Monday, July 16, 2012

PERKARA YANG DIHARAMKAN MEMANG PATUT BERHENTI

Bandar Puchong mirip Hatyai

SEORANG wanita sedang menunggu pelanggan di lorong belakang sebuah pusat hiburan di bandar Puchong, Selangor.


KUALA LUMPUR - Daerah Puchong di Selangor yang selama ini terkenal sebagai pusat pengeluar pelbagai barang industri kini bertukar imej sebagai bandar yang menyediakan khidmat urut dan seks secara berleluasa.
Tinjauan Kosmo! di kawasan tersebut baru-baru ini menimbulkan kejutan apabila jumlah pusat urut dan seks bukannya seberkurangan sebaliknya bertambah kepada sekurang-kurangnya 40 buah.
Bagi sesiapa yang sekali-sekala berkunjung ke Puchong pada waktu malam pasti terkejut dengan gemerlapan lampu-lampu neon menerangi unit-unit kedai yang dijadikan pusat seks.
Dipendekkan kata, kewujudan pusat urut seks di sekitar bandar ini sejak empat tahun lalu menukar imejnya seakan-akan Hatyai di Thailand yang terkenal dengan tawaran khidmat seks.
Lebih memburukkan keadaan, bisnes haram itu bukan sahaja semakin berkembang malah menyaingi kepesatan aktiviti perniagaan komersial yang terdapat di situ.

Panglima Angkatan Tentera isytihar berhenti merokok mulai semalam




KUALA LUMPUR - Lebih 100,000 anggota tentera di seluruh negara wajar mencontohi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin (gambar) yang mengisytiharkan bahawa beliau berhenti merokok mulai semalam.
Berusia 58 tahun, Zulkifeli yang merupakan perokok tegar mengambil keputusan tersebut kerana mahu seluruh anggota tentera tidak membazirkan wang untuk membeli rokok yang merosakkan kesihatan.
Langkah tersebut, kata beliau, adalah selaras dengan Kempen Perangi Rokok yang dianjurkan ATM ketika ini.
"Ramai anggota tentera yang merokok sedangkan ia amalan tidak sihat dan boleh menjejaskan fizikal serta kesihatan mereka.
"Sebelum ini saya seorang perokok tegar tetapi sempena kempen perangi rokok anjuran ATM yang sedang diadakan, saya mengambil keputusan untuk tidak lagi merokok.
"Jika tabiat ini tidak dihentikan dalam kalangan ATM, ia bukan sahaja mengganggu tahap operasi malah wang turut dibazirkan semata-mata untuk membeli rokok," katanya.

Muhdalena didakwa bawa pedang


MUHDALENA


PUTRAJAYA – Kejadian ceroboh dan amuk hingga menggemparkan petugas Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini minggu lalu memasuki episod baharu apabila wanita yang cedera selepas terkena tembakan di pahanya didakwa atas dua pertuduhan mencederakan anggota polis dan membawa sebilah pedang.
Muhdalena Ahmad, 28, yang masih dirawat bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd. Kafli Che Ali ketika prosiding dilakukan di Wad 3B Ortopedik B28, Hospital Putrajaya yang bersidang sebagai Mahkamah Sesyen Putrajaya semalam.
Mohd. Kafli hadir dengan diiringi seorang jurubahasa, pendaftar Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Balkiah Yazaid serta beberapa pegawai polis pada pukul 11.55 pagi
Mengikut pertuduhan pertama, lulusan Universiti Islam Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM) itu didakwa mengugut dengan niat mencederakan Ridzuan Megat Ahmad di Kompleks B, JPM, Presint 1, Putrajaya pada pukul 2.30 petang 9 Julai lalu.
Dalam pertuduhan kedua pula, ibu kepada dua anak itu didakwa membawa senjata berjadual iaitu sebilah pedang di tempat dan waktu yang sama.

Kejutan balik rumah


RAHIM menunjukkan kesan besi yang dipotong penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Taman Sutera Seksyen 2, Batu Berendam kelmarin.


