Thursday, January 6, 2011

BERZINA...MENYEBARKAN PENYAKIT...ROSAKKAN NILAI MANUSIA...MENJADI PUNCA PENYAKIT MASYARAKAT...DLL KEJAHATAN...DALAM PADA ITU DAPAT DUIT....SERTA KAYA...WANITA JADI MANGSA....

Tarik nafas hilang marah



KUALA LUMPUR: “Jika seseorang itu berada dalam keadaan marah, mereka perlu beredar daripada tempat kejadian ataupun menarik nafas panjang bagi menghilangkan kemarahan itu,” kata Pakar Perunding Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Osman Che Bakar.
Katanya, cara itu penting bagi mengelak berlaku perkara lebih buruk sehingga membabitkan kematian atau kecederaan parah akibat tidak dapat mengawal kemarahan seterusnya bertindak agresif. “Jika beragama Islam, individu boleh beristighfar dan mengambil wuduk untuk meredakan kemarahan,” katanya. Beliau mengulas kejadian menimpa seorang lelaki berusia 35 tahun yang parah selepas ditikam di belakang badan, leher dan pipi oleh tuan rumahnya hanya kerana mangsa gagal melunaskan sewa RM400 di Jalan Ipoh.

Ketika mengulas mengenai betapa mudahnya individu kini mengambil jalan sendiri menghukum orang lain dengan cara kekasaran, beliau berkata, ia berpunca daripada tekanan hidup. “Banyak tekanan berlaku termasuk di segi perhubungan dan karier sehingga mendorong mereka tidak dapat berfikir dengan waras dan bertindak melulu,” katanya. Oleh itu, katanya, amalan gaya hidup sihat, termasuk senaman dan pengambilan makanan yang betul selain berhubung dengan keluarga amat penting bagi mengatasi tekanan. Selain itu, katanya, perangai individu juga boleh berubah dan menjadi agresif dengan pengambilan dadah. Akhbar semalam melaporkan hanya kerana gagal melunaskan tunggakan sewa rumah selama sebulan, mangsa yang parah itu akibat ditikam pemilik rumah terbabit di rumahnya. Difahamkan, mangsa yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) masih tidak sedarkan diri, namun keadaannya dilaporkan stabil. Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek berusia 41 tahun ketika tuan rumah terbabit datang memungut duit sewa. Mangsa menyewa rumah milik suspek sejak setahun lalu, namun disebabkan dia kini menganggur, mangsa tidak dapat melunaskan bayaran sewa terkini lebih RM400 menyebabkan suspek berang sebelum berlaku pertengkaran dan pergelutan.



Tanam janin waktu malam



KOTA KINABALU: Kecurigaan dua sahabat melihat kelibat dua manusia menyiram air selepas menanam sesuatu di kawasan lapang di Pusat Komersial Salut di sini, malam kelmarin membongkar satu lagi cubaan menyembunyikan janin akibat pengguguran haram yang dipercayai dilakukan pasangan terlanjur.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, Noor Mohamad Mat, 23, dan Pance Fransisu, 22, yang kebetulan berada tidak jauh dari lokasi kejadian itu tidak menyangka kehadiran seorang lelaki dan wanita di kawasan lapang itu untuk mengebumikan janin bayi yang dipercayai berusia lima bulan itu.

Noor Mohamad berkata, ketika itu dia dan rakannya melepak di kawasan berkenaan dan pada awalnya dia menyangka pasangan berkenaan menanam bangkai haiwan peliharaan kesayangan mereka.
“Ketika itu saya melihat seorang lelaki dan seorang wanita bertudung dalam keadaan mencangkung menggali tanah dan menimbusnya semula sebelum membuang sebuah kotak kecil ke kawasan berhampiran.

“Lelaki berkenaan dilihat terus ke kereta Proton Iswara mengambil sebotol air dan menyiramnya ke atas tanah yang digali itu sebelum diikuti wanita terbabit,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, pasangan berkenaan dilihat beredar ke sebuah restoran untuk menjamu selera sebelum meninggalkan kawasan berkenaan tidak lama kemudian.

“Sebaik yakin mereka sudah beredar, saya dan rakan tergerak untuk menyiasat apakah sebenarnya dilakukan pasangan berkenaan di kawasan lapang di situ kerana kami bertambah curiga apabila mendapati kotak yang dibuang pasangan berkenaan ada kesan darah.

