIE SINA
hellinie@hmetro.com.my

FOUZIAH... masih idamkan watak mencabar.
FOUZIAH... masih idamkan watak mencabar.
WALAUPUN tahun ini usia menginjak 30 tahun, pelakon berkulit cerah dengan fizikal tinggi lampai, Fouziah Gous, masih kelihatan cantik tatkala menyarungkan busana pelbagai fesyen yang diberikan padanya.
Mungkin sukar dipercayai wanita secantik ini masih solo walhal rakan-rakan seangkatan dengannya sudah mempunyai buah hati dan ada yang sudah berumahtangga. Sebagai wanita, pemilik nama sebenar, Nor Fouziah Mohd Gous ini turut menyimpan hasrat menjadi suri kepada seorang lelaki bergelar suami.

Tidak dapat disangkal, ramai lelaki yang mahu mendampingi pelakon yang mula mencipta nama menerusi beberapa siri drama dan filem itu sama ada orang biasa, pelakon atau orang kenamaan. Malangnya, hanya seorang yang berjaya menyentuh hati kecilnya.
Mengakui kini sedang berkawan rapat dengan seseorang, Fouziah tidak menolak kemungkinan dia akan mengakhiri zaman bujang pada tahun ini. Bagaimanapun, anak bongsu daripada lima beradik itu masih berteka-teki mengenai identiti jejaka tersebut. “Saya bukannya robot yang tidak mempunyai perasaan untuk berkahwin. Dari segi fizikal dan mental, saya sudah bersedia untuk menjadi isteri. Apatah lagi saya ini jenis yang lebih pentingkan keluarga berbanding perkara lain. “Cukuplah jika saya katakan saya mempunyai seseorang tetapi masih tahap sebagai rakan. Bagaimanapun, dia berjaya menyentuh hati saya untuk mengenalinya. “Sudah pasti lelaki yang menjadi pilihan saya adalah seseorang yang baik hati, memahami kerjaya saya, seorang yang kelakar dan dapat memberikan bimbingan agar menjadi lebih baik,” katanya.

Mempunyai impak besar ketika mula-mula menceburi bidang seni, namun sejak akhir-akhir ini semakin kurang cerita mengenai gadis manis ini kita dengar mahupun terpampang di akhbar. Adakah dia sudah dilupakan? Boleh dikatakan mempunyai pakej yang lengkap namun tidak tahu di manakah silapnya kerana beberapa filem yang mempertaruhkan bakatnya secara kasar dilihat kurang ‘menjadi’.

Bagi Fouziah, keadaan itu tidak menjadi alasan baginya untuk berhenti dari terus berlakon apatah lagi peminatnya sentiasa menantikan naskhah terbaru dari gadis kelahiran Kuala Lumpur ini.

“Mungkin belum tiba rezeki saya untuk ‘meletupkan’ filem itu dengan lakonan saya. Apatah lagi watak yang diberikan pada saya adalah sama saja. Bukan mahu ‘demand’ tetapi saya sendiri bosan memegang watak yang sama, apatah lagi penonton.

“Siapa yang tidak mengidamkan untuk berlakon di layar perak cuma buat masa ini saya masih belum mempunyai rezeki untuk memegang watak mencabar. Ada juga empat atau lima tawaran memegang watak yang saya idamkan itu cuma masa tidak sesuai menyebabkan saya menolak tawaran terbabit,” tambahnya.
Fouziah yang pernah membintangi drama Sangga Saadah, Impak Maksima The Series serta filem Anak Mami, Rasukan Ablasa dan Dua Hati Satu Jiwa, tidak kisah sekiranya dia lebih banyak berlakon dalam drama bersiri mahupun telefilem berbanding filem kerana dia mementingkan karakter watak yang dipegangnya. Bekas pramugari ini sanggup meninggalkan kerjaya terbang di langit biru hanya kerana cintanya terhadap seni. Katanya, dia juga tidak meletakkan rezekinya pada populariti tetapi hasil memuaskan. Fouziah kini sibuk dengan drama bersiri Trilogi Cinta musim kedua. “Untuk musim kedua ini, saya harus memberikan lebih baik daripada musim pertama kerana maklum balas daripada peminat pada musim lalu agak baik. Sudah pasti mereka memberikan harapan yang tinggi untuk Trilogi Cinta musim kedua ini.

“Bagaimanapun, tidaklah sehingga menyebabkan saya tertekan. Pengalaman yang saya dapat sepanjang menceburi bidang lakonan ini digunakan sebaik mungkin.

“Saya sendiri tidak tahu apakah ‘ending’ bagi musim kedua ini kerana saya hanya menumpukan pembacaan skrip sehingga episod 10. Saya tidak mahu tekanan mental mengganggu plot yang lain,” katanya. Tidak mahu komitmennya dengan penggambaran drama bersiri ini terganggu, Fouziah yang memegang watak sebagai Norjinah membuat keputusan untuk tidak mengambil projek besar lain sepanjang dalam tempoh empat hingga lima bulan.

GRO menyanyi separuh bogel

Oleh MUHAAMAD HAFIS NAWAWI
mhafis@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Aksi ‘catwalk’ pelayan pelanggan (GRO) sambil menari dan menyanyi dengan pakaian separuh bogel menjadi santapan mata buat pelanggan sebuah pusat hiburan di Kepong, di sini.
Pusat hiburan yang tahun beroperasi itu menyediakan pentas ‘catwalk’ di tengah premisnya sebagai tarikan kepada pengunjung untuk melihat aksi ghairah wanita Thailand dan Vietnam terbabit.

Pelanggan yang gagal mengawal nafsu pula dikatakan boleh melanggan GRO terbabit yang turut menyediakan khidmat seks dengan bayaran mahal.
Bagaimanapun, kegiatan tidak bermoral itu akhirnya terbongkar selepas diserbu sepasukan anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur diketuai Pegawai Turusnya, Deputi Superintendan Azman Mohd Isa, awal pagi tadi.

Dalam serbuan jam 1.30 pagi, 14 GRO warga Thailand dan seorang wanita Vietnam berusia 20 hingga 35 tahun tergamam sebaik menyedari pusat hiburan itu diserbu polis ketika mereka leka melayan pelanggan.

Malah, sebahagian mereka ketika itu asyik menyanyi sambil menari dengan pakaian mengghairahkan di atas pentas.

Azman berkata, polis mengadakan intipan di pusat hiburan terbabit sejak seminggu lalu selepas menerima aduan orang ramai mengenai kegiatan tidak bermoral di premis itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati pusat hiburan itu yang beroperasi sejak lima tahun lalu bertukar majikan dan tidak mempunyai lesen selepas gagal diperbaharui.
“Pusat hiburan ini menggunakan khidmat GRO dengan menyediakan pentas ‘catwalk’ dan wanita terbabit akan menari, menyanyi dalam aksi mengghairahkan dengan pakaian seksi.

“Kita percaya mereka turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan yang memberi tawaran lumayan bergantung kepada cara mereka memujuk GRO terbabit,” katanya selepas operasi.

Azman berkata, semua mereka memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

Katanya, seorang wanita tempatan berusia 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Kita akan berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya tidak memperbaharui lesen premis terbabit selain akan mengeluarkan saman kepada pemiliknya,” katanya.

  • Foto AINAN... lagu Aku Suka Dia

No comments:

Post a Comment