MELAKA - Seorang lelaki warga emas kerugian RM70,000 apabila barangan berharga seperti geran, sijil pelaburan bank dan kereta jenis Proton Waja dilarikan perompak yang memecah masuk rumah dua tingkat miliknya di Taman Sutera Seksyen 2, Batu Berendam di sini kelmarin.
Kejadian itu disedari Rahim Baba, 80, apabila beliau yang baru tiba di negeri ini dari Singapura pada pukul 2.30 petang mendapati kereta miliknya yang diletakkan di garaj ghaib. Bagaimanapun, pintu pagar masih tertutup rapat.
Rahim yang menetap di negara itu memberitahu, dia yang terkejut kemudian terus masuk ke dalam rumah sebelum mendapati keadaan di dalamnya berselerak.
Katanya, ketika itu, rumahnya tidak berpenghuni.
"Pemeriksaan di tingkat atas pula mendapati pintu bilik tidur utama berlubang diumpil penjenayah dengan benda tajam.
"Sebaik diteliti, saya dapati beberapa dokumen penting seperti geran tanah serta rumah dan sijil pelaburan bank bernilai RM10,000 lesap," ceritanya yang dilahirkan di Alor Gajah di sini.

Suami isteri terbakar ketika tidur


KEADAAN bilik pasangan suami isteri yang terbakar dan menyebabkan mereka melecur di Kampung Cenderawasih, Pekan kelmarin.


PEKAN - Seorang pelajar tingkatan empat bertindak berani apabila menyelamatkan ibu bapanya yang sedang terbakar dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Cenderawasih di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 2.30 pagi, ibu kandung dan bapa tiri Mohd. Amri Abu Bakar, 16, melecur teruk di seluruh tubuh selepas bilik tidur mereka terbakar.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan itu berkata, dia yang berada di ruang tamu terhidu bau asap sebelum terdengar jeritan ibu bapanya.
"Ayah tiri saya, Abdul Karim Mohamad dan ibu saya, Saidah Talib kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)," kata gadis itu.

Tangguh gaji perkara biasa - MB




ALOR SETAR – Perpindahan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) ke kampus baharu di Kuala Ketil, Baling yang dijangka pada hujung tahun ini menjadi keutamaan kerajaan negeri buat masa ini kerana ia memerlukan perbelanjaan besar dan perancangan rapi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) berkata, justeru ada beberapa perkara yang perlu ditangguhkan misalnya pelarasan gaji kakitangan kolej itu seperti yang dinikmati kakitangan awam.
Beliau berkata, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi swasta, Kuin sebenarnya tidak tertakluk kepada mana-mana peruntukan mewajibkan institusi itu mengikut arahan yang terkandung di dalam pekeliling dikeluarkan kerajaan Persekutuan.
“Kuin adalah institusi swasta yang ditubuhkan kerajaan negeri dan hanya mendapat bantuan subsidi sebanyak RM12 juta setahun. Selain itu pendapatan Kuin bergantung kepada yuran pelajar,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Leong Yong Kong (BN-Gurun) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini semalam.

Suntikan vaksin HPV 18 tahun bermula


TENGKU ADNAN bersama Aminah (kanan) menyampaikan replika kad Program Vaksinasi HPV kepada seorang pelajar Kolej PTPL di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA — Program suntikan vaksin HPV (Human Papilloma Virus) percuma kepada wanita berumur 18 tahun bermula semalam dengan fasa pertama membabitkan penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Ketua Pengarah, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman berkata, bagi fasa kedua yang melibatkan lain-lain negeri akan bermula bulan depan.
Menurut beliau, program itu merupakan usaha mempromosi suntikan vaksin bagi mencegah kanser serviks (pangkal rahim).
“Suntikan untuk kumpulan wanita berumur 18 tahun ini dibuat selepas suntikan bagi kumpulan wanita berumur 13 tahun dimulakan tahun lalu melalui Belanjawan 2012 yang menyaksikan kerajaan menyediakan peruntukan RM50 juta bagi tujuan itu,” katanya.

Cipta peralatan kecergasan dengan kayu


TITOV melihat anaknya menguji salah satu peralatan kecergasaan yang diciptanya di pekarangan rumah mereka di Novopyatnitskoye kelmarin.


MOSCOW - Seorang ahli psikologi lulusan Universiti Negeri Leningrad, Valery Titov mencipta lebih 20 peralatan kecergasan dengan menggunakan kayu.
Peralatan itu dihasilkan dengan menggunakan kayu pain Angara dan cedar tanpa sebarang komponen logam.
Titov yang berusia 63 tahun yang merupakan seorang penternak lebah tinggal di Novopyatnitskoye, 120 kilometer ke timur bandar Krasnoyarsk, Rusia.
Menurutnya, buat masa ini, tiada pelabur dan ahli perniagaan yang berminat dengan ciptaannya itu. - Reuters

Pusat pelupusan sampah berbau amat busuk di Songjiang


SEORANG lelaki yang menunggang motosikal menutup hidungnya semasa melintasi sebuah pusat pelupusan sampah di Songjiang pada 7 Julai lalu.


SHANGHAI, China - Beberapa penunggang basikal dan motosikal menutup hidung mereka apabila mereka melalui sebuah pusat pelupusan sampah di Songjiang di sini.
Apabila angin bertiup, penduduk boleh menghidu bau yang busuk dari pusat pelupusan tersebut.
Bau sampah itu cukup kuat sehingga boleh menyebabkan seseorang itu muntah dan menyebabkan kecacatan bayi dalam kandungan.
"Semua sampah di Songjiang dihantar ke sini. Ini ialah daerah perumahan. Menurut beberapa penduduk, jika mereka menghidu bau sampah itu, bayi anda yang akan dilahirkan kelihatan ganjil," kata seorang penduduk, Chen Chunhui.
Ratusan orang menunjuk perasaan pada Mei lalu manakala puluhan lagi pada awal Jun lepas bagi membantah operasi pusat pelupusan sampah itu. - AFP

Merokok Dari Pandangan Islam

 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.



Keterangan/Hujah: 
 

1.  Keputusan yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tersebut adalah bersandarkan kepada hujah-hujah berikut:
 
i. Rokok mengandungi pelbagai jenis racun. Fakta daripada kajian-kajian perubatan telah membuktikan bahawa setiap batang rokok mengandungi 6-8 mg. nikotian dan pelbagai bahan kimia lain. Setiap sedutan asap rokok sebenarnya kita telah menghidu sebanyak 4,000 jenis bahan kimia yang boleh memudharatkan badan.
 
ii. Ketagihan tembakau bukan hanya menimbulkan masalah kepada perokok, malah ia berada di tempat keempat dalam senarai faktor risiko bagi penyakit serius yang menular di seluruh dunia. Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko barah, penyakit jantung dan masalah pernafasan. Terdapat beberapa jenis penyakit yang berpunca dari merokok, antaranya ialah kanser kerongkong, kanser mulut, katarak (sejenis kerosakan mata yang menyebabkan kanta mata berselaput dan rabun), ulser perut, penyakit jantung, strok, penyakit paru-paru, emfisema paru-paru dan banyak lagi.
 
iii. Pada masa kini jumlah perokok sama ada dinegara maju atau negara membangun masih begitu besar, walaupun berbagai usaha telah dibuat oleh Kerajaan serta badan-badan sukarela bagi menyedarkan orang ramai tentang bahayanya merokok kepada orang ramai. Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30% daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esophagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut. Sebanyak 50% kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok. Kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk merawat berbagai jenis penyakit yang dikaitkan dengan tabiat merokok dan negara juga mengalami kerugian kira-kira RM 20 billion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.
 
iv. Imam al-Syafi’e telah mengeluarkan fatwa dalam kitabnya yang masyhur al-Umm iaitu:” Jika mereka mengambil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu dan disedut) yang boleh memabukkan, maka perbuatan itu adalah jelas haram. (Termasuklah) yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku tetap menganggap (menfatwakan) ia adalah haram. Allah swt mengharamkan (apapun jenis) pembunuhan kerana pembunuh bermakna membunuh diri sendiri”.
 
v. Para ulama’ sepakat menyatakan bahawa merokok hukumnya haram kerana ianya jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara keji, berdasarkan nas-nas berikut:
 
a. Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.
 
b. Firman Allah swt dalam Surah al-A’raf ayat 157 yang bermaksud; “ Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.
 
c. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “ Tidak boleh memberi mudharat dan membalas dengan kemudharatan”. (Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)
 
d. Kaedah Usul Fiqh: درء المفاسد مقدم على جلب المصالح yang bermaksud “ menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”
 
e. Imam Ibn. Hazm dalam kitabnya al-Muhalla, jilid 7, halaman 503 (masalah no. 1027) menegaskan bahawa : “Pemborosan adalah haram”. Yang dimaksudkan dengan pemborosan di sini ialah:
 
i. Membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah swt, samada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.

ii. Pembaziran yang tidak ada keperluannya.

iii. Membuang wang, betapa kecilpun jumlahnya kerana dengan membuang tanpa tujuan itu menjadikannya sia-sia.
 
vi. Beberapa negara Islam dan beberapa ulama’ muktabar telah mengeluarkan fatwa tentang amalan merokok.
 