“Pance memberanikan diri menggali semula tanah itu dan kami terkejut apabila mendapati satu bungkusan kain putih yang tertanam di dalam lubang itu mengandungi janin,” katanya.
Mengesyaki perkara itu ada kaitan dengan cubaan menyembunyikan pengguguran haram, mereka menghubungi Balai Polis Manggatal untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan penemuan janin bayi terbabit.

Katanya, polis sedang giat mengesan kenderaan yang dinaiki pasangan mencurigakan itu dan percaya kejadian ada kaitan dengan cubaan menyembunyikan pengguguran janin secara haram.

“Janin dipercayai berusia lima bulan itu dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat dan kami melakukan siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta memberi kerjasama bagi mengesan suspek atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu 088-242111,” katanya.

Dua hari lalu, Harian Metro melaporkan penemuan janin berusia enam bulan di tempat pembuangan sampah tidak jauh dari lokasi penemuan terbaru kelmarin.





Angkat sumpah depan MB tiada kaitan dengan pelantikan

SHAH ALAM: Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor yang baru dilantik, Datuk Mohd Khusrin Munawi perlu hadir dalam majlis mesyuarat kerajaan tetapi sebelum hadir, beliau perlu mengangkat sumpah simpan rahsia di depan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Ahli Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Salehuddin Saidin berkata, angkat sumpah simpan rahsia itu tiada kena-mengena dengan lantikan tetapi sekadar menyimpan rahsia dan pengakuan tidak boleh mengeluarkan sesuatu dibincang dalam mesyuarat itu.

“Ia tidak menjejaskan perjalanan dan pentadbiran kerajaan negeri kerana kuasa terletak kepada SUK. Tetapi sebelum boleh hadir mesyuarat kerajaan negeri, wajib angkat sumpah simpan rahsia dan kalau tidak, tidak boleh hadir kerana tidak diikrarkan menyimpan rahsia.
“Biasanya selepas SUK dilantik, beliau perlu hadir majlis mesyuarat kerajaan sepenuhnya dan sebelum itu dibenarkan mengangkat sumpah simpan rahsia.

“Apabila pelantikan SUK dibuat mengikut prosedur, perlu diuruskan untuk angkat sumpah simpan rahsia di depan MB dan selepas angkat sumpah taat setia di depan Sultan Selangor, sepatutnya perkara ini diteruskan kerana SUK ada hak hadir majlis mesyuarat kerajaan negeri,” katanya.

Bagaimanapun, bekas Ketua Pendakwaraya Negeri Selangor itu berkata, tiada peruntukan undang-undang berkaitan sekiranya MB enggan membenarkan SUK mengangkat sumpah simpan rahsia.

Beliau berkata, dalam peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, tidak dinyatakan perlu berunding dengan MB mengenai pelantikan SUK sebaliknya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) berhak mencalonkan nama dan kerajaan negeri terpaksa akur. Menurutnya, SPA sudah mempersembahkan tiga nama kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Ketua Eksekutif Negeri Selangor untuk diperkenankan.

“Di Selangor, suruhanjaya yang berkaitan dengan pelantikan SUK adalah SPA kerana waran perjawatan datang daripada kerajaan persekutuan. Walaupun di Selangor ada Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) tidak relevan untuk melantik SUK seperti dimaksudkan dalam Fasa 52 itu.
“Tetapi ada orang salah faham dengan menganggap kuasa eksekutif negeri itu terletak kepada MB. Pelaksanaannya kepada MB tetapi kuasa eksekutif itu datang daripada Tuanku Sultan,” katanya.



'Pelanggan' temui 660kg minyak masak disorok

SERDANG: Seorang peniaga runcit di Pasar Borong Selangor di sini, tergamam selepas tidak menyangka ‘pelanggan’ yang diperdaya kononnya minyak masak habis dijual di premisnya adalah pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), semalam.
Penipuan terbabit terbongkar selepas KPDNKK menemui 660 kilogram (kg) bungkusan minyak masak disembunyikan dalam premis berkenaan.

Peniaga berusia 30-an terbabit sebelum ini dikesan cuba mengambil kesempatan dari krisis kekurangan minyak masak di pasaran untuk menyembunyikan minyak yang baru dibelinya itu.
Tindakan peniaga terbabit mengundang padah apabila salah seorang pelanggannya membuat aduan kepada KPDNKK cawangan Kajang selepas peniaga terbabit didapati sengaja tidak mahu menjual minyak masak.

Susulan aduan itu, beberapa pegawai KPDNKK segera mengambil tindakan dengan menyamar sebagai pelanggan untuk membongkar taktik licik peniaga terbabit yang dipercayai cuba menaikkan harga bahan mentah berkenaan.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNKK Cawangan Kajang, Firdus Zakaria berkata, pihaknya membuat pemeriksaan ke Pasar Borong Selangor pada kira-kira jam 1.30 tengah hari selepas mendapat aduan.

Menurutnya, seorang pegawainya menyamar sebagai pelanggan sebelum ke kedai berkenaan untuk membeli minyak masak.

“Bagaimanapun, peniaga terbabit memberitahu tiada minyak masak dijual di premisnya.
“Sebaik memperkenalkan diri dan melakukan pemeriksaan, kami menemui 660kg bernilai RM1,700 dalam premis itu,” katanya.

Firdus berkata, hasil pemeriksaan di tempat sama, pihaknya berjaya menahan dua lagi peniaga yang cuba menyembunyikan minyak masak bertujuan mengambil kesempatan atas kekurangan bekalan minyak masak di pasaran bagi menaikkan harga.

“Selain itu, kami turut menahan seorang peniaga yang menyimpan kira-kira 1,000 kg gula pasir sedangkan jumlah yang dibenarkan untuk peniaga itu membuat stok hanyalah 500 kg. Kami juga menyita satu alat penimbang yang tidak sah dan dipercayai cuba mengaut keuntungan dengan menipu pengguna.

“Kami tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang melanggar syarat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh didenda sehingga RM100,000 jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan membuat siasatan bermula dari kilang sama ada pengeluaran minyak masak seperti ditetapkan dipatuhi dan tiada ketirisan keyika melalui peringkat pembungkus seterusnya kepada pengguna.

Orang ramai yang mendapati terdapat peniaga cuba menyembunyikan minyak masak atau barang kawalan lain boleh menghubungi talian 03-8856085 atau hotline 1-800-886800.




Cuma dapat RM35,000



GEORGETOWN: Seorang ahli perniagaan wanita dipercayai baru mengeluarkan wang tunai dari sebuah bank kerugian RM35,000, selepas disamun empat lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian samun di hadapan sebuah kedai bahan kitar semula di Jalan Gudwara, di sini, semalam.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10.30 pagi apabila mangsa bersama bapa dan ibunya baru keluar dari sebuah bank di Bukit Jambul sebelum diekori empat lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Perdana hingga ke pusat bandar.

Mangsa dikatakan mengeluarkan RM85,000 dari bank berkenaan sebelum disamun penjenayah terbabit, namun kecekapan polis berjaya menemui RM50,000 daripada jumlah yang dilarikan.
Jurucakap polis berkata, dalam kejadian itu ketika mangsa berusia 50-an turun dari kereta, penjenayah mengacukan parang ke arahnya sebelum menarik beg mengandungi wang tunai dan berlaku tarik-menarik sehingga mangsa jatuh dan cedera di pinggang serta lutut.

Bagaimanapun, katanya, mangsa sempat menulis nombor pendaftaran kereta yang dinaiki suspek sebelum membuat laporan di Balai Polis Jalan Patani.

Katanya, suspek dipercayai berusia antara 20 hingga 30-an dan dalam kejadian itu suspek tidak memakai penutup muka.

“Sejurus laporan diterima, kami melancarkan operasi sebelum unit kereta peronda polis mengesan kereta Proton Perdana suspek dan berlaku kejar-mengejar dari Jalan Naning hingga ke Jalan Masjid Negeri.

“Seorang daripada suspek dicekup, manakala tiga yang lain berjaya melarikan diri,” katanya.
Menurutnya, polis menemui semula wang tunai RM50,000 namun RM35,000 lagi berjaya dilarikan dan usaha untuk mengesan ketiga-tiga suspek giat dijalankan.

Selain itu, polis turut menemui dua bilah parang di dalam kereta di tempat duduk kerusi belakang serta menemui identiti keempat-empat suspek.

Menurutnya, siasatan awal mendapati semua suspek berasal dari Cheras, Selangor dan kereta Proton Perdana yang digunakan mereka masih lagi disiasat bagi menentukan sama ada milik seorang daripada suspek atau dicuri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek yang berjaya ditahan kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) untuk tindakan lanjut.