Antaranya seperti berikut:
 
a. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya adalah hukumnya haram kerana daripadanya terdapat kemudharatan.
 
b. Ulama’-ulama’ semasa Mesir seperti Dr. Abdul Jalil Shalaby mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan masyarakat.
 
c. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya “Fatawa al-Imam Abdul Halim Mahmud” telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan.
 
2. Hukum pengharaman arak dan khinzir tidak boleh disamakan dengan hukum haram merokok kerana hukum pengharaman terhadap arak dan khinzir telah dinyatakan secara jelas dan qat’ie oleh Allah swt dalam kitab suci al-Quran. Manakala hukum pengharaman terhadap perbuatan merokok telah diistinbatkan oleh para jumhur ulama’ terdahulu dan masa kini bersandarkan hujah-hujah kepada nas-nas syarak yang jelas dinyatakan seperti al-Quran, al-Hadith, Ijma’ Ulama’, Qaedah-qaedah Fiqhiyah dan sebagainya. Ayat-ayat al-Quran dan hadith seperti yang dinyatakan di atas jelas telah memperincikan isu ini.
 
3. Al-Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, bekas Mufti Mesir dalam Kitabnya Fatawa Syariyyah Wa Buhuth Islamiyah menyatakan:

“ Sesungguhnya tumbuhan (tembakau) ini dahulunya belum dikenali. Apabila ia diperkenal dan digunakan oleh manusia untuk merokok, maka ulama’-ulama’ fiqh daripada pelbagai mazhab Islam telah membincangkannya untuk menetapkan hukumnya berdasarkan prinsip (qaedah fiqhiyyah) yang telah ditetapkan.”

“Sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu harus. Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal melainkan adanya perkara-perkara yang mengubah hukumnya menjadi haram atau sebagainya.”
 
Dalam isu merokok ini, sebab yang menjadikannya haram ialah kesan mudharat dan bahayanya sehingga meruntuhkan lima asas utama (al-Kulliyatul Khams) yang wajib dipelihara oleh setiap manusia iaitu agama, jiwa, maruah keturunan, akal dan juga harta.

Punca kematian anak Stallone belum diketahui


GAMBAR fail menunjukkan Sage (kiri) bersama bapanya, Stallone di Los Angeles pada 5 Disember 1996.


LOS ANGELES - Bedah siasat ke atas anak lelaki aktor Hollywood, Sylvester Stallone, Sage dilakukan di sini kelmarin selepas dia meninggal dunia secara mengejut, kata beberapa pegawai.
Anak sulung Stallone itu yang juga seorang pelakon ditemui mati di kediamannya pada Jumaat lalu di Hollywood.
Beberapa laporan mendakwa Sage, 36, mati akibat pengambilan dos dadah berlebihan.
Menurut agensi berita AFP semalam, jurucakap Pejabat Koroner Daerah Los Angeles, Cheryl MacWillie berkata, keputusan ujian toksikologi akan mengambil masa sekitar 10 minggu selepas bedah siasat itu dilakukan.
Sejumlah botol ubat preskripsi telah dibawa anggota-anggota pihak berkuasa daripada kediamannya.
Namun, pihak berkuasa menyatakan ubat tersebut mungkin antara punca kematiannya.
Menurut Penolong Ketua Koroner Daerah Los Angeles, Ed Winter, tiada tanda-tanda perbuatan khianat, trauma atau sekeping nota bunuh diri ditemui pada mayatnya.
Sage pernah muncul dalam filem Rocky V sebagai Rocky Balboa Jr. bersama Stallone pada tahun 1990 dan mereka turut bergandingan pada tahun 2006 dalam filem Daylight.
Stallone berada di San Diego untuk mempromosikan filem terbaharunya, Expendables 2 apabila dia diberitahu mengenai kematian anaknya.
Menurut peguam Stallone, George Braunstein, Sage tidak kelihatan murung sebelum kematiannya.
"Dia berfikir tetang perkahwinannya," katanya.
Sage dikatakan akan melangsungkan perkahwinannya dengan kekasih lamanya di Las Vegas. - Agensi

No comments:

Post a Comment