Buang sial sebelum layan nafsu



JOHOR BAHRU: Sebuah premis di Taman Ungku Tun Aminah di sini, yang menjalankan perniagaan menilik nombor ekor serta buang sial, dikesan turut menyediakan khidmat pelacur berharga RM150 selepas pelanggannya selesai menjalani upacara mandi bunga.
Rahsia perniagaan premis terbabit yang beroperasi sejak setahun lalu terbongkar jam 5 petang kelmarin apabila lokasi berkenaan diserbu Jabatan Imigresen Johor.

Ketua Operasi, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Mohamad Nasir Abas berkata, perniagaan menilik nombor ekor mandi bunga itu hanyalah khidmat sampingan untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
“Setiap pelanggan akan mandi bunga terlebih dulu di bilik khas disediakan pengusaha premis dan apabila selesai, lelaki hidung belang terbabit boleh membawa gadis berkemban ke dalam bilik disediakan.

“Kami menemui tiga bilik dijadikan tempat memuaskan nafsu malah kondom serta jeli pelincir juga ada di sana,” katanya, semalam. Menurut Nasir, ketika serbuan, enam wanita sedang menunggu pelanggan berada di dalam premis terbabit, bagaimanapun, empat daripada mereka meloloskan diri melalui pintu belakang.

Beliau berkata, dua pelanggan berusia 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

Nasir berkata, serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat berkaitan aktiviti premis itu selain risikan dijalankan sejak beberapa hari lalu.

“Seorang lelaki tempatan yang juga penjaga premis terbabit mengatakan mereka hanya menyediakan pakej mandi bunga dan bomoh bagi tujuan perubatan selain menilik nombor ekor.
“Bagaimanapun, pemeriksaan di tiga bilik di premis terbabit menemui pelbagai peralatan digunakan dalam aktiviti tidak bermoral,” katanya.

Dalam serbuan itu, dua wanita warga Indonesia berusia 27 dan 30 tahun selain seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an ditahan untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Imigresen kerana menyalahgunakan pas dengan bekerja di negara ini, manakala lelaki warga tempatan terbabit disiasat mengikut Seksyen 55 (b) kerana menggaji pekerja tanpa dokumen sah.



Mewah jual ‘ayam’



KUALA LUMPUR: Seorang warga emas dipercayai ‘bapa ayam’ mampu memperoleh pendapatan lebih RM11,000 sebulan bagi sembilan pelacur warga asing yang dijaganya.
Malah, lelaki berusia lingkungan 60-an terbabit dipercayai terbabit secara langsung dalam kegiatan itu sejak lima tahun lalu.

Tembelang warga emas itu terbongkar selepas sembilan wanita berusia lingkungan 18 hingga 40 tahun yang dijaganya ditahan bersama 16 wanita lain yang disyaki pelacur dalam Ops Sayang yang dijalankan Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di beberapa hotel murah sekitar Brickfields, kira-kira jam 10 malam kelmarin. Semua wanita berkenaan kini dilindungi mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang (Atip).
Menurut sumber, setiap pelacur yang dijaga warga emas itu memperoleh RM27 manakala dia pula mengenakan caj RM13 setiap kali wanita itu melayani pelanggan.

“Itu menjadikan jumlah kasar bagi setiap layanan dan perkhidmatan seks yang ditawarkan pelacur terbabit adalah RM40 bagi setiap pelanggan dan dengan jumlah serendah itu, wanita terbabit mampu ditiduri mana-mana lelaki,” katanya.

Operasi diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, G Balamurugan, dibuat selepas sebulan melakukan risikan di kawasan itu.

Warga emas terbabit kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 15 Atip 2007 (Akta 670) bagi kesalahan mendapatkan keuntungan daripada kegiatan mengeksploitasikan orang yang diperdagangkan.

Jika disabitkan kesalahan, lelaki terbabit boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM500,000.
Operasi itu turut disertai sepasukan 30 pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan 10 pegawai dan kakitangan dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya.

Turut ditahan dalam operasi sama, dua lelaki Indonesia dan Pakistan dipercayai pelanggan kepada pelacur terbabit.

Kedua-dua mereka kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 6(1) C kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.

Selain itu, 16 wanita lagi wanita warga asing yang ditahan dikenal pasti menggunakan Mykad palsu dan kini disiasat JPN Putrajaya.

Semua mereka dibawa ke Pejabat Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment